Content uploaded by Fatin Majdina
Author content
All content in this area was uploaded by Fatin Majdina on Jun 11, 2019
Content may be subject to copyright.
1
Tipologi interaksi antara agama dan sains: Kajian awal terhadap
pembinaan model interaksi menurut perspektif Islam.
Fatin Nur Majdina Nordin
1
, Siti Patonah Mohamad
2
, Sh. Mohd Saifuddeen Sh. Mohd Salleh
3
.
Program Sains Gunaan dengan Pengajian Islam
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya
50603 Kuala Lumpur.
Abstrak
Kajian interaksi antara agama dan sains adalah satu bidang yang
luas dan kompleks. Agama dan sains adalah dua perkara yang
saling berhubungan dan tidak mungkin untuk dipisahkan,
menyebabkan timbulnya interaksi. Intipati (substance) topik ini
seperti persoalan epistemologi, metafizik, dan etika telah banyak
diperbincangkan oleh ahli falsafah samaada ahli falsafah Islam
mahupun barat. Namun begitu, perbincangan dalam bentuk
model interaksi dari perspektif Islam belum dijumpai. Oleh itu,
kebanyakan masyarakat Islam akan merujuk model interaksi
yang diperkenalkan oleh ahli falsafah barat seperti Ian Barbour.
Beliau telah memperkenalkan empat model interaksi iaitu model
konflik, model pengasingan, model dialog dan model integrasi.
Model tersebut dilihat tidak menyeluruh kerana hanya
melibatkan hubungan manusia dengan manusia (horizontal). Hal
ini kerana, Islam menekankan hubungan tiga dimensi iaitu
hubungan manusia dengan Allah (vertikal) dan hubungan
manusia dengan makhluk (horizontal), meliputi hubungan
manusia dengan manusia dan hubungan manusia dengan alam.
Model interaksi yang Islamik ini dapat menjadi panduan kepada
masyarakat Muslim dalam membincangkan isu ini.
Kata Kunci: model interaksi, hubungan tiga dimensi, perspektif
Islam.
1
Pelajar Sarjana Falsafah (MPhil) dan Tutor (Pengajar) di Program Sains Gunaan dengan Pengajian
Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Tel: 03-79676162. Emel:
fatinmajdina@um.edu.my
2
Pelajar Sarjana Pengajian Islam (MIS) di Program Sains Gunaan dengan Pengajian Islam, Akademi
Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Email:sitipatonah88m@gmail.com
3
PhD, Pakar Perunding di Program Sains Gunaan dengan Pengajian Islam, Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Email:shaikh@um.edu.my
2
1.0 Pengenalan
Bidang kajian interaksi antara agama dan sains ialah satu bidang yang sebenarnya amat
kompleks dan rumit untuk diperhalusi. Namun di sebalik sifat yang kompleks dan rumit ini,
wujud ruang yang segar bagi perbincangan-perbincangan yang mampu membuka dimensi
pemikiran baharu kepada pengkaji-pengkaji bidang ini. Kajian interaksi antara agama dan sains
ini penting bagi membantu usaha menilai suasana semasa terutamanya yang melibatkan
perkembangan sains dan teknologi. Dengan perkembangan pesat yang berlaku dalam bidang
sains dan teknologi, kefahaman yang tepat mengenai bentuk interaksi yang berlaku antara
agama dan sains dapat memudah cara menangani cabaran-cabaran yang dibawa oleh arus
perkembangan sains dan teknologi hari ini.
Kebanyakan tulisan ilmiah mengenai interaksi antara agama dan sains adalah bersifat
historikal dengan merujuk secara khusus kepada konflik antara sains dan agama Kristian di
Eropah pada era Kebangkitan Eropah. Antaranya ialah tulisan-tulisan oleh Brooke (1991),
Brooke dan Cantor (1998), McGrath (1999), dan Kurtz (2003). Dengan merujuk kepada kes-kes
yang melibatkan Nicolaus Copernicus dan Galileo Galilei, kebanyakan tulisan awal meletakkan
agama dan sains sebagai berkonflik antara satu sama lain. Ini seperti yang dinyatakan oleh
McGrath (1999: 3) bahawa:
The past history of that relationship has been marred through the dominant use
of militaristic and imperialistic metaphors (most notably that of “warfare”) in
its description, along with a general lack of mutual lack of knowledge and
respect.
[Terjemahan: Sejarah silam hubungan tersebut dicemari oleh penggunaan
berleluasa metafora-metafora ketenteraan dan imperialistik (khususnya
“peperangan”) dalam menerangkan [hubungan ini], di samping kurangnya
pengetahuan dan rasa hormat antara satu sama lain.]
Sesetengah pemikir seperti Kurtz (2003: 11) pula berhujah bahawa sains hanya boleh
berkembang maju apabila autoriti dalam bidang teologi dan falsafah diketepikan, dan digantikan
oleh pendekatan pemikiran baharu terhadap alam tabii. Cara ini dilihat boleh membawa
lonjakan besar dalam pembangunan sains dan teknologi dalam pelbagai bidang seperti fizik,
3
astronomi, kimia, biologi dan lain-lain sehingga memberikan kesan besar terhadap
pembangunan tamadun lantas mengubah nilai-nilai moral di samping mengubah institusi-
institusi politik, ekonomi dan sosial.
Natijah daripada perubahan-perubahan hebat yang dibawa oleh arus perkembangan
sains dan teknologi ini menyaksikan hakisan terhadap nilai-nilai luhur yang selama ini
dipelihara dan dipegang erat oleh masyarakat. Perkembangan sains dan teknologi yang pesat ini
membawa masyarakat menjadi lebih materialisik dengan mengetepikan nilai-nilai spiritual dan
keinsanan. Sains diletakkan sebagai sumber ilmu mutlak seperti yang dipegang oleh golongan
saintisme sehingga menolak dan menafikan ajaran agama. Penyelidikan sains juga dijalankan
tanpa menitikberatkan aspek etika sehingga membawa kepada kerosakan keseimbangan alam
tabii seperti teknologi pengubahsuaian genetik, dan pembangunan teknologi-teknologi destruktif
seperti senjata nuklear dan senjata biologi. Hal-hal seperti ini menyebabkan golongan agama
“memberikan tentangan” terhadap sains dengan melabelkannya sebagai sesuatu yang
merosakkan masyarakat (Kurtz 2003: 12). Ini menjadi punca kewujudan konflik antara sains
dan agama semenjak sekian lama.
