Content uploaded by Denis Andrew D Lajium
Author content
All content in this area was uploaded by Denis Andrew D Lajium on Nov 22, 2016
Content may be subject to copyright.
1ST Borneo International Conference on
Science and Mathematics Education
Faculty of Psychology and Education
Universiti Malaysia Sabah
21-23 September 2015
Keberkesanan Lawatan Lapangan Maya Terhadap
Pencapaian Murid Tahun Lima Dalam Matapelajaran Sains
Rayner Tangkui
*
& Denis Lajium
†
Abstrak
Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti keberkesanan penggunaan lawatan lapangan maya
dalam meningkatkan pencapaian murid serta mengenal pasti tahap minat murid terhadap
mata pelajaran sains. Kajian ini dijalankan di sebuah sekolah rendah di daerah Kuala Penyu.
Sampel kajian adalah terdiri daripada 60 orang murid tahun lima yang dibahagikan kepada
kumpulan kawalan dan kumpulan rawatan. Reka bentuk kajian yang digunakan dalam
pelaksanaan kajian ini adalah kuasi-eksperimen yang menggunakan pendekatan kuantitatif
dalam proses pengumpulan dan penganalisisan data. Kumpulan kawalan akan menjalani sesi
pengajaran dan pembelajaran menggunakan kaedah konvensional manakala kumpulan
rawatan akan menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran menggunakan lawatan lapangan
maya. Instrumen kajian yang digunakan dalam kajian ini adalah set borang soal selidik serta
set ujian pencapaian yang terdiri daripada ujian pra dan ujian pasca. Borang soal selidik
digunakan untuk mengukur tahap minat murid terhadap mata pelajaran sains kesan
penggunaan lawatan lapangan maya manakala set ujian pencapaian digunakan untuk
mengukur pencapaian murid. Dapatan kajian menunjukkan bahawa kumpulan rawatan
memperoleh skor min ujian pasca yang lebih tinggi secara signifikan iaitu 51.86 (sp=17.25)
berbanding kumpulan kawalan yang memperoleh nilai skor min ujian pasca 43.00 (sp=14.83).
Hasil analisis ini menunjukkan bahawa kaedah pengajaran yang menggunakan lawatan
lapangan maya dalam mempelajari tajuk Kemandirian Spesies telah meningkatkan
pencapaian murid berbanding penggunaan kaedah pengajaran konvensional. Dapatan kajian
juga menunjukkan minat murid terhadap mata pelajaran sains kesan penggunaan lawatan
lapangan maya adalah tinggi, dengan nilai purata skor min 4.03 (sp=0.63). Penggunaan
lawatan lapangan maya sebagai kaedah pengajaran sains berupaya menarik minat murid
kerana adanya elemen-elemen multimedia seperti teks, grafik, animasi dan video.
Pendahuluan
Teknologi maklumat dan komunikasi atau TMK telah menjadi suatu bentuk teknologi yang
penting terutama dalam era ledakan maklumat masa kini. Pengaruh TMK bukan hanya dapat
dilihat dalam bidang pentadbiran dan perniagaan tetapi juga bidang pendidikan. Pengaruh
TMK dalam bidang pendidikan dapat dilihat secara khusus melalui integrasi TMK dalam
*
Universiti Malaysia Sabah, Malaysia (email : raynertangkui@gmail.com)
†
Universiti Malaysia Sabah, Malaysia (email : denisadl@ums.edu.my)
1st Borneo International Conference on Science and Mathematics Education
418
pengajaran dan pembelajaran. Pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran yang
diintegrasi dengan teknologi komunikasi dan maklumat (TMK) merupakan antara inisiatif
penting yang perlu diberi perhatian dalam usaha mewujudkan persekitaran pendidikan yang
bersifat dinamik, menarik serta berupaya memotivasikan murid untuk mengikuti sesi
pengajaran yang disampaikan oleh guru. Integrasi TMK dalam pengajaran dan pembelajaran
bermaksud penggunaan teknologi untuk memperkenal, mengukuh dan menambah kemahiran
dalam pengajaran dan pembelajaran (Pisapa, 1994). Pengintegrasian TMK dalam pengajaran
dan pembelajaran adalah penting bagi memberi nilai tambah kepada aktiviti pengajaran dan
pembelajaran tersebut dan perlu digabungjalin dengan strategi pengajaran dan pembelajaran
bagi mewujudkan kaedah-kaedah baru dan inovatif dalam pengajaran, pembelajaran dan
penilaian.
