Content uploaded by Mohd Azmir Mohd Nizah
Author content
All content in this area was uploaded by Mohd Azmir Mohd Nizah on Mar 13, 2023
Content may be subject to copyright.
Jurnal Psikologi Keselamatan, e-ISSN: 2710-6616, Bil.3, 142-150
142
PENGARUH MEDIA SOSIAL TERHADAP PERSEPSI
KESELAMATAN VAKSIN DALAM KALANGAN BELIA: SATU
TINJAUAN AWAL
The Influence of Social Media on the Perception of Vaccination Safety Among Youth:
A Preliminary Overview
Mohamad Afzanizzam bin Zahran1 & Mohd Azmir bin Mohd Nizah2
Universiti Sains Islam Malaysia1,2
Emel: jzack49@yahoo.com1
Emel Koresponden: azmirnizah@usim.edu.my2
ABSTRAK
Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) merupakan usaha kerajaan Malaysia untuk
memastikan rakyat negara ini kurang dijangkiti virus COVID-19 dan seterusnya mencegah
penularan pandemik tersebut. Pelbagai promosi giat dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi
menyebar luas maklumat berkaitan dengan program vaksinasi tersebut melalui saluran media
massa seperti elektronik dan media cetak kepada masyarakat umum. Selain kedua-dua platform
tersebut, informasi berkaitan dengan PICK turut disebar-luas melalui platform media sosial
bagi memastikan rakyat Malaysia mendapatkan maklumat yang tepat, pantas dan seterusnya
mendaftarkan diri bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19. Walau bagaimanapun, usaha
murni ini turut dibayangi oleh unsur negatif terutamanya melalui media sosial yang
merencatkan usaha kerajaan untuk memvaksinasi seramai yang boleh rakyat negara ini. Kajian
ini bertujuan untuk mengenal pasti pengaruh media sosial terhadap persepsi keselamatan
vaksin dalam kalangan belia. Kajian yang dilakukan akan menggunakan kaedah analisis
kandungan untuk melihat bagaimana media sosial mempengaruhi persepsi golongan belia
terhadap isu keselamatan vaksin COVID-19 berdasarkan isu-isu semasa yang berlaku di dalam
negara. Hasil tinjauan awal ini diharap dapat membantu pihak-pihak yang berkepentingan
dalam merangka solusi bagi membendung penularan pandemik COVID-19 dan langkah
memasuki fasa endemik.
Kata kunci: Media Sosial; Belia; Vaksin; COVID-19; Keselamatan
ABSTRACT
The National COVID-19 Immunization Program (PICK) is an effort by the Malaysian
government to ensure that the people of this country are not infected with the COVID-19 virus
and further prevent the spread of the pandemic. Various promotions are actively implemented
from time to time to disseminate information related to the vaccination program through mass
media channels such as electronic media and print media to the public. Apart from the two
platforms, information related to PICK is also disseminated through social media platforms to
ensure that the people of this country get accurate, timely information and then register to get
the COVID-19 vaccine injection. However, this noble effort is also overshadowed by negative
elements, especially through social media which hampers the Government's efforts to vaccinate
Mohamad Afzanizzam bin Zahran, Mohd Azmir bin Mohd Nizah (2021): Pengaruh Media Sosial Terhadap
Persepsi Keselamatan Vaksin dalam Kalangan Belia: Satu Tinjauan Awal
143
as many people as possible in this country. This study aimed to identify the influence of social
media on vaccine safety perceptions among youth. The study will use content analysis methods
to see how social media influences youths' perceptions of COVID-19 vaccine safety issues
based on current issues occurring in the country. It is hoped that the results of this preliminary
survey will help stakeholders to formulate solutions to curb the spread of the COVID-19
pandemic and move into the endemic phase.
Keywords: Social Media; Youth; Vaccine; COVID-19; Security
PENGENALAN
Bilangan kes positif harian COVID-19 di negara ini yang masih berada di atas paras 4,000 kes
setiap hari menunjukkan perang ke atas virus tersebut masih belum berakhir. Program
Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi
(MOSTI) telah diformulasi dan digerakkan sebagai langkah proaktif bertujuan membendung
penularan virus tersebut dan seterusnya memvaksinasi seramai mungkin rakyat di negara ini.
