Content uploaded by Asmiaty Amat
Author content
All content in this area was uploaded by Asmiaty Amat on Aug 22, 2016
Content may be subject to copyright.
MANU Bil. 20, 81-108, 2014
ISSN 1511-1989© Asmiaty Amat & Lokman Abdul Samad
Puisi-puisi Arin Arif: Satu Analisis Takmilah
ASMIATY AMAT1
LOKMAN ABDUL SAMAD2
1Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, 2Sekolah Pengajian Seni, Universiti Malaysia Sabah,
Jalan UMS, 88400 Kota Kinabalu.
1adajiwa@gmail.com 2lokns@yahoo.com
Abstrak Mohd. Arin Arif (Arin Arif) adalah seorang penulis Sabah
yang dikaitkan dengan penulisan puisi Islam. Kebanyakan puisi beliau
mengisahkan tentang sirah nabi, sahabat dan yang berkaitan dengan
keinsafan. Teori takmilah yang diperkenalkan oleh Shae Abu Bakar yang
mengangkat sifat Kamal Allah dengan prinsip-prinsip yang dinyatakan
akan digunakan untuk meneliti puisi Arin Arif. Pengaplikasian teori
tersebut dapat menjelaskan sama ada puisi Arin Arif boleh dikategorikan
sebagai puisi Islam atau sebaliknya. Melalui kajian yang telah dijalankan
menunjukkan bahawa prinsip-prinsip takmilah seperti ketuhanan, kerasulan,
keislaman dan keilmuan memang menjadi dasar kepada penciptaan puisi-
puisi yang dikaji.
Kata Kunci: Arin Arif, takmilah, tauhid, kerasulan, ilmu, puisi Islam.
Abstract Mohd. Arin Arif (Arin Arif) is a Sabahan writer, which is well
known for his writing on Islamic poetry. Most of his poems tells the Sira
of the Prophet, his companions and related to consciousness. Takmilah
theory introduced by Shae Abu Bakar who lift Kamal nature of God with
the principles set out was used to examine Arin Arif’s poetry. Applying
the theory to clarify whether Arin Arif ’s poetry can be categorized as
Islamic poetry or otherwise. Through experiments conducted show that the
principles takmilah as divine, apostolic, Islamic and knowledge was the
foundation for the creation of the poems studied.
Keywords: Arin Arif, takmilah, Tauhid, knowledge, Islamic poetry.
82
Asmiaty Amat & Lokman Abdul Samad
PENGENALAN
Kebangkitan sastera Islam di Malaysia dikatakan bermula apabila polemik
sastera Islam mula diperkatakan oleh Shahnon Ahmad dan Kassim Ahmad
pada awal tahun 1970-an. Hal ini juga adalah kesan daripada siri ceramah
Syed Naquib al-Attas berkenaan Islam sebagai tunjang kebudayaan dan
kesusasteraan di Nusantara pada tahun 1972 di Universiti Kebangsaan
Malaysia (UKM). Justeru, para sarjana dan pengkritik sastera mula
menjurus kepada penelitian dan pemerhatian terhadap kesusasteraan yang
membawa persoalan dan tema keislaman. Seiring dengan itu, fenomena
membentuk teori mandiri di Malaysia mula hangat diperkatakan sejak
awal tahun 1990-an. Selain teori Puitika Melayu (Muhammad Haji Salleh),
Pengkaedahan Melayu (Hashim Awang) dan Persuratan Baru (Mohd.
Affandi Hassan), muncul sebuah teori berbentuk keislaman yang dikenali
sebagai teori takmilah. Teori ini dihasilkan untuk memudahkan sarjana
memperkatakan hasil karya yang membawa persoalan keislaman. Kajian
ini akan meneliti puisi Arifn Arif dengan menggunakan teori takmilah
dan ingin membuktikan sama ada puisi-puisi penyair Arin Arif boleh
dikategorikan sebagai karya sastera Islam melalui pengaplikasian tersebut
ataupun sebaliknya.