Bagi membincangkan mengenai interaksi antara agama dan sains ini, pengkaji dan
pemikir Barat mengutarakan beberapa pandangan mengenai tipologi interaksi antara agama dan
sains. Antara tipologi yang paling kerap dirujuk ialah tipologi yang diketengahkan oleh Ian
Barbour. Harus diingat pada peringkat ini bahawa tipologi interaksi yang dibawa oleh Barbour
ini adalah berlatarkan kepada senario konflik antara sains dan agama Kristian di Eropah pada
era Kebangkitan Eropah yang berlarutan sehingga kebangkitan saintisme melalui aliran
pemikiran positivisme yang dibawa oleh kumpulan Vienna Circle pada dekad-dekad awal abad
ke-20. Pengaruh konflik antara agama dan sains ini dapat dilihat sehingga ke hari ini.
Oleh itu kertas kerja ini berusaha untuk menganalisis model interaksi agama dan sains
yang telah dikemukan oleh Ian Barbour. Kertas ini juga berusaha untuk mengemukakan
perspektif Islam terhadap interaksi agama dan sains yang lebih komprehensif dengan merujuk
4
kepada panduan al-Quran dan Hadith sehingga dapat mencadangkan model interaksi agama dan
sains yang bersifat Islamik.
2.0 Tipologi Ian Barbour
Ian Barbour (lahir 1923) ialah Profesor Emeritus di Carleton College di Minnesota, Amerika
Syarikat. Beliau dianggap antara perintis bidang agama dan sains sebagai satu bidang
pengkajian ilmiah. Di dalam buku terkenal beliau, When Science Meets Religion (2000), beliau
mengutarakan empat model interaksi antara agama dan sains. Keempat-empat model interaksi
ini menjadi model interaksi yang sering dirujuk iaitu model konflik, model pengasingan, model
dialog dan model integrasi.
2.1 Model konflik
Bertepatan dengan namanya, model konflik ini mencadangkan bahawa sains dan agama sentiasa
bertentangan antara satu sama lain pada tahap yang paling asas atau fundamental. Ini seperti
yang dinyatakan oleh Worrall (2004: 60) bahawa, “Science and religion are in irreconcilable
conflict...There is no way in which you can be both properly scientifically minded and a true
religious believer”; [Terjemahan oleh pengkaji: Sains dan agama berada dalam konflik yang
tidak boleh diselesaikan...Tidak mungkin anda boleh mempunyai minda saintifik dan pada
waktu yang sama mempunyai kepercayaan agama yang jitu.]
Model ini dilihat sebagai model yang paling popular dalam kalangan masyarakat saintis
yang meletakkan sains sebagai sumber ilmu yang paling mutlak, dan juga dalam kalangan
agamawan yang menolak terus sains. Alexander (2007: 1) berpandangan bahawa idea konflik
antara agama dan sains ini ketara dalam kalangan agama-agama langit yang berpegang kepada
tafsiran literal kitab-kitab al-Qur‘an dan Bible. Alexander (2007: 2) seterusnya menyatakan
bahawa konflik berlaku lazimnya apabila sains dan agama kedua-duanya mengambil sikap
ekspansionis dengan cuba menjawab soalan-soalan yang berada dalam ruang lingkup inkuiri
pihak yang satu lagi. Misalnya apabila sains cuba menjadikan pengetahuan agama sebagai
5
sebahagian pengetahuan sains, maka pastinya ini boleh menimbulkan konflik. Begitu juga
apabila agama cuba menolak dapatan-dapatan sains seperti yang diulas oleh Dampier (1948:
109-113) mengenai kes-kes klasik seperti Nicolaus Copernicus dan Galileo Galilei.
2.2 Model pengasingan
Model pengasingan ini mencadangkan bahawa agama dan sains berada pada dua domain yang
berbeza. Pandangan ini melihat bahawa agama dan sains sebenarnya menangani soalan-soalan
yang berbeza. Apabila agama dan sains berada pada dua domain yang berbeza yang tidak
bertindih antara satu sama lain, maka tidak mungkin akan berlaku konflik antara kedua-duanya.
Kehidupan manusia tidak akan berkonflik sekiranya domain-domain kehidupan seperti domain
agama dan domain sains diasingkan bagi mengelakkan sebarang interaksi yang boleh
mencetuskan konflik. Model pengasingan ini boleh dilihat dari sudut bahawa agama dan sains
wujud serentak dalam kehidupan manusia tetapi kedua-duanya mempunyai sifat yang berbeza
antara satu sama lain. Agama dan sains menangani permasalahan yang berbeza yakni apabila
berhadapan dengan isu kerohanian, maka agama akan memberikan jawapannya. Apabila
berhadapan dengan isu alam tabii, maka sains akan memberikan jawapannya. Ini seperti yang
dinyatakan oleh Van Till (2000: 122), the right tool for the right job (terjemahan pengkaji: alat
yang tepat untuk kerja yang khusus).
Barbour (1966: 3-4) kelihatan lebih cenderung kepada model pengasingan ini
berbanding model-model lain yang diketengahkan oleh beliau. Ini berdasarkan tulisan beliau
yang berikut:
...science and religion are independent and autonomous, and each
should tend to their own affairs...Both scientist and theologian are told
to avoid metaphysics – that is, inquiry concerning the most general of
categories for interpreting the structure of reality. On this reading,
there should be no dialogue between them – except about the personal
problems which the scientist faces as a human being (for example,
ethical choices, motivation for work, responsibility to society). The
theologian may also have something to say to a culture that
depersonalizes human existence and treats science as a source of
salvation, but to theological ideas as such the findings of science would
be irrelevant.
