Content uploaded by Khairul Azhar Meerangani
Author content
All content in this area was uploaded by Khairul Azhar Meerangani on Feb 02, 2018
Content may be subject to copyright.
International Seminar on Islamic Jurisprudence in Contemporary Society
ISLAC2013
552
HAK ASASI BUKAN MUSLIM DI MALAYSIA: ANALISIS ISU
TERPILIH
Khairul Azhar Meerangani*, Syamsul Azizul Marinsah**
Muhamad Asyraf Ahmad Termimi**, Muhammad Ikhlas Rosele*
Rahimin Affandi Abdul Rahim***
*Pelajar pascasiswazah (Ph.D), Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian
Islam, Universiti Malaya
**Pelajar pascasiswazah (MA), Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian
Islam, Universiti Malaya
***Prof. Madya (Ph.D), Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya
Abstrak: Persoalan hak asasi sering menjadi pertikaian dalam kalangan masyarakat
terutamanya apabila menyentuh isu-isu sensitif berkaitan agama. Pelbagai persepsi dan
pandangan yang ditonjolkan bagi menyampaikan konsep sebenar hak asasi berdasarkan kaca
mata mereka sendiri. Di Malaysia, antara perkara hangat yang menjadi pertikaian antara
masyarakat Muslim dan Bukan Muslim adalah sejauh mana kedudukan Islam sebagai agama
dan pegangan rasmi mampu memenuhi keperluan hak asasi semua pihak. Maka, kajian ini
akan menyoroti beberapa perbahasan prinsip Islam dalam menangani persoalan hak asasi
manusia. Kajian ini juga akan menganalisis isu terpilih berhubung persoalan hak asasi
semasa yang dibawa oleh COMANGO ke persidangan PBB menurut perspektif Islam. Hal ini
bagi mengenal pasti sama ada isu hak asasi yang ditimbulkan oleh gabungan NGO ini
bertepatan dengan peruntukan hak asasi yang ditawarkan oleh Islam atau sebaliknya. Hasil
kajian mendapati persoalan yang ditimbulkan sesetengah pihak berhubung hak asasi dilihat
lebih bersandarkan teori Barat tanpa mengambil kira asas yang telah ditetapkan oleh Islam.
Kata kunci: Hak asasi, bukan muslim, COMANGO, masyarakat.
Pengenalan
Persoalan hak asasi manusia merupakan antara elemen penting yang sering dibahaskan dalam
rangka mencari penyelesaian terbaik bagi memenuhi keperluan manusia. Pelbagai teori
dikemukakan bagi memastikan tuntutan tersebut mampu dipenuhi. Barat dilihat sering
menjadi juara dalam memperjuangkan isu ini di mana mereka dilihat sangat gah dalam
mengemukakan pelbagai teori-teori menarik dalam memperjuangkan hak asasi manusia.
Namun, jika diperhalusi dengan lebih teliti, maka kita akan dapat melihat beberapa
kepincangan dalam aspek praktikalnya di mana mereka sendiri banyak melakukan
pencabulan terhadap hak asasi manusia terutamanya melibatkan negara-negara Islam. Teori
International Seminar on Islamic Jurisprudence in Contemporary Society
ISLAC2013
553
hak asasi yang dikemukakan mereka juga dilihat hanya mementingkan keperluan luaran
semata-mata tanpa menitikberatkan penglibatan agama sebagai panduan dalam merangka
sesuatu ketetapan. Hal ini berbeza dengan prinsip hak asasi yang ditawarkan Islam di mana
panduan utama dalam perangkaan teori tersebut bersumberkan al-Quran dan al-Sunah sebagai
rujukan. Maka, prinsip yang ditawarkan oleh Islam ini dilihat lebih menyeluruh kerana ia
mampu mengimbangi di antara keperluan fizikal dan spiritual manusia. Jika kita menelusuri
sejarah, kita dapat menyaksikan sejarah awal kehidupan manusia yang mana hak asasi
manusia itu diselewengkan. Jaminan hak asasi pada ketika itu lebih menjurus kepada hak
yang di bawah keterikatan slogan “might is right”1 yang mana ia merujuk kepada kekuasaan
yang menentukan segala-galanya.
Hari ini, kita sering mendengar beberapa isu yang hangat sering diperdebatkan di
pentas perdebatan iaitu mengenai hak asasi manusia. Hak asasi manusia sebenarnya adalah
aspirasi setiap individu dan masyarakat yang ingin mengecapi kebahagiaan di dalam
hidupnya.2 Menurut Syed Muzaffar Ud-Din Nadiri, hak asasi manusia adalah “those rights
which are served as a basic a foundation of human interest and which cannot curtailed”.3
Dalam erti kata lain, hak asasi manusia boleh difahami sebagai kehendak manusia kepada
kelangsungan hidup yang lebih baik dan keselamatan serta perlindungan kehidupan yang
lebih terjamin.4 Di Malaysia, perbahasan mengenai hak asasi menjadi sedikit rumit kerana
pelbagai isu yang kurang berkaitan turut diadun sekali bagi menambahkan lagi kekusutan
yang ada. Contohnya, apabila menyentuh mengenai hak asasi bukan Muslim, maka isu
perkauman akan turut dipalitkan sekali sehingga membawa percambahan masalah yang sedia
ada. Maka, kertas kerja ini akan menilai sama ada persoalan hak asasi yang ditimbulkan
sememangnya berasas atau sekadar penambah rencah bagi menghangatkan isu yang sedia
ada.
Hak Asasi Manusia (HAM) Menurut Konsep Barat
Pemahaman HAM yang berkembang di Barat telah menempatkan manusia dalam aturan yang
terpisah dengan Tuhan (devided God). Hak asasi manusia merupakan hak yang secara
alamiah akan diperoleh seseorang sejak lahir. Perbezaan persepsi tentang manusia, hak-
1 Mohd Azizuddin Mohd Sani (2002), Hak Asasi Menurut Pandangan Islam dan Barat, Kuala Lumpur: PTS
Publication & Distributor Sdn. Bhd, hh. 1-2.