LATAR BELAKANG TEORI TAKMILAH
Teori Sastera Islam ini diperkenalkan oleh mantan pensyarah di Jabatan
Persuratan Melayu, UKM, iaitu Shae Abu Bakar. Beliau menulis kertas
kerja yang dibentangkan dalam pelbagai seminar seperti ‘Sastera Islam: Teori
Pengindahan dan Penyempurnaan dalam Rangka Tauhid’ dalam Seminar
Sastera Islam di Port Dickson dalam tahun 1992. Seterusnya, istilah takmilah
sebagai sebuah teori telah dibentangkan dalam satu Nadwah Sastera Islam
Antarabangsa yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1
hingga 3 Disember 1993. Setelah dibentang dan diterbitkan, teori ini mula
digunakan sendiri oleh Shae Abu Bakar dalam menganalisis kumpulan
puisi karya A. Aziz Deraman berjudul Kau dan Aku dalam tahun 1994 di
Dewan Bahasa, Kuala Lumpur. Melalui kajian Shae Abu Bakar terhadap
puisi-puisi tersebut, beliau menampilkan persoalan utama, iaitu persoalan
perjuangan yang dianggap sebagai dominan dalam karya. Ia diikuti dengan
persoalan budaya, persoalan kehidupan, ketuhanan, politik dan persoalan
pengalaman luar negara.
83
Puisi-puisi Arin Arif: Satu Analisis Takmilah
Teori ini juga telah teruji dan diguna pakai oleh golongan sarjana
untuk mengkaji karya Islam Malaysia sejak ia mula diperkenalkan. Kajian
Samsina Abd. Rahman (2002) menggunakan teori takmilah dalam puisi-
puisi Melayu menunjukkan bahawa terdapat puisi-puisi yang ditulis oleh
penyair Melayu dapat diaplikasikan dengan menggunakan teori takmilah
berdasarkan contoh-contoh yang telah diberikan oleh beliau. Kajian terkini
dilakukan oleh Kamariah Kamaruddin (2011) dengan mengkaji novel-novel
Islam yang telah memenangi peraduan mengarang novel berunsur Islam.
Melalui penelitian tersebut, pengkaji mendapati bahawa tidak semua novel
berunsur Islam berjaya menerangkan dan menyerlahkan tentang Islam secara
tuntas. Nilai ketauhidan dan segala prinsip yang terkandung dalam teori
takmilah tidak berjaya digarap oleh kebanyakan penulis novel. Kebanyakan
novel lebih bersifat penulisan tentang Islam secara permukaan dan semata-
mata memenuhi tuntutan peraduan itu sendiri. Selain itu, sarjana lain yang
turut menggunakan teori takmilah dalam perbahasan mereka ialah Sahlan
Mohd. Saman (1999), Mohd. Mokthar Hassan (2001), Ungku Maimunah
Mohd. Tahir (2003) dan ramai lagi.
Menurut Shae Abu Bakar, ‘takmilah’ ialah istilah yang berkaitan
dengan sifat Kamal Allah yang bererti sempurna. Melalui akar kata sempurna
inilah lahir perkataan ‘takmilah,’ iaitu menyempurnakan. Justeru, melalui
perkataan ini menunjukkan bahawa sesuatu karya apabila dikaji dengan
menggunakan teori takmilah ia menjadi sempurna lagi menyempurnakan.
Pada peringkat awal pembinaan teori ini, Shae Abu Bakar (1994:39) telah
mengemukakan lima prinsip asas, iaitu:
1. Berada di dalam ruang lingkup falsafah tauhid.
2. Teks tidak terpisah daripada nilai yang berasaskan keislaman.
3. Antara pengarang (penulis) dengan teks, ia memiliki pertalian dalam
kaitannya dengan nilai keislaman.