Program tersebut mensasarkan warganegara dan bukan warganegara untuk mendaftarkan diri
bagi mendapatkan suntikan vaksin melalui lima saluran pendaftaran termasuklah aplikasi
MySejahtera yang boleh diakses melalui telefon bimbit. Namun, tugas ini bukannya mudah
kerana terdapat cabaran dan faktor yang memungkinkan pandemik ini menemui noktahnya
atau akan berpanjangan untuk tempoh masa yang tidak pasti. Kurangnya maklumat berkaitan
dengan virus COVID-19, perdebatan mengenai tahap keselamatan penggunaan vaksin sebagai
langkah pencegahan dan kempen antivaksin oleh kumpulan antivaksin merupakan antara
cabaran dan rintangan yang sedikit sebanyak merencatkan usaha kerajaan memerangi virus
tersebut. Makalah ini akan membincangkan pengaruh media sosial terhadap persepsi
keselamatan vaksin dalam kalangan belia. Beberapa isu yang berkaitan akan dianalisis berserta
cadangan sebagai langkah ke hadapan.
SOROTAN LITERATUR
Statistik 2013 melaporkan 34.5% belia berumur antara 18-24 tahun merupakan pengguna
tertinggi Facebook di Malaysia diikuti 29.5% belia berumur antara 25-34 tahun dan 16.3%
belia berumur antara 13-17 tahun (Norni Mahadi, 2013). Facebook, Youtube dan Instagram
pula merupakan aplikasi rangkaian sosial paling banyak digunakan manakala aplikasi
komunikasi paling banyak digunakan ialah Whatsapp, Facebook Messenger dan Telegram
(Malaysian Communication and Multimedia Commission, 2020). Belia di Malaysia yang
ditakrifkan berumur di antara 15 hingga 30 tahun merupakan pengguna terbesar media sosial
(Mohd Fauzi bin Hj. Fadzil, 2020). Media sosial digunakan di seluruh dunia bagi pelbagai
tujuan. Media sosial merupakan ruang awam terbuka yang menawarkan pelbagai fungsi sosial
yang menjadi asas perhubungan antara individu dan masyarakat (Khusnul Hanafi & Mohd.
Helmi Abd. Rahim, 2017). Sebagai contoh, media sosial antara medium yang digunakan untuk
penyebaran maklumat seperti manifesto, klip video dan sebagainya semasa tempoh kempen
PRU ke-14. Isu nasional seperti GST, 1MDB dan lain-lain yang ditularkan pada ketika itu
berjaya mempengaruhi persepsi belia untuk melakukan perubahan melalui peti undi. Faktor
pengundi muda dan belia bawah usia 40 tahun yang celik media sosial mempengaruhi mereka
mengenai isu nasional dan setempat yang boleh diperoleh di hujung jari (Junaidi, 2020).
Mohamad Afzanizzam bin Zahran, Mohd Azmir bin Mohd Nizah (2021): Pengaruh Media Sosial Terhadap
Persepsi Keselamatan Vaksin dalam Kalangan Belia: Satu Tinjauan Awal
144
Isu keselamatan vaksin COVID-19 menjadi persoalan yang timbul dalam masyarakat
awam selepas Kerajaan memperkenalkan program PICK dan membawa masuk vaksin jenis
Pfizer, Astra Zeneca dan Sinovac. Ia menimbulkan persepsi yang pelbagai dalam kalangan
masyarakat terutamanya tentang keberkesanan dan kesan jangka panjang yang bakal dialami
oleh penerima vaksin. Satu kajian di Nepal telah dilaksanakan untuk mengenal pasti tingkah
laku dan persepsi golongan muda berusia antara 18 ke 40 tahun terhadap penerimaan vaksin
COVID-19. Hasil kajian menunjukkan golongan muda berusia antara 18 ke 30 tahun
mempunyai 1.345 kali kebarangkalian untuk memiliki persepsi yang baik terhadap vaksin
COVID-19 berbanding golongan muda berusia 30 hingga 40 tahun. Kajian yang sama juga
mendapati bahawa umur merupakan faktor utama yang mempengaruhi sikap seseorang
individu terhadap vaksin COVID-19 (Yadav et al., 2021).
