Content uploaded by Faizul Shaiffe
Author content
All content in this area was uploaded by Faizul Shaiffe on Jan 16, 2019
Content may be subject to copyright.
1
Penentu Penyisihan Sosial Dalam Kalangan Asnaf
Fakir dan Miskin Baitulmal-Maiwp: Kajian di
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Faizul Shaiffe
Pelajar Sarjana Ekonomi Islam, Fakulti Ekonomi & Pengurusaan
Universiti Kebangsaan Malaysia
fey_zullah@yahoo.com
Mohd Adib Ismail
Pensyarah Kanan, Pusat Pembangunan Inklusif & Lestari, Fakulti Ekonomi & Pengurusan
Universiti Kebangsaan Malaysia
mohadis@ukm.edu.my
Farhana Sidek
Pensyarah, Pusat Pembangunan Inklusif & Lestari, Fakulti Ekonomi & Pengurusan
Universiti Kebangsaan Malaysia
sfarhana@ukm.edu.my
Abstrak
Penyisihan sosial merupakan takrifan masalah sosioekonomi yang luas. Ia tidak eksklusif
faktor ekonomi namun mencangkupi aspek sosialisasi, kefahaman dan sekitaran. Perkara
ini mempunyai implikasi negatif yang besar kepada negara sekiranya ia tidak diberi
perhatian yang serius oleh pihak berautoriti. Di Kuala Lumpur, Selain Jabatan Kebajikan
Masyarakat (JKM) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Baitulmal-Maiwp
merupakan antara institusi yang memberi bantuan ekonomi berbentuk bantuan
kewangan bulanan kepada golongan asnaf fakir dan miskin. Kajian ini bertujuan untuk
mengkaji dimensi dan faktor yang menyebabkan berlaku penyisihan sosial dalam
kalangan asnaf. Sesi temubual secara mendalam dilakukan terhadap asnaf
Baitulmal-Maiwp bagi mengetahui penentu penyisihan sosial dikalangan mereka. Hasil
kajian mendapati dimensi pendidikan dan faktor individu dengan institusi menyebabkan
berlaku penyisihan sosial dikalangan asnaf. Kesimpulannya penyisihan sosial merupakan
salah satu faktor penyebab golongan asnaf fakir dan miskin kekal dalam kelompok ini.
Justeru penekanan terhadap penentu dimensi dan faktor penyisihan sosial perlu diteliti
bagi memastikan bantuan zakat dapat disalurkan secara terangkum terhadap golongan
asnaf tersebut.
Kata kunci: Penyisihan sosial, zakat, modal insan,modal kerohanian, keterangkuman
2
1. PENDAHULUAN
Kuala Lumpur yang merupakan nadi pusat ekonomi Malaysia mempunyai tarikan khusus
terhadap penduduk luar bandar untuk berhijrah ke Kuala Lumpur. Kuala Lumpur yang
berkeluasan 243 km
2
persegi mempunyai populasi penduduk seramai 1.776 juta pada
tahun 2016 (Jabatan Perangkaan Malaysia 2016). Majoriti penduduknya beragama Islam
iaitu sejumlah 51.2% peratus dan 48.8% peratus selebihnya terdiri dari kaum Cina, Hindu
dan lain-lain (Jabatan Perangkaan Malaysia 2016). Sebagai sebuah ibu kota Malaysia,
Kuala Lumpur mempunyai capaian utiliti asas yang lengkap dengan mempunyai
infrastruktur pengangkutan dan kesihatan yang moden serta peluang pekerjaan yang
luas. Namun begitu di dalam kepesatan pembangunan ekonomi terdapat beberapa
kelompok masyarakat yang gagal dalam menikmati agihan ekonomi secara saksama
walaupun kemajuan ekonomi negara semakin berkembang. Ketaksamarataan
pendapatan, peluang pekerjaan, hak dalam sosialisasi serta ketidakupayaan suara dalam
komuniti menyebabkan wujud permasalahan baharu iaitu dinamakan sebagai penyisihan
sosial.
Penyisihan sosial merupakan suatu keadaan di mana terdapat segelintir golongan yang
kurang diberi perhatian oleh kerajaan dalam arus pembangunan ekonomi. Ia tidak hanya
tertumpu kepada faktor ekonomi malah merangkumi faktor sosial, budaya, agama dan
sekitaran. Kepelbagaian aspek ini menjelaskan bahawa penyisihan sosial mempunyai
elemen multi demensi. Menurut Siti Hajar (2009) penyisihan sosial merupakan suatu
bentuk baru kemiskinan yang merujuk kepada sekumpulan individu kelas bawahan yang
mempunyai kekurangan dari segi ekonomi dan aspek sosial. Mohd Fauzi Mohd Harun
(2006) mendefinisi penyisihan sosial adalah suatu bentuk peminggiran oleh kerajaan
kepada segelintir golongan yang mengakibatkan mereka tidak dapat menikmati faedah
sepenuhnya daripada dasar yang dibentuk oleh kerajaan. Penyisihan sosial merupakan
kombinasi negatif orang atau kawasan yang mempunyai masalah seperti pengangguran,
tahap kemahiran yang rendah, pendapatan rendah, perumahan yang daif, kejiranan
tinggi jenayah, kesihatan yang kurang memuaskan dan kegagalan fungsi kekeluargaan
British Social Exclusion Unit (2004). Ini menyebabkan golongan ini menemui kegagalan
untuk turut serta khususnya dalam sektor ekonomi pada tahap asas sehingga
menjejaskan kemampuan mereka untuk menampung kehidupan dengan baik dan
sempurna. Pada 2010 dalam Model Ekonomi baru (MEB) perkataan inklusiviti mula
diperkenalkan dalam dasar pembangunan kerajaan. Ini mengambarkan berlaku agihan
ekonomi yang tidak saksama. Keseriusan senario penyisihan sosial ini wajar diberi
penekanan dan ia jelas telah menjadi agenda utama kerajaan untuk memastikan ia dapat
dibendung dengan menjadikan ia sebagai salah satu teras utama dalam merangka plan
strategik negara pada RMK 11. Justeru, sekiranya perkara ini tidak diberi perhatian akan
menyebabkan golongan ini terus terpinggir dalam arus pembangunan ekonomi dan arus
perdana. Lantaran itu, penyisihan sosial ini harus diteliti untuk dilihat penentu
berlakunya perkara tersebut. Ini kerana penyisihan sosial secara tidak langsung akan
mewujudkan masalah ekonomi dan sosial yang ketara seperti ketaksamaan pendapatan,
ketersampaian pendidikan, makanan yang berkhasiat, peningkatan kadar jenayah,
3
penularan wabak penyakit serta kepincangan dalam institusi rumah tangga dan
seterusnya akan mewujudkan label baharu terhadap golongan ini dan akan terus diwarisi
kepada generasi berikutnya.
