Content uploaded by Rozita Che Rodi
Author content
All content in this area was uploaded by Rozita Che Rodi on Jan 10, 2017
Content may be subject to copyright.
GEMA Online™ Journal of Language Studies 163
Volume 12(1), January 2012
ISSN: 1675-8021
Hati Budi Melayu: Kajian Keperibadian Sosial Melayu Ke Arah
Penjanaan Melayu Gemilang
Hashim Hj. Musa
hasyim@fbmk.upm.edu.my
Jabatan Bahasa Melayu
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi
Universiti Putra Malaysia
Normahdiah Sheik Said
norma@fbmk.upm.edu.my
Jabatan Bahasa Melayu
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi
Universiti Putra Malaysia
Rozita Che Rodi
rozita.cherodi@yahoo.com
Jabatan Bahasa Melayu
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi
Universiti Putra Malaysia
Siti Sarah Ab Karim
ambiaus@yahoo.com
Jabatan Bahasa Melayu
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi
Universiti Putra Malaysia
Abstrak
Artikel ini menelusuri warisan sifat keperibadian sosial orang Melayu yang tersemai
dalam hati budinya atau “psyche”, dan terjelma dalam tindak-tanduk, budi pekerti, budi
bahasa, nilai, norma, pemikiran dan ilmunya. Hashim Hj. Musa (2008) berdasarkan
kajian tentang puisi Melayu tradisional yang menyentuh tentang simpulan bahasa,
pepatah, dan pantun Melayu lama, telah menubuhkan dua puluh enam (26) teras hati budi
Melayu. Orang-orang yang menghayatinya pula dianggap mempunyai nilai etika, moral
dan akhlak yang tinggi dan dipandang mulia oleh masyarakat. Mereka itu dinamakan
sebagai orang ‘budiman’ iaitu berbudi pekerti dan adab sopan yang mulia, berbudi bahasa
dan budi bicara yang santun, bernas dan berwibawa, dan berhati budi yang tinggi dan
bijaksana. Namun sifat ini boleh terhakis disebabkan oleh sifat dalaman yang buruk, dan
juga oleh pengaruh luaran yang asing, seperti yang pernah terjadi dalam sejarah yang
telah menyebabkan kejatuhan kerajaan Melaka, dan dalam zaman kini muncul dalam
pelbagai gejala sosial yang buruk. Demi meneliti keadaan hati budi orang Melayu, kajian
ini dilakukan untuk mengukur sejauh mana keakuran atau penyimpangan teras hati budi
Melayu dalam kalangan orang Melayu kini. Hasil penyelidikan awal menunjukkan
bahawa orang Melayu masih ada agamanya, nilai murninya, hakikat ilmunya tetapi masih
agak lemah dari segi didikan yang menyebabkan kerosakan dalam tingkah laku dan budi
pekerti. Oleh yang demikian daya usaha pemupukan kembali 26 teras hati budi itu pada
GEMA Online™ Journal of Language Studies 164
Volume 12(1), January 2012
ISSN: 1675-8021
masa kini sangat mendesak demi menjana dan membina umat Melayu masa depan yang
gemilang.
Katakunci: hati budi Melayu, nilai murni, puisi Melayu, penyakit hati, perisian penilaian
kendiri.
Researching Malay Social Character Traits To Regenerate Malay
Qualities Of Par Excellence
Abstract
This article analyses social character traits of the Malays nurtured into their psyche and
manifested in their behaviours, manner of speeches, values and norms, thoughts and
knowledge. Based on traditional Malay sayings, poems, proverbs and verses, Hashim Hj.
Musa (2008) was able to establish 26 core Malay psyches or social character traits.
Those who were able to adopt these traits were considered to have high moral and ethical
values and were highly respected by the Malay society. They were regarded as the
gentiles and has acquired three noble traits, namely, (1) good-natured, well-mannered
and urbane, (2) polite, sensible and insightful in speech, and (3) wise and knowledgable.
In oder to discover the condition of the Malays today, a study was carried out to
determine the degrees of conformity or divergence from these 26 core social character
traits. Findings showed that the Malays still retain their religious, ethical and moral
values, and basic knowledge, but are weak in upbringing and nurturing traits resulting in
negative and defective social behaviour and inablity to put into practice what they know.
This is the main factor that gives rise to social ills and decadence in the Malay society of
the past and present. Thus efforts and striving to nuture, instil and redevelop those 26
core social character traits among the Malays of today, is of paramount importance to
rekindle and regenerate their inner qualities and strength in order to achieve the qualities
of of par excellence.
Keywords: Malay psyche, noble values, Malay traditional poems, diseases of the heart,
self-diagnostic software.
Keunggulan Umat Melayu
Andaian dasar artikel ini ialah bahawasanya orang Melayu memang handal, bijak dan
tangkas, kerana mempunyai hati budi yang kukuh dan luhur seperti yang akan
diterangkan dalam artikel ini seterusnya. Kerajaan Melayu dikatakan bermula di suatu
tempat yang kecil sekitar daerah Jambi di Sungai Batang Hari (inskripsi China 644 M
menyebut nama Mo-lo-yu), merebak ke daerah Palembang di Sungai Musi dan
membentuk Empayar Srivijaya (catatan Yijing 689-95 M), seterusnya ke Empayar
Melaka bertaraf dunia (Abad ke-15 M) dan pusat-pusat yang lain lagi. Melayu sebagai
GEMA Online™ Journal of Language Studies 165
Volume 12(1), January 2012
ISSN: 1675-8021
entiti budaya (bukan etnik) telah mendominasi wilayah yang luas terkenal dengan nama
Kepulauan Melayu atau “the Malay archipelago”. Umat Melayu telah berupaya “me-
Melayukan” lebih daripada dua ratus kumpulan etnik dengan bahasa dan budaya Melayu
misalnya Melayu Aceh, Melayu Minang, Melayu Mendailing, Melayu Siak, Melayu
Rokan, Melayu Riau, Melayu Banjar, Melayu Brunei, Melayu Sarawak, Melayu Bugis,
Melayu Sulu, Melayu Patani, Melanau, Jawa, Sunda, Madura, Sumbawa, dan lain-lain.
(Sila lihat Hashim Hj. Musa, 2005, hlm. 208, dan Raja Ali Haji, 1932/1965, halaman
181-182).