Selain itu, terdapat kajian bagi mengenal pasti petunjuk kepada berlakunya penolakan
vaksin yang telah dilakukan ke atas 1,011 penduduk di daerah Emilia-Romagna, Italy dan hasil
kajian tersebut mendapati sejumlah 31.1% penduduk menolak pengambilan vaksin. Antara
faktor penolakan ini yang telah dikenal pasti adalah berkait rapat dengan sejarah pengambilan
individu tersebut yang menunjukkan mereka yang mempunyai sejarah atau pengalaman positif
mengambil vaksin lain sebelum ini mempunyai tahap keyakinan yang tinggi terhadap
pengambilan vaksin COVID-19. Selain itu, kajian tersebut juga mendapati 15.6% daripada
semua responden menolak vaksinasi yang disyorkan oleh pekerja penjagaan kesihatan pada
masa lalu. Sebab penolakan yang paling utama adalah keperluan untuk mendapatkan lebih
banyak maklumat tentang utiliti dan keselamatan vaksin. Kajian turut menyimpulkan bahawa
keselamatan dan keberkesanan vaksin adalah kebimbangan utama responden. Ini menunjukkan
bahawa terdapat keperluan di peringkat kerajaan untuk menekankan kepentingan dan
keselamatan vaksin dalam setiap kempen dan komunikasi dengan masyarkat awam (Reno et
al., 2021). Hasil kajian di atas juga memberikan indikasi bahawa persepsi terhadap keselamatan
vaksin dalam masyarakat masih dibayangi oleh pelbagai faktor seperti propaganda antivaksin
dan sebagainya yang mempengaruhi persepsi masyarakat terhadap keselamatan vaksin.
METODOLOGI
Kajian kualitatif ini menggunakan kaedah analisis konseptual yang akan mengenal pasti
sumber rujukan utama iaitu karya ilmiah sarjana yang menjadi asas kepada proses analisis
kandungan dan pada masa yang sama turut menganalisis isu-isu semasa berkaitan dengan
penularan pandemik COVID-19 di Malaysia serta langkah-langkah pencegahan yang telah dan
sedang diambil oleh pihak berkuasa.
DAPATAN KAJIAN DAN PERBINCANGAN
Keraguan Vaksin dan Propaganda Antivaksin
Sepanjang tempoh penularan pandemik COVID-19 mulai akhir bulan Disember 2019 hingga
Oktober 2021, wujud beberapa isu yang telah menimbulkan ketidaktentuan dan kekeliruan
dalam kalangan masyarakat dan ia sedikit sebanyak memberi kesan terhadap langkah jangka
panjang Kerajaan dalam membendung dan seterusnya memerangi penularan pandemik
COVID-19 di negara ini.
Mohamad Afzanizzam bin Zahran, Mohd Azmir bin Mohd Nizah (2021): Pengaruh Media Sosial Terhadap
Persepsi Keselamatan Vaksin dalam Kalangan Belia: Satu Tinjauan Awal
145
Keraguan vaksin atau vaccine hesitancy merujuk kepada penangguhan penerimaan atau
penolakan vaksin walaupun terdapat perkhidmatan vaksin (MacDonald et al., 2015). Isu ini
timbul dalam kalangan masyarakat disebabkan wujud ketidakpastian mengenai tahap
keselamatan vaksin yang telah diperkenalkan oleh Kerajaan bagi membendung wabak tersebut.
Ini adalah kerana COVID-19 merupakan virus baharu maka kurangnya maklumat mengenai
virus tersebut menyebabkan wujud keraguan terhadap keberkesanan dan tahap keselamatan
pengambilan vaksin tersebut. Sebagai contoh, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan melaporkan
seramai 10,000 penduduk di Kelantan kebanyakannya berusia 60 tahun ke atas gagal hadir
temu janji suntikan vaksin seperti mana yang telah dilaporkan oleh media arus perdana. Ini
berkemungkinan disebabkan oleh keraguan terhadap vaksin. Ini memberikan indikasi bahawa
vaksin yang terbukti dan diyakini selamat akan membina kepercayaan rakyat terhadap vaksin
itu sendiri (Opel et al., 2021). Maka dalam konteks ini, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan
untuk menyakinkan rakyat mengenai keputusan untuk menggunakan vaksin sebagai langkah
pencegahan (Organisation for Economic Co-operation and Development, 2021).
