Content uploaded by Saifulazry Mokhtar
Author content
All content in this area was uploaded by Saifulazry Mokhtar on Sep 07, 2021
Content may be subject to copyright.
5th International Conference on Teacher Learning and Development (ICTLD) 2021
03 - 05 August 2021
408
Proceedings ICTLD2021/e-ISBN 978-967-25529
Prospek Dan Cabaran Implementasi Dakwah Dalam Media
Kontemporari: Satu Analisis
Saifulazry bin Mokhtar1*, Kasoma Thia2, Irma Wani Othman3 dan Mohd Maziz al-
Hadi Moharam4
1,3,4Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Malaysia Sabah
2Sekolah Kebangsaan Kebagu, Kota Kinabalu, Sabah
*Corresponding author’s: saifulazry.mokhtar@ums.edu.my
ABSTRAK
Pelaksanaan dakwah Islamiah adalah satu tuntutan yang diperintahkan oleh Allah SWT
terhadap seluruh umat Islam sama ada secara langsung ataupun tidak langsung. Walaupun
pelaksanaan ini diwajibkan ke atas para rasul, namun ia sangat dituntut untuk diaplikasikan
dalam kehidupan seharian mengikut peredaran masa. Kaedah pelaksanaan dakwah juga perlu
sejajar dengan kecanggihan dan kepantasan teknologi kini di mana ia harus merentas inovasi
dalam agen penyebaran dakwah. Walau bagaimanapun, pelaksanaan dakwah dalam era
globalisasi ini tidak semudah yang disangka kerana kepantasan teknologi dan media
kontemporari yang sangat meluas tanpa ada sempadan. Senario ini menggambarkan bahawa
pendekatan dakwah dalam media kontemporari kini tidak terlepas daripada menghadapi
cabaran yang harus ditempuhi oleh setiap pendakwah. Oleh itu, kajian ini dijalankan adalah
untuk menganalisis prospek dan cabaran implementasi dakwah menerusi media kontemporari
sebagai kayu ukur kepada kejayaan dakwah masa kini. Tahap keterbergantungan yang tinggi
terhadap media massa telah memberi satu tamparan hebat kepada para pendakwah untuk
menyebarkan risalah yang benar dan menangkis segala bentuk penyebaran maklumat palsu
khususnya yang berkaitan dengan Islam. Kajian ini melibatkan analisis dokumen khususnya
kepada artikel-artikel jurnal yang berkaitan dengan impak teknologi massa serta buku-buku
yang berkaitan dengan media kontemporari. Hasil kajian mendapati terdapat pelbagai
prospek dan cabaran yang perlu dihadapi oleh pendakwah masa kini seperti menyiapkan diri
mereka dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam teknologi maklumat, menyekat
kemunculan ustaz dan ustazah ‘maggi’, kebanjiran maklumat berkaitan isu-isu agama dan
sebagainya. Kajian ini diharapkan berupaya dijadikan sebagai aspirasi kepada pendakwah
masa kini sebagai persediaan awal sebelum mereka terjun ke bidang dakwah menerusi media
kontemporari.
Katakunci: Prospek dakwah, media kontemporari, dakwah media, cabaran dakwah,
implementasi dakwah
1. Pengenalan
Kemajuan ilmu pengetahuan dan teknologi moden telah menyebabkan banyak perubahan
yang berlaku dalam kehidupan manusia pada hari ini sama ada dari segi ekonomi, pendidikan,
pentadbiran, komunikasi dan sebagainya. Perubahan-perubahan yang berlaku seiring dengan
peredaran zaman sekaligus mempengaruhi corak kehidupan sosial manusia serta
menimbulkan banyak isu yang perlu ditangani. Bidang dakwah juga tidak ketinggalan
mengalami perubahan sama ada dari segi peranannya medium dakwah yang digunakan.
Penggunaan internet yang meluas dengan kehebatan dan kecanggihan teknologi semasa
5th International Conference on Teacher Learning and Development (ICTLD) 2021
03 - 05 August 2021
409
Proceedings ICTLD2021/e-ISBN 978-967-25529
seperti telefon pintar, komputer dan televisyen menyebabkan pendekatan dakwah pada era
sebelum adanya internet tidak lagi relevan pada zaman sekarang. Oleh itu, pendakwah pada
masa kini perlu lebih kreatif dan menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku supaya
dakwah terus boleh disampaikan dan diterima dengan mudah.
Di Malaysia, media massa dan kontemporari ini memainkan peranan penting sebagai agen
transformasi dakwah dan telah digunakan sebagai bahan rujukan dan pembelajaran agama
oleh masyarakat dengan keupayaannya menyediakan pelbagai maklumat mengenai Islam.
Dalam kalangan sarjana Islam, terdapat kegusaran mengenai fenomena dakwah melalui
media tersebut. Banyak persoalan mula timbul akibat penggunaan media ini sebagai medium
pembelajaran agama. Ia bukan sahaja diguna atau diakses untuk tujuan kebaikan bahkan
kandungan maklumatnya juga berbaur dengan pelbagai keburukan di dalamnya termasuklah
isu-isu berkaitan agama seperti propaganda agama, liberalisasi agama dan isu-isu agama yang
lain. Walaupun media seumpama ini diperakui menyenangkan pengguna dan boleh dijadikan
medium untuk berdakwah, namun cabaran besar terhadapnya sentiasa menanti pengguna.
Matlamat dan fungsi penggunaan media ini terletak sepenuhnya di tangan manusia sendiri
sama ada untuk tujuan kebaikan atau jalan kebatilan.