2 Ibid.
3 Syed Muzaffar Ud-Din Nadri (1976), Human Rights And Obligated, Dacca: S.M. Zahirullah, h. 14.
4 Lihat Adam Kuper & Jessica Kuper (2000), Ensiklopedia Ilmu-Ilmu Sosial Jakarta: Rajawali Pers, h. 464,
sila lihat juga Harun Nasution & Bathiar Effendi, ed. (1987), Hak Asasi Manusia Dalam Islam, Jakarta:
Yayasan Obor Indonesia, h. 14.
International Seminar on Islamic Jurisprudence in Contemporary Society
ISLAC2013
554
haknya, hingga nasibnya merupakan salah satu sebab yang memicu konflik antara dunia
Barat dengan Timur.5 Menurut Barat, hak asasi manusia dilatari dengan unsur sekularisme6
(memisahkan urusan dunia dan agama) yang mana HAM ini sepenuhnya berdasarkan pola
fikiran manusia.7 Dalam erti kata lain, HAM menurut Barat berdasarkan konsep
‘anthropocentric’8 iaitu manusia menjadi penentu nilai kerana akal dan nafsu menjadi
pertimbangan utama. Malah, ada yang berpandangan bahawa tiada tuntutan hak asasi secara
menyeluruh dalam sesuatu agama walaupun mereka tetap mengakui peranan agama dalam
memperkukuhkan konsep hak asasi manusia.9 Secara teorinya, konsep HAM menurut Barat
antaranya ingin menuntut hak semula jadi manusia (hak individualisme),10 hak kebebasan
politik,11 hak jaminan undang-undang yang merangkumi bidang ekonomi dan sosial,12 hak
persamaan dan partisipasi,13 dan hak positif serta hak negatif.14
Kesimpulannya, konsep HAM menurut perspektif Barat ini boleh dirumuskan
berdasarkan ucapan Presiden Amerika, Franklin D. Roosevelt pada tahun 1941 yang
menggariskan 4 jenis kebebasan yang berhak dimiliki oleh semua manusia iaitu kebebasan
beragama (freedom of religion), kebebasan untuk berbicara (freedom of speech), kebebasan
dari rasa takut (freedom from fear) serta kebebasan dari kemelaratan (freedom from want).15
5 Sudjana, Eggi (2002), Hak dalam Perspektif Islam, Mencari Universalitas HAM bagi Tatanan Modernitas
yang Hakiki, Jakarta: Nuansa Madani, hh. 9-10.
6 Muhammad Alim (2001), Demokrasi dan HAM Dalam Konstitusi Madinah dan UUD 1945, Yogjakarta: UII
Press, h. 5.
7 Hamlan AB. Andi Malla (2005), “Islam dan Hak-Hak Asasi Manusia”, Jurnal HUNAFA, 2(3), hh. 251-264.
8 Mahamad Naser Disa (2012), “Hak Asasi & Kebebasan Diri Perspektif Syara’ Dan Humanisme: Satu
Analisis Perbandingan”, kertas kerja dibentangkan di Seminar Pemikiran Liberalisme & Pragmatisme
anjuran JAIS di INTEKMA, Shah Alam, pada 28 Jun 2012, h. 13.
9 Donnelly, J. (2001), What are Human Rights ? Introduction to Human Rights, Washington: International
Information Programs, US Department of State, h. 7
10 Dalam hal ini, menurut Barat, sifat individualisme harus diraikan dalam HAM dan tidak boleh dipisahkan.
Kerajaan juga seharusnya menghormati hak-hak tersebut seperti hak berkahwin dengan kaum sejenis, dan
sebagainya. Asas kepada tuntutan hak ini dipelopori oleh Locke ketika abad ke 17. Idea beliau diterima dan
termaktub di dalam English Bill of Rights, 1688-1689; American Declarations of Independence, 1776. Sila
lihat Cook,J. (1978), Cultural Relativism as an Ethnocentric Notion, The Philosophy of Society London:
Metheun, h. 175.
11 Dalam hal ini, kebebasan politik yang dimaksudkan adalah mengenai had atau batas peraturan kerajaan.
Hak-hak politik ini terbahagi kepada dua iaitu hak semula jadi dan hak sivil. Maklumat lanjut berhubung
hak dan kewajipan politik, sila lihat Scruton, R. (1982), A Dictionary of Political Thought, London: The
Macmillan Press, hh.359-360.
12 Jaminan hak yang dimaksudkan adalah jaminan tentang hak-hak kemerdekaan sivil di samping menerima
perbezaan umum-peribadi dalam hubungan politik-ekonomi.
13 Hak persamaan yang dimaksudkan adalah hak-hak sivil dan politik serta keabsahan berupaya memperbaiki
tingkat-tingkat ketidaksamaan sosial melalui kemasukan kelompok baru dalam kelompok elit.
14 Hak-hak positif ialah hak-hak yang merangkumi hak-hak kebajikan seperti pendidikan, ekonomi, pekerjaan
dan keselamatan sosial. Hak-hak ini memerlukan campur tangan kuasa pemerintah. Manakala hak-hak
negatif ialah seperti kebebasan menyuarakan pendapat, berharta, hidup dan agama. Kebebasan ini merupakan
hak mutlak setiap individu yang mana pemerintah tidak boleh campur tangan ke atasnya. Sila lihat Renteln,
A.D (2009), Relativism and the Search for Human Rights, American Anthropologist, Vol. 90, p. 45.
15 Mohd Aizuddin Mohd Sani, op.cit, h.19
International Seminar on Islamic Jurisprudence in Contemporary Society
ISLAC2013
555
Pengisytiharan mengenai 4 kebebasan ini dilihat sebagai usaha pihak Amerika untuk
memperjuangkan hak asasi manusia secara universal tanpa mengambil kira penglibatan
agama sebagai salah satu unsur utama dalam penetapan teori HAM. Konsep HAM di Barat
juga sebenarnya mempunyai perdebatan yang luas kerana terdapat dua kelompok yang
masing-masing memperjuangkan hak asasi manusia berdasarkan pendekatan universalisme16
dan pendekatan relativisme.17
Hak Asasi Manusia Menurut Pandangan Islam
Konsep hak asasi manusia di dalam Islam sebenarnya merujuk kepada hak-hak yang telah
dikurniakan oleh Allah SWT sebagai pencipta kepada manusia sebagai ciptaan-Nya. Ia bukan
hasil ciptaan atau buah fikiran manusia tetapi ia dijelaskan oleh Allah di dalam Al-Quran dan
melalui utusannya Rasulullah SAW.18 Istilah hak dalam Islam merujuk kepada dua hak yang
utama iaitu hak manusia dan hak Allah. Setiap hak saling melandasi antara satu sama lain.