6
[Terjemahan: ...sains dan agama bersifat bebas dan berautonomi, dan
setiap satu daripadanya hendaklah menumpukan kepada urusan masing-
masing...Kedua-dua saintis dan ahli teologi hendaklah mengelakkan
daripada bidang metafizik – iaitu inkuiri mengenai perkara-perkara
paling umum bagi mentafsirkan struktur realiti. Berdasarkan pernyataan
ini, maka dialog tidak boleh diadakan antara kedua-duanya – kecuali
mengenai masalah peribadi saintis (contohnya pilihan etika, motivasi
bekerja, tanggungjawab kepada masyarakat). Ahli teologi mungkin
mahu mengatakan sesuatu kepada budaya yang menghilangkan nilai
keinsanan dalam kewujudan manusia dan menganggap sains sebagai
sumber penyelamat, tetapi kepada pemikiran teologi, dapatan-dapatan
sains adalah tidak relevan.]
2.3 Model dialog
Model ini melihat bahawa agama dan sains menangani isu-isu yang sama daripada perspektif
yang berbeza. Penjelasan yang diberikan oleh agama dan sains mengenai isu-isu yang ditangani
tidak dilihat sebagai berkonflik antara satu sama lain, sebaliknya melengkapkan antara satu
sama lain. Atas sebab ini juga, sesetengah pemikir seperti Alexander (2007: 4) menamakan
model ini model pelengkap (complementarity model). Antara perbincangan yang melihat agama
dan sains sebagai saling melengkapi antara satu sama lain ialah perbincangan mengenai
hubungan dualisme antara otak dan minda. Sains boleh menerangkan fungsi otak dengan
menggunakan data-data aktiviti neuron apabila subjek sedang menjalankan sesuatu aktiviti,
manakala agama boleh menerangkan signifikan data-data ini dari sudut tujuan akhir, nilai dan
makna aktiviti tersebut. Kedua-dua penerangan ini tidak bertentangan antara satu sama lain,
sebaliknya boleh dilihat sebagai melengkapkan antara satu sama lain.
2.4 Model integrasi
Secara mudah, model integrasi dilihat sebagai berlawanan dengan model pengasingan. Ini
kerana model ini mengaburkan sempadan antara pengetahuan agama dan pengetahuan sains.
Model ini juga sering digunakan bagi tujuan menggunakan sains bagi membangunkan konstruk
sistem pemikiran agama, dan juga sebaliknya menggunakan agama bagi membangunkan
konstruk sistem pemikiran saintifik. Model ini sering dilihat paling sesuai untuk menerangkan
7
perspektif Islam terhadap sains, iaitu sains tidak berkonflik dengan Islam seperti yang pernah
dinyatakan oleh Maurice Bucaille (1989). Nama lain bagi model ini seperti yang diulas oleh
Alexander (2007: 3) ialah model lakuran (fusion model).
Model integrasi ini sering dibawakan dan dipertahankan oleh golongan saintis yang
mempunyai pegangan agama yang kukuh dan juga golongan agama yang mempunyai
kefahaman sains yang baik. Dari sudut sejarah, didapati kebanyakan ilmuwan silam yang
menguasai kedua-dua ilmu agama dan sains seperti al-Khwarizmi, Ibn al-Haytham, Ibn Sina, al-
Biruni dan lain-lain berjaya memanifestasikan model integrasi ini dengan sempurna. Mereka
dikenali sebagai huffaz (penghafal al-Qur‘an) dan fuqaha, dan pada waktu yang sama
menguasai juga bidang-bidang sains seperti algebra, optik, geologi, perubatan, astronomi dan
lain-lain.
Model integrasi ini juga dirujuk sebagai model harmoni oleh Brooke (1991: 42-51).
Walau bagaimanapun, Brooke melihat model harmoni ini dalam konteks sejarah perkembangan
sains dalam dunia Kristian. Beliau menyatakan bahawa model ini bersifat apologetik dalam
usaha mengutarakan satu pendekatan yang berbeza daripada model konflik. Walau
bagaimanapun, dalam konteks Islam, kita perlu melihat penggunaan model integrasi bukan satu
pendekatan apologetik, sebaliknya menunjukkan kesyumulan Islam dalam meletakkan sains
dalam kerangka Islam secara menyeluruh dan harmonis.
3.0 Analisis Tipologi Barbour
Walaupun tipologi interaksi antara agama dan sains yang diketengahkan oleh Ian Barbour ini
banyak dirujuk dan digunakan, didapati bahawa tipologi ini bukanlah yang terbaik. Bahagian ini
akan memperhalusi analisis setiap model yang dibincangkan ini.
3.1 Analisis ke atas model konflik
Konflik antara agama dan sains, seperti yang dinyatakan oleh Alexander (2007: 2), berlaku
apabila salah satu bidang ini mengambil sikap ekspansionis atau peluasan autoriti bagi
8
menjawab soalan-soalan yang sepatutnya dijawab oleh domain yang satu lagi. Sains misalnya
tidak wajar mengatakan bahawa semua bidang ilmu pengetahuan termasuk bidang agama dapat
dimasukkan ke dalam domain inkuiri sains. Soal-soal alam ghaib dan metafizikal misalnya tidak
mungkin dapat dijawab oleh sains kerana ini berkait rapat dengan akidah atau pegangan
seseorang individu.
Satu contoh ialah kisah Nabi Ibrahim a.s. yang dibakar oleh api. Sains mengatakan
bahawa sifat tabii api ialah ia membakar. Namun dalam kisah ini, api telah diperintahkan oleh
Allah SWT supaya tidak membakar Nabi Ibrahim a.s. Jika perkara ini dilihat dari sudut sains,
maka sudah pasti ia akan dilihat sebagai tidak rasional, seolah-olah sains mengatakan perkara
yang diajar oleh agama ini tidak logik dan tidak menepati generalisasi sains mengenai sifat api
(Mohd Yusof Haji Othman 2009: 67). Namun, dalam konteks pegangan akidah orang yang
beragama, kisah Nabi Ibrahim a.s. ini adalah sesuatu yang wajib dipercayai dan diyakini.