Dewasa ini, pelaksanaan dakwah perlu melalui transformasi dari sudut metode, mesej dan
manhajnya mengikut tuntutan perkembangan teknologi maklumat. Kegiatan dakwah bukan
lagi terhad dilakukan menerusi medium masjid seperti khutbah, ceramah dan tazkirah di
televisyen dan radio atau melalui dakwah berbentuk tulisan seperti buku-buku agama dan
majalah, malahan ia kini dilakukan dalam skop yang lebih peribadi tetapi meluas iaitu
menerusi internet dan aplikasi-aplikasi dalam media sosial. Lantaran itu, kajian ini dijalankan
bertujuan untuk melihat prospek dan cabaran implementasi dakwah dalam media
kontemporari sebagai panduan dan kayu ukur kepada pendakwah. Kemahiran dalam
menggunakan aplikasi media massa serta tahap pengetahuan ilmu agama perlulah
dipertingkatkan lagi bagi mengakis segala bentuk tanggapan negatif yang dilontarkan oleh
golongan penyelewengan agama terhadap pendakwah.
2. Metodologi Kajian
Kajian ini dijalankan dengan menggunakan kaedah analisis dokumen berkaitan dengan
implementasi dakwah menerusi media kontemporari. Kajian terhadap artikel-artikel jurnal
buku, akhbar dan media massa dilakukan bagi mendapatkan prospek dan cabaran yang dilihat
dapat membantutkan usaha dakwah Islamiah. Kajian ini perlu dilaksanakan bagi melahirkan
pendakwah yang mampu dijadikan sebagai contoh dan sumber rujukan oleh masyarakat akan
datang. Dapatan kajian ini disorot bagi memudahkan para pendakwah merealisasikan
tuntutan dakwah di era globalisasi ini.
3. Perbincangan Prospek dan Cabaran Dakwah dalam Media Kontemporari
Sebagaimana yang kita maklum bahawa internet merupakan satu media baharu yang
mempunyai kuasa besar dalam menyampaikan mesej pada abad milenium ini. Penguasaannya
dalam menyebarkan mesej dapat merentasi sempadan masa dan tempat dengan cepat dan
pantas tanpa menilai kandungan mesej yang disampaikan. Internet adalah ungkapan umum
dalam dunia komunikasi dan maklumat kini (Fazli Adam et.al., 2015) yang sentiasa menjadi
buah mulut masyarakat seharian. Dunia hari ini telah berubah wajah dari bentuk fizikal
kepada bentuk maya dengan kehadiran rangkaian jaringan telekomunikasi.
Dewasa ini, media kontemporari telah dijadikan sebagai medium utama dalam
menyampaikan propaganda agama terutamanya oleh orang Barat (Campbell, 2006). Mereka
5th International Conference on Teacher Learning and Development (ICTLD) 2021
03 - 05 August 2021
410
Proceedings ICTLD2021/e-ISBN 978-967-25529
menggunakan media massa sebagai agen dalam menyebarkan agama kepada seluruh
masyarakat. Menurut Umar Halim dan Samsudin A. Rahim (2010), di Malaysia media
kontemporari turut dijadikan sebagai agen transformasi dakwah serta bahan rujukan dan
pembelajaran agama oleh masyarakat. Oleh itu, sebagai seorang pendakwah, tanggungjawab
memastikan mesej dan matlamat berkaitan agama perlu ditekankan agar masyarakat Islam
tidak mudah menerima maklumat-maklumat yang salah berkaitan dengan agama Islam,
seterusnya mengamalkan ajaran syariat yang tepat mengikut al-Quran dan al-Sunnah.
Menurut Saifulazry Mokhtar, et. al. (2021b), dakwah mempunyai pelbagai bentuk dan wajah
sama ada secara terang ataupun sulit, secara keras dan kasar ataupun secara lemah lembut,
secara sindirian, kiasan, ‘street to point’ dan sebagainya berpaksikan kepada kehendak dan
keupayaan seseorang pendakwah. Para pendakwah seharusnya membuat penilaian dan
analisis terhadap cabaran dakwah sebelum menjalankan aktiviti dakwah kerana kejayaan
sesuatu aktiviti dakwah itu bergantung kepada keberkesanan kaedah dan metode dakwah
yang digunakan.
3.1 Prospek Dakwah dalam Media Kontemporari
Hasil kajian ini mendapati terdapat dua bentuk prospek dakwah dalam media kontemporari
iaitu prospek dari sudut golongan sasaran dakwah dan propsek dari mempertahankan
kebenaran agama Islam.
3.1.1 Prospek dari segi golongan sasaran dakwah
Menurut Nor Aslamiah Ali (2012), pada tahun 2011 terdapat seramai 11,221,040 orang
pengguna internet di Malaysia yang telah mendaftar akaun facebook di laman sosial. Jumlah
ini akan terus bertambah dari masa ke semasa ekoran daripada peningkatan langganan talian
tetap dan perkhidmatan telefon 3G, 4G dan 5G. Berdasarkan maklumat ini, implementasi
dakwah melalui media maya sangat cerah untuk dibaca, di dengar atau dilihat oleh sasaran
dakwah dalam angka yang sangat besar. Maka pendakwah yang menggunakan media maya
sebagai medium bagi penyebaran dakwah mereka berpeluang untuk menembusi sejumlah
besar sasaran dakwah. Prospek sasaran dakwah dalam angka yang besar ini tidak mungkin
akan dapat dicapai dengan menggunakan media tradisional, cetak mahupun televisyen.
Walhal, kita sedia maklum bahawa media maya ini juga berupaya melangkaui sempadan
geografi dan berpotensi merentas seluruh pelosok dunia. Ini bermaksud bukan sahaja
pengguna internet di Malaysia yang menjadi prospek sasaran dakwah para dai, tetapi juga
pengguna internet antarabangsa.