Menurut Dr. Wahbah al-Zuhaili, hak manusia ialah himpunan beberapa hak semula jadi yang
dimiliki oleh seseorang yang sangat berkait rapat dengan kewujudan tabiinya, yang
diperakukan secara alami walaupun belum diiktiraf atau yang dicerobohi oleh mana-mana
kuasa.19 Prinsip utama dalam pelaksanaan hak asasi ini adalah bersandarkan prinsip al-
karamah al-insaniyyah iaitu penghormatan dan kemuliaan terhadap martabat manusia
sebagaimana yang telah dijelaskan dalam Surah al-Israa :70.20 Hak manusia di dalam Islam
lebih sinonim dengan penetapan tiga bentuk hak iaitu hak al-daruriyat (keperluan manusia),
hak al-hajiyat (kepentingan manusia), serta hak tahsiniyyah (keselesaan manusia).21 Dalam
merealisasikan tuntutan hak al-daruriyyat ini, terdapat lima bentuk pemeliharaan yang telah
digariskan oleh Islam. Di antaranya pemeliharaan tersebut ialah dipelihara agamanya (hifz al-
din)22 jiwanya (hifz al-nafs)23 akalnya (hifz al-aql)24 hartanya (hifz al-mal)25 dan
16 Pendekatan universalisme ini mendukung kepada wujudnya satu aturan umum bercorak sejagat ke atas ke
atas hak asasi manusia dan mengamalkannya dalam lingkungan hak yang sama.
17 Pendekatan relativisme adalah pendekatan yang merujuk kepada kebudayaan dan tidak melihat kepada
wujudnya sebuah rangka hak asasi yang sejagat kerana setiap manusia itu dibezakan oleh pelbagai budaya,
agama, nilai, fahaman dan kepercayaan.
18 Mahamad Naser Disa (2012), op. cit, h. 7.
19 Wahbah al-Zuhayli (2005), Haq al-Hurriyyah fi al-‘Alam, Damsyiq: Dar al-Fikr, h. 35
20 Bermaksud : “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam dan Kami telah beri mereka
menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut dan Kami telah memberikan rezeki kepada
mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas
banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.”
21 Abdillah, Masykuri (1999), Demokrasi di Persimpangan Jalan, Respon Intelektual Muslim Indonesia
Terhadap Konsep Demokrasi (1966-1993), Yogyakarta: Tiara Wacana Yogya, h. 97.
22 Hifz al-din iaitu memberi jaminan hak ke atas umat Islam untuk memelihara agama dan keyakinannya.
Allah tidak memaksa hambanya untuk menganut agama Islam. Ini kerana tidak ada paksaan dalam menganut
agama. Ini dijelaskan oleh Allah dalam firmanNya ‘Tiada paksaan dalam agama (Islam)’ (Al-Baqarah:256).
International Seminar on Islamic Jurisprudence in Contemporary Society
ISLAC2013
556
keturunannya (hifz al-nasl).26 Dalam erti kata lain, hak-hak ini termaktub dalam Maqasid
Syariah.
Dari sudut yang lain pula, Islam menjaga hak asasi manusia kepada dua kategori iaitu
hak alamiah27 dan hak kehidupan. Antara hak alamiah ialah hak hidup,28 hak kebebasan
beragama dan kebebasan peribadi,29 serta hak bekerja.30 Di antara hak-hak kehidupan pula
ialah pemilikan,31 hak berkeluarga,32 hak keamanan,33 hak pendidikan,34 hak keadilan dan
kesamarataan.35
23 Hifz al-nafs iaitu memberi jaminan hak ke atas umat Islam untuk menjaga nyawa. Kenyataan ini Allah SWT
menegaskan dalam surat Al Isra ayat 70: “Dan sungguh Kami telah memuliakan anak-anak Adam
(manusia)”. (Al Isra’:70) Allah SWT mengharamkan segala bentuk perkara yang mengakibatkan binasanya
nyawa manusia. Firman Allah SWT “Dan janganlah kamu membunuh diri seorang manusia yang
diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar” (Al-An’am: 161). Mak untuk itu,
ada hukum qisas bagi pembunuh. Firman Allah SWT: “Dan bagi kalian di dalam hukum qisas itu terdapat
kehidupan, wahai ulul albab” (Al Baqarah :179). Jelaslah setiap orang Muslim mahu pun kafir zimmi
berhak dilindungi nyawanya dari pembunuhan ataupun sebarang kecederaan.
24 Hifz al-aql iaitu jaminan atas kebebasan bersuara, mengeluarkan pendapat dan yang lebih utama berhak
dipelihara akalnya. Islam sangat meninggikan darjat akal. Hatta akal merupakan alat ukur seseorang
memikul beban (taklif) hukum.
25 Hifz al-mal iaitu jaminan dipelihara hartanya. Islam membolehkan manusia memiliki apa pun asalkan
dengan cara yang dibolehkan dan barang-barangnya dihalalkan. Di sudut lain Islam melarang sesiapapun
mengambil barang milik orang lain dan memberikan hukuman pada pelakunya. Ajaran Islam pun
membezakan jenis pemilikan individu, pemilikan umum, dan pemilikan negara. Semua ini adalah dalam
rangka menjaga harta setiap orang.