Latar Belakang Kajian
Pengintegrasian TMK dalam pengajaran dan pembelajaran adalah penting bagi mewujudkan
persekitaran pendidikan yang bersifat lebih dinamik serta berupaya menarik minat dan
perhatian murid terhadap subjek atau mata pelajaran yang disampaikan oleh guru.
Pengintegrasian TMK dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran sains bukan sahaja
dapat mewujudkan persekitaran pendidikan yang dinamik serta berupaya menarik minat murid
terhadap mata pelajaran berkenaan tetapi juga membolehkan strategi, pendekatan dan kaedah
pengajaran dan pembelajaran sains dilaksanakan dengan lebih efisien, mudah dan menarik.
Pengintegrasian laman web, yang merupakan salah satu bentuk TMK, dalam pengajaran dan
pembelajaran sains akan dapat menarik minat serta perhatian murid terhadap pengajaran dan
pembelajaran berkenaan kerana elemen-elemen multimedia seperti teks, grafik, animasi, teks
dan audio yang terdapat dalam sesuatu laman web mampu menjadikan sesi pengajaran dan
pembelajaran lebih menarik, berkesan dan menyeronokkan. Pembelajaran berkesan akan
berlaku kesan daripada kehadiran elemen-elemen multimedia kerana elemen-elemen
multimedia akan merangsang deria-deria dan membolehkan murid mengingati pengajaran
yang disampaikan oleh guru dengan lebih baik (Vijay Kumaran dan Nair, 1996).
Pernyataan Masalah
Lawatan lapangan, yang merupakan salah satu kaedah pengajaran mata pelajaran sains, adalah
lawatan yang memberi peluang kepada murid untuk mempelajari sesuatu perkara dalam
persekitaran yang sebenar dan bukan di dalam bilik darjah atau makmal. Lawatan lapangan
akan mengembangkan pembelajaran dan pengalaman murid melalui pelaksanaan aktiviti-
aktiviti berbentuk amali, meningkatkan pengetahuan dan pemahaman murid terhadap dunia di
mana mereka tinggal serta membantu murid untuk memahami serta membina kemahiran proses
sains di dalam minda, sekaligus membantu mereka dalam menjawab soalan-soalan yang
berkaitan dengan kemahiran proses sains dalam ujian atau peperiksaan.
Namun demikian, sumber kewangan yang terhad, kurangnya perancangan yang teliti, masa
lawatan yang terhad, jumlah murid yang terlalu ramai, isu kawalan murid serta keberkesanan
aktiviti yang akan dilaksanakan di lokasi yang akan dilawati, lokasi yang tidak selamat serta
mustahil untuk dilawati dan kesukaran guru-guru untuk mereka bentuk lawatan lapangan yang
berkesan serta selari dengan kehendak kurikulum adalah merupakan antara penghalang utama
yang menyebabkan lawatan lapangan tidak dapat atau sukar untuk dijalankan. Ketidakupayaan
menjalankan lawatan lapangan sedikit sebanyak akan menyebabkan murid mengalami
kesukaran dalam memahami serta membina kemahiran proses sains di dalam minda mereka
mengenai topik-topik tertentu dalam mata pelajaran sains dan ini akan mempengaruhi
21-23 September 2015, Universiti Malaysia Sabah
419
pencapaian mereka dalam mata pelajaran tersebut. Berbentuk laman web interaktif serta
mengandungi elemen-elemen multimedia, penggunaan lawatan lapangan maya, yang
merupakan alternatif kepada lawatan lapangan sebenar dalam pengajaran dan pembelajaran
sains, berupaya ‘membawa’ pemandangan, bunyi dan deskripsi sesuatu lokasi atau tempat yang
jauh kepada murid (Klemm dan Tuthill, 2003) serta membantu murid menimba ilmu dan
pengalaman pembelajaran.