1.1 Latarbelakang Kajian
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang ditubuhkan pada 1 Februari
1974 merupakan agensi yang bertanggungjawab menguruskan hal ehwal Islam di
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, seterusnya Labuan dan Putrajaya turut menyertai
Wilayah Persekutuan pada 1984 dan 2001. Bidang utama fungsi MAIWP ialah
menguruskan kutipan dan agihan zakat di tiga Wilayah Persekutuan. Bidang kutipan
zakat diuruskan oleh Pusat Pungutan Zakat-Maiwp dan bahagian agihan pula diuruskan
oleh Baitulmal-Maiwp. Pihak Baitulmal-Maiwp berusaha untuk memastikan bantuan
atau agihan zakat dapat memberi kesan positif kepada asnaf dengan mewujudkan skim
bantuan zakat sebanyak 28 skim bantuan yang inklusif. Wilayah Persekekutuan
mendominasi sebagai agihan tertinggi berbanding Wilayah Persekutuan Putrajaya dan
Labuan (Laporan Tahunan Maiwp 2016). Pada tahun 2016 jumlah penerima bantuan
zakat Baitulmal-Maiwp adalah seramai 24,373 orang dengan jumlah keseluruhan adalah
berjumlah RM 105.77 juta (Laporan Tahunan MAIWP 2016). Skim bantuan kewangan
bulanan merupakan salah satu 28 skim yang diwujudkan di Baitulmal-Maiwp untuk
golongan fakir miskin dan muallaf bagi membantu mereka mengurangkan bebanan kos
sara hidup secara bulanan. Penerima bantuan bulanan ini terdiri daripada mereka yang
mempunyai pendapatan kurang daripada had kifayah iaitu tidak dapat untuk memenuhi
tuntutan keperluan asas. Selain itu, skim bantuan kewangan bulanan merupakan skim
agihan yang tertinggi iaitu sebanyak 32 peratus berbanding skim bantuan yang lain
(Laporan Tahunan MAIWP 2016).
Suatu usaha penelitian terhadap golongan penerima ini perlu dikaji secara mendalam
kerana peratusan penerima setiap tahun meningkat disamping kadar graduasi yang
rendah. Berdasarkan Laporan Tahunan MAIWP (2015), jumlah penerima pada tahun
2011 adalah seramai 14399 orang dengan jumlah RM50.81 juta iaitu peningkatan
sebanyak 69 peratus berbanding 2016. Meskipun bantuan bulanan telah diberikan
hanya segelintir sahaja yang graduasi dan selebihnya kekal menerima bantuan bulanan.
Bagi data tahun 2016 golongan yang bergraduasi adalah sebanyak 1458 ketua keluarga
yang mana mereka telah memperolehi pendapatan melebihi had kifayah iaitu hanya
sekitar 5.6 peratus sahaja (Laporan Tahunan Maiwp 2016). Selebihnya 94.3 peratus
masih kekal dengan kedaifan yang ketara dan masih belum mampu untuk bergraduasi.
Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi golongan ini kekal tersisih dalam
kalangan asnaf dan salah satu faktor utama yang mempengaruhinya ialah melalui
pendidikan.
Fungsi pendidikan telah banyak dibincangkan dan diberi penekanan sebagai kaedah
terbaik dalam pembentukan modal insan yang berjaya seimbang duniawi dan ukhrawi.
Hamizul (2017) melalui kajian pengalaman di Lembaga Zakat Selangor telah
mewujudkan Program Pembangunan Pendidikan (PPP) khusus untuk membangunkan
4
para asnaf melalui instrumen pendidikan. Kajian Gunawan (2002) masyarakat miskin
sebab hilang upaya dan tidak mampu dalam hal meningkatkan tahap pendidikan. Fields
(1980) kajian beliau terhadap negara membangun (Brazil, India, Malaysia, Pakistan,
Taiwan dan Thailand), mendapati kadar kemiskinan akan menurun dengan kadar
pendidikan, manakala Syed Husin Ali (1975) berhujah bahawa kemiskinan merupakan
wujud kekurangan mendapatkan keperluan asasi yang mana antaranya ialah pendidikan.
Justeru sejauh manakah bantuan kewangan bulanan yang diberikan kepada golongan
asnaf ini dapat mempengaruhi kualiti pendidikan untuk membawa mereka agar mampu
bergraduasi. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk mengkaji secara mendalam terhadap
gelagat asnaf dalam aspek Ekonomi, Modal Sosial Nilai Kemasyarakatan, Kesihatan, dan
Pendidikan. Kajian ini penting untuk mendedahkan sisi sudut kewajaran yang sebenar
mengapa asnaf masih kekal tersisih dan ia juga penting kepada pihak Baitulmal-Maiwp
untuk memberi nilai tambah terhadap skim bantuan bulanan yang tidak hanya
berbentuk monetari sahaja.
2. OBJEKTIF KAJIAN
Berdasarkan perbincangan permasalahan kajian, kajian ini bertujuan:
i. Mengenal pasti penentu penyisihan sosial dikalangan asnaf Baitulmal-Maiwp.
ii. Menganalisis aspek dan faktor-faktor berlaku penyisihan sosial dikalangan asnaf
Baitulmal-Maiwp.
3. KAJIAN LEPAS
Penyisihan sosial merupakan suatu bentuk baharu kemiskinan yang meliputi pelbagai
demensi. Ia tidak hanya melibatkan pendapatan, ia mencangkupi aspek sosialisasi,
kefahaman dan sekitaran (Siti Hajar 2009). Selain capaian terhadap pasaran buruh ia juga
tersisih didalam pasaran wang dan kredit yang menyebabkan kegagalan untuk akses ke
dalam pasaran kewangan dan seterusnya berisiko tersekat dalam lingkaran kemiskinan
sehingga mewarisi lingkaran ini kepada generasi seterusnya (Mohd Adib et. al 2015).
