Content uploaded by Noor Fiteri - Abdullah
Author content
All content in this area was uploaded by Noor Fiteri - Abdullah on Jul 25, 2017
Content may be subject to copyright.
Konsep Pelancongan Islam: Satu Pengamatan
Noor Fiteri bin Abdullah
Masnisah binti Mukhtar
Abstrak
Statistik kedatangan pelancongan dalam negara pada tahun 2012 menyaksikan hampir
seperempat peratus daripada jumlah keseluruhan pelancong asing berkunjung ke Malaysia
daripada kalangan orang Islam. Ia mengambarkan kepada pengusaha pengendalian
pelancongan tentang keperluan dalam memenuhi kehendak dan tuntutan daripada kewujudan
segmen pelancongan Islam ini. Pelancongan Islam berpandukan kajian merangkumi elemen
berbentuk kegiatan, destinasi, produk, dan nilai berlandaskan motivasi ajaran Islam yang
melibatkan semua pihak baik pengendali mahupun pelancong. Gaya pelancongan Islam telah
membuka dimensi baharu dalam kerangka pelancongan sedia ada walaupun ianya telah
dijelaskan Al Quran. Kajian yang dilakukan ialah berkisar tentang konsep pelancongan Islam
secara umum. Konsep diperoleh hasil sorotan daripada pelbagai sumber rujukan. Penemuan
kajian diharapkan bermanfaat dalam menyumbang kepada penyelidikan lanjut kepada pihak-
pihak yang berminat untuk melaksanakannya.
Kata Kunci: Al Quran, Halal, Konsep, Pelancongan Islam, Syariah,
Pengenalan
Pelancongan kini menjadi satu gaya hidup yang diperlukan oleh kelompok manusia.
Pelancongan merujuk kepada aktiviti melibatkan pergerakan fizikal individu daripada tempat
bermukim keluar ke tempat yang lain (Jamudin, 2012). Keperluan kepada pelancongan
dilihat sejajar dengan gaya hidup manusia yang memerlukan pergerakan untuk pelbagai
tujuan. Menurut Goeldner, Ritchie, dan McIntosh (2000) tujuan mengembara ialah untuk
urusan perniagaan, memenuhi kepentingan urusan peribadi, menziarahi rakan dan saudara
mara, serta merehatkan diri daripada aktiviti kebiasaan.
Perkembangan industri pelancongan ini turut melibatkan penganut Islam. Segmen
pelancongan Islam mula mendapat perhatian ramai. Menurut satu kajian yang dijalankan oleh
sebuah agensi pemasaran, pelancongan dikelaskan sebagai sektor ketiga terbesar dunia
mempunyai permintaan produk dan perkhidmatan halal selepas industri makanan dan
kosmetik (Sarah, 2012). Senario ini bertepatan dengan data yang menyatakan menjelang
tahun 2025, satu pertiga daripada penduduk dunia ialah dari kalangan umat Islam (Navid,
2012). Manakala rujukan kepada statistik pelancongan ke dalam negara mendapati 22
peratus daripada keseluruhan pengunjung adalah daripada kalangan pelancong Muslim
(Abdul Ghani, 2013). Data-data dirujuk merupakan antara gambaran awal kepada
pengembangan semula pelancongan Islam.
Konsep pelancongan Islam yang dibugar semula ini banyak mendapat perhatian dan galakan
daripada banyak pihak agar dikembangkan. Al-Hamarneh dan Steiner (2004) menyarankan
agar negara Islam terutamanya memfokuskan kepentingan pemasaran kepada pelancongan
intra-Muslim sebagai sasaran pasaran dan destinasi pelancongan.Manakala Raja Muda Perlis
menyarankan agar pelancongan Islam dapat diperkasakan agar mampu menjana ekonomi
negara (Raja muda Perlis mahu sektor pelancongan Islam diperkasa, 2012) dan terdapat
kemudahan kemudahan yang dipelukan oleh pelancong Muslim seperti makanan halal,
masjid dan hotel mesra pengguna Islam (Zainu’l Azhar, 2012).
