December 2024
·
58 Reads
ATTARBAWIY Malaysian Online Journal of Education
Pengintegrasian pengajaran budaya dalam pengajaran bahasa sangat penting bagi membantu meningkatkan pemahaman pelajar terhadap konteks sosial dan budaya yang terdapat dalam bahasa Arab itu sendiri. Akan tetapi, guru bahasa Arab menghadapi cabaran dalam merancang dan melaksanakan pengajaran bahasa Arab yang memfokuskan kepada elemen budaya Arab seperti halangan bahasa, silibus dan latar belakang ekonomi pelajar yang terdiri daripada kepelbagaian latar belakang budaya, etnik dan jantina yang berbeza. Kajian ini bertujuan untuk memperincikan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh guru dalam mengintegrasikan pengetahuan budaya Arab dalam pengajaran bahasa Arab dan menghuraikan beberapa cadangan yang boleh dilakukan oleh guru bahasa Arab bagi menangani masalah dan cabaran tersebut. Metodologi kajian ini menggunakan protokol temu bual separa berstruktur bersama 5 orang pakar bahasa Arab iaitu Pensyarah Institut Pendidikan Guru dan Guru Cemerlang Bahasa Arab (GCBA) di zon tengah Malaysia. Dapatan kajian menunjukkan antara cabaran yang dihadapi oleh guru bahasa Arab dalam mengintegrasikan pengetahuan budaya Arab dalam pengajaran bahasa Arab ialah keterbatasan guru dalam mengajarkan aspek budaya, kekurangan bahan pengajaran budaya dan penerimaan pelajar terhadap pengajaran budaya. Bagi menangani cabaran ini, beberapa cadangan telah dicadangkan antaranya penghasilan bahan pengajaran yang memfokuskan kepada budaya Arab, latihan pengajaran budaya dalam kalangan guru bahasa Arab dan penganjuran aktiviti dan program berunsurkan budaya Arab di sekolah. Diharapkan kajian ini dapat memberikan panduan kepada pihak sekolah, pihak kementerian dan guru bahasa Arab untuk menambah baik kualiti dan amalan pengajaran bahasa Arab melalui pemahaman budaya yang lebih mendalam.