Antara ciri negatif penyisihan sosial ini ialah kemiskinan, menjejaskan kesihatan dan
pendidikan, mengurangkan produktiviti, ketaksamaan pendapatan, peningkatan kadar
jenayah, dan mengancam kesejahteraan (Mohd Adib et. al 2015).
Kajian oleh Nik Mohd Azim Nik Ab Malik et. al, (2015) mengkaji keberkesanan
filantropi Islam iaitu zakat dan waqaf dalam berperanan terhadap golongan tersisih
dengan meningkatkan keterlibatan mereka dengan mewujudkan tabung kewangan
waqaf dan pasar waqaf serta integrasi pemberian modal melalui bantuan zakat
perniagaan kepada gologan tersebut.
Kajian oleh Mohd Adib Ismail et. al, (2015) pula dengan menggunakan filantropi
Islam iaitu waqaf sebagai mekanisme agar mewujudkan integrasi ekonomi dan sosial
dengan keterlibatan golongan tersisih ini terhadap peluang pekerjaan, akses kepada
bantuan modal, lokaliti perniagaan serta jaringan kesatuan golongan peniaga dalam
memberi penyertaan terhadap mereka terhadap aktiviti ekonomi. Ia secara tidak
5
langsung mewujudkan self estem iaitu keyakinan diri dan motivasi untuk mereka
memajukan diri dan seterusnya berdaya maju.
Kajian Siti Hajar Abu Bakar et. al, (2012) dalam membawa penyertaan golongan
tersisih ini dengan intervisi sosial melalui tiga pendekatan iaitu remedi sosial, pemulihan
sosial, dan pembangunan komuniti. Dengan pendekatan ini golongan ini akan dibawa
semula dalam penyertaan sosialisasi bagi meningkatkan pembangunan ummah.
Mohd Parid (2001) telah mencadangkan 12 kaedah dalam memastikan pengagihan
zakat dapat dilakukan oleh institusi zakat. Antaranya, beliau berpendapat pengagihan
kepada lapan asnaf jika dilakukan mestilah saksama dan tidak semestinya sama dan ia
terpulang kepada ijtihad pemerintah atau imam. Ini menunjukkan konsep keadilan perlu
dijadikan sebagai antara asas utama pengagihan zakat. Adalah dijangkakan bahawa
kesan pengagihan zakat akhirnya akan mengeluarkan asnaf zakat terutamanya fakir dan
miskin terkeluar daripada golongan penerima zakat malah bertukar menjadi pembayar
zakat dan akhirnya menjadi guna tenaga yang produktif kepada ekonomi negara.
Pengagihan zakat merupakan satu elemen yang sangat penting kerana ia menunjukkan
bagaimana dana zakat dapat memberi impak kepada masyarakat dan negara dalam
aspek pembasmian kemiskinan dan pembangunan ekonomi (Mannan, 2003; Wess, 2002;
dan Hassan & Khan, 2007). lmplikasinya, pengurusan dana zakat yang cekap adalah
dituntut agar pelaksanaannya dapat mencapai objektif yang ditentukan.
Kajian Mohd Parid (2001) juga membincangkan pelbagai kaedah pengagihan zakat
menurut perspektif Islam. Menurut beliau pengagihan zakat perlu mencapai satu tahap
kecukupan dan keselesaan kehidupan golongan penerima zakat serta keluarga yang
ditanggungnya. Menurut beliau lagi, agihan tersebut perlu mencapai kadar tertentu yang
menjamin kualiti hidup yang berterusan. Ia membawa maksud kesan agihan zakat
kepada asnaf perlu mencapai satu piawaian kualiti hidup sekurang- kurangnya mencapai
kegunaan barang keperluan dan kecukupan. Di Malaysia, kualiti hidup individu boleh
dilihat dalam pelbagai aspek termasuklah kemajuan diri, gaya hidup yang sihat,
kecapaian dan kebebasan untuk memperoleh pengetahuan dan menikmati taraf hidup
yang melebihi keperluan asas dan psikologi individu untuk mencapai tahap
kesejahteraan sosial seiring dengan hasrat negara (Unit Perancang Ekonomi,2002).
Hairunizam Wahid et. al (2010) dalam kajian pengagihan zakat yang berkesan
mengkaji tahap ketidakpuashati masyarakat terhadap bantuan zakat. Ini kerana masalah
yang timbul adalah berkaitan maklumat tentang asnaf yang tidak secara kolektif.
Pengkaji mensarankan agihan zakat dilakukan secara lokaliti melalui masjid, ketua
kampung yang mempunyai maklumat yang lebih erat terhadap ahli kariahnya.
Hairunnizam et. al (2004) dapatan kajian mendapati bantuan zakat bulanan tidak
meningkatkan kepuasan golongan miskin yang menerima zakat tersebut. Bantuan zakat
yang diterima merupakan dalam bentuk tunai dan dianggap sebagai bayaran pindahan
sahaja (tidak produktif). Oleh itu, golongan miskin seolah-olah beputus-asa dengan nilai
bantuan zakat yang amat sedikit. Oleh kerana bantuan dari segi pendidikan telah
tersedia oleh kerajaan, bantuan zakat yang kecil dilihat tidak memberi signifikan
terhadap mereka. Kajian tersebut juga melihatkan respon yang bagus kerana golongan
miskin mula memberi penekanan terhadap tahap pendidikan anak mereka. Ini adalah
kerana kualiti hidup manusia amat dipengaruhi oleh pendidikan yang akhirnya akan
6
meningkatkan pendapatan masyarakat dan negara. (lihat Schulz,7963; Todaro, 1994;
Rahmah Ismail, 1996).
Kajian oleh Hairunnizam et. al, (2011) menyatakan institusi masjid memainkan
peranan penting sebagai perantara amil dan asnaf bagi merealisasikan keberkesanan
agihan untuk membasmi kemiskinan secara inklusif rohani dan jasmani. Faktor kekuatan
rohani dan jiwa dalam penerima zakat merupakan keutamaan yang harus diubah tidak
semestinya tertumpu kepada faktor ekonomi sahaja.
Justeru kelompangaan kajian terhadap aspek penentuan sosial dalam kalangan asnaf
memberi motivasi kepada pengkaji untuk membuat kajian lebih mendalam terhadap
faktor penentuan sosial dikalangan asnaf dan seterusnya agar memberi nilai tambah
terhadap bantuan sokongan yang tidak hanya sekadar bantuan berbentuk monetari atau
kewangan semata.