Pelancongan Islam
Pelancongan dalam Islam mempunyai perspektif yang luas dan boleh diungkapkan dalam
beberapa pecahan istilah. Istilah rehlah, ziyarah, siyahah, umrah dan haji mempunyai
pengertian yang umumnya merujuk kepada pelancongan tetapi mempunyai konsep dan
pendekatan yang berbeza (Hasan, Mohammad Mahyuddin, & Mohd Ahsrof Zaki, 2010).
Jadual : Perspektif Pelancongan dalam Islam
Bil Perspektif Pelancongan dalam
Islam Keterangan
1 Musafir Daripada perkataan Arab Safara
Maksud pergi, berjalan dan mengembara
Ayar surah Al Maidah: 6
2. Rehlah Daripada perkataan Arab Rahala
Maksud mengembara/ berniaga
Ayar surah Quraish: 6
3. Ziyarah Daripada perkataan Arab Zara
Maksud menziarahi, melawat atau bertandang
Ayat surah Al Takathur: 2
Ayar surah Al Kahfi:17
4 Siyahah Daripada perkataan Arab Saha
Maksud mengembara di bumi
Ayar surah At Taubah: 112
5 Umrah dan Haji Umrah ibadat yang mengandungi beberapa
perbuatan tanpa wukuf dan perkara wajib haji
Haji- rukun Islam kelima
Ayar surah Al Baqarah: 196
* berdasarkan Hasan et al., (2010)
Takrifan musafir, rehlah, siyahah, hijrah dan riadah masing-masing merangkumi urusan
perniagaan, menuntut ilmu, berdakwah, melihat kejadian alam, mendapat maklumat dan
iktibar, kesihatan, rekreasi, kekeluargaan, persahabatan dan berlindung daripada ancaman
serta perubahan sikap untuk keredaan Allah (Pusat Kajian Strategik Kelantan, n.d.). Perkara
ini turut diperjelaskan oleh Asmak & Fatimah (2010) bahawa semua istilah dinyatakan ini
tercatat di dalam Al-Quran merupakan gesaan dan galakan kepada umat Nya. Ia dianggap
sebagai ibadah di dalam Islam jika dilaksanakan dengan niat yang betul. Galakan melancong
dijelaskan secara umum dalam salah satu ayat di dalam Al Quran Surah Al Mulk: 15
15. Dia lah Yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk
rantaunya, serta makanlah dari rezeki Yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat
kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya).
Pelancongan Islam sehingga kini mempunyai pelbagai definisi mengikut kefahaman
berdasarkan penyelidikan masing-masing. Mengikut Shakiri (2006), pelancongan Islam tidak
hanya terhad kepada pelancongan berbentuk motivasi agama semata-mata tetapi merangkumi
semua bentuk pelancongan yang tidak bercanggah dengan nilai-nilai Islam. Henderson
(2009) berpendapat ia merujuk kepada pelancong yang meletakkan pertimbangan agama
sebagai suatu kepentingan walaupun ia bukan motif perjalanan yang utama. Manakala
Duman (2011) pula berpandangan, segala aktiviti yang dilakukan orang Islam semasa
melancong berpunca daripada kepercayaan dan kepatuhan kepada prinsip syarak. Ada yang
berpendapat, pelancongan Islam merujuk kepada pelancong Islam yang mengembara ke
destinasi atas tujuan keagamaan (Zamani-Farahani & Henderson, 2010).
Kesimpulan berpandukan definisi daripada pendapat pelbagai sarjana, pelancongan Islam
merangkumi elemen berbentuk kegiatan, destinasi, produk, dan nilai berlandaskan motivasi
ajaran Islam yang melibatkan pengendali dan pelancong.
Konsep Pelancongan Islam
Pelancongan Islam pada asasnya tidaklah jauh bezanya dengan pelancongan yang dijalankan
pada hari ini. Perbezaan yang boleh didapati ialah dari segi prinsip terutamanya dari segi
kepatuhan kepada sistem dan nilai yang ditetapkan oleh syarak. Ini dilihat berbeza
dengan pelancongan sedia ada yang dilihat tidak menitik beratkan apa yang boleh diistilahkan
sebagai mesra pelancong Islam. Di samping itu perbezaan dapat diperhatikan dari segi proses
sepanjang pelancongan mestilah diisi dengan kegiatan yang mendapat keredaan Allah. Ia
bukan sekadar aktiviti santai semata-mata. Prinsip yang juga penting dalam konsep
pelancongan Islam ialah kesan yang diperoleh hasil kegiatan pasca pelancongan. Kesan
daripada pelancongan Islam ialah dapat membentuk ke arah insan yang lebih baik daripada
sebelumnya.