Usaha pihak kerajaan untuk membendung penularan pandemik COVID-19 diburukkan
lagi dengan penyebaran propaganda antivaksin melalui media sosial oleh kumpulan atau
individu antivaksin yang mendakwa suntikan vaksin COVID-19 sama ada jenis Pfizer, Astra
Zeneca dan Sinovac menyebabkan lumpuh, koma dan kematian. Mereka juga mendakwa
bahawa vaksin-vaksin tersebut mengandungi unsur yang tidak dapat dipastikan. Ini seterusnya
menimbulkan perasaan was-was dalam hati dan minda masyarakat terutama mereka yang
beragama Islam hingga mempengaruhi persepsi untuk menolak pengambilan vaksin. Sebagai
contoh, kenyataan di laman sosial oleh seorang pelakon lelaki berusia 48 tahun yang menolak
vaksin dengan memberikan alasan ketidakpastian isi kandungannya. Tindakan tersebut telah
mempengaruhi peminatnya terutamanya golongan muda untuk turut sama menolak vaksin.
Terdapat juga sebelum ini doktor aktivaksin yang menyebarkan maklumat tidak benar tentang
vaksin Mumps, Measles, Rubella (MMR) di Facebook untuk menakut-nakutkan masyarakat.
Media juga turut melaporkan sejumlah 2,500 orang guru di seluruh negara enggan mengambil
suntikan vaksin atas pelbagai alasan (Osman, 2021).
Situasi yang berlaku ini membuktikan bahawa propaganda antivaksin sentiasa berlegar-
legar dan tidak terhad hanya kepada virus COVID-19 semata-mata malah ia turut merangkumi
penyakit yang lain, malah ditularkan secara berulang kali di media sosial bertujuan
mempengaruhi pengguna lain untuk turut menolak suntikan vaksin (Puri et al., 2020).
Meskipun pengambilan vaksin di peringkat awal tidak diwajibkan tetapi bagi memastikan
persekitaran pembelajaran di sekolah selamat daripada risiko penularan virus COVID-19,
maka kerajaan telah mengeluarkan pekeliling perkhidmatan yang mewajib semua penjawat
awam mengambil suntikan vaksin kecuali mereka yang diberikan pengecualian dan
mempunyai surat pengesahan daripada doktor. Dari sudut hukum penggunaan vaksin, mantan
Menteri Agama, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri melalui kenyataan media yang
bertarikh 23 Disember 2020 telah menyatakan dengan jelas hukum penggunaan vaksin
COVID-19 adalah harus dan wajib diambil oleh golongan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan
(JAKIM, 2020). Ini memberikan isyarat jelas bahawa Kerajaan tidak berkompromi dalam isu
yang melibatkan keselamatan dan kepentingan awam.
Maqasid Syariah, Persepsi Keselamatan Vaksin dan Psikologi Keselamatan
Kerajaan telah mengambil langkah proaktif dalam melindungi nyawa rakyat negara ini dengan
melaksanakan program vaksinasi dengan memperkenalkan tiga jenis vaksin utama iaitu
suntikan Pfizer, Astra Zeneca dan Sinovac. Ditambah pula dengan kemunculan varian Delta
Mohamad Afzanizzam bin Zahran, Mohd Azmir bin Mohd Nizah (2021): Pengaruh Media Sosial Terhadap
Persepsi Keselamatan Vaksin dalam Kalangan Belia: Satu Tinjauan Awal
146
yang lebih cepat menular dan membawa kepada peningkatan kebolehjangkitan jika
dibandingkan dengan varian lain, walaupun dalam sesetengah individu yang telah divaksin
(Lopez Bernal et al., 2021). Maka, pengambilan suntikan vaksin merupakan langkah terbaik
pada ketika ini bagi membendung penularan wabak tersebut dan bertujuan menyelamatkan
nyawa serta mengelakkan lebih banyak kematian disebabkan virus tersebut. Berdasarkan
perspektif Islam, mengutamakan keselamatan nyawa termasuk di dalam maqasid syariah.