4. METODOLOGI
Secara keseluruhan kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif iaitu kaedah temubual
secara mendalam semi struktur dan terbuka. Kaedah kualitatif amat berkesan dalam
memberi pemahaman yang lebih luas tentang tingkah laku. Menurut Eyisi ( 2016)
suatu kaedah bagi melihat situasi kehidupan sebenar dengan lebih luas dan mendalam.
Kaedah persampelan yang digunakan dalam kajian ini adalah daripada asnaf yang
menerima bantuan kewangan bulanan. Pengkaji mendapatkan data keseluruhan
penerima bantuan kewangan bulanan daripada Baitulmal-Maiwp. Setelah itu, pengkaji
membuat pemilihan responden berdasarkan ciri-ciri tertentu seperti Ketua Isi Rumah
(KIR) yang mempunyai anak-anak yang masih bersekolah samada di peringkat sekolah
rendah, sekolah menengah dan di institusi pengajian tinggi (IPT) atau yang telah bekerja.
Bagi melihat secara inklusif terhadap keberkesanan bantuan kewangan bulanan,
pembahagian soalan dirangka berdasarkan 4 faktor utama iaitu, aspek Ekonomi, Modal
Sosial Nilai Kemasyarakatan, Kesihatan, Pendidikan, dan Jaminan Sosial. Selain daripada
4 soalan utama tersebut, pengkaji memilih asnaf yang menetap di kawasan Projek
Perumahan Awam Rakyat (PPR) serta di kawasan perumahan taman atau rumah
kampung. Pengkaji juga memilih responden terdiri daripada penerima bantuan
kewangan bulanan yang lama dan baharu.
Bagi mencapai objektif kajian, pengkaji telah melakukan kajian lapangan dengan
membuat temubual mendalam secara konsisten terhadap responden sehingga
maklumat yang diterima menjadi tepu pada responden yang ke-20. Berdasarkan
temubual tersebut pengkaji membuat analisis maklumat secara deskriptif (huraian)
dengan menggunakan kaedah naratif. Jadual 1 menunjukkan demografi responden serta
jumlah bantuan bulanan yang diterima oleh asnaf.
7
JADUAL 1. DEMOGRAFI RESPONDEN & JUMLAH BANTUAN BULANAN YANG DITERIMA
Responden Jantina Umur Status Jumlah Bantuan
Kartini Perempuan 62 Ibu Tunggal RM300
Kamal Lelaki 39 Berkahwin RM450
Hamzah Lelaki 34 Berkahwin RM400
Jalaludin Lelaki 27 Berkahwin RM300
Azizi Lelaki 41 Berkahwin RM250
Siti Perempuan 32 Ibu Tunggal RM250
Mohd Lelaki 40 Berkahwin RM250
Zulhelmi Lelaki 47 Berkahwin RM400
Othman Lelaki 46 Duda RM400
Shah Lelaki 34 BerKahwin RM400
Hussin Lelaki 45 Berkahwin RM450
Siti Perempuan 37 Ibu Tunggal RM200
Hazel Lelaki 40 Berkahwin RM400
Rohana Perempuan 38 Ibu tunggal RM600
Nizam Lelaki 42 Berkahwin RM400
Habib Lelaki 49 Berkahwin RM450
Rezduan Lelaki 37 Duda RM250
Fatima Perempuan 42 Ibu Tunggal RM350
Shahudin Lelaki 40 Berkahwin RM350
Hafizal Lelaki 40 Berkahwin RM250
5. HASIL KAJIAN
Kajian ini menggunakan sepenuhnya persampelan daripada penerima bantuan
kewangan bulanan Baitulmal-Maiwp. Hasil penemuan kajian dibahagikan kepada 5
permasalahan utama iaitu (1) Ekonomi, (2) Modal Sosial Nilai Kemasyarakatan, (3)
Kesihatan, (4) Pendidikan dan (5) Jaminan Sosial. Pemasalahan ini akan melihat faktor
penyisihan sosial dalam kalangan asnaf serta melihat gelagat asnaf dalam menguruskan
kehidupan seharian mereka secara menyeluruh dan seterusnya implikasinya terhadap
asnaf tersebut.
5.1 Ekonomi
Aspek ekonomi ini melihat kepada pendapatan yang diperolehi melalui pekerjaan yang
dilakukan oleh asnaf. Jumlah pendapatan yang diperolehi amat berkait dengan jenis
pekerjaan yang dilakukan. Responden pertama bekerja secara sambilan sebagai pencuci
pinggan di kedai makan. Beliau bekerja kerana suaminya terjebak dengan dadah. Kini
beliau menggalas tugas sebagai ketua keluarga dengan mempunyai tiga orang anak.
Salah seorang anak beliau adalah kanak Orang Kurang Upaya (OKU). Dengan mempunyai
pendidikan di peringkat SPM beliau tidak boleh memilih kerja kerana tidak mempunyai
pilihan.
8
Saya bekerja secara sambilan dengan menggambil upah cuci pinggan di restoran berdekatan rumah
secara sambilan dengan upah berdasarkan hari iaitu mengikut syif selama 9 jam, sekiranya ada kerja ada
gaji. Saya kerap mengambil cuti untuk menguruskan anak OKU yang perlu menjalani rawatan terapi di
hospital. Ketika bekerja anak-anak terpaksa saya tinggalkan di rumah dengan dijaga dengan anak yang
lebih besar serta meminta bantuan jiran sebelah rumah sekiranya berlaku apa-apa. (Isteri Hazel- 31 Tahun)
Responden kedua pula memperoleh pendapatan melalui berniaga burger di kawasan
kejiranan. Beliau merupakan seorang duda dan menanggung 5 orang anak dan
kesemuanya masih bersekolah. Beliau hanya mempunyai pendidikan di peringkat PMR.
Saya hanya berniaga secara kecilan dengan pendapatan anggaran sebulan Rm1,500- RM2,000 pada
waktu malam sahaja. Waktu siang saya menguruskan persekolahan anak dengan menghantar dan
mengambil mereka pulang. (Rezduan-37 Tahun)
Responden seterusnya memperolehi pendapatan secara tidak tetap dan mengharapkan
pendapatan isterinya yang bekerja sebagai promoter di pasaraya. Beliau mempunyai
taraf pendidikan sehingga UPSR sahaja.