Inti pati daripada pelbagai definisi konsep pelancongan Islam boleh diringkas dalam Rajah 1.
Rajah : Pelancongan Islam berdasarkan inti pati definisi
Pengusaha Kegiatan
Pelancongan Islam
Pelancong Nilai
Destinasi Tujuan
Produk/ perkhidmatan
* Dibangunkan berdasarkan kajian
Pelancongan Islam boleh berlaku di mana sahaja destinasi hatta melibatkan pengusaha dan
pelancong bukan Islam tetapi ia berbeza dari segi tujuan, nilai, kegiatan, dan produk atau
perkhidmatan yang ditawarkan. Dari segi tujuan, pelancongan Islam lebih menjurus kepada
lawatan yang mempunyai motivasi Islami seperti menunaikan haji atau umrah tetapi ia tidak
terhad kepada perkara tersebut. Ia juga boleh melibatkan tujuan-tujuan seperti perubatan,
sukan, kesengganan diri atau pendidikan seperti yang digesa dalam ayat Al Quran.
Perbezaan dari segi nilai Islami berbeza dengan pelancongan sedia ada hanya mestilah
bersifat patuh syariah. Nilai berbentuk pegangan teguh kepada apa yang dilarang perlulah
dijaga dengan sebaik mungkin sebagaimana arahan Allah dalam Al Quran dan Sunah
Rasulullah SAW.
Manakala dari segi kegiatan, perkataan ibadah adalah arahan Allah yang jelas dalam menyeru
untuk melancong dan meneroka di luar tempat tinggal sedia. Pelancongan akan dikira
kegiatan ibadah jika semua yang berlaku sepanjang tempoh pelancongan atas dasar mendapat
keredhoan Allah SWT.
Dalam pelancongan Islam, penawaran produk dan perhidmatan tidak jauh bezanya dengan
apa yang ditawarkan oleh pelancongan sedia ada tetapi ia mestilah digabungkan bersama
dengan nilai kepatuhan syariah juga. Untuk penjelasan ringkas, contoh yang sesuai ialah
kewujudan hotel dalam pelancongan yang sedia. Penawaran produk dan perkhidmatan Islam
boleh mengambil pendekatan hotel tetapi dengan tambahan hotel patuh syariah atau halal
hotel dengan mengambil kira isu atau masalah yang timbul di hotel-hotel pada masa kini.
Komponen Pelancongan Islam
Pelancong Muslim menginginkan perkhidmatan yang membolehkan mereka berjalan tanpa
meninggalkan perintah Allah SWT. Daripada dapatan yang telah dijalankan dan pemerhatian
terdapat beberapa komponen pelancongan yang perlu diambil perhatian dalam menjayakan
konsep pelancongan Islam itu sendiri.
Antara komponen yang dapat digariskan ialah keupayaan destinasi dalam memadankan
dengan kehendak pelancong Islam, kesesuaian tempat penginapan, makanan halal dan baik,
kegiatan yang patuh syarak serta layan tamu berbentuk Islami.
Keupayan Destinasi
Pelancong akan memilih destinasi yang mempunyai tarikan yang bersesuaian untuk dijadikan
pilihan sebagai tempat pelancongan. Begitu juga dengan kehendak pelancongan Islam.
Keunikan masyarakat atau kebudayaan di suatu destinasi boleh menjadi taruhan kepada
pelancongan Islam. Kewujudan warisan Islam seperti masjid atau tempat ibadah samada dari
segi kehalusan seni atau keunikan mampu diketengahkan sebagai tarikan untuk
memperkenalkan pelancongan Islam kepada umum.
Kemudahan Makanan Halal dan Baik
Makanan merupakan perkara yang amat dititik beratkan dalam Islam. Ia dijaga sebaik
mungkin walaupun ketika bermusafir. Dalam konteks pelancongan Islam, makanan yang
dihidangkan perlulah halal iaitu tidak mengandungi unsur yang haram atau meragukan.