26 Hifz al-Nasl iaitu jaminan yang berhak dipelihara nasab keturunannya. Setiap orang berhak mengetahui ayah,
ibu, dan saudara-saudaranya. Islam melarang mendekati zina dan memberikan hukuman berat bagi
pelakunya. Untuk pelaku yang belum berkahwin, disebat 100 kali, dan jika sudah pernah berkahwin direjam
sampai mati.: “Perempuan yang berzina dan laki-laki yang berzina, maka tiap-tiap seorang dari keduanya
seratus kali dera” (QS. An Nur : 2). Hal ini jelas berbeza dengan kebebasan peribadi dalam hak asasi
manusia di sisi pandangan barat yang memang serba boleh itu.
27 Hak-hak alamiah manusia telah diberikan kepada seluruh umat manusia sebagai makhluk yang diciptakan
dari unsur yang sama dan dari sumber yang sama pula (lihat QS. 4: 1, QS. 3: 195).
28 Dalam hal ini, Allah menjamin kehidupan, di antaranya dengan melarang pembunuhan dan memberikan
hukuman ke atas pembunuh (lihat al-Maidah: 32, al-Nisa: 93). Bahkan hak mayat pun dijaga oleh Allah.
Misalnya hadis nabi: "Apabila seseorang mengkafani mayat saudaranya, hendaklah ia mengkafani dengan
baik." Atau "Janganlah kamu mencaci-maki orang yang sudah mati. Sebab mereka telah melewati apa yang
mereka kerjakan." (Keduanya HR. Bukhari).
29 Kebebasan peribadi adalah hak paling asasi bagi manusia, dan kebebasan paling suci adalah kebebasan
beragama dan menjalankan agamanya, selama tidak mengganggu hak-hak orang lain. Firman Allah: "Dan
seandainya Tuhanmu menghendaki, tentulah beriman orang di muka bumi seluruhnya. Apakah kamu
memaksa manusia supaya mereka menjadi orang beriman semuanya?" (QS. 10: 99). Untuk menjamin
kebebasan kelompok, masyarakat dan antara negara, Allah memerintahkan memerangi kelompok yang
berbuat aniaya terhadap kelompok lain (QS. 49: 9).
30 Islam tidak hanya menempatkan bekerja sebagai hak tetapi juga kewajiban. Bekerja merupakan kehormatan
yang perlu dijamin. Nabi saw bersabda: "Tidak ada makanan yang lebih baik yang dimakan seseorang
daripada makanan yang dihasilkan dari usaha tangannya sendiri." (HR. Bukhari). Dan Islam juga menjamin
hak pekerja, seperti terlihat dalam hadist: "Berilah pekerja itu upahnya sebelum kering keringatnya." (HR.
Ibnu Majah).
31 Islam menjamin hak pemilikan yang sah dan mengharamkan penggunaan cara apa pun untuk mendapatkan
harta orang lain yang bukan haknya, sebagaimana firman Allah: "Dan janganlah sebagian kamu memakan
harta sebagian yang lain diantara kamu dengan jalan bathil dan janganlah kamu bawa urusan harta itu
kepada hakim agar kamu dapat memakan sebagian harta benda orang lain itu dengan jalan berbuat dosa
padahal kamu mengetahuinya." (al-Baqarah: 188).
International Seminar on Islamic Jurisprudence in Contemporary Society
ISLAC2013
557
Kesimpulannya dalam hal di atas, prinsip hak asasi manusia menurut Islam dilihat
lebih menyeluruh dan tersusun kerana meraikan bukan sahaja tuntutan jasmani manusia
semata-mata, bahkan turut mengambil berat keperluan rohani mereka. Secara umum, menurut
Islam, manusia diberikan keutamaan sebagai sebaik-baik ciptaan dan dibekalkan dengan
pelbagai kemuliaan dan hak-hak bersandarkan kepada penugasan mereka sebagai khalifah
sedangkan tugas sebagai khalifah ini pula sangat berkait-rapat dengan ketaatan kepada Allah.
Maka, kemuliaan ini boleh terjejas bergantung pada tahap ketaatan mereka kepada Allah. Hal
ini berbeza dengan Barat yang beranggapan bahawa hak tersebut diperoleh secara tabi’i dan
bersifat mutlak di mana tiada faktor superior lain yang boleh mengatasinya. Ini bermakna hak
tersebut tidak terjejas walaupun manusia tersebut melakukan pelbagai penyelewengan dan
kejahatan. Hak asasi dalam Islam juga dikira sebagai satu akad atau perjanjian yang
mengikat. Maka, sebarang pencabulan terhadap perjanjian yang ditetapkan ini membawa
kepada implikasi yang berat sama ada di dunia mahupun akhirat.36 Hal ini berbeza dengan
deklarasi yang ditawarkan Barat yang jika diteliti terdapat kepincangan dari sudut spiritual di
mana mereka tidak menekankan aspek dosa dan pahala dalam menetapkan sesuatu dasar dan
prinsip hak asasi. Maka, mereka bebas mencabul dan meminda mana-mana prinsip walaupun
dilihat menindas sebahagian pihak asalkan memberi manfaat kepada mereka.
Hak Asasi Bukan Muslim di Malaysia
Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2010,
hampir 39.7% daripada penduduk Malaysia merupakan mereka yang bukan beragama Islam
dengan penganut Buddha merupakan bilangan teramai yang menyumbang kepada angka
tersebut iaitu kira-kira 19.8% diikuti oleh Kristian sebanyak 9.2%, Hindu 6.3% dan bakinya
lain-lain agama.37 Berdasarkan angka tersebut, nyatalah bahawa keberadaan mereka dalam
32 Allah menjadikan perkahwinan sebagai sarana mendapatkan ketenteraman. Bahkan Allah memerintahkan
para wali mengahwinkan orang-orang yang bujang di bawah perwaliannya (QS. 24: 32). Allah menentukan
hak dan kewajiban sesuai dengan fitrah yang telah diberikan pada diri manusia dan sesuai dengan beban
yang dipikul individu.
33 Dalam Islam, keamanan tercermin dalam jaminan keamanan harta sepencarian dan jaminan keamanan jiwa
serta harta benda. Firman Allah: "Allah yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan
lapar dan mengamankan mereka dari ketakutan." (Quraisy: 3-4).