Saya kerja tidak tetap, ada kerja, adalah pendapatan. Saya kerja sambilan dengan ikut kawan angkat
barang, tunda kereta, dan pasang khemah kanopi. Itu sahaja yang saya mampu buat. Dahulu pernah kerja
dengan bawa teksi tapi sementara sahaja. (Azizi-41 tahun)
Contoh di atas merupakan jenis pekerjaan yang dilakukan oleh asnaf. Kekangan untuk
mendapatkan pendapatan yang tinggi amat terhad kerana taraf pendidikan yang rendah.
Disamping itu, faktor perbelanjaan negatif seperti perbelanjaan ke atas rokok dengan
ditambah dengan masalah penggunaan dadah oleh ketua keluarga memberi kesan buruk
terhadap ekonomi keluarga asnaf.
5.2 Modal Sosial Nilai Kemasyarakatan
Pengkaji membuat pembahagian kepada 3 elemen utama iaitu hubungan kekeluargaan,
hubungan kemasyarakatan dan hubungan dengan keagamaan sebagai kayu ukur. Bagi
permasalahan di peringkat rumahtangga terdapat suami tidak menjalankan fungsi
sebagai pemberi nafkah dan meninggalkan isteri tanpa penceraian. Permasalahan
seperti dadah, berjudi, curang, dan penderaan fizikal dan emosi merupakan elemen yang
berlaku dikalangan mereka. Responden pertama seorang ibu tunggal yang terpaksa
menjadi ketua keluarga setelah diceraikan oleh suami.
Bekas suami telah lama tidak beri nafkah, urusan anak semua saya uruskan sendiri. Saya juga tidak dapat
meluangkan masa bersama anak kerana terpaksa membuat pelbagai kerja sambilan. Urusan anak emak
banyak membantu untuk tolong jaga mereka apabila saya keluar bekerja. (Siti-37 Tahun)
Sementara itu responden kedua tidak bergaul dengan masyarakat dan tidak
membenarkan anak-anak beliau untuk bermain dikawasan kejiranan.
Kawasan sini orang suka bercerita buruk pasal kami disebabkan kami miskin. Persekitaran sini juga tidak
selamat untuk saya benarkan anak saya turun ke taman secara sendiri. Pernah terjadi kes seorang budak
perempuan kena cabul di dalam lift . (Rohana-38 Tahun)
9
Responden seterusnya tidak mempunyai masa untuk hadir ke masjid akibat masa bekerja
yang panjang dan terpaksa membuat kerja lebih masa untuk menampung perbelanjaan.
Saya bekerja melebihi 8 jam untuk kejar bayaran lebih masa, sekiranya harapkan gaji asas memang tidak
cukup. Sebab itu jarang ke Masjid dan tidak kenal dengan imam.(Kamal-39 Tahun)
Berdasarkan contoh berikut masalah penceraian, perasaan rendah diri, ekonomi dan di
tambah faktor luaran iaitu persekitaran yang tidak selamat menyebabkan golongan asnaf
ini tidak memikirkan sistem sosial dan nilai kemasyarakatan dalam kehidupan seharian
mereka. Perkara utama hanya untuk menampung kos sara hidup serta keselamatan
anak-anak sehingga terpaksa menggabaikan perkara lain.
5.3 Kesihatan
Hampir kesemua asnaf mempunyai tahap kesihatan yang tidak memuaskan dan sejarah
keluarga yang mempunyai masalah kesihatan kronik. Responden pertama seorang
perokok, pernah mengalami kemalangan sehingga patah kaki dan mempunyai anak yang
mempunyai masalah jantung.
Kaki saya ini patah disebabkan kemalangan dahulu, seorang anak saya pula ada masalah injap jantung
tidak tertutup. (Mohd-35 Tahun)
Responden kedua juga merupakan seorang perokok, mempunyai masalah kesihatan yang
hampir sama dengan responden sebelumnya.
Hampir semua keluarga saya ada masalah kesihatan, seorang anak saya mempunyai asma, ibu
mempunyai kencing manis sehingga terpaksa dialisis. Ayah pula telah meninggal akibat kanser hidung.
(Hussin-45 Tahun)
Responden seterusnya pula seorang duda yang membesarkan 6 orang anak. Mempunyai
masalah kesihatan yang kronik serta masalah mental.
Saya mempunyai sakit jantung dan pernah membuat pembedahan. Saya sekarang bergantung kepada
ubat untuk tidur akibat tekanan disebabkan penceraian dengan isteri. Anak pula seorang mempunyai
asma dan seorang lagi OKU. Masyarakat beranggapan saya gila kerana pada waktu malam saya selalu
berkeliaran diluar rumah dan sering dilihat bercakap sendirian. (Othman- 46 Tahun)
Aspek kesihatan dilihat tidak diambil berat oleh kalangan asnaf. Walaupun mempunyai
sejarah penyakit keluarga, penjaggaan kesihatan masih tidak dititikberatkan dalam
kehidupan. Mereka juga tidak berkesempatan menyediakan makanan berkhasiat untuk
dibawa bekal kesekolah kerana faktor kekurangan barangan dapur, dan disebabkan
kesuntukan masa. Anak-anak juga tidak diberi didikan tentang permakanan yang
seimbang dan sihat. Tabiat ketua keluarga yang merokok memberi kesan buruk terhadap
kesihatan isteri dan anak-anak yang rata-rata mempunyai masalah asma.
10
5.4 Pendidikan
Kesemua asnaf hanya mempunyai tahap pendidikan ditahap sederhana dan yang
tertinggi adalah Sjil Pelajaran Malaysia. Namun begitu terdapat seorang ketua asnaf
mempunyai sijil kemahiran. Meskipun begitu, terdapat kalangan anak-anak asnaf
mempunyai tahap pendidikan tertinggi sehingga Ijazah Sarjana Muda dan ada yang pula
tidak menghabiskan pengajian mereka kerana pelbagai faktor yang antaranya adalah
ekonomi. Anak-anak asnaf yang masih belajar kebanyakan penerima bantuan pendidikan
samada di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi
(IPT) oleh Baitulmal-Maiwp. Pada peringkat sekolah rendah hampir kesemua asnaf tidak
menghantar anak mereka ke sekolah agama kerana faktor ekonomi. Responden pertama
terpaksa melupakan niat untuk belajar ke menara gading akibat masalah penceraian
kedua ibu bapanya.