Kesukaran yang sering diperhatikan terutamanya apabila melancong ke negara minoriti umat
Islam ialah kesukaran mendapatkan makanan halal. Kesediaan pengendali makanan untuk
menyediakan makanan halal kepada pelancong Islam merupakan satu kelebihan kerana ia
menarik lebih ramai pengunjung samada yang Muslim ataupun sebaliknya berbanding hanya
menumpukan sasaran kepada kelompok tertentu sahaja.
Kesesuaian penginapan
Penginapan juga merupakan elemen penting dalam pelancongan. Setiap pelancong
memerlukan penginapan bagi tujuan untuk berehat dan lain-lain. Dalam konteks pelancongan
Islam, penginapan mestilah bersifat mesra pengguna Muslim dari segi fasiliti dan
perkhidmatan.ia memberikan nilai tambah dalam menarik minat penginap Muslim
Fasiliti untuk pelanggan seperti terjemahan al-Quran, arah kiblat, sejadah dan lain-lain
keperluan. Manakala dari segi perkhidmatan dan operasi juga mestilah patuh kepada syarak.
Contoh seperti kolam renang yang berlainan jantina, bilik khas untuk pengguna Muslim,
irama nasyid atau lagu-lagu kemanusiaan dikumandangkan atau laungan Azan ketika masuk
waktu. Perkara penting dalam penginapan Islam ialah bilik yang selesa dengan harga yang
berpatutan.
Kegiatan yang patuh syariat
Segala bentuk kegiatan dalam pelancongan mestilah tidak bercanggah dengan ketetapan
syarak. Lawatan ke masjid, tempat-tempat bersejarah yang ada kaitan dengan Islam,
monumen berciri Islam atau persidangan halal adalah antara bentuk kegiatan yang boleh disi
dalam acara pelancongan Islam. Aktiviti yang sedia ada boleh diteruskan selagi ia mematuhi
ajaran Islam. Ianya dianggap sebagai satu ibadah kepada Allah SWT.
Layan tamu Islami
Islam mengajar umatnya agar melayan tetamu dengan mesra. Hos seharusnya mengambil
perhatian dari aspek spiritual, emosi, intelektual, dan fizikal. Aspek spritual yang perlu dijaga
oleh tuan rumah ialah menyediakan kemudahan untuk solat dan makanan halal. Emosi
melibatkan menyambut tetamu dengan mesra dengan semangat setiakawan dan budiman.
Tuan rumah juga harus memberikan pengalaman pelancongan Islam yang bersifat intelek
dengan pengalaman yang bermaklumat dan berpengajaran.
Isu berkaitan Pelancongan Islam
Terdapat beberapa isu yang menjadi masalah kepada musafir beragama Islam. Isu-isu yang
ditimbulkan oleh pelancong Islam ketika melancong ialah keperluan perkhidmatan
penginapan mesra pengguna Islam dan bebas maksiat (Arasteh & Eilami, 2011; Battour,
Ismail, & Battor, 2010; Nazarudin, Mohd Onn Rashdi, Harnizam, & Razlan Adli, 2010).
Pelancong Islam lazimnya mahukan kemudahan untuk membolehkan mereka mudah
melakukan ibadah solat terutamanya. Keperluan sejadah, tempat wuduk yang bersesuaian dan
arah kiblat ialah antara keperluan yang didambakan oleh pelancong ketika menginap di
tempat penginapan. Persepsi bila disebut hotel maka kaitannya akrab dengan tempat maksiat
dan berlakunya percampuran lelaki dan wanita secara bebas meninggalkan kesan untuk
diubah. Kehadiran segmen pelancongan dilihat sebagai jalan keluar terbaik dengan
mengambil kira secara khusus keperluan pelancong Muslim terbabit.
Penginapan yang patuh syariah dan bebas maksiat didambakan oleh pelancong Islam
menimbulkan kesulitan kepada pengendali hotel. Proses pengubahsuaian untuk menjadi
penginapan patuh syariah memerlukan penambahan dari segi kos. Dalam masa yang sama ia
perlu memenuhi keperluan pengguna bukan Islam. Pengubahsuaian hotel sedia ada perlu
dilakukan untuk mewujudkan keselesaan kepada pelancong Islam dari segi kesesuaian tandas
atau arah kiblat. Akibat daripada kos ubahsuai terpaksa diserap kepada kos operasi dan
akhirnya dikenakan ke atas penginap. Hal ini menyebabkan harga caj menjadi sedikit tinggi.