4. Tidak dikaitkan dengan ideologi tertentu yang bertentangan dengan
Islam misalnya ideologi Marxis atau Freud.
5. Terdapat unsur-unsur yang menganjur (secara tersirat) ke arah kebaikan
seperti pendidikan, dakwah, takwa, keluhuran, kemurnian hidup,
kecintaan kepada Ilahi dan pembelaan terhadap yang tertindas.
84
Asmiaty Amat & Lokman Abdul Samad
Seterusnya, Shae Abu Bakar pada tahun 1996 (dalam Mana Sikana,
1997:131) telah memperhalusi dan memperjelaskan teori takmilah dengan
lebih terperinci, iaitu dengan mengutarakan tujuh prinsip iaitu:
1. Prinsip ketuhanan yang bersifat Kamal.
2. Prinsip kerasulan sebagai insan Kamil.
3. Prinsip keislaman yang bersifat Akmal.
4. Prinsip ilmu dengan sastera yang bersifat Takamul.
5. Prinsip sastera sendiri yang berciri estetik dan bersifat Takmilah.
6. Prinsip pada pengkarya yang seharusnya mengistikmalkan diri.
7. Prinsip khalayak bertujuan memupuk mereka ke arah insan Kamil.
Meskipun istilah-istilah yang digunakan bagi tujuh prinsip tersebut
mempunyai perbezaan (kamal, kamil, akmal, takamul, takmilah, istikmal),
semuanya adalah berasal daripada akar kata sifat Kamal (sempurna)
yang daripadanya dibina istilah ‘takmilah’ seperti yang telah dinyatakan
sebelumnya. Secara keseluruhannya, prinsip-prinsip yang telah dimurnikan
itu telah memiliki satu kesatuan holistik yang merangkumi sifat ketuhanan,
kerasulan, keagamaan, keilmuan karya, pengkarya dan khalayak.
PENYAIR DAN KEPENGARANGAN
Mohd. Arifin Arif atau Arifin Arif adalah nama yang tidak perlu
diperkenalkan lagi di arena kesusasteraan Sabah. Nama ini juga telah meniti
di bibir peneliti karya sastera Islam di Malaysia. Sebagai pendakwah yang
pernah dianugerahkan tokoh penyair Islam, sempena Mahrajan Sastera
Islam di Sabah dalam tahun 2001, beliau begitu akrab dengan puisi
keislaman. Menelusuri latar belakang pendidikan dan pekerjaannya, Arin
Arif mendapat ijazah sarjana muda dari Universiti al-Azhar, Mesir dalam
bidang Bahasa Arab. Beliau meneruskan cita-cita untuk berbakti pada agama
dan masyarakat, dan bekerja sebagai pendakwah di MUIS (Majlis Ugama
Islam Sabah) dan akhirnya dilantik menjadi Timbalan Pengarah JHEAINS
(Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah). Kini, beliau adalah Ahli
Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Membakut, Sabah.
85
Puisi-puisi Arin Arif: Satu Analisis Takmilah
Ketokohan Arin Ariff sebagai seorang pendakwah dan penyair tidak
perlu dipertikaikan, justeru keperibadian beliau jelas terpancar melalui
tutur dan tingkahnya. Bagi tujuan perbincangan ini, teori takmilah akan
diaplikasikan dalam meneliti puisi-puisi Arin Arif yang diterbitkan dalam
antologi Api Laut Merah (1999), Tasbih Hayat (2001), Laut Asyik (2000)
dan Tergantung Pada Kata (1996).
Prinsip Tauhid dan Hubungannya dengan Sifat Kamal Allah
Fokus utama teori takmilah ialah prinsip atau falsafah tauhid yang menjadi
asas kehidupan beragama dan ciri pembeza antara Islam dan bukan Islam.