Saya teringin hendak belajar dan telah mendapat tawaran ke universiti tapi disebabkan ibu bapa bercerai
ketika itu, saya terpaksa melupakan niat untuk belajar bagi membantu ibu dengan bekerja. Anak saya
hanya sekolah kebangsaan sahaja dan tidak sekolah agama. ( steri Jalal-27 Tahun).
Responden kedua pula berharap kepada anaknya untuk belajar sehingga ke peringkat
tertinggi supaya dapat mengubah nasib keluarga.
Saya belajar sampai SPM sahaja dan berharap anak belajar lebih tinggi dari saya. Sebab itu saya berharap
anak dapat masuk sekolah asrama penuh apabila sekolah menengah nanti, tapi tidak dapat kerana
keputusan peperiksaan yang tidak memuaskan. Anak saya tidak tuisyen seperti anak orang lain.( Habib-49
Tahun)
Responden seterusnya pula menyerahkan kejayaan anak-anak kepada mereka sendiri.
Budak-budak ini dah besar, tidak perlu paksa kalau hendak belajar. Kalau nak berjaya diorang sendiri kena
berusaha tidak perlu tuisyen pun boleh berjaya. Anak makcik semua tidak pergi tuisyen ada juga yang
berjaya belajar sampai ke universiti. (Kartini- 62 Tahun)
Kebanyakan asnaf tidak dapat membantu dalam pendidikan anak-anak kerana faktor
tahap pendidikan yang rendah. Kesemua rumah asnaf tidak mempunyai sudut
pembelajaran atau buku-buku ilmiah untuk dibaca dan aktiviti dirumah banyak
dihabiskan untuk membantu ibu bapa seperti mengemas rumah atau menguruskan adik
yang masih kecil. Bagi waktu lapang pula dihabiskan dengan menonton televisyen. Ini
menyebabkan tahap pendidikan anak asnaf di peringkat awal berada di tahap yang
lemah dan sukar untuk bersaing untuk mendapatkan tempat di Sekolah Berprestasi
Tinggi akibat keputusan peperiksaan yang tidak memuaskan.
5.5 Jaminan Sosial
Bagi asnaf yang mempunyai kerja tetap seperti pengawal keselamatan jaminan/ sekuriti
di hari tua hanya bergantung kepada sistem Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
dan Perkeso sahaja. Responden pertama yang bekerja sendiri tidak mempunyai apa-apa
jaminan sosial dan hanya bergantung sepenuhnya terhadap wang simpanan.
11
Saya bekerja sendiri dan tidak mempunyai KWSP seperti orang lain. Simpanan pula tidak pernah
sampai seribu, ada sahaja perkara yang perlu guna wang. (Fatima-42 Tahun).
Responden kedua berkongsi perkara yang sama, tidak dapat menyimpan dalam tempoh
yang lama.
Saya nak menyimpan jauh sekali, tidak cukup adalah, tapi saya cuba juga untuk simpan sikit hasil
lebihan untung jual burger untuk duit belajar anak-anak.( Rezduan-37 Tahun)
Responden seterusnya turut berkongsi perkara yang sama apabila ditanya simpanan
untuk pergi Haji.
Makcik hendak tampung sara hidup pun tidak mencukupi inikan pula hendak simpan pergi Haji.
Orang yang pergi Haji itu semua kan orang yang kaya.( Kartini, 62 Tahun)
Tabungan asas seperti simpananan untuk sakit, pendidikan anak dan kecemasan tidak
mampu diwujudkan oleh asnaf akibat faktor ekonomi. Sekiranya berlaku kecemasan
mereka akan berhutang kepada saudara, jiran tetangga atau hadir ke Baitulmal-Maiwp
untuk mendapatkan bantuan kecemasan.
6. PERBINCANGAN DAN IMPLIKASI DASAR
Berdasarkan hasil kajian dapat dirumuskan bahawa para asnaf sememangnya
mempunyai kesulitan bukan hanya melibatkan faktor ekonomi malah mempunyai
pelbagai dimensi. Kepelbagaian dimensi ini yang menyebabkan golongan asnaf ini kekal
dengan masalah kemiskinan kerana berlaku penyisihan sosial terhadap mereka.
Ditambah dengan tahap pendidikan yang rendah dan tidak mempunyai kemahiran
khusus akan memberi kesulitan dalam memilih kerjaya kelak. Ini akhirnya menyebabkan
asnaf akan semakin tersisih dalam kelompok masyarakat. Kehidupan mereka hanya
melibatkan sekitaran sahaja dan tidak melihat secara luas dalam pelbagai aspek.
Kesulitan ekonomi telah meletakkan mereka jauh tersisih dan merasa ketidakperluan
bagi berusaha untuk memperbaiki tahap pendidikan serta memberi sumbangan
terhadap aktiviti ekonomi. Konsep pekerjaan sebagai suatu ibadah tidak diambil berat
sebagai seorang Islam (Farhana Sidek et. al. 2018 ). Pola kehidupan mereka hanya cukup
sekadar menampung keperluan sara hidup asas sahaja. Terdapat beberapa perlaksanaan
implikasi dasar yang boleh dilakukan dalam memberi nilai tambah kepada bantuan
kewangan bulanan ini bagi membawa para asnaf atau anak-anak asnaf kembali aktif
dalam landasan yang positif.
6.1 Penjanaan Pendapatan Melalui Peningkatan Pendidikan dan Kemahiran
Pendapatan yang di perolehi oleh asnaf amat rendah dan sederhana. Kebanyakan
pekerjaan yang mampu dilakukan oleh asnaf memerlukan kemahiran asas yang rendah.
12
Ini menyebabkan mereka memperolehi pendapatan rendah. Ditambah penawaran kerja
tersebut mempunyai permintaan yang tinggi maka mereka terpaksa akur dengan
tawaran gaji yang ditawarkan oleh pasaran. Ini kerana mereka tidak terserap dalam
sistem ekonomi pasaran dan pasaran buruh yang lebih baik dibandar akibat kekurangan
aspek pendidikan dan kemahiran yang sesuai bagi sesebuah masyarakat moden (Mohd
Taib Dora 2000).
Hasil kajian asnaf yang mempunyai sijil kemahiran tertentu mempunyai peluang
pekerjaan yang luas serta membolehkan mereka menjana pendapatan yang tinggi
kerana kemahiran yang dimiliki tersebut. Pihak institusi zakat perlu memberi penekanan
untuk mengadakan kursus kemahiran kepada asnaf dengan memberi insentif berbentuk
elaun yang secukupnya bagi mereka menghadiri kursus tersebut tanpa menjejaskan
pendapatan harian mereka. Kursus kemahiran pula harus mempunyai permintaan
pasaran seperti kemahiran menjahit, membaiki kasut, kemahiran membuat kunci
pendua, kemahiran membaiki jam dan sebagainya. Permintaan terhadap kemahiran ini
masih lagi terhad dari segi penawarannya di dalam pasaran.