Terdapat golongan murid yang tidak meminati mata pelajaran sains serta menganggap bahawa
mata pelajaran ini adalah mata pelajaran yang susah untuk dipelajari dan difahami. Bagi
menangani masalah ini, penggunaan TMK dalam pengajaran dan pembelajaran sains
terutamanya laman web adalah merupakan strategi atau pendekatan yang boleh digunakan oleh
guru untuk menarik minat murid terhadap mata pelajaran berkenaan.
Melihat kepada pernyataan masalah yang dinyatakan, kajian ini dijalankan bagi mengenalpasti
keberkesanan penggunaan lawatan lapangan maya, yang merupakan alternatif kepada lawatan
lapangan ke lokasi sebenar, terhadap pencapaian mata pelajaran sains bagi murid tahun lima
serta mengenalpasti sama ada penggunaan lawatan lapangan maya dalam pengajaran dan
pembelajaran sains berupaya meningkatkan minat murid terhadap mata pelajaran sains.
Persoalan Kajian
Dua persoalan kajian yang dikaji dalam kajian ini adalah:
Adakah terdapat perbezaan dari segi pencapaian dalam mata pelajaran sains antara
murid yang diajar dengan menggunakan lawatan lapangan maya dengan murid yang
diajar dengan menggunakan kaedah konvensional?
Adakah penggunaan lawatan lapangan maya dapat menarik minat murid terhadap mata
pelajaran sains?
Soroton Literatur
Dalam kajian ini, penggunaan lawatan lapangan maya sebagai alternatif kepada lawatan
lapangan sebenar dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran sains akan dapat
mengatasi masalah yang akan dihadapi sekiranya lawatan lapangan sebenar dilaksanakan.
Penggunaan lawatan lapangan maya juga akan menggalakkan pengajaran berasaskan web,
dimana pengajaran berasaskan web mempunyai banyak kelebihan terhadap pengajaran dan
pembelajaran terutama dari segi fleksibiliti, kos yang efektif, kandungan yang terkini dan
interaktif serta kemampuannya dalam mewujudkan perkongsian dan penyebaran maklumat
dengan pantas dan serentak (Mohd Fazli Khaisunizam Ismail, 1998). Melalui lawatan lapangan
maya juga murid akan dapat memahami sesuatu konsep sains dengan lebih jelas lagi kerana
penggunaan lawatan lapangan maya berupaya menunjukkan konsep abstrak secara visual
melalui animasi, video serta penjelajahan multimedia (Oldham, 2003). Keupayaan murid untuk
memahami sesuatu konsep sains dengan lebih mudah akan membantu murid berkenaan untuk
lebih memahami serta mudah membina kemahiran proses sains di dalam minda mereka
berkenaan topik-topik dalam sukatan mata pelajaran sains dan ini akan membantu terutama
dalam menjawab soalan ujian atau peperiksaan.
Selain kewujudan elemen-elemen multimedia yang berupaya menarik minat murid terhadap
pengajaran dan pengajaran mata pelajaran sains, penggunaan lawatan lapangan maya dalam
1st Borneo International Conference on Science and Mathematics Education
420
pengajaran dan pembelajaran sains akan menggalakkan pelajar untuk terlibat secara aktif dalam
proses pembelajaran. Penglibatan secara aktif dalam proses pembelajaran akan meningkatkan
lagi motivasi murid untuk mengikuti pembelajaran sains dan ini akhirnya akan mendorong
kepada tercetusnya minat terhadap mata pelajaran tersebut.
Metodologi
Sebuah laman web berkenaan topik Kemandirian Spesies telah dibangunkan dengan
berpandukan kepada huraian sukatan pelajaran sains tahun lima. Murid-murid yang terlibat
dalam kajian ini adalah seramai 60 orang dan terdiri daripada murid-murid tahun lima di sebuah
sekolah rendah di daerah Kuala Penyu. Murid-murid ini dibahagikan kepada kumpulan
kawalan dan kumpulan rawatan. Selepas diberi ujian pra, kumpulan rawatan diajar dengan
menggunakan lawatan lapangan maya manakala kumpulan kawalan diajar menggunakan
kaedah konvensional. Kedua-dua kumpulan murid ini diberi ujian pasca dan kemudian diikuti
dengan borang soal selidik. Analisis data dijalankan menggunakan ujian-t dan statistik
deskriptif.