Menurut tokoh-tokoh agama seperti Isma’il al-Faruqi, Lois Lamya’ al-
Faruqi (1992:79) dan Yusuf al-Qardawi (1985:14), keperluan manusia
kepada tauhid adalah lebih penting daripada keperluan duniawi. Hal ini
disebabkan ia menyentuh persoalan-persoalan pokok yang berkaitan dengan
kewujudan insan. Perkara ini menegaskan lagi bahawa tanpa prinsip tauhid,
hidup manusia umpama kertas yang diterbangkan angin; tidak ketahuan
arah dan tidak tetap tujuannya.
Berdasarkan prinsip tauhid ini juga para karyawan Islam yang
bertujuan menyebarkan dakwah melalui karya-karya mereka harus
menyempurnakan akidah tauhid untuk menambah baik dan membentuk
keimanan khalayak. Secara ringkasnya, teori yang digagaskan itu harus
dipraktikkan. Secara tidak langsung, mereka akan mengerti dan memahami
keesaan Allah. Sifat-sifat Allah yang jamal (estetika) adalah satu pancaran
daripada sifat kamal-Nya, di samping sifat-sifat yang lain. Sehubungan itu,
dalam konteks sastera yang menjadikan manusia dan alam sebagai fokus
berkarya dan menjadikan seni sebagai unsur keindahan, penulis seharusnya
mempertingkatkan diri ke arah kesempurnaan. Shae Abu Bakar (1997:132)
menegaskan bahawa melalui rangka teori yang berkaitan dengan Allah SWT,
sastera dilihat bukan sebagai satu aspek yang terasing daripada Islam tetapi
ia mencerminkan kesyumulan Islam dan integrated.
Melalui puisi-puisi Arin Arif yang dianalisis, prinsip ketauhidan
yang berhubungan dengan sifat kamal Allah diperhatikan melalui hampir
keseluruhan daripada puisinya. Ia menjadikan puisi beliau kaya dengan
nilai ketauhidan yang tinggi dan segala penyerahannya ditunjukkan
86
Asmiaty Amat & Lokman Abdul Samad
melalui kalimah puji-pujian kepada Allah SWT. Contohnya, melalui puisi
‘Al-Jabbar’, ‘Al-Malik’ dan ‘Al-Quddus’ (Tasbih Hayat), ‘Allah’, ‘Al-
Rahman, ‘Al-Rahim’, ‘Al-Malik (Laut Asyik). Tajuk puisi-puisi tersebut
jelas menunjukkan nama-nama Allah yang Maha Menguasa/Memiliki, Maha
Suci, Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Pengertian-pengertian tersebut
jelas menunjukkan hakikat Allah yang Ahad (Esa), sempurna (Kamal)
sifatnya dan kekal wujudnya. Keesaan, kesempurnaan dan kesucian Allah
inilah yang dijadikan oleh hamba yang bertakwa dan serba lemah sebagai
tempat berlindung dan bergantung. Hanya kekuasaan Allah dapat mengatasi
segala-galanya. Contoh penyerahan terhadap kekuasaan dan sifat kamal
Allah dapat dihayati melalui petikan beberapa contoh puisi dari antologi
Laut Asyik berikut:
‘Al-Rahman’
Kekasih alam lebur merindu
Al-Rahman memercikkan restu
Sekalian denyutan pada menafaskan hayat
Nadi kasih menghafal degup kudrat
Tak kuyakin kau mencari langit lain
Padahal batin selamanya berkepak
Di puncak trah
Dari jernih kambu ke kausar kehidupan
Berarus deras maghrah-Mu al-Rahman.
(2000: 7)
‘Al-Jabbar’
Iradat menakluk arah sebutir pasir hayat
Tawaduk sepanjang marhalah, tiada kuasa
Selain Ahad, dari percikan Hira, nur tumpat di gua
Inayat, jika kelam atau benderang, hanya
Kudrat-Nya menetap cahaya di ufuk batin.