34 Di dalam Islam, pendidikan bukan hanya menjadi salah satu hak sahaja, tetapi ia merupakan satu kewajipan.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Menuntut ilmu merupakan satu kewajipan ke atas setiap
Muslim”(HR Bukhari). Di samping itu, Allah turut memberi penghargaan kepada orang berilmu serta
meningkatkan martabat mereka seperti di dalam surah al-Mujadilah: 11.
35 Antara ayat yang menyebut tentang keadilan ialah ( al-Hujurat: 13; al-Nahl: 90).
36 Saari Sungib (2011), Islam Demokrasi dan Hak Asasi Manusia, Selangor: Kemilau Publika Sdn Bhd, h.20
37 Jabatan Perangkaan Malaysia (2010), “Laporan Taburan Penduduk dan Ciri-ciri Asas Demografi”, diakses
pada 11 November 2013 daripada,
http://www.statistics.gov.my/portal/index.php?option=com_content&id=1215&Itemid=89&lang=bm
International Seminar on Islamic Jurisprudence in Contemporary Society
ISLAC2013
558
negara ini bukanlah sesuatu yang boleh diambil ringan di mana pendekatan yang berbeza
perlu diambil bagi melestarikan keperluan hak tersebut. Walaupun secara umumnya, hak
asasi dirujuk sebagai perkara asas dan penting dalam memenuhi keperluan jasmani dan
rohani manusia, namun disebabkan setiap manusia itu hidup dalam tradisi dan persekitaran
yang berbeza maka ia akan membawa kepada jenis dan tahap keperluan yang berbeza.38 Isu
yang paling perlu diberi perhatian adalah berkaitan dengan hak asasi mereka. Hal ini kerana
timbul dakwaan yang mengatakan bahawa kedudukan Islam sebagai agama rasmi
persekutuan dilihat seakan-akan mengehadkan beberapa hak mereka sebagai warganegara
Malaysia. Justeru, penelitian terhadap Perlembagaan Persekutuan perlu dilakukan bagi
memastikan sama ada dakwaan mereka benar-benar berasas atau hanya dibina berdasarkan
sangkaan dan kebimbangan mereka sahaja.
Di Malaysia, badan yang bertanggungjawab dalam menguruskan hak asasi rakyat
Malaysia adalah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM). Berdasarkan Seksyen 2
Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999, hak asasi dirujuk sebagai kebebasan
asas sebagaimana yang termaktub dalam Bahagian II Perlembagaan Persekutuan. Selain itu,
Seksyen 4(4) akta berkenaan juga menegaskan bahawa perhatian berat perlu diberi terhadap
UDHR 1948 selagi deklarasi itu tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Hal ini
bermakna apa jua hak dan kebebasan yang tidak dinyatakan dalam Bahagian II tetapi
dibincangkan dalam UDHR perlu dipertimbangkan selagi tiada percanggahan antara kedua-
duanya. Berdasarkan akta tersebut, ternyata SUHAKAM sebenarnya mempunyai bidang
kuasa yang penting dalam menguruskan persoalan hak asasi di Malaysia.39
Jika kita memperhalus kandungan Perlembagaan Persekutuan pula, maka dapat
diperhatikan secara jelas peruntukan mengenai kebebasan dan hak asasi warganegara pada
Bahagian II perlembagaan tersebut. Bahagian tersebut mengandungi 8 perkara yang
membahaskan mengenai kebebasan dan hak-hak sebagai warganegara. Setiap perkara
tersebut menyentuh kedudukan seseorang warganegara secara menyeluruh tanpa
memperincikan mengenai ras, agama mahupun jantina mereka melainkan perkara 11 dan 12
yang menerangkan mengenai kebebasan beragama. Maka, peruntukan ini sudah cukup untuk
menafikan hujah mereka dari sudut teorinya namun tidak dari sudut praktikalnya kerana
penelitian terhadap aspek ini pula mungkin membawa kepada hasil yang sedikit bertentangan
dengan peruntukan tersebut. Secara umumnya, peruntukkan mengenai hak asasi ini boleh
38 Abd Aziz Bari, (2002) Hak asasi dalam perlembagaan Malaysia ruang lingkup dan masalahnya., Jurnal
syariah, jilid 10 (1), h.54
39 SUHAKAM, http://www.suhakam.org.my/akta-597
International Seminar on Islamic Jurisprudence in Contemporary Society
ISLAC2013
559
dirangkumkan kepada dua komponen utama iaitu kebebasan dan kesamarataan. Namun, kita
akan mendapati bahawa semua hak yang diperuntukkan dalam perlembagaan ini tidak
bersifat mutlak di mana semua peruntukkan tersebut sebenarnya masih terikat dengan
sebarang sekatan undang-undang yang boleh diluluskan oleh parlimen. Walaupun
perlembagaan merupakan dokumen tertinggi di Malaysia, namun dapat ditafsirkan bahawa
perbahasan mengenai hak asasi tersebut perlu ditafsirkan selaras dengan kehendak parlimen
dan mahkamah.40
Walaupun begitu, tumpuan utama perbahasan adalah berkaitan kebebasan agama
kerana ia mewujudkan pertikaian utama dalam kalangan penganut Muslim dan bukan Muslim
di Malaysia. Menurut peruntukkan perlembagaan, setiap orang berhak menganuti dan
mengamalkan agamanya serta mengembangkannya namun undang-undang negeri dan
Wilayah Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau
kepercayaan agama dalam kalangan orang Islam. Hal ini yang banyak menjadi pertikaian
beberapa pihak kerana mereka mendakwa bahawa peruntukan ini seolah-olah menyekat dan
menghalang usaha mereka untuk menyebarkan agama mereka. Namun, dari sisi lain dapat
difahami objektif daripada larangan tersebut bagi mengelakkan terhakisnya identiti
masyarakat Melayu sebagaimana yang telah ditafsirkan menerusi perlembagaan walaupun
ada sebahagian pihak yang melihat kewujudan peruntukkan ini lebih kepada menjaga
ketenteraman awam daripada memartabatkan kedudukan Islam itu sendiri.. Terdapat salah
faham yang timbul berkenaan perkara ini. Larangan ini hanya tertumpu dalam aspek
penyebaran namun Malaysia tetap memberi ruang kepada pihak-pihak terlibat menganjurkan
dialog dalam usaha berbincang bagi merungkaikan kekeliruan yang timbul berkaitan
pegangan agama masing-masing.