Pemacu bagi kedinamikan sifat Melayu demikian ialah ‘teras hati budinya’. Selama
hampir 1000 tahun sejak zaman Empayar Srivijaya (abad ke-7) sehingga ke zaman
penjajahan kolonialis Barat (bermula pada abad ke-16), perairan di Kepulauan Melayu
dan sekitarnya merupakan medan dan gelanggang perdagangan dan aktiviti maritim
rumpun Melayu. Masyarakat Melayu pada zaman itu merupakan sekelompok manusia
yang amat gigih mengharungi lautan dan perairan di Selat Melaka, Selat Sunda, Selat
Mekassar, Laut Sulu, Laut Sulawesi, Laut Maluku, Laut China Selatan, Lautan Hindi,
Teluk Benggala, Teluk Siam, Laut Arab, dan bahkan sampai ke Laut Merah di Afrika.
Pusat-pusat perniagaan maritim di wilayah rumpun Melayu telah dikunjungi oleh
pelbagai pedagang dan pengembara daripada China, India, Eropah, Arab, Farsi, India,
Burma, Siam, dan lain-lain. Raja-raja dan pembesar rumpun Melayu merupakan
pemodal dan usahawan yang gigih, manakala perwira, malim dan kelasi kapal mereka
merupakan pelaut yang handal. Kapal-kapal dagangan mereka telah sampai di pelabuhan
negeri China, Farmosa, Indo-China, Siam, Burma, India, Arab bahkan ada yang sampai
di Afrika Utara. (Sila lihat Cortesao (ed.), 1944, hlm. 283, dan Muhammad Yusoff
Hashim, 1989, hlm. 261)
Simon Elegant dalam Far Eastern Economic Review (1999: hlm. 45), menegaskan:
Five centuries ago, Malacca hosted 2,000 ships each day, as many as the
crowd in the modern-day Singapore, which boasts of being one of the
world’s three busiest ports. Cargoes of mace, nutmeg, cloves, sandalwood,
tea, porcelains and silks passed through Malacca on their way to Europe.
From the islands of the Archipelago... came camphor, birds’ nests, pepper,
musk, gold and ivory. And from the West, mostly carried by traders from
South Asia and the Middle East, came cotton, weapons, incense, opium,
dyes, silver and medicinal drugs, as well as occasional bands of
adventurous Portuguese...
It was a place where Gujratis, Tamils and Bengalis from India lived and
traded in secure harmony with Malays, Chinese and Arabs... A city of
100,000 people where 84 languages could be heard in the markets.
The Malay sultans who ruled Malacca ensured that the strait was free of
pirates. Goods could be stored safely in hundreds of well-guarded
godowns, and in case of disputes, the city’s law were administered fairly
to both Malaccans and foreigners.
GEMA Online™ Journal of Language Studies 166
Volume 12(1), January 2012
ISSN: 1675-8021
Demikianlah orang Melayu pernah dan mampu membina tamadun bertaraf dunia pada
masa dulu, kini dan akan datang melalui pembentukan hati budinya yang luhur dan
unggul.
Hati Budi Melayu dalam Gambaran Puisi Melayu Lama
Hati budi ialah hakikat diri seorang manusia. ‘Hati’ tempat perasaan, kesedaran,
keyakinan, dorongan (drive), dan juga tempat penerima hidayat Ilahi iaitu ‘hati nurani’.
(Sila lihat Hashim Hj. Musa, 2008, hlm. 4-6). ‘Budi’ ialah akal; daya fikir untuk
memahami sesuatu perkara, dan kebolehan untuk berdalil dan menyimpul secara rasional,
juga merupakan kepandaian, keupayaan dan kebijaksanaan yang mampu melahirkan
seorang yang “budiman”. (Hashim Hj. Musa, 2008, hlm. 12)
Hati dan budi bertindak secara berintegrasi dalam diri seseorang sebagai satu kesatuan
sehingga terjelma dalam tindak tanduk, budi pekerti, budi bahasa, nilai, norma, pemikiran
dan ilmunya, dan melahirkan sifat keperibadian atau identitinya secara individu dan
secara kemasyarakatan apabila sifat itu dimiliki sepunya oleh masyarakat itu secara
kolektif. Namun, seperti yang ditegaskan oleh Lee Su Kim (2003, hlm. 410) bahawa
identiti atau jati diri tidak mudah ditakrifkan:
Identity is not easy to define - it is best seen as a plurality and not a unitary
construct. Identity is the individual’s concept of the self, as well as the
individual’s interpretation of the social definition of the self, within his/her
inner group and the larger society. Identity formation is not simply a
conscious process but is influenced by unconscious psychological
processes (DeVos, 1992). Identity is a dynamic, complex and ongoing
process. Norton (1997) defines identity as, “how people understand their
relationship to the outside world, how that relationship is constructed
across time and space, and how people understand their possibilities for
the future.
Dalam artikel ini identiti atau jati diri tidak dilihat dari sudut psikologi individu atau sifat
keperibadian dalam dirinya tetapi dari sudut keperibadian sosial iaitu hubungan individu
dengan masyarakatnya; bagaimana individu itu bertindak dan berkelakuan dalam
hubungan dengan masyarakatnya. Oleh yang demikian identiti atau jati diri sosial boleh
disamakan secara kasar dengan keperibadian sosial atau social character. Dalam artikel
ini konsep keperibadian sosial diasaskan atas pendapat yang dikemukakan oleh Fromm
(1942, Appendix 1-2), yang mentakrifkan keperibadian sosial atau social character
seperti berikut:
The social character comprises only a selection of traits, the essential
nucleus of the character structure of most members of a group which has
developed as the result of the basic experiences and mode of life common
to that group... Character in the dynamic sense of analytic psychology is
the specific form in which human energy is shaped by the dynamic
GEMA Online™ Journal of Language Studies 167
Volume 12(1), January 2012
ISSN: 1675-8021
adaptation of human needs to the particular mode of existence of a given
society. Character in its turn determines the thinking, feeling, and acting of
individuals.
Sifat keperibadian sosial dalam artikel ini disamakan dengan konsep hati budi. Puisi
Melayu lama menyatakan komponen teras hati budi Melayu sebagai paksi dan
panduan berperlakuan bagi anggota masyarakat demi menjaga kerukunan, kesejahteraan
dan kejayaannya. Contohnya:
Tegak rumah kerana sendi,
Runtuh sendi rumah binasa;
Tegak bangsa kerana budi,
Runtuh budi hilanglah bangsa.