(2000: 13)
87
Puisi-puisi Arin Arif: Satu Analisis Takmilah
‘Al-Quddus’
Suci dalam makrifat
Kisah hakikat merentangi Baitullah
Tika laata memahat kalbu jahili
Sekontang padang jazirah merimbun
Disirami akidah. Dari langit wahyu mengepakkan
Salam Quddus, maha suci engkau
Dalam tasbih hayat, terna batin
Dari segala khurafat.
(2000: 15)
Allah SWT berfirman yang bermaksud, ‘Dan Allah mempunyai
nama-nama yang indah, maka berdoalah kepadanya dengan nama-nama-Nya
tersebut. Dan jauhilah orang-orang yang menyimpang dalam (memahami)
nama-nama-Nya. Mereka akan dibalas terhadap apa yang mereka lakukan’
(Al-A’raf, ayat 180). Ada beberapa perkara yang perlu kita fahami tentang
nama-nama Allah SWT sebagaimana yang terdapat pada ayat di atas. Pertama:
Meyakini bahawa Allah SWT mempunyai nama-nama yang sangat mulia
lagi indah. Barang siapa yang tidak meyakini nama-nama Allah, maka orang
tersebut tidak beriman kepada Allah SWT secara utuh dan benar. Bila kita
perhatikan, begitu banyak ayat al-Quran yang mengandungi nama-nama
Allah SWT dan makna nama-nama Allah sangat erat hubungannya dengan
konteks ayat itu sendiri. Kedua: Nama-nama Allah SWT tersebut mengandung
makna yang sangat sempurna yang disebut sifat. Orang yang tidak meyakini
tentang sifat yang terkandung dalam nama-nama Allah bererti ia telah
melakukan penyelewengan dalam beriman kepada Allah. Ketiga: Berdoa dan
beribadah kepada Allah SWT dengan nama-nama mulia itu. Untuk mencapai
kesempurnaan dalam beribadah kepada Allah SWT dengan memahami makna
nama-mana Allah tersebut. Sehingga menghadirkan rasa khusyu’ dalam
beribadah, kerana saat beribadah seolah-olah kita melihat Allah SWT atau
kita merasa sedang dilihat oleh-Nya (Ustaz Dr Ali Musri Semjan Putra).
Penyair bukan sahaja mempamerkan nama Allah yang sempurna
dan indah dengan sifat yang menyempurnakan sebagai sumber puisi
beliau. Bahkan, penyair turut menggunakan nama Allah SWT sebagai satu
pegangan dan penyerahan beliau sebagai hamba Allah yang berserah dan
melengkapkan ibadah sehari-hari.
88
Asmiaty Amat & Lokman Abdul Samad
‘Catatan Malam Jumaat (4)’
Allah
dengan rahmanMu
Kupohonkan di awal di akhir
Kaupanggil pulang
…
Allah
dengan rahimMu
Kupohon lindungan
tak terhisab azab
HambaMu sering terlewat
tak terucap nikmat
HambaMu pasrah berharap
Amin!
(Api Laut Merah, 2002: 10)
Melalui puisi-puisi tersebut, penyair menyatakan sifat-sifat kamal dan
jamal Allah dengan hubungannya dengan manusia. Penyair menyerahkan
sepenuh jiwa raga kepada Yang Maha Kuasa untuk menentukan nasib
hidupnya. Maha Pengasih dan Penyayang Tuhan yang berkuasa itulah
dirafakkan doa memohon keampunan dan tempat berlindung dari segala
kemungkaran, kejahilan dan kelemahan.
Kepentingan tauhid sebagai paksi kehidupan beragama turut
dijelaskan melalui setiap tindak-tanduk manusia, bermula daripada manusia
dilahirkan ke dunia yang fana. Melalui azan dan iqamat yang didengarkan
ke telinga bayi memperlihatkan bahawa prinsip ketauhidan ini adalah
suatu perkara yang pertama sekali diperdengarkan kepada setiap manusia
yang dilahirkan sebagai seorang Muslim. Hal ini ditunjukkan oleh Arin
Arif melalui puisinya ‘Madrasah Pertama.’ Bagi penyair, azan dan iqamat
adalah satu-satunya bunyi terawal yang menunjukkan beliau mula mendapat
pancaran nur dari Ilahi yang jalal.