3.1.2 Prospek dari segi mempertahankan kebenaran agama Islam
Apabila membicarakan berkaitan dakwah, kita seringkali membayangkan proses
implementasi dakwah secara tradisional di mana seseorang pendakwah akan menyampaikan
dakwahnya kepada golongan sasaran dakwah semata-mata. Ini bermaksud model komunikasi
dakwah meliputi dua dominan utama iaitu pendakwah (dai) dan golongan penerima dakwah
(mad’u). Kedua-dua dominan ini sebenarnya memainkan peranan penting dalam penyebaran
sesuatu maklumat khususnya berkaitan dengan agama Islam. Kita sering melihat maklumat-
maklumat tentang agama yang sebenarnya tidak tepat disebarkan melalui media maya.
Contohnya, hadis-hadis palsu dan ayat-ayat al-Quran Israiliyyat dan rencana-rencana
songsang berkenaan persoalan pokok agama. Ia mudah disebarkan oleh sesiapa sahaja
termasuklah musuh-musuh Islam dimana mereka bertopengkan seorang pendakwah. Hal ini
sebenarnya menyediakan satu lagi prospek sasaran dakwah yang besar bagi pendakwah bagi
mempertahankan risalah Islam.
5th International Conference on Teacher Learning and Development (ICTLD) 2021
03 - 05 August 2021
411
Proceedings ICTLD2021/e-ISBN 978-967-25529
Jika sebelum ini, pendakwah menyebarkan dakwahnya melalui akaun laman sosialnya sendiri
sama ada menerusi akaun facebook, instagram, twitter, blog bagi menghadapi prospek
sasaran dakwah. Namun setelah itu para pendakwah perlu lebih proaktif dan agresif. Ini
bermakna pendekatan pendakwah bukan semata-mata untuk mentarbiah netizen yang
membaca blog atau laman sosialnya, tetapi lebih kepada memburu pendakwah-pendakwah
yang menyebarkan maklumat-maklumat palsu tentang agama Islam dan menjadikan mereka
sebagai sasaran dakwah. Memperbetulkan maklumat-maklumat mereka yang palsu itu juga
termasuk dalam dakwah ke jalan kebenaran. Inisiatif ini tidak sukar untuk dilakukan
memandangkan laman sesawang atau blog golongan pendakwah palsu ini mudah untuk
diakses oleh sesiapa sahaja. Sebagai contoh, ketika Kassim Ahmad memuatnaik rencananya
yang bertajuk ‘Satu atau Dua Syahadah?’ di dalam blognya kassimahmad.blogspot.my pada
11 Julai 2017. Pendakwah yang benar seharusnya membidas tulisan beliau di ruangan komen
yang tersedia bagi memperbetulkan persepsi beliau yang menyimpang dari landasan agama
yang sebenar.
3.2 Cabaran Dakwah dalam Media Kontemporari
Dari sudut cabaran dakwah dan media kontemporari, pengkaji telah menemui beberapa
bentuk cabaran dakwah yang perlu diberi perhatian oleh para pendakwah masa kini.
Kegagalan pendakwah untuk menguasai dan memahami cabaran dakwah dalam media
kontemporari ini akan menjejaskan implementasi dakwah yang mereka laksanakan. Analisis
cabaran dakwah dalam media kontemporari adalah seperti berikut;
3.2.1 Cabaran persediaan ilmu agama
Sebagai seorang pendakwah yang ingin menyebarkan risalah agama dan jalan kebenaran
kepada masyarakat, semestinya dai memperlengkapkan diri dengan ilmu pengajian Islam.
Kalau dulu dakwah melalui media tradisional, media cetak dan media elektronik lebih kepada
pendekatan secara sehala di mana pendakwah tidak perlu untuk berinteraksi dengan sasaran
dakwah, kini melalui media maya komunikasi di antara dai dan mad’u adalah secara
interaktif. Apa yang disampaikan oleh dai melalui laman sosial atau blognya boleh dikomen
atau dipersoalkan oleh mad’u dengan menulis di ruangan komen atau ‘post’. Maka dai
haruslah mempersiapkan diri berbekalkan sumber al-Quran dan hadis untuk memberi respon
yang sahih dan benar kepada komen-komen mad’u. Kesilapan dalam memberi respon
mungkin akan mengurangkan keyakinan mad’u terhadap kebijaksanaan dai.
Selain dari itu, dai juga perlu melengkapkan diri dengan jawapan-jawapan yang menepati
syariat Islam bagi isu-isu semasa yang sedang melanda masayarakat sasaran dakwahnya.
Setidaknya, dai perlu menganggapkan yang pada bila-bila masa persoalan isu semasa
mungkin akan diajukan padanya. Sebagai contoh, dalam blog Ustaz Zaharuddin Abd Rahman
di laman zaharuddin.blogspot.my, ketika beliau memuat naik rencananya yang bertajuk ‘Isu
Sumpah Laknat dan Perlukah dibalas Sumpah?’ pada 1 Mei 2011 di mana Ustaz Zaharuddin
telah ditanya beberapa soalan oleh beberapa pembaca blognya. Penulis tidak melihat apa-apa
jawapan daripada Ustaz Zaharuddin kepada soalan-soalan tersebut, namun ia
berkemungkinan penulis telah menjawab persoalan tersebut secara terus ke akaun peribadi
individu tersebut.
3.2.2 Cabaran ke atas dai
Menurut Ketua Pengarah JAKIM, Othman Mustapha ketika ditermuramah oleh wartawan
Utusan, beliau berpendapat bahawa para agamawan di Malaysia perlu untuk mempelajari ICT.
Ini kerana masyarakat sekarang terutamanya remaja memang menjadikan ICT sebagai salah
5th International Conference on Teacher Learning and Development (ICTLD) 2021
03 - 05 August 2021
412
Proceedings ICTLD2021/e-ISBN 978-967-25529
satu cara mereka untuk berhubung dan boleh dikatakan ICT sudah menjadi sebahagian
keperluan dalam hidup (Earnie Elmie, 2014).