Analisis Isu Hak Asasi Bukan Muslim di Malaysia
Pertembungan di antara doktrin individualisme (liberal) dan kolektivisme (sosialis)41 berlaku
di Eropah selepas perang dingin. Perbezaan pendekatan yang dibawa oleh kedua-dua aliran
ini dalam memartabatkan hak asasi manusia membawa kepada penubuhan Deklarasi Hak
Asasi Sejagat pada tahun 1948.42 Namun, suatu perkara yang perlu difahami adalah deklarasi
ini bukanlah suatu perjanjian yang mengikat namun lebih kepada suatu komitmen yang perlu
40 Abd. Aziz Bari, Op.Cit. h.57
41 Kritikan golongan liberal adalah secara terus kepada perubahan sosial dalam ruang lingkup kapitalis
manakala golongan sosialis pula kritikal terhadap pemansuhan kapitalisme bagi memberi peluang kepada
kolektivisme ekonomi. Maklumat lanjut sila rujuk Rosenbaum (1980)
42 Op.Cit.
International Seminar on Islamic Jurisprudence in Contemporary Society
ISLAC2013
560
dipatuhi oleh negara-negara anggota PBB. Deklarasi ini mengandungi 30 fasal yang
membahaskan mengenai hak-hak yang wajar dinikmati oleh penduduk sesebuah negara yang
berdaftar dengan PBB. Setiap 4 tahun, sesi Semakan Berkala Sejagat (UPR) di bawah seliaan
Majlis Hak Asasi Manusia (HRC) yang bernaung di bawah PBB akan diadakan bagi menilai
komitmen kesemua 192 negara anggota PBB berhubung rekod pelaksanaan dan pengamalan
hak asasi. Penglibatan Malaysia dalam sesi semakan ini bermula buat pertama kalinya pada
tahun 2009 di mana ketika itu sebanyak 62 syor yang telah dikemukakan bagi menambah
baik pencapaian Malaysia dalam hak asasi manusia.
Dalam sesi semakan kali ini, pihak The Coalition of Malaysian NGOs in the UPR
Process (COMANGO) yang terdiri daripada gabungan 54 organisasi telah menghantar
laporan mengenai hak asasi di Malaysia ke PBB. Terdapat 17 isu yang dibangkitkan
berkenaan pengamalan hak asasi manusia di Malaysia. Namun, timbul pula dakwaan yang
mengaitkan mereka dengan cubaan untuk mengancam kedudukan agama Islam di Malaysia.
Setelah ditelitii laporan tersebut, didapati isu yang menjadi pertikaian utama antara mereka
adalah berkaitan kebebasan beragama, pengiktirafan terhadap LGBT, isu perkauman serta
cubaan campur tangan dalam urusan mahkamah syariah. Bagi memberi respon terhadap
tuntutan mereka ini, satu inisiatif telah diambil oleh gabungan beberapa NGO Muslim yang
menggelarkan gabungan mereka sebagai MUSLIMUPRO dengan menghantar delegasi
mereka dalam usaha untuk melobi bagi membantah laporan yang dikemukakan oleh pihak
COMANGO walaupun pihak kerajaan Malaysia telah pun mempunyai wakil rasmi mereka
sendiri. Walaupun banyak isu yang ditimbulkan dalam sesi semakan ini, namun isu yang
bakal dibahaskan dalam kertas kerja ini adalah berkaitan kebebasan beragama, LGBT serta
isu perkauman.
1- Isu Kebebasan Beragama
Isu utama berhubung laporan tersebut adalah berkaitan tuntutan mereka supaya Malaysia
didesak menandatangani International Covenant on Civil and Political Rights.43 Perjanjian ini
memperuntukkan 53 artikel berkaitan kebebasan dan hak asasi dalam bidang sivil dan politik
namun isu yang menjadi pertikaian adalah peruntukkan yang terkandung dalam artikel 18
yang menyatakan bahawa :
Everyone shall have the right to freedom of thought, conscience and religion. This right shall
include freedom to have or to adopt a religion or belief of his choice, and freedom, either
43 Laporan COMANGO.
International Seminar on Islamic Jurisprudence in Contemporary Society
ISLAC2013
561
individually or in community with others and in public or private, to manifest his religion or
belief in worship, observance, practice and teaching.44
Artikel ini pada dasarnya mungkin dilihat tidak mendatangkan masalah yang besar
terhadap kedudukan agama Islam di Malaysia memandangkan prinsip Islam itu sendiri yang
meraikan kebebasan beragama. Namun, ia sebenarnya sedikit bercanggah dengan
peruntukkan perkara 11(4) perlembagaan yang menyatakan bahawa undang-undang negeri
dan Wilayah Persekutuan boleh menyekat sebarang pengembangan agama terhadap penganut
Islam. Dalam laporan yang dikemukakan oleh mereka, Malaysia diminta memberi perhatian
mengenai tahap kebebasan beragama di Malaysia. Mereka mendatangkan beberapa isu bagi
menyokong dakwaan mereka.45 Antaranya keputusan yang diambil oleh pihak Mahkamah
menolak permohonan gereja Herald menggunakan kalimah Allah. Susulan keputusan
tersebut, mereka mendakwa lebih kurang 10 buah gereja telah diserang dengan bom petrol
sebagai tanda protes serta sebanyak 5100 buah Injil berbahasa Melayu telah dirampas oleh
pihak Kementerian Dalam Negeri. Hal ini
Berdasarkan laporan tersebut, maka dapat dilihat timbul kekeliruan berhubung
persoalan kebebasan beragama di Malaysia. Perkara 11 memperuntukkan larangan bagi
penyebaran dakyah agama lain terhadap umat Islam. Namun dalam masa yang sama, mereka
tetap dibenarkan untuk mengamalkan dan mengembangkan ajaran tersebut dalam kalangan
penganut mereka sendiri. Peruntukkan 11(4) ini mungkin telah difahami menerusi dua sisi.