Maqasid syariah boleh difahami sebagai matlamat, objektif atau rahsia di sebalik pensyariatan
sesuatu hukum syarak yang digubal oleh Allah SWT bertujuan bagi mewujudkan kebaikan,
menolak kemudaratan dan mengekang sebarang bentuk kerosakan (Abdul Karim et al., 2020).
Ramai ilmuan Islam sejak dahulu telah pun membicarakan berkaitan dengan maqasid syariah
antaranya Imam Al-Ghazali, Abdul Malik Al-Juwaini, Fakhruddin Al-Razi, Al-Amidi,
Najmuddin Al-Tafi dan Al-Qarafi (Auda, 2019).
Pembahagian Maqasid Syariah mengikut maslahah terbahagi kepada tiga iaitu
daruriyyat, hajiyyat dan tahsiniyyat. Daruriyyat ialah sesuatu perkara yang sangat diperlukan
sehingga sampai ke tahap terdesak dalam kehidupan manusia dan kejayaan di akhirat. Jika
perkara ini hilang maka akan berlaku kepincangan dalam kehidupan manusia dan mereka akan
berada dalam keadaan bahaya dan kehancuran. Maslahah daruriyyat ini terangkum dalam lima
perkara iaitu agama, nyawa, akal, keturunan, harta dan maruah (Ghazali, 2018). Majoriti
komuniti saintifik global bersetuju bahawa cara paling berkesan untuk mengalahkan wabak
COVID-19 adalah melalui vaksinasi besar-besaran populasi di seluruh dunia (Organisation for
Economic Co-operation and Development, 2021). Oleh yang demikian, hampir semua negara
di seluruh dunia menggunakan pendekatan vaksin sebagai mekanisme membendung penularan
COVID-19 bagi menyelamatkan nyawa dan mengurangkan kadar kematian. Tindakan ini
menunjukkan bahawa kemaslahatan ummah atau kepentingan masyarakat terbesar perlu
diutamakan berbanding suara kelompok minoriti. Berdasarkan data laman sesawang
COVIDNOW oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (www.covidnow.moh.gov.my)
menunjukkan bahawa sehingga 7 November 2021, peratusan individu dewasa berumur 18
tahun ke atas yang turut merangkumi golongan belia yang telah menerima suntikan vaksin
adalah seramai 22,417,059 (95.8%) manakala remaja berusia 12 hingga 17 tahun adalah
seramai 2,208,399 (70.2%). Data yang sama juga menunjukkan peratus kadar kematian adalah
65% (tidak divaksin); 22.2 % (satu dos vaksin); dan 12.4% (lengkap divaksin).
Rajah 1: Sumber: www.covidnow.moh.gov.my
Rajah 1: Data COVIDNOW oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bertarikh 7 November 2021
menunjukkan jumlah populasi dewasa berusia 18 ke atas yang telah menerima suntikan vaksin
(data terkini sehingga 4 November 2021)
Mohamad Afzanizzam bin Zahran, Mohd Azmir bin Mohd Nizah (2021): Pengaruh Media Sosial Terhadap
Persepsi Keselamatan Vaksin dalam Kalangan Belia: Satu Tinjauan Awal
147
Dapatan di dalam Rajah 1 di atas memberikan indikasi bahawa penggunaan vaksin
hanya dapat mengurangkan risiko dijangkiti virus COVID-19 dan vaksin tersebut tidak
menjamin manusia kebal daripada dijangkiti virus tersebut meskipun telah menerima suntikan
vaksin lengkap. Tinjauan awal juga mendapati wujud kesedaran yang tinggi dalam kalangan
ibu bapa yang mempunyai anak remaja untuk membenarkan anak mereka menerima suntikan
vaksin. Peratusan yang tinggi juga menunjukkan belia mempunyai kesedaran terhadap isu
kepentingan dan keselamatan vaksin.