Dapatan Kajian
Jadual 5.1 menunjukkan keputusan analisis ujian-t yang telah dijalankan ke atas markah ujian
pra dan markah ujian pasca yang telah diperoleh oleh kumpulan kawalan. Ujian-t dijalankan
untuk menguji sama ada hipotesis nol ditolak atau gagal ditolak. Dalam analisis ini, hipotesis
nol yang hendak diuji adalah seperti berikut:
H01 : Tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara min markah ujian pra dengan min
markah ujian pasca dalam kumpulan kawalan
Jadual 1.0 : Perbandingan Pencapaian Ujian Pra Dan Ujian Pasca Bagi
Kumpulan Kawalan
* Tahap signifikan pada aras p < 0.05
Berdasarkan jadual tersebut, min markah ujian pra adalah 40.13 dengan sisihan piawai 14.69
manakala min markah ujian pasca adalah 43.00 dengan sisihan piawai 14.83. Perbezaan min
antara markah ujian pra dengan markah ujian pasca adalah 2.87.
Oleh kerana nilai kebarangkalian yang diperoleh daripada analisis ujian-t (.064) adalah lebih
daripada nilai alfa yang ditentukan (.05), hipotesis nol gagal ditolak. Tidak terdapat perbezaan
yang signifikan antara min markah ujian pra dengan min markah ujian pasca dalam kumpulan
kawalan. Kesimpulan ini dibuat pada tahap kesignifikanan, 𝛼 = .05 (5%).
Jadual 1.1 menunjukkan keputusan analisis ujian-t yang telah dijalankan ke atas markah ujian
pra dan markah ujian pasca yang telah diperoleh oleh kumpulan rawatan. Ujian-t dijalankan
Kumpulan
Kawalan
N
Min
Sisihan
Piawai
Perbezaan
Min
Nilai-
t
df
Sig. (2-
hujung)
Ujian Pra
30
40.133
14.69
2.87
1.923
29
.064
Ujian Pasca
30
43.000
14.83
21-23 September 2015, Universiti Malaysia Sabah
421
untuk menguji sama ada hipotesis nol ditolak atau gagal ditolak. Dalam analisis ini, hipotesis
nol yang hendak diuji adalah seperti berikut:
H02 : Tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara min markah ujian pra dengan min
markah ujian pasca dalam kumpulan rawatan
Jadual 1.1 : Perbandingan Pencapaian Ujian Pra Dan Ujian Pasca Bagi
Kumpulan Rawatan
Berdasarkan jadual diatas, min markah ujian pra adalah 41.73 dengan sisihan piawai 14.27
manakala min markah ujian pasca adalah 51.86 dengan sisihan piawai 14.25. Perbezaan min
antara markah ujian pra dengan ujian pasca adalah 10.13.
Oleh kerana nilai kebarangkalian yang diperoleh daripada analisis ujian-t (.001) adalah kurang
daripada nilai alfa yang ditentukan (.05), hipotesis nol ditolak. Terdapat perbezaan yang
signifikan antara min markah ujian pra dengan min markah ujian pasca dalam kumpulan
rawatan. Kesimpulan ini dibuat pada tahap kesignifikanan, 𝛼 = .05 (5%).
Jadual 1.2 menunjukkan keputusan analisis ujian-t sampel tak bersandar yang telah dijalankan
ke atas markah ujian pasca kumpulan kawalan dan markah ujian pasca kumpulan rawatan.
Ujian-t sampel tak bersandar dijalankan bagi menguji sama ada hipotesis nol ditolak atau gagal
ditolak. Dalam analisis ini, hipotesis nol yang hendak diuji adalah seperti berikut:
H03 : Tidak terdapat perbezaan yang signifikan dalam min markah ujian pasca antara kumpulan
kawalan dengan kumpulan rawatan
Jadual 1.2 : Perbandingan Pencapaian Ujian Pasca Antara Kumpulan Kawalan Dengan
Kumpulan Rawatan
Berdasarkan jadual tersebut, min markah bagi kumpulan kawalan adalah 43.00 dengan sisihan
piawai 14.82 manakala min markah bagi kumpulan rawatan adalah 51.86 dengan sisihan
piawai 17.25. Perbezaan min markah antara kumpulan kawalan dengan kumpulan rawatan
adalah 8.866.