Selain itu, aspek pendidikan anak-anak asnaf harus di beri penekanan di peringkat
awal persekolahan. Ini bagi melahirkan anak-anak asnaf yang mempunyai pendidikan
tinggi bagi memperbaiki ekonomi keluarga. Bagi anak asnaf yang mempunyai potensi
dalam bidang akademik maka segala inisiatif untuk menjayakan perlu diberi perhatian
dengan bantuan berbentuk kewangan dan bantuan sokongan seperti bantuan kewangan
tuisyen serta galakan motivasi.
Justeru dengan peningkatan kemahiran dan pendidikan akan memberi laluan kerjaya
yang lebih luas kepada asnaf serta anak asnaf untuk meningkatkan pendapatan mereka
dan seterusnya mampu memilih kerjaya yang mempunyai jaminan sosial yang baik
berbanding sekarang.
6.2 Meningkatkan Hubungan Sosial Asnaf
Penyisihan sosial dari aspek sosial telah menyebabkan kesan negatif terhadap
pembangunan individu dan keluarga. Ini menyebabkan kesan psikologi seperti
kemurungan, kebimbangan, keyakinan diri yang rendah dan perasaan terasing
(Goodban 1985). Ini terbukti kerana mereka hidup dalam sekitaran sahaja dan tidak
mempunyai hubungan sosial yang aktif di kawasan kejiranan. Selain itu, ia juga akibat
kesan kegagalan mereka untuk menempatkan diri dalam sektor ekonomi moden
dibandar telah meningkatkan perasaan kekecewaan dan sikap bergantung kepada
bantuan kerajaan (Weinberg 1970).
Pihak institusi zakat perlu mewujudkan hubungan kekeluargaan dengan asnaf agar
dapat memberi motivasi dan keyakinan untuk asnaf untuk memperbaiki hubungan sosial
mereka. Pihak institusi zakat juga boleh menggunakan lokaliti masjid/surau yang
berdekatan dengan kawasan rumah asnaf. Ini boleh dilaksanakan dengan pihak masjid/
surau memperolehi maklumat asnaf serta membuat kunjungan secara berkala untuk
membuat jaringan ukhwah dirumah asnaf. Oleh kerana faktor tenaga kerja di institusi
zakat yang terhad dari sudut tenaga kerja untuk turun menyantuni asnaf secara berkala,
kerjasama dengan pihak masjid/surau dilihat sebagai alternatif untuk menyantuni
golongan asnaf ini secara berkala. Ia secara tidak langsung dapat memperbaiki hubungan
13
sosial asnaf terhadap hubungan kekeluargaan, hubungan kemasyarakatan dan hubungan
keagamaaan. Selain itu kerjasama institusi zakat dengan pihak masjid / surau dalam
mengadakan pelbagai program harus mewajibkan keterlibatan asnaf yang berada
disekitarannya. Ini seterusnya dapat mengukuhkan hubungan keagamaan asnaf dengan
institusi masjid / surau.
Selain itu program berbentuk kesedaran berkaitan penjagaan kesihatan perlu
diberikan kepada asnaf bagi memberi kesedaran tentang kepentingan menjaga kesihatan
yang baik melalui pemakanan yang seimbang, serta aktiviti riadah untuk memastikan
tahap kesihatan yang baik. Ini kerana program kesedaran ini penting memandangkan
hampir kesemua asnaf mempunyai masalah kesihatan akibat tidak memberi penumpuan
terhadap penjagaan kesihatan.
6.3 Kuota Pendidikan Anak Asnaf
Pihak Institusi zakat boleh mewujudkan kuota untuk anak-anak asnaf bagi melanjutkan
pendidikan menengah di sekolah asrama bantuan kerajaan atau swasta. Tidak dinafikan
masalah rumah tangga yang berantakan, aktiviti sosial negatif di kawasan kejiranan akan
memberi kesan yang tidak sihat terhadap pembelajaran serta perkembangan anak asnaf.
Dengan mengambil anak asnaf yang berpotensi dalam pendidikan ini dan diletakkan di
bawah persekitaran sekolah serta kawasan positif akan mengembangkan potensi mereka
dan seterusnya memberi sinar terhadap masa hadapan anak asnaf dalam pendidikan.
Kelonggaran terhadap merit akademik perlu diturunkan dalam memberi ruang
kemasukan kepada golongan asnaf. Ini kerana mereka mempunyai kekurangan serta
kekangan dalam mendapatkan akses pendidikan awal persekolahan yang baik. Kerjasama
dengan kementerian pendidikan serta beberapa sekolah swasta yang berpotensi boleh
dilakukan juga. Dengan memberi pendidikan serta kemahiran yang baik kepada anak
asnaf akan membawa corak pemikiran serta perkara positif dalam keluarga asnaf
tersebut sebagai galakan ekonomi dan psikologi kepada ahli keluarga yang lain.
7. KESIMPULAN
Secara kesimpulan kajian ini menunjukkan bahawa kegagalan asnaf untuk keluar dari
kelompok asnaf itu bukanlah disebabkan faktor utama agihan bantuan kewangan
bulanan yang tidak mencukupi semata. Dimensi pendidikan dan faktor individu dengan
institusi menyebabkan berlaku penyisihan sosial dikalangan asnaf. Pendidikan
merupakan senjata utama untuk membuka ruang perjalanan asnaf kepada sumbangan
aktiviti ekonomi yang produktif. Dalam mencapai negara maju, Malaysia perlu
memastikan masyarakatnya mempunyai tahap pendidikan yang baik serta berkemahiran
tinggi bagi merealisasikan impian menjadi negara maju. Perkara ini sukar dicapai
sekiranya golongan asnaf tidak diberi pendidikan yang sewajarnya. Justeru, kewajaran
dalam melihat agihan bantuan zakat bukan sekadar berbentuk kewangan harus diberi
penekanan dan keutamaan. Meskipun begitu, jumlah bantuan kewangan bulanan zakat
wajar ditingkatkan tetapi sekiranya asas kepada permasalahan tersebut tidak dirawat
maka ia akan menjadikan agihan zakat itu yang hanya sekadar pemberian monetari
tanpa ada implikasi yang besar terhadap ekonomi khusunya ekonomi umat Islam.