Demikian juga apabila agama dilihat cuba mengimlak atau merencana perkara yang
boleh dan tidak boleh dilakukan oleh seorang saintis, maka ini dilihat oleh mereka yang berada
di dalam bidang sains sebagai pencerobohan sempadan domain sains. Namun demikian, konflik
antara agama dan sains ini sebenarnya hanya merupakan persepsi atau tanggapan golongan yang
melihat domain agama dan domain sains sebagai dua domain yang bersaing dan berselisih
antara satu sama lain. Walaupun kelihatan wujud konflik dalam kes-kes khusus melibatkan
Nicolaus Copernicus, Galileo Galilei dan Charles Darwin, hakikatnya ialah sejarah telah
membuktikan bahawa agama banyak menyumbang secara positif dan konstruktif kepada
perkembangan dunia sains. Hal ini telah dibincangkan dengan panjang lebar oleh pengkaji
sebelum ini di dalam bab kedua yang lalu. Malah, dalam konteks Tamadun Islam, sejarah telah
membuktikan bahawa peranan agama Islam amat besar dalam membawa kepada lonjakan besar
dalam dunia penyelidikan dan pembangunan sains dan teknologi.
9
3.2 Analisis ke atas model pengasingan
Model pengasingan ini dilihat sebagai mencari “penyelesaian mudah” terhadap apa yang dilihat
sebagai konflik yang tidak berkesudahan antara agama dan sains. Apabila agama dan sains
dipisah dan diasingkan, maka konflik tidak akan berlaku kerana kedua-dua domain inkuiri
(yakni agama dan sains) bertanya soalan-soalan yang berbeza. Model ini seperti mengatakan
bahawa tidak ada sebarang interaksi yang wujud antara domain agama dan domain sains.
Walau bagaimanapun, apabila sejarah perkembangan sains ditinjau, didapati bahawa
persepsi mengambil jalan mudah ini adalah tidak tepat. Sejarah telah menunjukkan bahawa
agama dan sains saling berinteraksi antara satu sama lain semenjak dahulu lagi. Tamadun-
tamadun awal manusia seperti yang wujud di Mesopotamia, Mesir, Yunani, China dan India
menunjukkan bahawa agama berinteraksi dan memainkan peranan dalam perkembangan awal
sains dan teknologi. Hal ini berterusan sehingga zaman Tamadun Islam dan berlanjutan
sehingga zaman Kebangkitan Eropah, malah hingga hari ini.
Model pengasingan ini juga sukar dipertahankan kerana kedua-dua domain ini iaitu
agama dan sains termasuk dalam ruang lingkup aktiviti kehidupan manusia. Walaupun seorang
saintis tidak mungkin melihat aktiviti penyelidikan di dalam makmal yang dilakukannya sebagai
aktiviti keagamaan, namun sebagai seorang manusia yang mempunyai pegangan agama, dia
tetap menjalankan ritual-ritual agama yang dianutinya. Ini membawa maksud bahawa wujud
interaksi antara agama dan sains pada peringkat individu. Pengasingan mutlak antara kedua-dua
domain ini sebenarnya sukar dicapai dan tidak mungkin menjadi realiti.
3.3 Analisis ke atas model dialog
Model dialog ini dilihat mempunyai kelebihan kerana ia memberi ruang kepada hujah-hujah
saintifik dan keagamaan disampaikan tanpa memperkecil mana-mana pihak. Dalam realiti hari
ini, tidak mungkin ada orang yang mampu menguasai semua bidang ilmu pengetahuan. Justeru,
model dialog ini dilihat mempunyai peranan yang besar dalam menyelaraskan interaksi yang
proaktif dan efektif antara dua domain ini iaitu agama dan sains. Bagaimanapun, cabaran utama
10
dalam merealisasikan model dialog ini ialah kesungguhan dan keberkesanan dalam menjalankan
dialog antara agama dan sains. Usaha mewujudkan dialog antara kedua-dua domain ini
sememangnya wujud dan berterusan.
Di Malaysia misalnya beberapa organisasi dan institusi giat menjalankan aktiviti-
aktiviti berupa dialog merentas bidang ini. Antaranya ialah Institut Kefahaman Islam Malaysia
(IKIM), Pusat Dialog Peradaban di Universiti Malaya dan Institut Islam Hadhari di Universiti
Kebangsaan Malaysia. Walaupun model dialog ini mempunyai kelebihan yang besar dalam
mengaktifkan interaksi positif antara sains dan agama, cabaran untuk merealisasikannya juga
besar. Keperluan kepada komitmen yang tinggi bagi menjayakan model dialog ini tidak dapat
dinafikan sekiranya mahu melihat dialog antara sains dan agama berjalan dengan jaya. Tanpa
penglibatan satu daripada dua pihak ini, maka dialog tidak akan berlaku. Apabila dialog tidak
berlaku, maka model ini boleh bertukar menjadi model pengasingan tanpa disedari.
Model dialog ini dilihat sebagai memperakui bahawa agama dan sains menangani realiti
yang sama dari perspektif yang berbeza. Ini membawa maksud bahawa agama dan sains
memberikan penjelasan yang tidak bersaing antara satu sama lain, sebaliknya penjelasan-
penjelasan ini saling melengkapi. Contoh klasik ialah penjelasan dari pelbagai perspektif
diperlukan bagi memahami seorang manusia daripada pelbagai tahap analisis yang diberikan
oleh bidang-bidang yang pelbagai seperti antropologi, psikologi, fisiologi, biokimia dan lain-
lain. Perspektif agama dilihat sebagai satu daripada perspektif yang diperlukan bagi
memberikan kefahaman yang lebih menyeluruh terhadap diri seorang manusia. Agama
memberikan satu set penjelasan dalam perspektif yang tidak mampu diberikan oleh sains,
khususnya yang melibatkan soal-soal seperti matlamat akhir, nilai dan makna. Menggunakan
model dialog, penjelasan dari perspektif agama tidak dilihat sebagai bersaing dengan penjelasan
dari perspektif sains.
11
3.4 Analisis ke atas model integrasi
Model integrasi ini merupakan model yang cuba mewujudkan penumpuan antara agama dan
sains. Model ini boleh dilihat sebagai berlawanan dengan model pengasingan. Ini kerana model
pengasingan menuntut supaya domain agama dan domain sains diasingkan walaupun wujud
serentak di dalam domain kehidupan manusia, manakala model integrasi ini pula
menggabungkan atau menumpukan domain agama dan domain sains sebagai satu domain yang
juga domain kehidupan manusia.
Umat Islam misalnya melihat ajaran Islam sebagai satu cara hidup atau al-deen yang
lengkap yang merangkumi segenap aspek kehidupan. Segenap aspek kehidupan ini termasuk
juga bidang sains. Sains dilihat sebagai satu tuntutan fardu kifayah yang wajib dikuasai oleh
sebahagian ahli masyarakat. Dilihat dari sudut ini, pandangan Islam terhadap sains ini boleh
diletakkan di bawah model integrasi ini.