Satu sisi melihat peluang pendakwah Muslim untuk menyebarkan ajaran Islam tanpa
sebarang sekatan atau batasan. Namun, dalam sisi yang lain pula, peluang mubaligh agama
lain untuk menyebarkan dakyah mereka pula menjadi semakin sempit kerana pengecualian
yang dikenakan terhadap orang Islam. Maka, mereka melihat wujud sedikit ketidakadilan
bagi mereka kerana keterbatasan sasaran dakyah dilihat lebih berat kepada mereka.
Islam sememangnya tidak menghalang sebarang hak berkaitan kebebasan beragama.
Jika kita meninjau inti pati Piagam Madinah sendiri, terdapat fasal yang memperuntukkan
hak kebebasan beragama kepada golongan bukan Muslim di Madinah sebagaimana yang
tercatat dalam fasal 25 dan 45 piagam tersebut. Hal ini membuktikan betapa Islam
mempunyai tahap toleransi yang tinggi terhadap agama. Namun, terdapat tegahan bagi mana-
mana Muslim untuk keluar daripada agama Islam. Hal ini kerana Islam sangat memandang
44 United Nation Human Rights. “International Covenant on Civil and Political Rights”
http://www.ohchr.org/en/professionalinterest/pages/ccpr.aspx
45 Op.Cit.
International Seminar on Islamic Jurisprudence in Contemporary Society
ISLAC2013
562
berat isu akidah dalam Islam kerana ia merupakan antara perkara pokok yang menjadi
tunjang utama jati diri sebagai Muslim.
2- Isu LGBT
Dalam isu ini, Malaysia didakwa enggan mengiktiraf hak Sexual Orientation and Gender
Identity (SOGI) sebagai hak asasi manusia.46 Mereka yang terlibat dengan LGBTIQ47
dikatakan telah diberikan layanan yang buruk serta dinafikan pelbagai hak sebagai manusia.
Dakwaan ini secara halusnya dapat difahami sebagai suatu isyarat agar golongan ini
diberikan layanan yang sewajarnya serta diberi pengiktirafan sama seperti manusia yang
biasa. Antara fakta yang diberikan oleh mereka adalah bagaimana sebuah pusat urut di Pulau
Pinang yang telah diserbu sebanyak 4 kali antara tahun 2010 dan 2011 kerana menawarkan
perkhidmatan urutan buat golongan gay di mana mereka melihat tindakan ini sebagai tidak
menghormati hak dan kebebasan individu. Walaupun Islam meraikan kebebasan individu,
namun terdapat batasan tertentu dalam melestarikan kebebasan tersebut. Jika diteliti dalam
aspek moral, perbuatan ini sememangnya bercanggah dengan nilai-nilai murni sesebuah
masyarakat kerana kehendak nafsu mereka ini akan membawa kepada kehancuran sesebuah
bangsa. Fitrah semula jadi manusia juga menolak kepada perkara ini sebagaimana yang
dinyatakan di dalam al-Quran bahawa lelaki dan wanita itu diciptakan sebagai pasangan
antara satu sama lain48. Maka, sebarang kehendak baru yang dilihat menyalahi naluri normal
bagi mana-mana manusia adalah tertolak.
Larangan ini bukan hanya dinyatakan oleh agama Islam malah turut dipandang salah
oleh agama lain. Bible misalnya walaupun tidak menyatakan larangan secara jelas mengenai
perkara ini namun terdapat beberapa ayat yang menyatakan bahawa perbuatan ini merupakan
sesuatu yang keji. Antaranya sebagaimana yang dinyatakan dalam Kitab Imamat 18(22) :
“Janganlah engkau tidur dengan laki-laki secara orang bersetubuh dengan perempuan, karena
itu suatu kekejian”49 . Malah, agama Hindu turut melihat perbuatan ini sebagai menyalahi
etika sebagai manusia. Presiden Malaysia Hindu Sangam, Datuk A.Vaithilingam sewaktu
mengulas mengenai isu ini menyatakan walaupun tiada ketetapan jelas tentang perkara ini
46 Laporan COMANGO.
47 LGBTIQ merupakan singkatan daripada Lesbian, Gays, Transgendered, Inter-sexed and Queer persons.
48 Maksudnya: Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu dari
diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan
juga yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai.
49 Terjemahan Bible Indonesia. Versi asal dalam bahasa Inggeris adalah “You shall not lie with a male as one
lies with a female; it is an abomination.” (Leviticus 18:22)
International Seminar on Islamic Jurisprudence in Contemporary Society
ISLAC2013
563
dalam kitab-kitab Hindu, namun mereka tetap mengira tindakan ini sebagai sesuatu yang
menyalahi etika asas dalam agama Hindu.50
3- Isu Perkauman
Isu ini dikatakan telah dijadikan modal politik yang paling ampuh bagi pihak kerajaan bagi
mematahkan sebarang tentangan daripada seteru politik mereka. Mereka mendakwa
walaupun Perkara 8(2) menetapkan bahawa sebarang diskriminasi berkaitan jantina, agama
dan kaum adalah dilarang namun terdapat beberapa langkah yang diambil oleh pihak kerajaan
dilihat telah membelakangkan prinsip tersebut. Antara fakta yang mencuri tumpuan mereka
berhubung pelaksanaan program Biro Tatanegara yang didakwa menyimpang daripada
objektif asalnya di mana program ini telah dijadikan alat oleh pihak parti pemerintah untuk
menyuburkan semangat perkauman yang tebal terutamanya melibatkan kaum Melayu dan
kaum Cina. Perlu difahami bahawa Islam merentasi batasan perkauman dan keturunan di
mana semua manusia dinilai sama di sisi Allah.