Oleh kerana nilai kebarangkalian yang diperoleh daripada analisis ujian-t (.037) adalah kurang
daripada nilai alfa yang ditentukan (.05), hipotesis nol ditolak. Terdapat perbezaan yang
Kumpulan
Rawatan
N
Min
Sisihan
Piawai
Perbezaan
Min
Nilai-t
df
Sig. (2-
hujung)
Ujian Pra
30
41.733
14.275
10.133
3.651
29
.001
Ujian Pasca
30
51.866
17.252
Kumpulan
N
Min
Sisihan
Piawai
Perbezaan
Min
Nilai-t
df
Sig. (2-
hujung)
Kawalan
30
43.000
14.825
8.866
2.135
58
.037
Rawatan
30
51.866
17.252
1st Borneo International Conference on Science and Mathematics Education
422
signifikan dalam min markah ujian pasca antara kumpulan kawalan dengan kumpulan rawatan.
Kesimpulan ini dibuat pada tahap kesignifikanan, 𝛼 = .05 (5%).
Penganalisisan data melalui statistik deskriptif telah dilaksanakan ke atas borang soal selidik
yang mengandungi 8 item dan yang telah diedarkan kepada 60 orang responden yang terlibat
dalam kajian ini. Borang soal selidik tersebut menggunakan Skala Likert Lima Nilai Skor bagi
membolehkan responden menyatakan tahap persetujuan mereka terhadap item-item di dalam
borang soal selidik berkenaan.
Jadual 1.3 menunjukkan dapatan analisis minat murid terhadap mata pelajaran sains melalui
penggunaan lawatan lapangan maya. Berdasarkan jadual tersebut, item 6 memperoleh nilai
skor min tertinggi iaitu 4.83 dengan sisihan piawai 0.49 manakala item 8 memperoleh nilai
skor min terendah iaitu 1.80 dengan sisihan piawai 1.01.
Dapatan analisis ini menunjukkan bahawa nilai purata skor min keseluruhan item adalah 4.03
dengan sisihan piawai 0.63. Dengan merujuk jadual penentuan tahap minat murid terhadap
mata pelajaran sains berdasarkan skor min dalam bab 3, nilai skor min 4.03 menunjukkan
bahawa tahap minat murid terhadap mata pelajaran sains adalah tinggi. Penggunaan lawatan
lapangan maya dalam pengajaran dan pembelajaran sains dapat menarik minat murid terhadap
mata pelajaran tersebut.
21-23 September 2015, Universiti Malaysia Sabah
423
Jadual 1.3 : Analisis Minat Murid Terhadap Mata Pelajaran Sains Kesan
Penggunaan Lawatan Lapangan Maya
BIL
ITEM
SKALA, PERATUS DAN FREKUENSI
MIN
SP
STS
TS
TP
S
SS
%
%
%
%
%
f
f
f
f
f
1.
Saya seronok
mempelajari topik
Kemandirian Spesies
menggunakan lawatan
lapangan maya
berbanding buku teks.
0%
(0)
0%
(0)
5%
(3)
16.7%
(10)
76.7%
(46)
4.73
0.55
2.
Sesi pengajaran dan
pembelajaran
menggunakan lawatan
lapangan maya lebih
menarik berbanding
menggunakan buku teks.
0%
(0)
0%
(0)
5%
(3)
15%
(9)
80%
(48)
4.75
0.54
3.
Gambar-gambar dalam
lawatan lapangan maya
lebih menarik
berbanding gambar-
gambar dalam buku
teks.
0%
(0)
0%
(0)
5%
(3)
10%
(6)
85%
(51)
4.80
0.51
4.
Latihan yang terdapat
dalam lawatan lapangan
maya lebih seronok
untuk dijawab
berbanding latihan
dalam buku teks.
0%
(0)
0%
(0)
3.3%
(2)
11.7%
(7)
85%
(51)
4.82
0.47
5.
Penggunaan lawatan
lapangan maya tidak
membebankan saya
dalam mempelajari
topik Kemandirian
Spesies.
0%
(0)
0%
(0)
3.3%
(2)
25%
(15)
71.7%
(43)
4.68
0.54
6.
Saya tidak berasa bosan
apabila guru mengajar
menggunakan lawatan
lapangan maya.
0%
(0)
0%
(0)
5%
(3)
6.7%
(4)
88.3%
(53)
4.83
0.49
7.