Walau bagaimanapun, satu perkara yang perlu diberikan perhatian ialah keghairahan
menjustifikasikan ajaran agama menggunakan dapatan-dapatan sains. Dalam kata lain, model
integrasi ini boleh menyebabkan ahli agama atau saintis cuba membina konstruk agama
menggunakan ilmu sains. Pendekatan ini diguna pakai oleh sesetengah pemikir sebagai satu
usaha untuk membuktikan kesatuan antara agama dan sains. Sungguhpun pendekatan ini
nampak popular dalam kalangan umat Islam, namun sesetengah pemikir seperti Sulaiman
Noordin (1993: 168-169) yang memetik tulisan Ziauddin Sardar berpandangan bahawa ia perlu
didekati dengan berhati-hati. Ini kerana pendekatan ini mendedahkan al-Qur‘an kepada
pertikaian balas sekiranya wujud keadaan apabila fakta sains tidak selaras dengan sesuatu yang
disebut di dalam al-Qur‘an.
4.0 Interaksi Islam dan sains
Melihat kepada perbincangan pada bahagian sebelumnya, didapati interaksi agama dan sains
sebenarnya lebih menjurus kepada interaksi antara ahli agamawan Kristian (ahli gereja) dan ahli
sains (saintis). Misalnya peristiwa penolakan teori Galileo Galilei (saintis) berkaitan putaran
12
bumi mengelilingi matahari oleh pihak gereja (Kristian) yang bimbang penurunan pengaruh
mereka dalam kalangan masyarakat setempat. Selain itu, keempat-empat model interaksi yang
dikemukan oleh Barbour juga memperlihatkan persepsi dan interaksi antara ahli agama dan ahli
sains terhadap isu-isu dalam bidang sains dan agama seperti metafizik, eksploitasi alam
(haiwan, tumbuhan, tanah dll) dan sebagainya. Oleh itu, bahagian ini akan meninjau sains dari
perspektif Islam dan bentuk interaksi agama Islam dan sains.
4.1 Sains dari perspektif Islam
Sejarah ketamadunan Islam menunjukkan umat Islam memberi keutamaan kepada
pembangunan sains dan teknologi meliputi pelbagai bidang seperti fizik, kimia, perubatan,
astronomi, matematik dan sebagainya, malah seiring dengan pembangunan nilai kemanusiaan
dan kerohaniaan. Buktinya tokoh-tokoh yang lahir pada zaman tersebut seperti Ibn Sina, Ar-
Razi dan Al-Biruni mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam bidang agama, menghafal
al-Quran dan mampu melakukan inovasi sains dan penemuan bermakna dalam bidang masing-
masing. Perpindahan ilmu dari Islam ke barat memperlihatkan pemisahan antara urusan yang
berhubung dengan memahami alam tabii (sains) dengan sistem ilmu yang membolehkan
manusia mengenal Tuhannya (agama).
Perbezaan yang amat ketara antara sains dalam perspektif barat dan Islam ialah konsep
kepercayaan kepada Tuhan (tauhid). Sains Barat menolak sebarang bentuk hujah agama,
walaupun ahli sains Barat memahami bahawa ilmu mereka terbatas, tidak mutlak dan bersifat
sekular. Dalam perspektif Islam, konsep sains Tauhidik sangat ditekankan iaitu sains yang amat
mementingkan ketuhanan, malah semangat dan matlamat terakhir mereka berkarya adalah
semata-mata kerana Allat SWT. Konsep sains Tauhidik atau interaksi ini dapat dilihat dalam
banyak ayat al-Quran yang menggesa umat manusia untuk memerhati dan mencerap tabii alam.
Ini adalah konsep asas dalam pembelajaran sains (Mohd Yusof Hj Othman, 2013: 12).
13
4.2 Interaksi Islam dan sains
Pandangan Barat yang memisahkan agama dan sains (sekularisme) menyebabkan keseragaman
alam tergugat kerana tiada nilai spiritual yang diterapkan dalam pendirian mereka. Pendapat
yang menyatakan nilai agama (religion) tidak boleh membangunkan ilmu-ilmu lain seperti
sains, politik dan sebagainya merupakan idea yang telah disangkal oleh banyak pihak. Dalam al-
Quran, Allah SWT menekankan konsep hablun minallah wa hablun minannas (hubungan
dengan Allah dan hubungan dengan manusia), di mana ikatan/perhubungan antara manusia
dengan Allah serta hubungan antara manusia dengan manusia diterapkan dalam kehidupan
seharian bagi menjana kehidupan yang holistik mengikut acuan khaliq. Selain itu, Allah juga
mengurniakan potensi akal kepada manusia bagi mentadbir alam yang didiami oleh makhluk
Allah seperti haiwan dan tumbuhan. Ini jelas digambarkan dalam Surah al-Ahzab, 33, ayat 72
yang bermaksud:
“Sesungguhnya kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada
langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan
memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada
pada mereka persediaan untuk memikulnya), dan (pada ketika itu) manusia
(dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah)
sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan
suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.”
Ayat di atas jelas menceritakan tanggungjawab yang dipikul oleh manusia yang tidak
mampu dilakukan oleh makhluk lain. Tambahan dihujung ayat Allah menyatakan sikap manusia
yang suka melakukan kezaliman. Oleh itu manusia sangat perlu merujuk semula kepada hakikat
sebenar kejadiannya iaitu mengabdikan diri kepada Allah, seperti dalam surah al-Baqarah, 2,
ayat 186 yang bermaksud;
“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka
(beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada
mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa
kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi
perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi
baik serta betul.”
Dan dalam surah al-Jinn, 72, ayat 13 yang bermaksud;
14
“Dan bahawa sesungguhnya kami, tatkala mendengar petunjuk (al-Quran), kami
beriman kepadanya (dengan tidak bertangguh lagi), kerana sesiapa yang beriman
kepada Tuhannya, maka tidaklah ia akan merasa bimbang menanggung kerugian
(mengenai amalnya yang baik), dan juga tidak akan ditimpakan sebarang
kesusahan.”