Isu keselamatan vaksin juga merupakan manifestasi perlakuan yang berlaku disebabkan
oleh tindakan kognitif seseorang individu tersebut. Ia mempunyai perkaitan dengan ciri
keselamatan yang dikenali sebagai psikologi keselamatan. Psikologi keselamatan ialah
perasaan yang tercetus hasil daripada proses kognitif dan perlakuan yang dijana daripada realiti
keselamatan. Perlakuan yang dijana melalui proses kognitif memerlukan pengetahuan dan
kesedaran (Mohd Nizah et al., 2020). Di dalam konteks yang dibincangkan ini, ketidakpastian
terhadap keberkesanan dan tahap keselamatan penggunaan vaksin serta implikasi yang boleh
berlaku jika disuntik dengan vaksin COVID-19 menyebabkan timbul perasaan takut dan
bimbang terhadap vaksin tersebut. Kurangnya maklumat atau hasil kajian ke atas kesan yang
boleh dialami oleh pengguna vaksin COVID-19 antara faktor yang menyumbang kepada isu
tersebut. Ini diperkuatkan lagi dengan penyebaran propaganda antivaksin yang menambahkan
lagi rasa takut dan bimbang terhadap penggunaan vaksin tersebut. Maka, keengganan untuk
mengambil suntikan vaksin ini merupakan terjemahan daripada tindakan kognitif yang terhasil
berdasar maklumat dan realiti semasa yang berlaku di sekeliling individu terbabit. Sebaliknya,
golongan yang menerima suntikan vaksin juga bertindak berdasarkan tindakan kognitif
mereka. Melihat bahawa penularan pandemik COVID-19 adalah satu realiti yang nyata dan
menjadi satu ancaman terhadap keselamatan awam dan individu serta berdasarkan data kes
positif harian dan kadar kematian yang tidak mengenal usia, maka golongan ini mengambil
suntikan vaksin sebagai langkah meminimumkan risiko dijangkiti demi melindungi nyawa
mereka serta ahli keluarga.
Langkah ke Hadapan
Dewasa ini media sosial merupakan sumber maklumat yang paling dekat dengan kehidupan
manusia dan mempunyai pengaruhnya yang tersendiri. Maka, di dalam konteks COVID-19,
adalah wajar kelebihan yang dimiliki oleh media sosial digunakan secara maksimum oleh
pemegang taruh untuk mempromosi kekuatan dan kebaikan pengambilan vaksin dalam
kalangan masyarakat. Badan-badan serta organisasi kerajaan boleh memainkan peranan dalam
menyebar luaskan maklumat berkaitan dengan kelebihan vaksin dari sudut sains dan agama.
Belia bijak teknologi maklumat dan media sosial juga boleh memainkan peranan mereka
dengan membantu memberikan pemahaman tentang vaksin kepada individu yang masih ragu-
ragu seperti ibu bapa dan ahli keluarga dan seterusnya mengubah persepsi mereka terhadap
keselamatan vaksin. Selain itu, perkongsian maklumat seperti hukum penggunaan vaksin oleh
pihak berkuasa agama juga boleh disebar luaskan di media massa dan juga ditularkan di laman
sosial dengan lebih kerap bagi menangkis propaganda kumpulan dan individu antivaksin.
Perkongsian pengalaman dan gambar oleh belia serta remaja yang telah menerima suntikan
vaksin yang dimuat naik ke laman-laman sosial juga boleh memberi tanggapan positif dan
menguatkan lagi kepercayaan masyarakat terhadap keberkesan suntikan vaksin (Bernama,
2021).
Dari sudut perundangan, kerajaan juga perlu menunjukkan ketegasan dengan
mengambil tindakan undang-undang terhadap kumpulan dan individu antivaksin yang dikesan
Mohamad Afzanizzam bin Zahran, Mohd Azmir bin Mohd Nizah (2021): Pengaruh Media Sosial Terhadap
Persepsi Keselamatan Vaksin dalam Kalangan Belia: Satu Tinjauan Awal
148
sengaja menyebarkan propaganda antivaksin dengan niat untuk mensabotaj, mempengaruhi
atau menghasut masyarakat supaya menolak vaksin. Langkah-langkah yang telah dinyatakan
adalah praktikal untuk dilaksanakan. Namun begitu, yang paling utama dalam usaha
memerangi pandemik COVID-19 adalah kepercayaan rakyat yang tidak berbelah bagi terhadap
usaha-usaha kerajaan untuk memastikan negara dan rakyat kembali menjalani kehidupan yang
normal seperti sebelumnya. Seperti mana yang telah dinyatakan sebelum ini menjadi
tanggungjawab kerajaan untuk menyakinkan dan menanam kepercayaan dalam kalangan
masyarakat terhadap isu penggunaan dan keselamatan vaksin. Kepercayaan masyarakat sudah
pasti dapat membantu menjadikan program vaksinasi yang dirangka oleh kerajaan sebagai satu
polisi yang berjaya sekali gus memastikan kesejahteraan rakyat dan negara secara
keseluruhannya.