Bunga melati bunga di darat,
Bunga seroja di tepi kali;
Hina besi kerana karat,
Hina manusia tidak berbudi.
Di sana padi di sini padi,
Baru bernama sawah dan bendang;
Di sana budi di sini budi,
Baru sempurna bernama orang.
(Hashim Hj Musa, 2001, hlm.80)
Puisi Melayu lama ialah bentuk bahasa yang diolah secara berentak dan berirama dengan
pemilihan kata yang memikat hati budi sehingga mudah melekat dalam ingatan. Puisi
Melayu lama asalnya berbentuk lisan, merupakan khazanah warisan kebijaksanaan
Melayu zaman berzaman, misalnya pepatah, pantun, gurindam dan peribahasa,
mengandungi ungkapan yang padat, yang berentak dan berirama dari segi bunyinya,
indah dan menarik dari segi penggunaan perkataan, perlambangan dan maknanya, dan
persis serta padat dari segi mesej dan amanatnya. Dari segi amanat atau mesej bentuk-
bentuk puisi itu boleh bersifat nasihat, tunjuk ajar, teguran, larangan atau pernyataan
madah dan hikmah.
Penciptaannya oleh anggota masyarakat bijak pandai ialah secara anonimus, kolektif dan
akumulatif dalam sejarah, iaitu berdasarkan pemerhatian dan cerapan akal dan “peng-
`alam’-an” hidup terhadap alam dan budaya mereka, yang mencerminkan kebijaksanaan,
persepsi, sikap, dan falsafah hidup masyarakat yang diwarisi zaman berzaman. Satu
contoh yang dapat dilihat dalam pantun enam kerat, ialah seperti berikut:
Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga,
Yang keras itu takal;
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa,
Yang cerdas itu akal.
(Hashim Hj Musa, 2008: hlm.2)
GEMA Online™ Journal of Language Studies 168
Volume 12(1), January 2012
ISSN: 1675-8021
Tiga kerat pertama ialah pembayang maksud terdiri daripada unsur alam yang zahiriah
yang ditanggapi manusia Melayu melalui cerapan akal budinya terhadap persekitaran
alam, yang menyatakan kebenaran bersifat alamiah atau natural. Kundi iaitu biji yang
telah lama digunakan sebagai penimbal dalam kerja menimbang, telah berbentuk kurik
iaitu berbintik-bintik dan lusuh. Biji saga pula yang masih baharu, masih berwarna
merah dan segar. Manakala takal iaitu alat untuk menarik dan mengangkat benda yang
berat seharusnya keras dan kental. Inilah kebenaran alamiah yang berada dalam ekologi
budaya orang Melayu.
Sedangkan tiga kerat kedua pula ialah maksudnya, yang mempernyatakan kebenaran
yang bersifat rohaniah, iaitu yang baik ialah budi, yang indah ialah bahasa dan yang
cerdas ialah akal. Pengungkapan, perlambangan dan pemaknaan yang indah, berirama
dan tepat jitu demikian menyemai dan memupuk rasa yakin dan percaya dalam hati
kalbu orang Melayu tentang kebenaran dan kemurnian budi yang baik, bahasa yang
indah dan akal yang cerdas, sepertilah benarnya kundi yang kurik, saga yang merah dan
takal yang keras dalam alam persekitarannya.
Secara umumnya, peribahasa, pepatah dan pantun Melayu lama berdasarkan fungsi dan
amanat, boleh digolongkan ke dalam tiga jenis yang berbeza dan ketiga-tiga jenis itu
tidak boleh dicampuradukkan dari segi fungsi dan mesejnya, iaitu a) jenis tunjuk ajar
(suruhan), b) jenis tegahan (larangan), dan c) jenis pernyataan suasana, keadaan atau
realiti. Contohnya:
a) Jenis tunjuk ajar (suruhan):
Adat hidup Melayu terpuji,
Sesama makhluk bersuci hati,
Kepada orang bertanam budi,
Memberi tidak mengharap ganti.
Berakit-rakit ke hulu,
Berenang-renang di tepian;
Bersakit-sakit dahulu,
Bersenang-senang kemudian.
Peribahasa jenis ini merupakan anjuran dan tunjuk ajar supaya kita berusaha
melakukannya, misalnya sesama kita mesti bersuci hati, bertanam budi, bersusah-susah
dahulu dan bersenang-senang kemudian.
b) Jenis tegahan (larangan):
Guru kencing berdiri,
Murid kencing berlari
Bagai nakhoda kasap,
Hujung hilang pangkal lesap.
GEMA Online™ Journal of Language Studies 169
Volume 12(1), January 2012
ISSN: 1675-8021
Peribahasa jenis ini merupakan tegahan supaya kita tidak melakukannya, jangan guru
kencing berdiri, nanti murid kencing berlari, jangan menjadi nakhoda atau pemimpin
yang tidak ada wawasan nanti akan hilang segala-galanya.
c) Pernyataan keadaan, suasana, realiti:
Untung sabut timbul,
Untung batu tenggelam.
Rezeki secupak tak akan menjadi segantang.
Nasi sudah menjadi bubur.
Bagaimana tidak menggigit telunjuk,
Melihat air hujan turun keruh.
Peribahasa jenis ini hanya menyatakan hukum alam yang sentiasa berlaku, misalnya
sabut timbul, batu tenggelam, rezeki yang telah ditentukan Tuhan hanya secupak tidak
akan menjadi segantang, kalau nasi sudah menjadi bubur, iaitu sudah terlanjur dan
terlewat bagaimana hendak menyelamatkannya, dan kalau air hujan turun keruh, iaitu
sesuatu yang ditakdirkan demikian, kita tidak boleh berbuat apa-apa lagi.
Teras Hati Budi Melayu
Berdasarkan puisi Melayu lama iaitu gurindam, syair, simpulan bahasa, pepatah dan
pantun Melayu yang menganjurkan nilai-nilai murni dalam budi bahasa, budi pekerti dan
budi bicara, maka beberapa teras hati budi Melayu dapat ditubuhkan. “Teras hati budi
Melayu” ialah beberapa unsur keperibadian sosial (social character) yang menjadi
pemusatan utama struktur peribadi kebanyakan orang Melayu, terbentuk akibat
pengalaman asasi dan cara hidup yang dikongsi bersama oleh mereka dalam sejarahnya.
