November 2024
·
48 Reads
Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH)
Peningkatan bilangan orang kurang upaya dalam kependudukan di Malaysia telah menyebabkan kerajaan perlu untuk mewujudkan pelbagai kemudahan, termasuk akses orang kurang upaya ke bangunan awam kerana penikmatan hak asasi yang asas banyak melibatkan hak akses. Namun, undang-undang yang berkaitan dengan akses orang kurang upaya ke bangunan awam di Malaysia tidak menyeluruh dan mempunyai kelemahan. Oleh itu, artikel ini bertujuan untuk menganalisis isu-isu tentang hak akses orang kurang upaya ke bangunan awam dan memberikan cadangan untuk menambah baik peruntukan tentang akses orang kurang upaya ke bangunan awam di Malaysia. Bagi mencapai objektif tersebut, metod kajian yang digunakan ialah pendekatan kualitatif iaitu pendekatan perundangan tulen yang menggunakan kaedah analisis kandungan. Data dikumpulkan daripada pelbagai sumber, terutamanya Akta Orang Kurang Upaya 2008 [Akta 685], Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (Selangor) 1986 (UUKBS), Konvensyen tentang Hak Orang Kurang Upaya (CRPD) dan kes-kes mahkamah. Berdasarkan analisis yang dijalankan, artikel ini mendedahkan bahawa isu-isu tentang hak akses orang kurang upaya ke bangunan awam di Malaysia ialah ketidakselarasan undang-undang Malaysia dengan CRPD, ruang lingkup perundangan yang terhad, ketiadaan peruntukan audit akses serta kuasa terhad Majlis Kebangsaan bagi Orang Kurang Upaya. Oleh itu, artikel ini mencadangkan agar Akta 685 dan UUKBS dipinda untuk memastikan undang-undang ini sejajar dengan CRPD. Kesimpulannya, terdapat keperluan untuk meneliti semula semua peruntukan tentang hak akses orang kurang upaya ke bangunan awam di Malaysia bagi menjamin hak-hak orang kurang upaya di sisi undang-undang.