KESIMPULAN
Kesimpulannya, media sosial mempunyai pengaruh yang besar dalam mewujudkan persepsi
positif belia terhadap isu keselamatan vaksin khasnya dan keselamatan awam umumnya. Ia
berkesan dalam membina persepsi positif belia terhadap program vaksinasi kerajaan, pemilihan
jenis vaksin yang telah ditentukan, implikasi pengambilan vaksin dan langkah pemantauan
yang diambil oleh kerajaan terhadap penerima vaksin. Maklumat berkaitan dengan proses
vaksinasi yang sentiasa dimuat naik ke media sosial oleh pihak berkuasa akan menguatkan lagi
keyakinan golongan belia khususnya dan masyarakat amnya terhadap perkhidmatan vaksin
yang disediakan oleh pihak kerajaan. Peratusan belia dan remaja yang telah mengambil
suntikan vaksin merupakan manifestasi kesedaran mereka terhadap isu yang berlegar di
sekeliling mereka. Ini membuktikan belia pada hari ini memahami isu dan cabaran yang sedang
berlaku di sekeliling mereka dan pada masa yang sama cakna terhadap isu semasa yang berlaku
di dalam negara dan di peringkat global. Perang masih belum berakhir dan proses
memvaksinasi seramai yang mungkin rakyat negara ini masih berjalan. Kini, usaha tersebut
diperkukuhkan lagi dengan rancangan kerajaan untuk memperkenalkan suntikan dos
perangsang atau dose booster injection. Selain itu had umur penerima vaksin juga telah
diluaskan sehingga merangkumi kanak-kanak berumur 13 tahun. Langkah ini dilihat sebagai
langkah ke hadapan yang dapat menambahkan lagi keyakinan yang berterusan kepada rakyat
negara ini terhadap usaha kerajaan untuk membendung virus COVID-19 dan seterusnya
mengurangkan kes positif harian dalam negara ke paras yang paling minimum.
RUJUKAN
Abdul Karim, A. H., Azalan, N. S., & Ismail, M. F. (2020). Tahap Kefahaman Masyarakat
Islam Negeri Pahang Terhadap Peranan Maqasid Syariahdalam Menangani Wabak
COVID-19. Jurnal Al-Sirat, 19(ISSN:1823-4313), 151–162.
https://ejournal.kuipsas.edu.my/
Auda, J. (2019). the ‘Imams of Maqāṣid’ (Fifth To Eighth Islamic Centuries). Maqasid Al-
Shariah, 17–22. https://doi.org/10.2307/j.ctvkc67c6.5
Bernama. (2021). Berhati-hati tangani propaganda antivaksin. Berita Harian Online.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/06/827935/berhati-hati-tangani-
propaganda-antivaksin
Mohamad Afzanizzam bin Zahran, Mohd Azmir bin Mohd Nizah (2021): Pengaruh Media Sosial Terhadap
Persepsi Keselamatan Vaksin dalam Kalangan Belia: Satu Tinjauan Awal
149
Ghazali, M. R. (2018). Kepentingan Maqasid Syariah dalam Berfatwa di Malaysia. Journal of
Fatwa Management and Research, 4(1), 7–32.
https://doi.org/10.33102/jfatwa.vol4no1.92
JAKIM. (2020). Kenyataan Media Kenyataan Media Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (
Hal Ehwal.
Junaidi, A. B. (2020). Pru-14 Dan Pasca Pru-14: Analisis Politik Di Negeri Johor Darul
Takzim. E-BANGI: Jurnal Sains Sosial Dan Kemanusiaan, 17(5), 81–98.
Khusnul Hanafi & Mohd. Helmi Abd. Rahim. (2017). Penggunaan media sosial dan faktor-
faktor yang mempengaruhi terbentuknya gerakan sosial oleh pemimpin pelajar
universiti di Bandar Pekan Baru, Riau, Indonesia. E-Bangi : Journal of Social
Sciences and Humanities, 12(2), 87–101.