Keperibadian teras ini apabila disemai dan dipupuk melalui proses sosialisasi dan
pembudayaan yang sempurna, akan melahirkan para ‘budiman’ dalam masyarakat iaitu
“peribadi mithali” atau ideal yang diidamkan.
Dalam proses pembudayaan teras hati budi itu kepada orang Melayu iaitu melalui proses
ta’adib (penyamaian adab), ta`alim (penyemaian ilmu), tazkirah (penyucian diri), maka
pelbagai darjah pencapaian telah dan akan berlaku. Ada pencapaiannya sebahagian
sahaja dan ada yang hampir semuanya tercapai di kalangan anggota masyarakat untuk
menuju ke arah bentuk peribadi idaman iaitu para ‘budiman’. Mereka yang gagal atau
menyeleweng dianggap ‘kurang ajar’ atau ‘kurang adab’ dan yang terburuk sekali ialah
yang ‘biadab, bacul dan khianat’. Proses pembudayaan dan pemasyarakatan unsur teras
itu akan berjalan terus menerus daripada buaian sehingga ke liang lahad. (Hashim Hj.
Musa (2008, hlm. 6))
GEMA Online™ Journal of Language Studies 170
Volume 12(1), January 2012
ISSN: 1675-8021
Dua puluh enam (26) teras hati budi Melayu, menjadi asas kekuatan peribadi Melayu dan
masyarakatnya, demi membentuk para “budiman” yang merupakan modal insan yang
unggul, handal, dan tangkas dalam pembinaan peradabannya. Dua puluh enam teras hati
budi itu berserta dengan puisi Melayu yang mendukungnya, dapat disenaraikan seperti
berikut (Hashim Hj. Musa, 2008, hlm. 7 dan Tenas Effendi, 2004), iaitu:
1. Hidup berteraskan agama Islam:
Adat bersendikan hukum,
Hukum bersendikan syara’.
Syara` bersendikan Kitabullah,
Syara’ mengatakan adat memakai,
Ya kata syara`, benar kata adat.
2. Pendidikan demi membentuk manusia yang berilmu, beradab, berbudi,
bertakwa dan beramal:
Apalah isi tunjuk ajar Melayu,
Syara` dan sunnah ilmu yang benar.
Yang disebut tunjuk ajar Melayu:
Mencelikkan mata,
Menyaringkan telinga,
Membersihkan hati,
Menyempurnakan budi,
Membaikkan pekerti.
3. Nilai kerja yang mengutamakan kesungguhan, kecekapan, kerajinan &
kerukunan bagi manfaat dunia dan akhirat sehingga ke anak cucu:
Bila bekerja tekun dan sabar,
Punca rezeki terbuka lebar.
Berfaedah pada diri, bertuah pada negeri,
Bermanfaat pada umat, berguna pada bangsa,
Berkat di dunia, rahmat di akhirat, anak cucu selamat.
4. Taat dan berkhidmat kepada ibu bapa serta memuliakan mereka:
Apa tanda Melayu jati,
Mentaati ibu bapa sepenuh hati,
Apa tanda Melayu jati,
Kepada ibu bapa ia berbakti.
5. Setia kepada ketua yang adil dan terpuji:
Elok kampung ada tuanya, elok negeri ada rajanya,
Adat hidup orang terhormat, kepada pemimpinnya ia taat.
GEMA Online™ Journal of Language Studies 171
Volume 12(1), January 2012
ISSN: 1675-8021
Raja adil raja disembah,
Raja zalim raja disanggah.
6. Halus budi bahasa dan budi pekerti:
Kalau hendak tahu orang berbangsa,
Tengok kepada budi dan bahasanya;
Dalam berkata berlemah lembut,
Dalam melangkah berpatut-patut,
Bila duduk tahu tempatnya,
Bila tegak tahu adatnya.
7. Sentiasa bermuafakat, bertegang rasa, tolong-menolong dan mengutamakan
kebajikan umum dan hidup bermasyarakat:
Apa tanda hidup beradat:
Runding selesai dalam muafakat,
Hak ditakar, kewajipan disukat,
Mana yang jauh diperdekat,
Mana yang jarang diperapat,
Mana yang lupa diberi ingat,
Kata putus pendapat pun bulat,
Seia sekata ke laut ke darat.
8. Hormat dan khidmat dalam pergaulan dan dengan tetamu:
Apa tanda Melayu budiman,
Tulus ikhlas sesama insan,
Menolong umat mahu berkorban,
Hidup matinya pada kebajikan.
9. Sederhana bukan ekstremis dalam tutur kata dan tingkah laku, hemat dan
cermat, tidak kasar, keras, militan dan ganas:
Apa tanda Melayu bertuah:
Hemat cermat dalam melangkah,
Hemat cermat memelihara maruah,
Hemat cermat memelihara lidah,
Hemat bercakap cermat melangkah.
10. Prihatin tentang harga diri, maruah yang terjelma dalam istilah “menjaga air
muka” dan “rasa malu yang mendalam”:
Adat hidup orang bertuah,
Aib dan malu dijadikan amanah,
Membawa diri tiada menyalah,
GEMA Online™ Journal of Language Studies 172
Volume 12(1), January 2012
ISSN: 1675-8021
Malu duduk menengah-nengah,
Malu berdiri sombong dan pongah,
Berbuat kebaikan tiada gah,
Bercakap dengan berlembut lidah.
11. Tahu tempat letak sesuatu dan diri setiap orang dan bertindak sewajarnya:
Apa tanda orang bermaruah:
Tahu letak dengan susunnya,
Tahu duduk dengan tegaknya,
Tahu susur dengan galurnya,
Tahu menjaga adat lembaga,
Tahu memelihara harta pusaka.
12. Membela dan mempertahankan kebenaran dan keadilan:
Apabila kezaliman dan ketidakadilan meruncing maka orang Melayu sanggup
‘mengamuk’ demi mengembalikan keadilan dan kebenaran walaupun
mengorbankan diri sendiri.
Apa tanda Melayu jati,
Membela keadilan berani mati,
Berani kerana benar,
Berani pada yang hak,
Berani menegakkan keadilan,
Berani menghapus arang di kening,
Berani mati memegang amanah,
Berani mati membela maruah,
Berani mati di jalan Allah.
13. Menanam budi dan membalas budi:
Adat hidup orang budiman,
Bertanam budi jadi kebiasaan,
Bila menerima budi orang,
Membalasnya jangan menunggu petang.