Kedua-dua ayat di atas serta banyak lagi ayat-ayat al-Quran telah menjelaskan tugas
manusia untuk beriman kepada Allah dan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dalam
menjalani kehidupan di dunia ini. Hal ini menunjukkan perhubungan antara manusia dengan
Allah pencipta alam. Seterusnya manusia sangat perlu kepada makhluk lain bagi
membangunkan diri dan bumi ini, atau untuk pembangunan sains dan teknologi. Maka wujudlah
hubungan kedua iaitu hubungan manusia dengan alam. Manusia juga perlu kepada hubungan
sosial (bermasyarakat) untuk menjamin kelangsungan hidup mereka, dan ia boleh diertikan
sebagai hubungan manusia dengan manusia. Inilah yang dikatakan hubungan tiga dimensi yang
diajarkan oleh Islam kepada manusia yang memikul dua tanggungjawab besar iaitu khalifatullah
dan hamba Allah. Konsep hubungan tiga dimensi ini boleh diimplementasikan dalam
perbincangan interaksi agama dan sains.
Manusia adalah suatu entiti yang hidup dalam kelompok (bermasyarakat), mempunyai
perasaan, tingkah laku, perwatakan dan personaliti yang berbeza bagi melengkapkan
kelompangan masing-masing. Justeru, dalam membentuk masyarakat yang harmonis, setiap
individu perlu mengadaptasi/ mempersiapkan diri dengan petunjuk yang disediakan dalam al-
Quran dan hadis bagi mengelakkan/ menghindari anasir negatif seperti pergaduhan, perpecahan
dan sebagainya. Suatu masyarakat bermula dengan seorang individu. Peribadi individu akan
mencorakkan institusi kekeluargaan yang dibina. Justeru, ilmu sains mahupun matematik tidak
mampu menyingkap kaedah melahirkan keluarga yang aman dan harmoni, melainkan melalui
suntikan agama, sebagaimana maksud ayat dari surah al-Baqarah, 2, ayat 2 yang bermaksud;
“Kitab al-Quran ini tidak ada keraguan padanya, petunjuk bagi mereka yang
bertakwa”
15
Menurut Ibn Kathir (2003), ‘petunjuk’ di dalam ayat ini merupakan sifat kepada al-
Quran, untuk dijadikan panduan kepada seluruh manusia. Dalam pergaulan, yang merupakan
tunjang utama dalam rutin seharian, Allah SWT menitik beratkan etika-etika tertentu yang
menjurus kepada kemaslahatan hambanya. Antaranya, cara pergaulan dalam keluarga. Dalam
surah An-Nuur, ayat 58-59 yang bermaksud:
“Hai orang-orang yang beriman, hendaklah budak-budak yang kamu miliki,
dan orang-orang yang belum baligh di antara kamu, meminta izin
kepadamu tiga kali (dalam satu hari), iaitu sebelum solat Subuh, ketika kamu
menanggalkan pakaian (luar)mu di tengahari dan sesudah solat Isyak’…”
Dalam ayat di atas, Allah SWT menetapkan hukum atau adab pergaulan untuk
memasuki bilik pada waktu-waktu tertentu bagi mengelakkan pendedahan aurat bagi situasi
yang tidak disedari. Etika ini perlu digunakan dalam merangka pelan induk bagi membina
sebuah rumah. Arkitek yang memahami konsep ini akan berusaha membina rumah yang bukan
sahaja menepati cita rasa manusia bahkan mengikut landasan yang ditetapkan syara’. Hal ini
penting bagi mengelakkan gejala kurang sihat yang semakin banyak dilaporkan dalam media
arus dewasa ini terutamanya melibatkan perbuatan songsang antara ahli keluarga (Berita
Harian).
Selain itu, al-Quran juga turut menekankan hubungan yang baik antara ahli keluarga
dan jiran tetangga, ini bagi memastikan emosi dan perasaan sesama mereka tidak dipengaruhi
sifat-sifat mazmumah seperti buruk sangka, hasad dengki, kedekut dan sombong. Antara dalil
al-Quran dan hadis yang mengaitkan perhubungan yang harmoni ini adalah:
a) Menjaga perasaan ibu bapa melalui percakapan dengan menggunakan intonasi yang rendah
dan berbuat baik pada semua insan
“Dan Tuhanmu Telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah
selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan
sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya
sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah
kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu
membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.”
(Surah al-Isra’, ayat 23-24)
16
“Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan
sesuatupun. Dan berbuat baiklah kepada dua orang ibu-bapa, karib-
kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan
tetangga yang jauh, dan teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu.
Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan
membangga-banggakan diri.” (Surah an-Nisaa’, 4: ayat 36)
b) Adab berjiran dan cara pergaulan dengan mereka
“Aku mendengar Rasulullah saw bersabda, “Tidaklah disebut mukmin orang
yang kenyang sedangkan jiran di sampingnya kelaparan.” (Sahih Bukhari)
Dari ‘Aisyah r.a, katanya : “Wahai Rasulullah, aku mempunyai dua jiran,
lalu kepada siapakah aku memberikan hadiah? Baginda menjawab,
“Kepada yang paling dekat pintunya dari mu.”
(Sahih Bukhari. Kitab Adab. Bab 3191)
c) Memelihara tingkah laku/ perbuatan supaya tidak menyakiti fizikal atau perasaan seseorang
“Apabila kamu bertiga, maka janganlah dua orang berbisik tanpa yang
ketiga, kerana hal itu dapat menyinggung perasaannya.”
(Sahih Muslim. Kitab Salam. Bab 1075)
“Apabila seseorang menyerang (atau memukul seseorang), tidak boleh
memukul wajahnya.”
(Sahih Muslim, Kitab tentang memerdekakan budak dan keutamaannya.
Bab: tidak diperbolehkan memukul wajah seorang budak)
Bagi golongan kelainan upaya juga, adab dan tatacara bergaul dengan mereka juga
diajar oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Ini menunjukkan nilai yang dibawa oleh
Islam itu syumul untuk semua insan, tidak mengira pangkat, keadaan atau taraf. Contohnya
seperti keperluan pendidikan bagi orang kelainan upaya. Jika dilihat dari perspektif setengah
pihak, golongan autisme tidak layak mendapat pendidikan kerana keadaan mereka yang tidak
normal seperti kanak-kanak lain (Samadi, S.A. dan McConkey, R. 2011). Namun, dengan
adanya didikan agama, hak mereka juga dituntut dalam sistem pendidikan dengan
mempelbagaikan cara pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan keadaan mereka (Siti
Patonah Mohamad,2012).