Dari segi kebajikan ia sedikit tersasar dengan konsep Islam yang sepatutnya membantu
musafir yang memerlukan bukannya menambah beban kepada mereka.
Sikap tuan rumah dalam melayan tetamu perlu diperkemaskan. Walaupun dalam Islam,
melayan tetamu merupakan satu tuntutan tetapi untuk mengubah sikap memerlukan kepada
kesanggupan tuan rumah itu tersendiri. Masalah yang boleh ditekankan ialah dari segi
kebersihan dan kebolehan melayan tamu dengan tangan terbuka. Kebanyakan kes yang
berlaku walaupun hotel dengan ciri Islam tetapi dari segi layanannya mengambar imej yang
tidak bertepatan dengan ajaran Islam.
Selain itu keperluan makanan halal juga menjadi kegusaran untuk tinggal di tempat
penginapan tertentu (Suhaiza, Azizah, & Simon, 2011; Wan Sahida, Suhaimi, Khairil
Wahidin, & Yaakob, 2011). Kebanyakan hotel menyediakan minuman keras dengan alasan
memenuhi permintaan pengguna bukan Islam. Ia juga mungkin menjadi sumber pendapatan
bagi hotel-hotel rangkaian besar yang majoritinya dimiliki oleh pengusaha yang tidak
beragama Islam.
Makanan halal merupakan isu yang sensitif kepada pelancong Muslim. Pensijilan yang
meragukan sama ada dari segi nama mahupun badan yang tidak diiktiraf antara polemik yang
diperbincangkan. Penggunaan istilah yang meragukan seperti “Serve no Pork” atau “Muslim
Meal” antara contohnya. Kes sebegini melibatkan syarikat penerbangan dari negara majoriti
bukan Islam atau di destinasi pelancongan yang bilangan penduduk Islam dan bukan Islam
seimbang.
Penggunaan istilah yang pelbagai merujuk kepada pelancongan Islam menimbulkan
kekeliruan kepada pelancong dan pengendali pelancong bukan Islam. Istilah pelancongan
halal, pelancongan Islamik, pakej Muslim dan lain-lain ialah antara kekeliruan yang berlegar
di kalangan mereka. Kekeliruan ini jika tidak ditangani dengan baik boleh memberi kesan
terutamanya dari segi kefahaman mereka berkaitan makanan, adat atau ibadat, masalah fiqah
dan lain-lain. Kemungkinan ia boleh mencetuskan konflik dan perbalahan di antara orang
Islam dan bukan Islam.
Keraguan yang timbul daripada segmen pelancongan sedia ada sepatutnya membuka ruang
dan peluang yang lebih luas kepada perkembangan pelancongan Islam baik di dalam negara
mahupun diperingkat antarabangsa.
Penutup
Pelancongan Islam dapat dijalankan dengan sempurna jika konsep layan tamu Islam dihayati
dengan mendalam oleh tuan rumah. Kebolehan memenuhi keinginan pelancong dari segi
keperluan kerohanian seperti kemudahan patuh syariah atau kemudahan perhentian solat
yang baik boleh dipertingkatkan. Untuk tujuan penambahbaikan konsep pelancongan Islam,
perlu ada nilai-nilai emosi seperti sopan santun atau berbudi bahasa. Di samping pelancong
boleh didedah kepada tarbiah melalui maklumat-maklumat bermanfaat. Masalah berkaitan
kebersihan dan keselesaan persekitaran juga merupakan komponen asas yang perlu untuk
menyebarluaskan konsep pelancongan Islam kepada dunia.
Rujukan
Abdul Ghani, A. (2013, March). Malaysia destinasi utama pelancongan Islam. Dewan
Budaya, 10–17.