Lopez Bernal, J., Andrews, N., Gower, C., Gallagher, E., Simmons, R., Thelwall, S., Stowe,
J., Tessier, E., Groves, N., Dabrera, G., Myers, R., Campbell, C. N. J.,
Amirthalingam, G., Edmunds, M., Zambon, M., Brown, K. E., Hopkins, S., Chand,
M., & Ramsay, M. (2021). Effectiveness of COVID-19 Vaccines against the
B.1.617.2 (Delta) Variant. New England Journal of Medicine, 385(7), 585–594.
https://doi.org/10.1056/nejmoa2108891
MacDonald, N. E., Eskola, J., Liang, X., Chaudhuri, M., Dube, E., Gellin, B., Goldstein, S.,
Larson, H., Manzo, M. L., Reingold, A., Tshering, K., Zhou, Y., Duclos, P., Guirguis,
S., Hickler, B., & Schuster, M. (2015). Vaccine hesitancy: Definition, scope and
determinants. Vaccine, 33(34), 4161–4164.
https://doi.org/10.1016/j.vaccine.2015.04.036
Malaysian Communication and Multimedia Commission. (2020). Internet users survey 2020:
Infographic. Statistics and Data Intelligence Department, Malaysian Communications
and Multimedia Commission, 1–6.
https://www.mcmc.gov.my/ms/resources/statistics/internet-users-survey
Mohd Fauzi bin Hj. Fadzil. (2020, August 21). Merungkai Kembali Isu Had Umur Belia Di
Malaysia | Majlis Belia Malaysia. Majlis Belia Malaysia.
https://belia.org.my/wp/2020/08/21/merungkai-kembali-isu-had-umur-belia-di-
malaysia/
Mohd Nizah, M. A., Abu Bakar, A. R., & Kamarul Zaman, W. (2020). Analisa Psikologi
Keselamatan Terhadap Kes Ingkar Arahan Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 1- Fasa
5 Melalui Kerangka Maqasid Syariah. 3rd International Seminar on Islam and Science
2020, 85–98.
Norni Mahadi. (2013). 13.3 million M’sians are Facebook users. Borneo Post Online.
https://www.theborneopost.com/2013/06/16/13-3-million-msians-are-facebook-users/
Opel, D. J., Diekema, D. S., & Ross, L. F. (2021). Should We Mandate a COVID-19 Vaccine
for Children? In JAMA Pediatrics (Vol. 175, Issue 2, pp. 125–126). American
Medical Association. https://doi.org/10.1001/jamapediatrics.2020.3019
Organisation for Economic Co-operation and Development. (2021). Enhancing public trust in
COVID-19 vaccination : The role of governments. OECD Science, Technology and
Industry Policy Papers, May, 1–27.
Osman, H. (2021, September 26). Guru tolak vaksin mungkin ditukar. BH Online,
November.
Mohamad Afzanizzam bin Zahran, Mohd Azmir bin Mohd Nizah (2021): Pengaruh Media Sosial Terhadap
Persepsi Keselamatan Vaksin dalam Kalangan Belia: Satu Tinjauan Awal
150
Puri, N., Coomes, E. A., Haghbayan, H., & Gunaratne, K. (2020). Social media and vaccine
hesitancy: new updates for the era of COVID-19 and globalized infectious diseases.
Human Vaccines and Immunotherapeutics, 16(11), 2586–2593.
https://doi.org/10.1080/21645515.2020.1780846
Reno, C., Maietti, E., Fantini, M. P., Savoia, E., Manzoli, L., Montalti, M., & Gori, D.
(2021). Enhancing COVID-19 vaccines acceptance: results from a survey on vaccine
hesitancy in northern Italy. Vaccines, 9(4), 1–12.
https://doi.org/10.3390/vaccines9040378
Yadav, R. K., Khatri, E., Marahatta, S. B., Yadav, D. K., & Baral, Y. (2021). Attitude and
Perception of Young Adults Regarding Uptake of COVID-19 Vaccine in Nepal : A
Cross-Sectional Study Journal of Vaccines & Vaccination. September.