17
Manusia juga mempunyai hubungan dengan alam meliputi haiwan, tumbuhan, gunung-
ganang dan sebagainya yang perlu dijaga dan diberi perhatian. Setiap makhluk yang bernyawa
berhak diperlakukan dengan belas ehsan. Walaupun taraf haiwan diletakkan bawah daripada
manusia (dibolehkan kita memakan haiwan untuk kelangsungan hidup), namun Islam
meletakkan cara yang halus dan penghormatan kepada setiap makhluk ciptaan Allah SWT.
Contohnya dalam penyembelihan, diharuskan mengguna alatan sembelihan yang tajam untuk
memudahkan proses penyembelihan dan bagi mempercepatkan kematian. Maksud hadis,
“Aku bertanya kepada Nabi perihal binatang (buruan) yang dibunuh dengan
mi’radh (hujung kayu yang diruncingkan dan dilengkapi dengan sebatang
besi tajam, digunakan untuk berburu). Nabi SAW bersabda, apabila binatang
itu terbunuh oleh hujungnya yang tajam, maka makanlah. Tetapi apabila
terbunuh oleh tangkainya, maka ia haram dimakan….”
(Sahih Bukhari, Kitab tentang binatang sembelihan dan buruan. Bab:
membaca basmalah atas binatang buruan.)
Mulianya seorang yang memberi minum air binatang sehingga mendapat pengampunan
Allah SWT juga turut dinyatakan dalam hadis di bawah. Konsep pahala dan dosa merupakan
satu pendekatan yang tidak didapati dalam sains. Bagi Muslim, pendekatan ini merupakan salah
satu bentuk peneguhan positif dan negatif yang menyebabkan seseorang berfikir untuk
melakukan suatu tindakan. Justeru, tiada penyelewengan atau kerosakan yang akan dilakukan
bagi individu yang takut kepada dosa.
“Suatu ketika seorang lelaki yang melakukan perjalanan sangat kehausan. Ia
turun ke sebuah sumur. Lalu minum air di situ. Pada saat ia keluar dari
tempat itu, ia melihat seekor anjing menjilat lumpur kerana ia merasa haus
yang sangat. Laki-laki itu berkata, ‘anjing’ ini sangat sengsara kerana
persoalan yang sama denganku. Lalu ia turun kembali ke dalam sumur,
mengisi sepatunya dengan air, menggigitnya dengan giginya, dan memanjat
dinding sumur, kemudian memberinya minum dengan air itu. Allah
berterima kasih atas perbuatan (baiknya) dan memafkannya.” Orang-orang
berkata,” Ya Rasulullah, apakah kami diberi diberi pahala bila melayani
haiwan?” Nabi SAW menjawab, “ Ya, melayani keperluan makhluk hidup
memperoleh pahala”.
(Sahih Bukhari, Kitab al-Musaqah (pengairan), Bab: Fadhl Saqyi al-Ma’ –
Keutamaan menyediakan air bagi sesiapa yang memerlukan).
Terdapat juga hadis yang menuntut manusia memelihara alam sekitar termasuk tumbuh-
tumbuhan. Kita dilarang melakukan kerosakan ke atas ciptaanNya tanpa tujuan yang
18
bermanfaat. Perkara ini dapat diperhatikan dalam ajaran Rasulullah SAW yang mengajar
umatnya supaya tidak merosakkan alam sekitar sewenang-wenangnya tanpa batas walaupun di
saat genting seperti peperangan. Allah juga telah berfirman dalam surah al-A’raf, ayat 56
yangbermaksud;
“Dan janganlah kamu membuat kerosakan di bumi sesudah Allah
menyediakan segala yang membawa kebaikan kepadanya…”
Natijah kepada kerakusan manusia dewasa ini yang tidak mengambil iktibar dari kitab
al-Quran mahupun hadis telah menyebabkan banyak kerosakan terutamanya yang bakal terjadi
pada generasi akan datang jika tidak dibendung dari awal. Allah SWT telah mengingatkan
manusia tentang perkara ini sejak lebih 1400 tahun lagi dalam firmannya dari Surah al-Ruum,
ayat 41 yang bermaksud:
“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut
dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia. Timbulnya yang
demikian kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan
perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan supaya mereka
kembali insaf dan bertaubat.”
Ayat-ayat di atas jelas menunjukkan perhubungan tiga dimensi yang perlu difahami dan
dijadikan panduan oleh umat manusia dalam melakukan pembangunan sains dan teknologi.
Manusia sebagai khalifah (pentadbir alam) bertanggungjawab memakmurkan bumi dengan
mengeksploitasi alam (haiwan, tumbuhan dan tanah) mengikut batasan yang sepatutnya. Selain
khalifah, manusia juga berperanan sebagai hamba yang bertanggungjawab mengabdikan diri
kepada Penciptanya iaitu Allah dan tidak melanggar semua larangan yang telah ditetapkan Nya.
Selain itu, fitrah manusia perlu kepada hubungan sosial sesama masyarakat. Menurut Ibn
Khaldun manusia tidak mungkin hidup sendirian sebaliknya memerlukan kepada satu organisasi
kemasyarakatan di mana mereka dapat bekerjasama dalam menjalani kehidupan (JAKIM,
2012). Hal ini menyebabkan berlaku interaksi antara seluruh umat manusia di dunia dan sekali
lagi perbagai tatacara berhubungan telah diajari Allah kepada manusia melalui kitab al-Quran.