Walaupun perkara 160 (2) mendefinisikan Melayu sebagai beragama Islam, namun
adalah tidak wajar bagi mana-mana pihak untuk menyandarkan sebarang rasa tidak puas hati
mereka berhubung layanan yang diterima berdasarkan bangsa kepada agama. Kaum Melayu
memiliki hak istimewa mereka yang tersendiri berorientasikan kepada persetujuan bersama
semua pihak. Justeru, hak istimewa yang diterima oleh mereka ini bukanlah suatu bentuk
penindasan kepada golongan bukan Muslim di Malaysia. Hal ini kerana kaum lain yang
beragama Islam juga turut dikecualikan beberapa hak istimewa. Namun, pihak kerajaan juga
perlu meneliti beberapa dakwaan mereka yang dilihat sedikit berasas terutamanya apabila isu
perkauman ini sering diputarbelitkan apabila ia melibatkan kepentingan politik sesuatu pihak.
Kesimpulan
Persoalan hak asasi sememangnya suatu yang bersifat subjektif di mana ia sememangnya
tidak mampu memuaskan hati semua pihak lebih-lebih lagi sekiranya terdapat kekangan
seperti perbezaan agama. Namun begitu, Islam datang dengan menawarkan prinsip yang
lebih menyeluruh yang dilihat mampu memenuhi aspirasi tuntutan keperluan manusia. Maka,
sebarang kekeliruan yang timbul berhubung beberapa isu sepatutnya ditangani dengan lebih
50 MStar Online (2008), Homoseksual Bagai “Api Dalam Sekam”, diakses pada 11 November 2013,
http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2008/7/8/TERKINI/Mutakhir/Homoseksual_bagai_api_dalam_se
kam&sec=mstar_berita
International Seminar on Islamic Jurisprudence in Contemporary Society
ISLAC2013
564
berhemah kerana pintu rundingan sentiasa terbuka untuk mana-mana pihak menyalurkan
ketidakpuasan mereka tersebut. Dalam isu laporan COMANGO ini juga, walaupun terdapat
beberapa isu sensitif yang disertakan dalam laporan mereka, namun adalah tidak wajar bagi
kita menyimpulkan bahawa semua laporan yang dikemukakan mereka adalah mengancam
dan tidak perlu diberi perhatian. Hal ini kerana jika dianalisis keseluruhan inti pati laporan
tersebut, maka terdapat juga dakwaan yang perlu diberi perhatian seperti hak asasi kaum asal,
tahap kebebasan akhbar serta layanan terhadap warga OKU. Pihak yang berkaitan perlu
mengadakan rundingan bagi merungkaikan segala kekusutan dan salah faham yang timbul
supaya isu ini tidak terus dipermainkan serta dipergunakan oleh mana-mana pihak sama ada
dari dalam mahupun luar negara bagi merealisasikan kepentingan peribadi mereka.
Rujukan
Mohd Azizuddin Mohd Sani (2002). Hak Asasi Menurut Pandangan Islam dan Barat. Kuala
Lumpur: PTS Publication & Distributor Sdn. Bhd.
Syed Muzaffar Ud-Din Nadri (1976). Human Rights And Obligated. Dacca: S.M. Zahirullah.
Adam Kuper & Jessica Kuper (2000). Ensiklopedia Ilmu-Ilmu Sosial. Jakarta: Rajawali Pers.
Harun Nasution & Bathiar Effendi, ed. (1987). Hak Asasi Manusia Dalam Islam. Jakarta:
Yayasan Obor Indonesia.
Sudjana, Eggi (2002). Hak dalam Perspektif Islam, Mencari Universalitas HAM bagi
Tatanan Modernitas yang Hakiki. Jakarta: Nuansa Madani.
Muhammad Alim (2001). Demokrasi dan HAM Dalam Konstitusi Madinah dan UUD 1945.
Yogjakarta: UII Press.
Hamlan AB. Andi Malla (2005). Islam dan Hak-Hak Asasi Manusia. Jurnal HUNAFA, 2(3).
Mahamad Naser Disa (2012). Hak Asasi & Kebebasan Diri Perspektif Syara’ Dan
Humanisme: Satu Analisis Perbandingan. (kertas kerja dibentangkan di Seminar
Pemikiran Liberalisme & Pragmatisme anjuran JAIS di INTEKMA, Shah Alam, pada 28
Jun 2012)
Donnelly, J. (2001). What are Human Rights ? Introduction to Human Rights. Washington:
International Information Programs, US Department of State.
Cook,J. (1978). Cultural Relativism as an Ethnocentric Notion, The Philosophy of Society.
London: Metheun.
Scruton, R. (1982). A Dictionary of Political Thought. London: The Macmillan Press.
Renteln, A.D (2009). Relativism and the Search for Human Rights. American Anthropologist,
Vol. 90.
International Seminar on Islamic Jurisprudence in Contemporary Society
ISLAC2013
565
Wahbah al-Zuhayli (2005). Haq al-Hurriyyah fi al-‘Alam. Damsyiq: Dar al-Fikr.
Abdillah, Masykuri (1999). Demokrasi di Persimpangan Jalan, Respon Intelektual Muslim
Indonesia Terhadap Konsep Demokrasi (1966-1993). Yogyakarta: Tiara Wacana
Yogya.
Saari Sungib (2011), Islam Demokrasi dan Hak Asasi Manusia, Selangor: Kemilau Publika
Sdn Bhd, h.20
Jabatan Perangkaan Malaysia (2010). “Laporan Taburan Penduduk dan Ciri-ciri Asas
Demografi”. Diakses pada 11 November 2013 daripada,
http://www.statistics.gov.my/portal/index.php?option=com_content&id=1215&Itemi
d=89&lang=bm
Abd Aziz Bari (2002). Hak asasi dalam perlembagaan Malaysia ruang lingkup dan
masalahnya. Jurnal syariah, 10 (1).
SUHAKAM. Akta 597. http://www.suhakam.org.my/akta-597
Laporan COMANGO
United Nation Human Rights. “International Covenant on Civil and Political Rights”.
http://www.ohchr.org/en/professionalinterest/pages/ccpr.aspx
MStar Online (2008), Homoseksual Bagai “Api Dalam Sekam”, diakses pada 11 November
2013,
http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2008/7/8/TERKINI/Mutakhir/Homoseksu
al_bagai_api_dalam_sekam&sec=mstar_berita