July 2024
·
1,233 Reads
·
1 Citation
Dalam perbahasan fiqah Islam, para ilmuan berbeza pandangan dalam menentukan hukum jual beli emas perhiasan, sama ada ia masih terikat dengan syarat-syarat barangan ribawi ataupun tidak. Dalam konteks kehidupan beragama, fatwa yang dikeluarkan oleh institusi fatwa adalah antara rujukan utama yang perlu dirujuk, terutamanya dalam isu-isu yang terdapat perbezaan pendapat padanya. Uniknya di Malaysia, terdapat dua institusi fatwa yang berpengaruh dalam mengeluarkan fatwa iaitu (1) Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (JMMKBHEUIM) di bawah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) dan (2) 14 jabatan mufti negeri yang diketuai oleh mufti yang berbeza. Justeru, artikel ini berhasrat untuk membandingkan fatwa-fatwa berkaitan hukum jual beli emas perhiasan yang dikeluarkan oleh institusi fatwa di Malaysia. Kajian ini sepenuhnya berasaskan kepada reka bentuk kualitatif. Kaedah pengumpulan datanya pula bersandarkan kepada kaedah analisis dokumen menerusi pembacaan terhadap fatwa yang dikeluarkan oleh institusi fatwa di Malaysia. Maklumat yang diperoleh seterusnya dianalisis melalui pendekatan analisis tematik (thematic analysis) dan analisis perbandingan (comparative analysis) dengan menjuruskan kepada hukum jual beli emas perhiasan. Hasil kajian bagi artikel ini mendapati bahawa sekurang-kurangnya terdapat sembilan fatwa berkaitan hukum jual beli emas perhiasan telah dikeluarkan oleh institusi fatwa di Malaysia. Kesemua fatwa yang ditemui bukanlah dalam kategori fatwa rasmi yang diwartakan dan kesemua fatwa tersebut berpandangan bahawa jual beli emas perhiasan dengan wang kertas tidak terikat dengan syarat-syarat barangan ribawi. Namun begitu, terdapat terdapat perbezaan cara penghujahan di sebalik fatwa yang telah dikeluarkan. Secara zahirnya, semua fatwa yang dikeluarkan oleh institusi fatwa di Malaysia dilihat cenderung untuk memberi kemudahan kepada penjual dan pembeli emas perhiasan untuk tidak terikat dengan syarat-syarat barangan ribawi, sekali gus mengeluarkan ramai masyarakat daripada dihukum terlibat dengan dosa riba.