19
5.0 Model interaksi agama dan sains yang Islamik
Cadangan model interaksi agama dan sains Islami adalah berdasarkan kepada tiga hubungan
yang terdapat dalam kehidupan manusia yang telah dibentang sebelum ini. Hubungan tiga
dimensi ini dilihat komprehensif meliputi seluruh kehidupan manusia dan bertepatan dengan
ajaran Islam. Model ini dicadangkan bagi membolehkan perbincangan isu interaksi agama dan
sains difahami dengan lebih jelas dan tuntas. Seterusnya umat Islam tidak perlu merujuk kepada
model-model yang dikemukan oleh Barat seperti Ian Barbour yang telah dibincangkan dalam
kertas ini. Penggunaan model interaksi agama dan sains yang dihasilkan melalui pemahaman
dan penghayatan al-Quran dilihat lebih mudah untuk diaplikasikan dan difahami masyarakat
Muslim dalam membincangkan topik ini.
Model ini meletakkan manusia sebagai subjek. Manusia mempunyai dua jenis
hubungan iaitu hubungan vertikal (menegak) dan hubungan horizontal (melintang). Hubungan
vertikal melibatkan hubungan manusia dengan pencipta (Khaliq) iaitu Allah, iaitu melibatkan
tanggungjawab manusia sebagai hamba Allah. Hubungan horizontal manusia terbahagi kepada
dua iaitu hubungan manusia dengan alam dan hubungan manusia dengan manusia, iaitu
melibatkan tanggungjawab manusia sebagai khalifah. Hubungan tiga dimensi ini boleh
dijelaskan dalam rajah 1.
ALLAH
MANUSIA
MANUSIA
ALAM
Rajah 1: Model interaksi agama dan sains dari perspektif Islam
20
6.0 Kesimpulan
Interaksi agama dan sains sangat banyak dibincangkan oleh masyarakat Barat, namun ia
bukanlah topik yang popular dalam kalangan masyarakat Malaysia. Walau bagaimanapun
perkara ini adalah sesuatu yang penting untuk diberi perhatian kerana pembangunan sains dan
teknologi terus berkembang dan akan mempengaruhi kebanyakan dari kehidupan seharian
manusia termasuklah masyarakat Islam. Pemahaman yang jelas membantu memudahkan umat
Islam menangani sebarang masalah yang timbul dikemudian hari. Model interaksi agama dan
sains yang Islami ini dapat membantu mengkategorikan pelbagai isu yang mungkin timbul
berkaitan sains dan Islam dengan lebih sistematik dan tersusun. Islam dan sains bukanlah
sesuatu yang terpisah malah sangat diperlukan oleh umat Islam dalam menjalani ibadah dan
tanggungjawab mereka. Sains juga tidak bertentangan dengan Islam malah konsep-konsep sains
banyak dinyatakan dalam ayat-ayat al-Quran.
RUJUKAN
Abdullah Basmeih. t.t. Mushaf Tajwid beserta terjemahan ke dalam Bahasa Malaysia. Kuala
Lumpur: Darulfikir.
‘Abdullah Muhammad ‘Abdurrahman Ishaq Alu Syaikh. 2003. Terjemah M. Abdul Ghoffar.
Tafsir Ibn Katsir. Jilid 6. Jakarta: Pustaka Imam asy-Syafi’i.
Alexander, D.R. 2007. Models for relating science and religion. Faraday Paper 3: 1-4.
Barbour, I.G. 1966. Issues in Science and Religion. New Jersey: Prentice Hall.
Barbour, I.G. 2000. When Science Meets Religion. New York: HarperCollins Publishers.
Berita Harian. 2013, 29 April. Bapa rogol tiga anak kena tahan. Diakses pada 9 Mei 2013:
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Baparogoltigaanakkenatahan/Article/artikel
Brooke, J.H. 1991. Science and Religion: Some Historical Perspectives. Cambridge: University
of Cambridge Press.
Brooke, J.H. dan Cantor, J. 1998. Reconstructing Nature: The Engagement of Science and
Religion. Oxford: Oxford University Press.
Bucaille, M. 1989. The Bible, The Qur’an and Science: Holy Scriptures Examined in the Light
of Modern Knowledge. Kuala Lumpur: A.S. Noordeen.
21
Dampier, W.C. 1948. A History of Science and Its Relations with Philosophy and Religion.
Cambridge: Cambridge University Press.
Kurtz, P. (penyunting). 2003. Science and Religion: Are They Compatible? New York:
Prometheus Books.
McGrath, A.E. 1999. Science & Religion: An Introduction. Oxford: Blackwell Publishers.
Mohd Yusof Haji Othman. 2009. Sains, Masyarakat dan Agama. Kuala Lumpur: Utusan
Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Mohd Yusof Hj Othman. 2013. Penghayatan sains dalam al-Quran. Kertas kerja yang
dibentangkan dalam Seminar al-Quran siri 1/2013 anjuran Pusat Pengajian al-Quran Tun
Abdul Rahman Ya’kub, Petra Jaya, Kuching, Sarawak pada 27 & 28 Mac 2013.
Samadi, S.A. dan McConkey, R. 2011. Autism in Developing Countries : Lessons from Iran.
Autism Research and Treatment 11: 1-11.
Siti Patonah Mohamad. 2012. Pengajaran dan pembelajaran al-Qur’an bagi golongan kelainan
upaya mental: analisis dari sumber tradisi Islam. Kertas kerja dibentangkan pada 2
Disember 2012 dalam International Seminar on al-Quran in Contemporary Society di
Hotel Permai, Kual Terengganu.
Sulaiman Noordin. (1993). Sains Falsafah dan Islam. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Van Till, H.J. 2000. A partnership response. Dalam Carlson, R.F. (penyunting). Science &
Christianity: Four Views. Downer’s Grove: Inter Varsity Press. Hlm. 121-126.
Worrall, J. 2004. Science discredits religion. Dalam Peterson, M.L. dan Van Arragon, R.J.
(penyunting). Contemporary Debates in Philosophy of Religion. Hoboken: Wiley-
Blackwell. Hlm. 59-71.
JAKIM.2013. Fardhu Kifayah dalam konteks pembangunan negara. Diakses pada 9 Mei 2013:
http://www.islam.gov.my/en/fardhu-kifayah-dalam-konteks-pembangunan-negara
Zaki Al-Din Abd Al-Azim Al-Mindziri. 2004. Ringkasan Shahih Muslim. Selangor: Crescent
News (KL) Sdn.Bhd.
Zaki Al-Din Abd Al-Azim Al-Mindziri. 2004. Ringkasan Shahih Bukhari. Selangor: Crescent
News (KL) Sdn.Bhd.