ICT merupakan satu sarana yang tersedia ada dan mudah untuk didapati oleh sesiapapun.
Adalah menjadi satu kerugian yang besar jika para dai tidak mengeksploitasikan sarana ini
untuk kegunaan yang lebih mulia iaitu berdakwah ke jalan Allah SWT. Walhal, para musuh
Islam dengan mudahnya menggunakan ICT untuk menghina dan memburuk-burukkan Islam
di mata masyarakat dunia. Oleh itu, demi untuk bersaing dengan mereka, para dai juga
haruslah menggunakan medium yang sama agar tidak ketinggalan oleh musuh-musuh Islam.
Demi untuk mencapai tujuan ini, para dai haruslah memiliki blog, akaun facebook, twitter,
instagram, telegram dan sebagainya. Untuk memiliki kesemua prasarana tersebut para dai
haruslah tahu bagaimana untuk mengendalikan komputer, telefon pintar dan juga internet.
Sebagai contoh, akaun Facebook Zaharuddin.net yang dimiliki oleh Ustaz Zaharuddin Abd.
Rahman dan juga akaun Facebook Ustaz Don Daniyal Don Biyajid yang dikendalikan sendiri
oleh kedua-dua pendakwah ini.
Para dai juga harus mempunyai pengetahuan tentang bagaimana cara untuk menarik
perhatian golongan remaja yang sememangnya sukar untuk dicuri perhatian mereka ke arah
keagamaan. Sebagai contoh penggunaan blog untuk berdakwah. Internet menyediakan
pelbagai kemudahan guna untuk memperindahkan atau menjadikan paparan blog kelihatan
menyelerakan di mata pelayar internet. Cara tarikan visual ini sedikit sebanyak akan
mempengaruhi golongan remaja untuk singgah dan membaca mesej dakwah yang hendak
disampaikan. Seseorang pendakwah perlu menggunakan isi dakwah yang menarik dan cara
penyampaian yang berhikmah kerana pendekatan yang digunakan oleh seseorang pendakwah
merupakan perkara penting dalam dunia pendakwahan supaya apa yang disampaikan dapat
diterima baik oleh golongan sasaran dakwah. Berdakwah secara berhikmah mempunyai
kekuatan tersendiri yang boleh mempengaruhi sasaran dakwah dan ia akan menjadi kayu
ukur kejayaan sesuatu dakwah yang dijalankan. Berdakwah juga bukan hanya terhad kepada
golongan lelaki sahaja tetapi juga boleh dilaksanakan oleh golongan wanita.
3.2.3 Kualiti mesej yang disampaikan
Menyebarkan risalah Islam adalah satu tuntutan dalam agama. Penyebaran tersebut tidak
tertumpu kepada satu-satu medium bahkan ia lebih bersifat terbuka dengan melihat kepada
keadaan dan situasi penerima dakwah. Jika dilihat dalam kancah kehidupan hari ini,
penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) adalah lebih mendominasi kehidupan
manusia. Ini bermaksud, manusia sangat bergantung kepada ICT dalam kehidupan mereka
sehingga mengubah realiti kehidupan mereka sebelum ini. Fenomena ini sebenarnya
memberikan satu gambaran yang positif dalam perkembangan dakwah Islam sekiranya ia
menepati citarasa penerima dakwah. Oleh itu, pendakwah seharusnya menitikberatkan kualiti
mesej dakwah yang mereka sampaikan dan bukan hanya bangga dengan kemahiran ICT yang
mereka kuasai. Menurut Noor Azaian, Mohd Yusof Abdullah dan Mohd Azul (2017),
kecanggihan dan kepesatan teknologi bukanlah menjamin sesuatu mesej dan maklumat
dakwah itu boleh difahami oleh manusia dengan baik tetapi ia terletak pada mutu kandungan
serta kaedah penyampaian yang menarik dan berkesan sehingga membolehkan mesej, ilmu
dan maklumat tersebut masuk ke dalam jiwa mereka.
Pada hakikatnya, naluri dan kehendak seseorang insan itu sentiasa berubah-ubah dan mudah
terpengaruh dengan keadaan sekeliling. Faktor ini sebenarnya membuka ruang kepada
masyarakat untuk mudah menerima dan terpedaya dengan tribulasi yang terpancar di media
sosial. Masyarakat yang kurang arif dengan persoalan agama akan mengambil mesej yang
5th International Conference on Teacher Learning and Development (ICTLD) 2021
03 - 05 August 2021
413
Proceedings ICTLD2021/e-ISBN 978-967-25529
diperolehi dari media sosial bulat-bulat tanpa meneliti kesahihan mesej tersebut terlebih
dahulu. Hal ini sebenarnya memberi peluang kepada para pendakwah untuk menggunakan
media sosial sebagai platfom bagi mendedahkan kebenaran. Pendakwah semestinya perlu
kreatif dalam menarik perhatian masyarakat supaya bukan sahaja membaca dan memahami
apa yang disampaikan tetapi juga yakin dengannya. Dalam halaman facebook misalnya,
pendakwah boleh memaparkan ilmu dalam bentuk tulisan dan juga boleh menggunakan live
video supaya masyarakat dapat berinteraksi dengan pendakwah secara langsung dan
menjawab segala bentuk kekeliruan. Ini dapat membantu meningkatkan keyakinan
masyarakat dalam menerima mesej yang disampaikan kerana masyarakat melihat sendiri
pendakwah sebenar disebalik nama pemegang akaun facebook tersebut. Secara tidak
langsung ia meningkatkan integriti pendakwah terbabit.
3.2.4 Lambakan dan penyalahgunaan maklumat
Dasar globalisasi dalam penggunaan internet telah mengakibatkan berlakunya lambakan dan
penyalahgunaan internet dalam kalangan masyarakat hari ini. Sesiapa sahaja boleh
memuatnaik bahan, artikel dan maklumat berkaitan dengan agama untuk dikongsikan kepada
ahli keluarga, sahabat, rakan sekerja dan masyarakat umum tanpa ada sebarang tapisan.