Saya tidak dapat
menumpukan perhatian
apabila guru mengajar
menggunakan lawatan
lapangan maya.
43.3%
(26)
35%
(21)
15%
(9)
5%
(3)
1.7%
(1)
1.87
0.96
8.
Saya tidak akan
menggalakkan rakan-
rakan menggunakan
lawatan lapangan maya
untuk mempelajari topik
Kemandirian Spesies.
48.3%
(29)
33.3%
(20)
11.7%
(7)
3.3%
(2)
3.3%
(2)
1.80
1.01
Purata
4.03
0.63
1st Borneo International Conference on Science and Mathematics Education
424
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, dapatan kajian yang diperoleh menunjukkan bahawa penggunaan lawatan
lapangan maya dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran sains adalah berkesan
dalam membantu meningkatkan pencapaian murid serta berupaya menarik minat murid
terhadap mata pelajaran berkenaan. Lawatan lapangan maya perlu dilihat sebagai suatu
alternatif kepada lawatan lapangan sebenar yang membolehkan murid melakukan penerokaan
ke atas sesuatu lokasi atau fenomena yang sukar diterokai. Ini dilihat penting kerana kewujudan
lawatan lapangan maya akan membolehkan murid mempelajari mengenai sesuatu lokasi atau
fenomena tanpa perlu melakukan lawatan lapangan sebenar untuk meneroka sesuatu lokasi atau
fenomena. Dengan itu, lawatan lapangan maya boleh dilihat sebagai strategi dan kaedah
pengajaran yang mampu memberi kesan positif kepada pembelajaran murid terutama dari segi
meningkatkan pencapaian dalam ujian atau peperiksaan. Penggunaan lawatan lapangan maya
dalam pengajaran dan pembelajaran sewajarnya diperluas agar dapat menghasilkan
pembelajaran berkesan serta pembelajaran yang menyeronokkan.
Rujukan
Daniels, J. S. 2002. “Forward” in Information and Communication Technology in Education –
A Curriculum for Schools and Programme for Teacher Development. Paris: UNSECO.
Klemm, B. & Tuthill, G. 2003. Virtual Field Trips: Best Practices. International Journal of
Instructional Media. 177-194.
Krepel, W. J., & Duvall, C. R. 1981. Field trips: A guideline for planning and conducting
educational experiences. Washington, DC: National Science Teachers Association.
Kubiszyn, T. & Borich, S. 2003. Educational Testing and Measurement : Classroom
Application and Practice (7th edition). New York: John Wiley.
Lerner R. M. 2003. Handbook of psychology : Developmental psychology. New Jersey: Wiley.
Lewis, D. B. 2008. Can virtual field trips be substituted for real-world field trips in an eight
grade geology curriculum? United States of America: University of Washington.
MacEachern, M. J. 2006. Effect of Virtual Field Trips on Motivation, Participation Levels, and
Development of Life Skills of College Students. PhD Thesis. The Collage of Education
and Human Services. United States of America: Central Michigan University.
Mohd Fazli Khaisunizam Ismail. 2008. Model kognitif visual pelajar teknikal melalui perisian
animasi grafik. Disertasi tesis master yang tidak diterbitkan, Universiti Tun Hussein Onn,
Batu Pahat, Johor, Malaysia.
Mohamad Khatim Hasan. 2001. Internet Pemangkin Pembelajaran: Guru Di Alam Siber. Jurnal
Teknologi Pendidikan. 231-241.
Mohamad Najib Abdul Ghafar 2001. Pembinaan Dan Analisis Ujian Bilik Darjah. Skudai:
Universiti Teknologi Malaysia.
Mohd Majid Konting. 1990. Kaedah penyelidikan pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Mohd Majid Konting. 2005. Kaedah penyelidikan pendidikan (edisi ketujuh), Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Noel, M. 2007. Elements of a winning field trip. Journal of basic education in Nigeria. 44(1),
42-44.
Oldham, M. 2003. Cognitive Style and Attitudes Towards Using Online Learning and
Assessment Methods. Electronic Journal of E-Learning. 1(1):21–28.
Othman Talib. 2013. Asas Penyelidikan, Penulisan Tesis dan Statistik. Serdang: Universiti
Putra Malaysia.