14. Sifat pemaaf dan pemurah:
Apa tanda Melayu jati,
Dendam kesumat ia jauhi;
Tulus ikhlas bermurah hati,
Kesalahan orang ia ampuni.
GEMA Online™ Journal of Language Studies 173
Volume 12(1), January 2012
ISSN: 1675-8021
15. Sifat kasih sayang:
Adat hidup orang yang mulia,
Mengasihi sahabat menyayangi saudara,
Lebih dan kurang tiada berkira,
Pahit dan manis sama dirasai,
Berkawan tidak memilih bangsa,
Bersahabat tidak memandang harta.
16. Hidup sederhana:
Tanda orang berakhlak tinggi,
Sederhana hidupnya sampai mati.
17. Setia dan rela berkorban:
Apa tanda Melayu sejati,
Tulus setia di dalam hati,
Rela berkorban sampai mati.
18. Sikap berdikari:
Apa tanda Melayu jati,
Di kaki sendiri ia berdiri,
Percaya teguh ke diri sendiri,
Hidup menumpang ia tak sudi,
Percaya kepada kemampuan diri.
19. Menghormati hak dan milik:
Apa tanda Melayu jati,
Hak miliknya ia cermati,
Hak milik orang ia hormati,
Membela yang hak berani mati,
Membela hak milik menahan cemati.
20. Kejujuran dan keikhlasan:
Apa tanda Melayu jati,
Lidahnya jujur hatinya suci,
Apa tanda Melayu budiman,
Jujur dan ikhlas jadi pakaian.
GEMA Online™ Journal of Language Studies 174
Volume 12(1), January 2012
ISSN: 1675-8021
21. Berbaik sangka terhadap sesama makhluk:
Apa tanda orang mulia,
Berbaik sangka sesama manusia,
Siapa hidup berbaik sangka,
Dunia akhirat hidup sentosa.
22. Sifat keterbukaan, tidak menyimpan rasa dan curang:
Kalau hidup berterus terang,
Bala menjauh sengketa pun hilang,
Kalau runding berbuka-bukaan,
Beban berat menjadi ringan,
Berterus terang menurut patutnya,
Berbuka-buka merunut layaknya,
Kalau hendak berterus terang,
Niatnya jangan menghina orang.
23. Sifat amanah:
Orang amanah membawa tuah,
Orang amanah hidup bermaruah,
Orang amanah dikasihi Allah,
Siapa hidup memegang amanah,
Dunia akhirat beroleh berkat.
24. Memanfaatkan waktu, tidak membuang masa:
Apa tanda orang berilmu,
Ianya tahu memanfaatkan waktu,
Pantang Melayu membuang waktu,
Siapa suka mensia-siakan masa,
Alamat hidupnya akan binasa.
25. Memandang masa depan:
Kalau memandang jauh ke depan,
Banyaklah bekal perlu disiapkan,
Siapa memandang jauh ke muka,
Hilanglah sifat loba serakah,
Siapa tak mahu memandang ke muka,
Hidupnya sesat anak cucu celaka.
GEMA Online™ Journal of Language Studies 175
Volume 12(1), January 2012
ISSN: 1675-8021
26. Mensyukuri nikmat Allah:
Siapa hidup mensyukuri nikmat,
Hidup matinya beroleh rahmat,
Sebarang kerja takkan menyalah,
Hidupnya tidak berkeluh kesah,
Siapa melupakan nikmat Allah,
Alamat hidupnya tak dapat berkat,
Lambat laun akan terlaknat,
Hidup matinya dalam mudarat.
Demikian 26 teras hati budi Melayu yang disemai dipupuk demi melahirkan Melayu
budiman iaitu handal, bijak dan tangkas; pemangkin kepada pembinaan peradabannya.
Dalam masyarakat Melayu Islam orang-orang yang dianggap mempunyai nilai etika,
moral dan akhlak yang tinggi dan dipandang mulia oleh masyarakat dinamakan sebagai
orang yang ‘budiman’ yang mempunyai tiga sifat utama, iaitu: 1) Budi pekerti dan adab
sopan yang mulia, 2) Budi bahasa dan budi bicara yang bernas dan 3) Hati budi yang
tinggi, akal fikiran dan hati kalbu yang sarat dengan ilmu, kebijaksanaan, dan kebaikan.
Puisi Melayu telah mengabadikan kemuliaan hati dan budi seperti dalam rangkapan indah
berikut dengan imejan-imejan yang puitis dan bertenaga yang mudah melekat di hati dan
ingatan :
Awal pertama orang berbangsa,
Kedua banyak ribu dan laksa,
Ketiga di majlis bermanis muka,
Keempat banyak berbudi bahasa.
Limau manis dimakan manis,
Manis sekali rasa isinya,
Dilihat manis dipandang manis,
Manis sekali hati budinya.
(Hashim Hj. Musa, 2008, hlm. 1)
Teras hati budi itu diadun dan dipugar untuk mendasari tingkah laku, fiil perangai dan
budi bicara bagi melahirkan jati diri manusia Melayu yang budiman, mampu berbakti
kepada dirinya, bangsanya dan seluruh umat manusia sejagat.
Namun, apabila terjadi penghakisan terhadap komponen teras hati budi itu akibat
serangan fahaman liberalisme, sekularisme dan materialisme Barat, atau luahan sifat-sifat
dalaman yang buruk iaitu penyakit hati budi misalnya nafsu serakah, dendam kesumat,
hasad dengki, iri hati dan fitnah, maka berlakulah gejala sosial yang parah yang melanda
kebanyakan orang Melayu dan masyarakatnya pada zaman lampau dan juga kini.
Semua penyakit hati ini dizahirkan pula sebagai luahan emosi dalam bentuk ucapan,
tindakan dan aksi tertentu misalnya mengumpat, memfitnah, menghasut, mengancam,
GEMA Online™ Journal of Language Studies 176
Volume 12(1), January 2012
ISSN: 1675-8021
menghina, mencarut, bersengketa, berkomplot, merasuah, berkonspirasi, memukul,
mencedera, membunuh dan lain-lain.