14
Sehubungan itu, permasalahan asnaf itu perlu diteliti secara inklusif kerana ia bukan
hanya bersifat ekonomi tapi ia mempunyai pelbagai dimensi atau dikenali sebagai
penyisihan sosial yang merupakan suatu bentuk baharu kemiskinan pada era ini.
Rujukan
Chamhuri Siwar & Mohd Haflah Piei (1998a) : Isu, Konsep dan Dimensi
Kemiskinan ;Kumpulan Rencana Tentaang Kemiskinan, Dewan Bahasa dan
Pustaka:Kuala Lumpur
Eyisi, D.(2016). The usefulness of qualitative and quantitative approaches and methods in
researhing probelm –solving ability in sciece education curriculum. Journal of
Education and pratice, 7(15),91-100
Farhana Sidek, Kathryn Pavlovich & Jenny Gibb (2018). Entrepreneurship as worship : A
Malay Muslim Perspective. Journal of Management & Organization : 1-13.
Cambrigde University Press and Australian and New Zealand Academy of
Management.
Goodban, N. (1985). The psychological impact of being on welfare. Social Services
Review. 59: 403-422
Hairi Abdullah (1984). Kemiskinan dan Kehidupan Golongan Berpendapatan Rendah,
Universiti Kebangsaan Malaysia: Bangi
Hairunnizam Wahid, Sanep Ahmad, Radiah Abdul Kader (2010). Pengagihan Zakat Oleh
Institusi Zakat Kepada Lapan Asnaf: Kajian Di Malaysia. Jurnal Pengurusan
Jawhar. 4(1): 147-170.
Hairunnizam Wahid, Sanep Ahmad & Radiah Abdul Kader (2010). Pengaruh faktor
Keagamaan terhadap Kualiti Hidup Individu: Kajian Kes Asnaf Fakir dan
Miskin. Kertas dibentangkan di Seminar Kebangsaan MACFEA ke-14: Hala
Tuju Penyelidikan Kepenggunaan.13-14 Julai.
Hairunnizam Wahid, Sanep Ahmad, Mohd Ali Mohd Noor (2004). Kesan Bantuan Zakat
Terhadap Kualiti Hidup Asnaf Fakir dan Miskin. Journal of Muamalat and
Islamic Finance Research.1(1):151-165.
Hamizul Abdul Hamid (2017). Menangani kemiskinan Melalui Pendidikan Asnaf :
Pengalaman Lembaga Zakat Selangor. Persidangan Pilantropi Untuk Bantuan
Kemanusian 2017. Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Brunei
Darussalam
Hassan M.K & Khan J.M. (2007). Zakat, External Debt and Poverty Reduction
Strategy in Bangladesh. Journal Of Economic Cooperation. 28 (4) 1-38
Kartini Aboo Thalib @ Khalid (2016). Dilema Kemiskinan :Falsafah, Budaya dan
Strategi. Akademika 86 (2) Oktober : 65-78.
Kiky Kirina Abdillah, Junaenah Sulehan (2015). Kemunduran Sosiokonomi Dan
Penyisihan Sosial Komuniti Bumiputera di Bandaraya Kuching : Kajian Kes di
Kampung Kudei Baru dan Kampung Sinar Budi Baru Batu Kawa. GEOGRAFIA
Online
TM
, Malaysian Journal of Society and Space 11: Issue 13(131-141)
Laporan Tahunan Jabatan Perangkaan Malaysia (2016)
https://www.dosm.gov.my
Laporan Tahunan Maiwp 2015 & 2016
https://www.maiwp.gov.my
Mannan M.A. (2003). Public Sector Management of Zakat dalam:Hannan S.A (eds.).
15
Zakat and Poverty Alleviation. Dhaka: Islamic Economics Research Bureau.
Mohd Adib Ismail, Nik Mohd Azim Nik Ab Malik & Muhammad Hakimi Mohd Shafial
(2015). Empowering Peripheral Ummah Through Waqaf. The Journal of
Muamalat and Islamic Finance Research 12:31-41
Mohd Fauzi Mohd Harun. 2006. Peminggiran dan kemiskinan orang Asli di negeri Perak.
Tesis Ph.D. Universiti Kebangsaan Malaysia
Mohd Parid Syeikh Ahmad. 2001. Kaedah pengagihan dana zakat: Satu perspektif Islam.
Dlm. Kaedah Pengagihan Dana Zakat: Satu Perspektif Islam, disunting oleh Nik
Mustapha Nik Hassan. Kuala Lumpur: IKIM
Mohd Taib Dora (2000) Peminggiran Sosial : Keluarga Melayu Termiskin Bandar,
Universiti Teknologi Malaysia Skudai
Nik Mohd Azim Nik Ab Malik, Mohd Adib Ismail, Shahida Shahimi (2016). Penyisihan
Sosial Dan Penyelesaiannya Melalui Mekanisme Filantropi Islam. Jurnal
Muamalat. Jakim. Bil 8: 77-95
Siti Hajar Abu Bakar, Nuralina Omar, Abd Hadi Zakaria, Haris Abd Wahab (2012).
Intervensi Sosial Untuk Komuniti Tersisih :Ke arah Pembangunan Ummah.
Jurnal Hadhari. UKM (4) 2 : 29-44
Siti Hajar Abu Bakar Ah. 2009. Intervensi sosial untuk komuniti tersisih di Malaysia.
Dalam Raihanah Abdullah (penyunting). Pembelaan Kumpulan Minoriti di
Malaysia. hlm.181-205. Kuala Lumpur: Perpustakaan Negara Malaysia.
Social exclusion Unit (2004). The Social Exclusion Unit. London: Office of Deputy
Prime Minister
Unit Perancang Ekonomi. 2010. Buku Rancangan Malaysia kesepuluh 2011-2015.
Putrajaya: Unit Perancangan Ekonomi Jabatan Perdana Menteri
Unit Perancang Ekonomi. 2011. Buku Rancangan Malaysia kesebelas 2016-2020.
Putrajaya:Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat .Unit Perancangan Ekonomi Jabatan
Perdana Menteri
Weinberg, S.K (1970). Social Problems in Modern Urban Society, Edisi Kedua, Prentice
Hall: Unites State.