Kebebasan ini telah memberi ruang dan peluang kepada pihak-pihak yang berniat jahat untuk
berkongsikan sesuatu fakta yang tidak benar ataupun menyalahgunakan maklumat yang
diperolehi tanpa dirujuk kebenarannya terlebih dahulu. Pada hakikatnya, hal ini telah
bertentangan dengan kehendak dan saranan Islam kerana Islam sangat menitikberatkan
integriti dalam penyebaran maklumat. Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 6 yang
berbunyi :
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jika seseorang yang fasik datang kepadamu
membawa suatu berita, maka telitilah kebenarannya, agar kamu tidak
mencelakakan suatu kaum kerana kebodohan, yang akhirnya kamu menyesali
perbuatanmu itu.
Untuk menangani isu ini, selari dengan saranan al-Quran dalam ayat 6 surah al-Hujurat,
pengguna boleh menerima maklumat yang disampaikan melalui media maya dengan cara
melakukan perbandingan maklumat yang diterima dengan merujuk kepada al-Quran, al-Hadis
atau kitab-kitab sahih bagi memastikan maklumat tersebut benar atau tidak. Sebagai contoh,
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ada menyediakan ruang di dalam laman
sesawangnya yang membolehkan masyarakat Malaysia khasnya membuat rujukan mengenai
kesahihan sesebuah hadis. Langkah ini adalah sangat bertepatan dan sesuai dengan tuntutan
semasa dalam menangani isu lambakan hadis-hadis palsu yang dikongsi secara berleluasa di
media kontemporari seperti whatsapp dan facebook. Langkah ini juga bersesuaian dengan
ajaran Islam kerana memastikan sesuatu maklumat itu sahih dan tepat sangat dituntut bagi
mengelakkan kecelaruan dalam masyarakat serta mengelakkan daripada berlakunya
penyebaran maklumat palsu. Justeru, cabaran mengenai lambakan maklumat palsu
terutamanya, tidak seharusnya dijadikan penghalang dalam menyampaikan dakwah. Ia adalah
peluang yang baik untuk pendakwah menegakkan kebenaran yang secara tidak langsung akan
menarik perhatian yang bukan Islam untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang agama
Islam.
Menurut Mohd Sani (2009), penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi dengan cara
yang salah akan memberikan pemahaman yang salah kepada pembaca sehingga
5th International Conference on Teacher Learning and Development (ICTLD) 2021
03 - 05 August 2021
414
Proceedings ICTLD2021/e-ISBN 978-967-25529
menimbulkan kekeliruan dalam memahami kehendak agama yang sebenar. Kebanjiran dan
lambakan maklumat ketika ini merupakan di antara cabaran yang besar dalam dakwah
melalui media kontemporari kerana pendakwah hendaklah menyebarkan maklumat dan
membuat penjelasan berdasarkan maklumat yang sahih sahaja supaya tujuan dakwah yang
sebenar dapat disampaikan. Penjelasan-penjelasan yang berbeza hanya akan mengelirukan
masyarakat Islam dan akhirnya akan mewujudkan kumpulan-kumpulan yang ekstrim atau
sebaliknya. Terdapat maklumat dan berita yang bukan sahaja ‘separuh masak’, malah palsu
sama sekali secara sengaja disebarkan bagi tujuan menenggelamkan berita sahih dan
mengelirukan pembaca (Berita Harian Online, 1 Disember 2018). Melalui kaedah ini, musuh-
musuh Islam boleh menyerang akidah orang Islam dan seterusnya melemahkan kekuatan
umat Islam dari dalam secara tidak disedari.
Dari sudut kebanjiran maklumat dan risalah berkaitan dengan agama atas talian pula,
pengguna seharusnya terlebih dahulu merujuk kepada ciri-ciri kredibiliti maklumat tersebut
sebelum dikongsikan kepada orang lain. Dalam memastikan kredibiliti maklumat tersebut,
terdapat beberapa garis panduan yang boleg dilihat dan diperhatikan terhadap penulisan-
penulisan yang dikongsikan. Menurut Mohd Sobhi et. al. (2011) berpendapat, antara asas
kredibiliti dalam sesebuah penulisan adalah berteraskan kepada kejujuran, kandungan
penulisannya bersifat menyeluruh, mengutamakan aspek akhlak, rujukan dari kitab-kitab
yang muktabar, kandungan penulisan yang memberi maklumat dan nasihat yang baik kepada
pembaca. Menurut Saifulazry Mokhtar, Kasoma Thia dan Habibah Artini Ramlie (2019), cara
untuk memberikan galakan dan nasihat dalam Islam ialah mengajak manusia supaya patuh
kepada perintah Allah SWT kerana Allah telah mengurniakan rahmat serta nikmat dan Allah
memberi segala sesuatu. Hal ini dapat memastikan kebanjiran maklumat berunsurkan
kebaikan adalah sesuatu yang positif berbanding lambakan maklumat yang tidak pasti asal
usulnya.
3.2.5 Kemunculan ustaz dan ustazah maggi
Istilah ini sebenarnya tular dalam kalangan pengguna laman sosial dan merujuk kepada
golongan yang tidak mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi ataupun mencukupi tetapi
mereka menyampaikan ajaran tentang pengalaman mereka selepas berhijrah. Ia timbul kesan
daripada perkongsian ilmu, pengalaman serta pendapat mengenai sesuatu perkara yang
dilakukan sama ada oleh orang lain ataupun diri sendiri. Fenomena ini mendapat perhatian
daripada pelbagai pihak termasuklah pihak kerajaan. Ia juga turut menjadi isu perbahasan
semasa Perhimpunan Agung UMNO pada tahun 2014. Dari satu sudut, keadaan ini
menunjukkan bahawa masyarakat Islam di Malaysia sudah berubah dari sudut kesedaran
mereka tentang hukum agama dan juga peningkatan dari segi ilmu pengetahuan tentang
agama. Ia juga membuktikan keterbukaan masyarakat untuk membincangkan sesuatu isu.