Manifestasi Penyakit Hati dan Padahnya dalam Sejarah Kesultanan Melayu
Melaka
Dalam Sejarah Melayu Sultan Mahmud Syah yang memerintah Melaka ketika Portugis
menyerang Melaka, telah digambarkan sebagai seorang tokoh yang penuh hasad dan iri
hati didorong oleh nafsu syahwat yang melonjak-lonjak. Baginda digambarkan sebagai
seorang yang suka berzina hatta dengan isteri orang sekalipun iaitu dengan isteri Tun
Biajid anak Laksmana Hang Tuah, dan dengan Tun Dewi. Juga Baginda mempunyai
keberahian nafsu yang kuat kepada wanita-wanita yang cantik hatta kepada isteri atau
tunang orang sekalipun. Contohnya, apabila didengarnya tentang kecantikan Tun Teja
Ratna Benggala anak Bendahara Pahang walaupun sudah ditunangkan dengan Sultan
Pahang Sultan Abdul Jamil, maka “baginda pun ingin rasanya akan anak Bendahara
Pahang itu” (Sejarah Melayu, hlm. 217).
Sultan Mahmud juga berdendam ke atas Bendahara Seri Maharaja kerana telah
mengahwinkan anaknya Tun Fatimah yang cantik parasnya kepada Tun Ali tanpa
pengetahuan Baginda yang juga menginginkan Tun Fatimah:
Baginda berkata dalam hatinya; “Jahatnya Pak Mutahir ini, demikianlah
baik anaknya tiada ditunjukkannya kepada kita”. Maka Sultan Mahmud
Shah berdendam di dalam hatinya akan Bendahara. (Sejarah Melayu,
hlm. 247).
Apabila Laksamana Khoja Hasan membawa fitnah Raja Mendeliar (setelah Laksamana
disogoknya dengan emas sebahara) iaitu kononnya Bendahara Seri Maharaja sedang
berkomplot “kasadnya hendak naik raja di dalam negeri Melaka”, maka Baginda pun
terus bertindak membunuh Bendahara serta tiga orang pembesar kerabatnya, tanpa usul
periksa kerana “kabullah pada hatinya (yang berdendam), seperti kata orang mengantuk
disorongkan bantal, (Sejarah Melayu, hlm. 252).
Pembunuhan Bendahara Sri Maharaja telah menjadi faktor kelemahan dalaman yang
paling parah bagi Melaka, kerana kepimpinan Bendahara dan keperwiraan Tun Hasan
Temenggung merupakan faktor utama dalam kemenangan Melaka menewaskan serangan
pertama kuasa Portugis yang diketuai Gonzalo Periera, seperti yang disebut oleh Sejarah
Melayu (hlm. 240). Dalam serangan Portugis yang kedua yang diketuai oleh Alfonso
d’Albuquerque sesudah pembunuhan empat orang pembesar itu dan perpecahan dalaman
yang parah, maka kalahlah Melaka.
GEMA Online™ Journal of Language Studies 177
Volume 12(1), January 2012
ISSN: 1675-8021
Gejala Sosial Buruk Masyarakat Melayu Kini: Cerminan Penyakit Hati Yang
Berleluasa
Dalam masyarakat Melayu kini ada bibit penyakit hati yang berleluasa yang
dimanifestasikan oleh beberapa gejala sosial yang buruk yang sedang melandanya
terutama sekali golongan yang berpengaruh dan berwibawa dan juga golongan muda.
Mohd Kamal Hassan (1996, hlm. 233) telah memperturunkan 15 gejala sosial yang buruk
yang melanda masyarakat Melayu kini yang boleh dikaitkan dengan penyakit hati yang
menjejas nilai akhlak dan moral, antaranya pandangan dan pegangan liberal-sekular,
untung/manfaat wang dan harta benda diutamakan, gaya hidup menunjuk-nunjuk dan
berlagak, menagih kemewahan, penimbunan harta tanpa keinsafan berzakat, sindrom
politik wang, pembelian undi untuk jawatan dalam parti dan kerajaan, sindrom
kelemahan unsur moral, pengurus dan pegawai-pegawai tinggi menyalahgunakan kuasa,
rasuah, penipuan, dan lain-lain, amalan hamba-tuan (patron-client) yang berlebihan,
gejala lepak dan delinkuen juvana, ribuan belia melepak di kompleks beli-belah,
perhentian bas dan pusat hiburan, 83% daripadanya ialah Melayu, 70% merokok, 41%
menyalahgunakan dadah, 25% minum arak, 39% melihat bahan lucah, 18% berzina, 28%
berjudi dan 16% mencuri, sindrom mediokriti/rendah pencapaian, tiada motivasi untuk
cemerlang, sindrom pergantungan kepada biasiswa, subsidi, bantuan, pinjaman dan
kontrak dari kerajaan, kecenderungan untung segera, penubuhan syarikat Ali-Baba, Ali-
Samy, nilai rendah terhadap masa, pembaziran masa dengan omong kosong, orientasi
akhirat keterlaluan, konsep ibadat sempit, kurang kepada aspek kemasyarakatan dalam
bidang mu`amalat, mu`asyarat, dan akhlak, kepercayaan tahyul tinggalan daripada
kepercayaan animisme, gejala fitnah dan umpatan, dan pelbagai bentuk persundalan dan
jenayah seks, perzinaan, pelacuran, sumbang muhrim, rogol, pesta liar yang
menggemburkan seks, yang melahirkan gejala anak haram dan pembuangan bayi.
Iktibar daripada tragedi pada zaman Melaka itu ialah bahawa luahan emosi dalam bentuk
ucapan, tindakan dan aksi buruk daripada nafsu serakah, tamak, hasad dengki, iri hati dan
dendam kesumat terutama sekali di kalangan pemimpin, pentadbir dan pembesar negara,
jika tidak dibendung bahkan dibiarkan berleluasa, amatlah parah padahnya kepada
ketahanan dalaman sesebuah negara. Keadaan negara yang rapuh daripada dalaman itu
apabila disertai dengan serangan musuh daripada luar, akan membawa kepada
kekecundangan dan keruntuhannya.
Gejala-gejala kelemahan dalaman ini seperti juga yang digambarkan oleh gejala sosial
yang buruk kini, iaitu tamak haloba, hasad dengki, dendam kesumat, nafsu serakah jika
berleluasa dan berterusan boleh membentuk detik dan tahap penyudah sebelum
berakhirnya sesebuah negara bangsa dan tamadun jika disertai pula oleh serangan dan
pencerobohan daripada kuasa luar, seperti yang dinyatakan oleh pengkaji-pengkaji
tamadun.