Al-Hamarneh, A., & Steiner, C. (2004). Islamic tourism: Rethinking the strategies of tourism
development in the Arab world after September 11, 2001. Comparative Studies of South
Asia, Africa and the Middle East, 24(1), 18–27. Retrieved from http://www.staff.uni-
mainz.de/steinec/Publikationen/hamarneh-steiner_islamic-tourism2004.pdf
Arasteh, M., & Eilami, R. M. (2011). The role of religion and Islam in the tourism industry of
Iran. Social Science Research Network (SSRN). Retrieved from
http://ssrn.com/abstract=1773827
Asmak, A., & Fatimah, S. (2010). Pelancongan dari perspektif Islam. In M. A. Yakob, H.
Ismail, & T. Ibrahim (Eds.), Prosiding Seminar Pengurusan Perhotelan & Pelancongan
Islam 2010 (pp. 52–63). Shah Alam: Universiti Teknologi Mara.
Battour, M., Ismail, M. N., & Battor, M. (2010). The impact of destination attributes on
Muslim tourist’s choice. International Journal of Tourism Research, 13(6), 527–540.
Duman, T. (2011). Value of Islamic tourism offering: Perspectives from the Turkish
experience. International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia.
Retrieved March 12, 2012, from http://www.iais.org.my/e/attach/ppts/12-13JUL2011-
WITF/ppts/Assoc Prof Dr Teoman Duman.pdf
Hasan, B., Mohammad Mahyuddin, K., & Mohd Ahsrof Zaki, Y. (2010). Pelancongan dari
perspektif Islam: Analisis pendekatan fiqh. In Y. Mohd Asmadi, I. Huzaimah, & I.
Takiyuddin (Eds.), Prosiding Seminar Pengurusan Perhotelan & Pelancongan Islam
2010 (pp. 1–17). Shah Alam: Universiti Teknologi Mara.
Henderson, J. C. (2009). Islamic tourism reviewed. Tourism Recreation Research, 34(2),
207–211.
Jamudin, I. (2012, February). Memperkasa pelancongan Islam. Milenia Muslim, 4.
Navid, A. (2012). The rise of the affluent Muslim traveller. BBC News Magazine. Retrieved
January 10, 2014, from www.bbc.com/news/magazine-19295861
Nazarudin, D., Mohd Onn Rashdi, A. P., Harnizam, Z., & Razlan Adli, Z. (2010). Fasiliti
hotel mesra pengguna Islam: Status dan isu. Seminar Pengurusan Perhotelan &
Pelancongan Islam 2010 (pp. 157–161). Shah Alam: Universiti Teknologi Mara.
Pusat Kajian Strategik Kelantan. (n.d.). Kertas dasar pelancongan negeri Kelantan. Retrieved
July 2, 2012, from http://www.pks.kelantan.gov.my/index.php?
option=com_content&view=article&id=14:kertas-dasar-pelancongan-negeri-
kelantan&catid=16:kerajaan-tempatan-pelancongan-dan-kebudayaan&Itemid=3
Raja muda Perlis mahu sektor pelancongan Islam diperkasa. (2012, June 19). Raja muda
Perlis mahu sektor pelancongan Islam diperkasa. Bernama. Kuala Lumpur. Retrieved
from www.bernama.com
Sarah, E. (2012). Making travel halal: Amid tourism troubles, some in industry see
opportunity for a niche market. Egypt Independent. Retrieved May 12, 2014, from
http://www.egyptindependent.com
Shakiri, A. S. (2006). Islamic tourism, for whom? Islamic Tourism Magazine. Retrieved from
www.islamictourism.com
Suhaiza, Z., Azizah, O., & Simon, K. (2011). An exploratory study on the factors influencing
the non-compliance to halal among hoteliers in Malaysia. International Business
Management, 5(1), 1–12.
Wan Sahida, W. Z., Suhaimi, A. R., Khairil Wahidin, A., & Yaakob, C. M. (2011). Developing
the framework for halal friendly tourism in Malaysia. International Business
Management, 5(6), 295–302.
Zainu’l Azhar, A. (2012, June 20). Pelancongan Islam berpotensi besar. Utusan Malaysia.
Kangar. Retrieved from www.utusan.com.my
Zamani-Farahani, H., & Henderson, J. C. (2010). Islamic tourism and managing tourism
development in Islamic societies: The cases of Iran and Saudi Arabia. International
Journal of Tourism Research, 12(1), 79–89.