Walau bagaimanapun, dalam masa yang sama fenomena ini mendatangkan keburukan kesan
pemahaman ajaran Islam yang tidak benar seperti pendapat yang mungkin dikongsikan oleh
golongan liberalisme dan pluralisme. Menurut Zulkifli Mohamad al-Bakri (2017), pernah
mengatakan bahawa semua orang boleh memberikan pendapat tetapi faktanya mestilah tepat
dan mendapat pengesahan daripada pihak berkaitan seperti Majlis Fatwa Kebangsaan. Beliau
selanjutnya menyatakan bahawa kewujudan fenomena ustaz dan ustazah segera perlu
dipantau dan ditangani bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam (Harian
Metro, 23 Januari 2017). Dakwah adalah tanggungjawab masyarakat Islam secara
keseluruhannya. Justeru, dalam menangani isu ini, kita seharusnya menanam niat yang baik
dalam diri untuk saling ingat memperingati antara satu sama lain bagi melahirkan umat Islam
yang harmoni. Bagi pendakwah, media sosial boleh digunakan untuk mereka menjelaskan
5th International Conference on Teacher Learning and Development (ICTLD) 2021
03 - 05 August 2021
415
Proceedings ICTLD2021/e-ISBN 978-967-25529
kedudukan sesuatu hukum dan sebagainya. Oleh itu, walaupun fenomena ini satu ancaman,
namun jika pendekatan yang diambil untuk menegahnya dapat dilakukan dengan baik dan
berkesan, ia akan memberi kebaikan kepada umat Islam sendiri dengan melahirkan lebih
ramai golongan yang berilmu pengetahuan tinggi dalam Agama. Menurut Saifulazry Mokhtar,
et. al. (2021a), seorang pendakwah yang baik apabila bertutur, maka bertuturlah berkenaan
perkara yang baik dan jangan sekali-kali bersikap hipokrit kerana sebaik-baik mad’u tahu
seseorang pendakwah itu cuma berpura-pura sampai bila-bila sukar baginya menerima apa
yang pendakwah itu sampaikan.
3.2.6 Biografi pendidikan pembaca yang berbeza
Malaysia adalah sebuah negara majmuk yang mempunyai masyarakat yang pelbagai etnik.
Kepelbagaian etnik ini sudah pasti menggambarkan terdapat pelbagai adat, budaya pegangan,
kepercayaan yang berbeza. Perbezaan ini berlaku kerana biografi masyarakat dalam
pendidikan serta tahap amalan dan kepercayaan yang mereka miliki. Status pendidikan dalam
kalangan masyarakat juga menjadi satu indikator dalam menilai tahap kefahaman mereka
dalam sesuatu perkara. Jika sekiranya tahap pendidikan dan pengetahuan mereka rendah,
sudah pasti mereka akan menerima sesuatu maklumat atau fakta dengan mudah tanpa ada
sebarang keraguan. Namun bagi mereka yang ada pengetahuan asas berkaitan agama, mereka
pasti akan menilai, mempertimbangkan serta menganalisis maklumat yang disampaikan
melalui media kontemporari berdasarkan ilmu agama yang dimiliki. Hal ini akan
menyelamatkan mereka daripada mengamalkan ilmu yang salah serta penyelewengan dalam
ajaran Islam.
Menurut Zulkiple Abd. Ghani (2002), pengguna media kontemporari yang tidak mempunyai
kemahiran dan asas pengetahuan yang mencukupi berkaitan dengan syariat Islam, mereka
mungkin akan menghadapi masalah dalam menentukan kesahihan sumber maklumat yang
mereka perolehi. Sebagai contoh terdapat satu laman web yang dibangunkan oleh para
pendukung ajaran Qadiani dimana beliau telah memuat naik maklumat berkaitan dengan
ajaran Islam. Walaupun maklumat berkaitan Islam tersebut tidak bercanggah dengan Islam
tetapi maklumat dan pengakuan yang mengatakan Mirza Ghulam Ahmad sebagai Imam
Mahdi itu tidak diterima oleh jumhur ulama (Zulkiple Abd. Ghani, 2010). Umat Islam
seumpama ini mudah terpengaruh dengan dakyah dan konsep jihad yang dilaungkan oleh
pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab tanpa melihat konteks ajaran Islam yang
sebenarnya dan asas yang mewajibkan jihad.
Oleh yang demikian, pendedahan mengenai kesalahfahaman dan maklumat yang tidak betul
harus berterusan dibuat oleh para pendakwah melalui media kontemporari. Para pendakwah
perlu memberikan penekanan sumber yang sahih dalam setiap maklumat yang disampaikan
kepada masyarakat bagi mengelakkan dari berlakunya kecelaruan dalam memahami agama.
Para pendakwah juga perlu memikirkan inisiatif-inisiatif yang terbaik dalam menangani isu
ini bagi mengelakkan masyarakat Islam akan datang tersasar terus dengan kehendak Islam
yang sebenar. Inisiatif yang dibuat oleh para pendakwah di United Kongdom misalnya,
mereka telah mengeluarkan senarai panduan dan buku yang memuatnaik nama-nama laman
web yang boleh dijadikan rujukan orang Islam agar mereka tidak tersalah dalam menerima
dan mengamalkan ajaran Islam.