GEMA Online™ Journal of Language Studies 178
Volume 12(1), January 2012
ISSN: 1675-8021
Kajian Hati Budi Melayu: Penilaian Kendiri Keakuran atau Penyimpangan 26
Teras Hati Budi Melayu
Demi mengenal pasti keadaan sebenar hati budi orang Melayu kini, iaitu sajauh mana
masih akur dengan 26 terasnya dan sejauh mana telah menyimpang daripadanya, maka
satu kajian di bawah Geran Universiti Penyelidikan 2009-2011 (Research University
Grants Scheme 2009-2011) sedang dijalankan di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi,
Univeriti Putra Malaysia.
Kajian ini mengandungi dua fasa, iaitu:
1) Fasa 1: soal selidik
2) Fasa 2: pembinaan alat pengukuran diagnostik penilaian kendiri teras hati
budi Melayui berdasarkan laman web dan perisian (web-based and software
diagnostic self-testing assessment tools)
Fasa 1: soal selidik untuk meneliti kedaaan hati budi orang melayu dari segi
keakuran atau penyimpangan daripada terasnya
Bagi melihat dan seterusnya meneliti sejauh mana keakuran atau penyimpangan teras hati
budi Melayu di kalangan individu dan kumpulan dalam masyarakat Melayu kini, satu set
soalan berbentuk soal selidik telah dibangunkan. Set soalan itu mengandungi lima
komponen iaitu:
1: Demografi,
2: Soal Agama,
3: Soal Didik,
4: Soal Nilai,
5: Soal Ilmu.
Satu kajian rintis telah dilakukan pada bulan Ogos tahun 2009 di sekitar Selangor dan
Kuala Lumpur maka kajian sebenar telah dimulakan bulan September 2009. Skala Likert
dipilih sebagai penanda dalam setiap pilihan jawapan oleh responden. Penanda aras bagi
setiap pilihan jawapan ialah:
1 = sangat tidak setuju
2 = tidak setuju
3 = tidak pasti
4 = setuju
5 = sangat setuju.
Bagi tujuan melancarkan proses penganalisisan data mentah untuk mencapai objektif
kajian, satu tatacara pemarkahan untuk setiap jawapan bagi soalan dalam borang soal
selidik telah disediakan. Contohnya, bagi soalan yang jawapan dikehendaki ialah nombor
5 dan responden memilih nomber 5, dia akan diberikah 5 markah, manakala jika dia
GEMA Online™ Journal of Language Studies 179
Volume 12(1), January 2012
ISSN: 1675-8021
menjawab sebaliknya iaitu nombor 1 maka nilai markah yang diperolehinya ialah 1.
Seterusnya bagi soalan yang jawapan dikehendaki ialah 1 dan responden memilih
nombor 1, maka markah yang diperolehinya adalah 5, sebaliknya jika ia memilih jawapan
nombor 5, maka markahnya 1.
Hasil kajian sehingga kini (yang masih berjalan) iaitu berdasarkan 204 responden adalah
seperti yang berikut;
1. Soal Agama : Cemerlang = 74.5%, Baik = 22%, Sederhana = 2.4%, Lemah = 0.9%
2. Soal Didik : Cemerlang = 39.7%, Baik = 58.3%, Sederhana = 0.9%, Lemah = 0.9%
3. Soal Nilai : Cemerlang = 70.5%, Baik = 27.9%, Sederhana = 0.9%, Lemah = 0.4%
4. Soal Ilmu : Cemerlang = 70%, Baik = 28.4%, Sederhana = 1.4%, Lemah = 0%
Analisis awal hasil kajian ini menunjukkan bahawa orang Melayu pada umumnya masih
ada agama, nilai dan ilmu (melebihi 70%) tetapi kurang daripada segi didikan yang
menyebabkan amalan dan pelakuan mereka terjejas iaitu tidak dapat diterapkan atau
diterjemahkan apa yang diketahui ke dalam bentuk pelakuan dan kehidupan yang
sebenar. Inilah faktor utama yang melahirkan begitu banyak gejala sosial di kalangan
orang Melayu kini!
Fasa 2: membina alat pengukuran diagnostik penilaian kendiri teras hati budi
melayu berasaskan laman web dan perisian
Objektif kedua penyelidikan adalah untuk membangunkan satu alat pengukuran
diagnostik penilaian kendiri berasaskan laman web dan perisian (web-based and software
diagnostic self-testing assessment tools) yang bertujuan mengenal pasti keadaan sebenar
hati budi orang Melayu kini, iaitu sejauh mana masih akur dengan 26 terasnya atau
sejauh mana telah menyimpang daripadanya. Pembinaan alat pengukuran diagnostik
penilaian kendiri ini akan menjadi penanda aras kepada pencapaian penyelidikan yang
dijalankan ini.
Konsep yang hampir sama dengan soal selidik digunakan, cuma diubah kepada satu
bentuk perisian bagi mengesan sebarang perubahan yang berlaku dalam masyarakat
Melayu yang menjadi tunjang utamanya, iaitu 26 teras hati budi yang telah diterangkan
pada awal penulisan artikel ini. Di dalam alat pengukuran yang berbentuk laman web
dan juga perisian ini akan diprogramkan proses penjumlahan markah secara automatis
bagi setiap responden berdasarkan jawapannya. Dan seterusnya berdasarkan jumlah
markah itu, maka responden boleh menjanakan skornya secara automatis iaitu:
A = cemerlang (keakuran yang sempurna dengan teras hati budi Melayu),
B = baik (keakuran yang baik),
C = sederhana (keakuran yang sederhana atau penyimpangan yang sederhana),
D = lemah (keakuran yang lemah atau penyimpangan yang besar).
GEMA Online™ Journal of Language Studies 180
Volume 12(1), January 2012
ISSN: 1675-8021
Kesimpulan
Alat ini boleh berfungsi sebagai satu kaedah yang mampu melakukan penilaian
diagnostik kendiri tentang keakuran ataupun penyimpangan daripada 26 teras hati budi
Melayu bagi individu dan kumpulan-kumpulan dalam masyarakat Melayu. Berasaskan
tahap skor penilaian kendiri itu, maka kita boleh mengenal pasti kekuatan atau sebaliknya
kelemahan keperibadian Melayu kini dalam kalangan orang Melayu secara individu dan
juga secara berkelompok. Juga dapat dikenal pasti apakah aspek-aspek kelemahan
keperibadian itu iaitu, sama ada dalam aspek agama, pendidikan, nilai, dan ilmu
pengetahuan.
