January 2014
·
496 Reads
ABSTRAK Kolaborasi antara Muslim dan non-Muslim dalam memajukan sains dan teknologi pada era 'Abbasiyah telah dikenal pasti berlaku sejak peringkat awal lagi, iaitu peringkat pemindahan ilmu dari tamadun lain ke dalam tamadun Islam. Peranan Muslim amat tidak dinafikan lagi, tetapi peranan non-Muslim turut perlu diakui hakikat kebenarannya. Mendahului sumbangan dan ketokohan sarjana non-Muslim tersebut ialah satu nama besar, iaitu Hunayn bin Ishaq. Beliau merupakan seorang tokoh yang mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam dunia penterjemahan dan perubatan di barat mahupun di timur. Beliau telah banyak berjasa menterjemahkan karya-karya asli dari tokoh-tokoh zaman Yunani seperti Plato, Galen, Descorides, Hippocrates, Aristotle, Euclid dan ramai lagi. Hunayn telah dilantik oleh khalifah al-Makmun sebagai pengarah pertama Bayt al-Hikmah, iaitu institusi penting yang menjalankan penterjemahan, penyelidikan dan inovasi daripada pelbagai cabang keilmuan pada zaman tersebut. Selain itu, beliau turut menyumbangkan jasa yang besar dalam bidang perubatan. Berlatar belakangkan daripada keluarga ahli perubatan kimia terkenal di Hirah, Hunayn terus meminati bidang ini dengan menuntut ilmu perubatan dari tokoh-tokoh perubatan terkenal di Baghdad. Beliau merupakan seorang pakar dalam bidang perubatan mata dan memperkenalkan ilmu perubatan Oftamologi. Beliau akhirnya dilantik sebagai doktor peribadi yang berkhidmat kepada khalifah al-Mutawakkil. Akhirnya, sehingga kini kita dapat menyaksikan begitu banyak karya yang telah dihasilkan oleh Hunayn bin Ishaq walaupun sebahagian daripadanya telah hilang.