3.2.7 Penyediaan kandungan dakwah yang tidak berstruktur
Selain itu, di antara cabaran yang nyata dalam dakwah melalui media kontemporari ini ialah
penyediaan kandungan maklumat dakwah yang tidak berstruktur. Apabila dilihat dan diteliti
secara mendalam, tidak terdapat laman web yang menyediakan pembelajaran tentang Islam
5th International Conference on Teacher Learning and Development (ICTLD) 2021
03 - 05 August 2021
416
Proceedings ICTLD2021/e-ISBN 978-967-25529
secara keseluruhan. Oleh itu, para pembaca tidak dapat membuat rujukan secara menyeluruh
atau mutlak pada media kontemporari. Para pembaca terdedah kepada pendapat-pendapat
yang berlainan daripada pendakwah yang berlainan. Oleh itu kerajaan perlu bijak
menyediakan infrastruktur berkaitan dengan dakwah dalam media kontemporari agar mesej
dakwah dapat disampaikan kepada kumpulan sasaran dengan lebih tepat. Dalam usaha ini,
keupayaan pembaca hendaklah diambil kira agar maklumat yang disampaikan benar-benar
difahami dalam konteks yang betul. Rasulullah SAW bersabda maksudnya:“Apabila kamu
bercakap kepada manusia, hendaklah kamu mengukur kadar keupayaan akan mereka”.
(Hadis Riwayat Muslim)
3.2.8 Keperluan pendakwah untuk melengkapkan diri dengan ilmu teknologi
komunikasi
Perkembangan dalam dakwah melalui media kontemporari atau medium teknologi maklumat
telah membawa kepada pengenalan istilah Tekno Dai. Sejak tahun 1990-an lagi, Institut
Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) telah mengadakan beberapa seminar dan bengkel kepada
masyarakat untuk memahami kepentingan tekno dai dalam kehidupan. Dalam mengharungi
dunia globalisasi kini, para pendakwah perlu melakukan satu transformasi dalam kaedah
menyampaikan dakwah seiring dengan tuntutan semasa. Para pendakwah perlu
melengkapkan diri mereka dengan ilmu dan kemahiran teknologi maklumat agar pelaksanaan
dakwah yang dijalankan dapat diterima oleh masyarakat.
Selain itu, para pendakwah juga perlu kreatif dan inovatif dalam mempelbagaikan pendekatan
dakwah supaya dakwah yang disampaikan menerusi media kontemporari lebih interaktif dan
menarik bagi mewujudkan dakwah yang berkesan. Menurut Zulkiple Abd. Ghani (2001),
tahap profesionalisme dalam berdakwah perlu dilihat secara menyeluruh dan bukan hanya
tertumpu ke atas mauduk yang disampaikan kepada mad’u, tetapi juga dalam konteks Minhaj
nya. Ini membuktikan bahawa, para pendakwah perlu mempunyai kemahiran yang
maksimum dalam ICT bagi mengharungi ledakan kemajuan teknologi komunikasi yang lebih
mencabar.
Bagi mendepani tuntutan dakwah, para ulama di Malaysia menggalakkan penggunaan
medium media kontemporari untuk tujuan berdakwah yang lebih efisien. Terdapat beberapa
figura ulama yang aktif sering membawa bersama mereka komputer riba untuk membuat
rujukan segera. Tokoh Maal Hijrah Negara iaitu Ustaz Muhammad Uthman al-Muhammadi
adalah di antara salah seorang ulama yang sentiasa dilihat bersama komputer riba beliau
(Zulkiple Abd Ghani, 2010). Kerajaan dan beberapa badan lain juga turut memainkan
peranan penting dalam meningkatkan penguasaan teknologi komunikasi ini. IKIM telah
menerbitkan sekurang-kurangnya tiga buah buku berkenaan teknologi maklumat dan
komunikasi hasil seminar yang telah diadakan iaitu Cabaran Teknologi Maklumat: Agenda
Umat Islam (1998); Multimedia dan Islam (1999) dan Memahami Islam Melalui Teknologi
Komunikasi Maklumat (2001).
4. Kesimpulan
Kewujudan media kontemporari memberikan banyak kemudahan dan pilihan kepada
pendakwah dalam menyebarkan Islam, namun dalam masa yang sama ia mewujudkan
bermacam-macam masalah dalam kalangan masyarakat. Salah satu isu yang perlu ditangani
ialah dari sudut kebanjiran maklumat yang dikongsikan secara berleluasa. Dalam hal ini,
penulis berpendapat, perkongsian maklumat tanpa batasan melalui media sosial menjadikan
kemasukan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti pluralisme dan
5th International Conference on Teacher Learning and Development (ICTLD) 2021
03 - 05 August 2021
417
Proceedings ICTLD2021/e-ISBN 978-967-25529
ajaran sesat semakin mudah. Ia adalah satu ancaman yang besar kepada masyarakat Islam
khususnya kepada golongan remaja dan mereka yang lemah ilmu agama. Peranan dan
kepentingan media sama ada media tradisional ataupun kontemporari tidak dinafikan menjadi
pemangkin kepada perkembangan ilmu dan institusi dakwah. Namun, dalam menghadapi era
kemajuan globalisasi, pihak-pihak yang berkenaan seperti JAKIM perlu bertindak secara
aktif untuk mencegah segala bentuk kemungkaran yang mungkin berlaku kesan daripada
penggunaan media sebagai medan perkongsian dan mendapatkan maklumat. Undang-undang
sedia ada hendaklah dikuatkuasakan sepenuhnya. Contohnya bagi kesalahan menyebarkan
pernyataan yang tidak benar atau menghina agama Islam sama ada secara lisan ataupun
bertulis, ia boleh didakwa dibawah Seksyen 7 dan 8 Akta Kesalahan Jenayah Syariah
(Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997. Penulis yakin dengan adanya penguatkuassan,
penggunaan media kontemporari sebagai medan untuk berdakwah akan lebih diyakini,
selamat dan berkesan.