Penilaian kendiri demikian itu boleh dilakukan ke atas kumpulan-kumpulan orang
Melayu misalnya golongan belia, golongan korporat, golongan pentadbir, golongan
eksekutif, pelajar IPT, penduduk kawasan perumahan di bandar, di pinggir bandar, dan di
luar bandar, kumpulan-kumpulan yang menjalani bengkel motivasi tertentu misalnya
daripada pelbagai pertubuhan, perbadanan dan persatuan. Setelah skor diperolehi dan
tahap keakuran ataupun penyimpangan dikenalpasti, maka program motivasi, latihan,
pemupukan dan pengukuhan komponenn-komponnen teras hati budi Melayu itu dapat
diolah dan dilaksanakan. Melalui program-program latihan, pemupukan dan pengukuhan
demikian, maka diharapkan 26 teras hati budi Melayu itu dapat disemai dan dihayati oleh
individu dan masyarakat Melayu, demi menjadikan mereka modal insan yang kukuh dan
berwibawa yang dapat membangunkan bangsa dan peradaban mereka pada masa
hadapan.
Oleh itu usaha memperkukuh dan mengembalikan kekuatan yang menjadi asas warisan
Melayu lama ke dalam hati budi atau the Malay psyche masyarakatnya amatlah penting
dan mendesak sekali. YAB Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menegaskan
(2006:15), “Untuk menjadi unggul, kita mesti membina kembali hati budi kita dan
menyisihkan diri daripada mediokriti (To be truly exceptional, we must reform our
psyche and rid ourselves of mediocrity)”
Teras hati budi Melayu terungkap dalam puisi Melayu lama mencerminkan budi pekerti
yang mulia, budi bahasa yang santun dan akal budi yang tinggi seperti yang dapat dilihat
dalam pantun-pantun di bawah:
Nanas dijual di pasar niaga,
Ramai orang datang membeli;
Emas perak perhiasan dunia,
Budi bahasa perhiasan diri.
Padi perak berdaun suasa,
Buahnya mengurai emas merah;
Sudah berbudi lagi berbahasa,
Itulah tanda bestari bertuah.
GEMA Online™ Journal of Language Studies 181
Volume 12(1), January 2012
ISSN: 1675-8021
Pucuk manis pucuk lenggundi,
Daun purut digetus rusa;
Yang manis bernama budi,
Yang indah bernama bahasa.
Rujukan
Abu Hamid Muhammad bin Muhammad Al-Ghazaly (1971). Ihya’ `Ulumuddin (Jiwa
Agama). Terjemahan Maisir Thaib & A. Thaher Hamidy. Medan: Pustaka
Indonesia.
Al-Attas, S. M. Naquib. (1995). Prolegomena to the metaphysics of Islam. Kuala
Lumpur: ISTAC.
Al-Razi, Fakhar al-Din. (1969). Ilmu al-akhlaq. English Translation M. S. Hassan
Mas`umi, Islamabad: Islamic Research Institute.
Cortesao. A (ed.). (1944). The sume oriental of tome pires: An account of the east, from
the red sea to Japan, written in Malacca and India in 1512-1515. 2 Volumes,
London: Hankuyt Society Works.
Elegant, S. (1999). Far Eastern Economic Review, 10 Jun, hlm. 45.
Fromm, E. (1942). Character and the social process. New York: Routledge.
Hashim Hj. Musa. (2001). Falsafah, logik, teori nilai dan etika Melayu: Suatu
pengenalan. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu.
Hashim Hj. Musa. (2005). The theory of knowledge and language: An alternative view
from Malay studies perspective. AFKAR, Journal of Akidah & Islamic Thought, 6,
Mei 2005, 193-224.
Hashim Hj. Musa. (2008). Hati Budi Melayu: Pengukuhan Menghadapi Cabaran Abad
ke-21. Serdang: Penerbit Universiti Putra Malaysia.
Hashim Hj. Musa. (2010). Pemerkasaan dan Integrasi Masyarakat Malaysia melalui
Bahasa Melayu. Prosiding Seminar Antarabangsa Psikolingusitik II: Bahasa
Pemikiran dan Integrasi. Serdang: Universiti Putra Malaysia. hlm. 268-278.
Lee Su Kim. (2003). Exploring the relationship between language, culture and Identity.
GEMA Online™ Journal of Language Studies, 3(2).
Mohd Kamal Hassan. (1996). Towards actualizing Islamic ethical and educational
principles in Malaysian society. Kuala Lumpur: ABIM.
Mohd Najib Tun Abdul Razak, Dato Sri. (2006). Globalising Malaysia: Towards
building a developed nation. Kuala Lumpur: MPH.
GEMA Online™ Journal of Language Studies 182
Volume 12(1), January 2012
ISSN: 1675-8021
Muhammad Yusoff Hashim. (1989). Kesultanan Melayu Melaka. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Raja Ali Haji. (1932/1965). Tuhfat al-nafis. Naskhah Rumi oleh Munir bin Ali.
Singapura: Malayan Publication Ltd.
Siti Sarah Ab Karim & Normahdiah Sheikh Said. (2010). Mengenali hati budi Melayu
membantu pengintegrasian pemikiran budaya bangsa. Prosiding Seminar
Antarabangsa Psikolinguistik II: Bahasa, Pemikiran dan Integarasi. Serdang:
Universiti Putra Malaysia. hlm. 638-644.
Shellabear, W. G. (peny.). (1967). Sejarah Melayu. Kuala Lumpur: Oxford University
Press.
Tenas Effendy. (2004). Tunjuk ajar Melayu. Yogyakarta: Adicita Karya Nusa.
Penulis
Hashim Hj. Musa (Ph.D) ialah Profesor Linguistik Melayu di Jabatan Bahasa Melayu
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), mengkhusus
dalam bidang teori tatabahasa, sosiolinguistik dan epigrafi Melayu.
Normahdiah Sheik Said (Ph.D) ialah Pensyarah di Jabatan dan Fakulti yang sama
mengkhusus dalam bidang Ergonomik Kognitif (Interaksi Manusia dan Komputer).
Rozita Che Rodi ialah Felo Penyelidik Siswazah (Graduate Research Fellow) dan calon
Ph.D di Jabatan dan Fakulti yang sama.
Siti Sarah Ab Karim ialah Penolong Pegawai Teknologi Maklumat di iDEC, UPM, juga
calon Ph.D di Jabatan dan Fakulti yang sama.