Rujukan
Al-Quran al-Karim.
Aminudin. (2018). Facebook Sebagai Media Dakwah. Ejournal.Iainkendari.Ac.Id/Al-
Munzir/Article/Download/796/726.
BH Online, 1 Disember 2018. Berita palsu dan penyelesaian undang-undang
https://www.bharian.com.my/kolumnis/2018/12/503996/berita-palsu-dan-penyelesaian-
undang-undang. Tarikh Capaian 9 Jun 2021.
Campbell, H. (2006). Religion and the internet. A Quarterly Review of Communication
Research. 1(25). 1-43.
Earnie Elmie Hilmi. (2014). Peranan Tekno Dai dalam Berdakwah di Era Teknologi
Maklumat dan Komunikasi (ICT). Seminar Antarabangsa Dakwah dan Etnik 2014,
Pusat Kajian Dakwah Orang Asli dan Pribumi, UKM, Bangi, Selangor.
Fadil Ibnu Ahmad, (2014). Dakwah Online: Asyiknya Meraup Pahala di Dunia Maya,
Indonesia:PT Mizan Pustaka.
Fazdli Adam, Marhana Anuar, dan Ab. Hamid Ali. (2014). The Use of Blog as A Medium of
Islamic Da’wah in Malaysia. International Journal of Sustainable Human Development.
2(2):74-80.
Fazli Adam, Ab Hamid Ali, Marhana Mohamed Anuar dan Engku Muhammad Tajuddun
Engku Ali. (2015). Cabaran Media Baru sebagai Medium Pembelajaran Agama dan
Penyelesaiannya dari Perspektif Islam. Jurnal Islam dan Masyarakat Kontemporari. Bil.
9.
Zulkifli Mohamad al-Bakri. (2017). Harian Metro. 23 Januari 2017.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2017.
Mohd Safar Hasim dan Zulkiple Abd. Ghani. (2015). Komunikasi dan Media dari Perspektif
Islam: Konsep dan Amalan. Selangor: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Mohd Shobi Ishak, Wan Amizah Wan Mahmud, Faridah Ibrahim, Samsudin A. Rahim dan
Normah Mustafa (pnyt). (2011). Kredibiliti Maklumat Sebagai Faktor Anteseden yang
Mempengaruhi Tanggapan Pengguna dalam Model Penerimaan Maklumat Berkaitan
Islam di Internet. Bangi: UKM.
Mohd Zaidi Ismail. (2009). Faham Ilmu dalam Islam: Pengantar kepada Tiga Takrifan
Utama Ilmu. Jurnal Akidah dan Pemikiran Islam (AFKAR). 1: 39-59.
Noor Azaian Abdul Talib, Mohd Yusof Abdullah dan Mohd Azul Mohamad Salleh. (2017).
Cabaran Dakwah Islam di Alam Siber. Journal of Social Sciences and Humanities.
UKM, Bangi.
5th International Conference on Teacher Learning and Development (ICTLD) 2021
03 - 05 August 2021
418
Proceedings ICTLD2021/e-ISBN 978-967-25529
Noor Hisham Md Nawi. (2011). Pengajaran dan Pembelajaran: Penelitian Semula Konsep-
konsep Asas Menurut Perspektif Gagasan Islamisasi Ilmu Moden. Kongres Pengajaran
dan Pembelajaran. Selangor: UKM.
Nor Aslamiah Ali. (2012). Laman Media Sosial: Trend Komunikasi Masa Kini. Pusat
Teknologi Maklumat dan Komunikasi, MKM. dimensi. Jan 2012.
Saifulazry Mokhtar, Kasoma Thia dan Habibah Artini Ramlie. (2019). Pendekatan Dakwah
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) terhadap Banduan di
Penjara Sandakan. Jurnal al-Hikmah. 11(2). ISSN 1985-6822. 68-87.
Saifulazry Mokhtar, Mohd Kamal Mohd Shah, Habibah @ Artini Ramlie, Irma Wani Othman,
Romzi Ationg, Mohd. Sohaimi Esa dan Syamsul Azizul Marinsah. (2021b). Rekayasa
Dakwah KBAT dalam Kalangan Mahasiswa di Universiti Malaysia Sabah menerusi
Kursus Penghayatan Etika dan Peradaban. International Journal of Education,
Psychology and Counselling (IJEPC). Volume 5 Issues 39. (May 2021). 182-197.
Saifulazry Mokhtar, Mohd Nur Hidayat Hasbollah Hajimin, Abang Mohd Razif Abang Muis,
Irma Wani Othman, Mohd Sohaimi Esa, Romzi Ationg dan Siti Aida Lukin@Lokin.
(2021a). Analisis Prinsip-Prinsip Komunikasi Islam dalam Kitab al-Quran.
International Journal of Law, Government and Communication (IJLGC). Volume 6
Issue 23 (April 2021). 140-156.
Siti Rugayah Tibek. (2011). Wanita, Dakwah dan Media, Wanita Islam Isu-isu dan
Pemerkasaan Hak. Shah Alam: Persatuan Ulama Malaysia.
Umar Halim dan Samsudin A. Rahim. (2010). Penglibatan Digital: Akses dan Penggunaan e-
Agama dalam Kalangan Generasi Muda Muslim. Jurnal Komunikasi Malaysia. 27(2):
121-135.
Zulkiple Abd Ghani. (2001). Komunikasi Islam Sebagai Komunikasi Alternatif. Jurnal
Islamiyyat. 22:79-89.
Zulkiple Abd Ghani. (2002). Cabaran Dakwah di Era Siber. Jurnal Usuluddin. 15: 133-142.
Zulkiple Abd Ghani. (2010). Dakwah dalam Era Siber di Malaysia. Nilai: Penerbit Universiti
Sains Islam Malaysia.