Madrasah pertamaku
sejak terbisik zikrah
mengelus gegendang rindu
89
Puisi-puisi Arin Arif: Satu Analisis Takmilah
Mengental kra dalam bentuk
azan iqamah kasih terawal
menggetar kalbu pancaran al-Jalal.
…
dari madrasah
kuhafal haah syahadat
betapa merdu sifat dan zat
teralun dengan nahwan kitab hayat
hakikat dalam hakikat.
(Api Laut Merah, 2002: 40)
Sejajar dengan puisi tersebut juga penyair menunjukkan bahawa sejak
kecil, beliau telah diajarkan menghafal syahadat yang berupa kesaksian
beliau terhadap Tuhan yang telah menciptakannya dan memberikannya
kehidupan. Demikian juga dalam puisi ‘Kemudi Bersaksi’ yang
mengutarakan perjalanan hidup penyair tidak lain dan tidak bukan ‘…
menuju pulau mahabbah ar-rahman’ (Api Laut Merah, 2002: 42).
Prinsip paksi tauhid bukan sahaja menuntut pengakuan dan
penghayatan (teori) daripada manusia Muslim, malah perlu dibuktikan
melalui setiap tindak-tanduk (praktikal-amalan). Hal ini menunjukkan
bahawa Islam adalah agama yang syumul dan menyedarkan bukan sahaja
penyair, malah khalayak berkenaan sifat-sifat Allah Yang Maha Sempurna
yang akhirnya mendorong perbuatan menyempurnakan diri dalam kalangan
penganut agama-Nya.
Prinsip Kerasulan sebagai Insan Kamil
Sebagaimana yang telah dinyatakan, teori ini turut menunjukkan bahawa ia
mempunyai pertalian dengan Rasulullah – sebagai insan yang kamil-akar
daripada perkataan kamal (sifat sempurna). Falsafah pemikiran Islam sendiri
menerima tiga konsep ideal keinsanan, iaitu ‘insan kamil, insan khalifah
dan insan rabbani’ (Shae Abu Bakar,1997:133).
Insan khalifah merujuk kepada kemampuan insan sebagai pemimpin
di bumi Allah yang memiliki keilmuan dan berperibadi mulia dan tinggi.
Insan yang bergelar khalifah juga perlu memiliki kerohanian yang tinggi
90
Asmiaty Amat & Lokman Abdul Samad
sehinggalah digelar rabbani. Insan tidak akan mencapai kesempurnaan
jika kerohaniannya tidak ada atau kurang. Justeru, untuk mencapai tahap
insan kamil, ketiga-tiga sifat ini harus dimiliki. Contoh paling ideal ialah
Rasulullah SAW.
Sebagai khalifah, beliau berjaya menjadi pemimpin, pentadbir dan
panglima perang yang tidak ada tolok bandingannya. Dari segi kerohanian,
Baginda Rasulullah SAW tidak perlu dipertikaikan lagi sehingga dalam
riwayat hidupnya Baginda digelar al-Amin (jujur dan benar), al-Mustafa
(yang terpilih) dan habibullah (kekasih Allah).
Puisi-puisi Arin Arif jelas menunjukkan prinsip kerasulan yang
bersifat kamil dan seterusnya mengajak khalayak untuk mencontohi
sifat-sifat sedemikian. Melalui puisi ‘Bukit’, penyair menjelaskan tentang
ketabahan rasul pilihan menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran daripada
musuh-musuhnya:
‘Bukit’
Engkau pernah lebur
di puncak cinta, rindu musa
setelah berzaman
sebahtera iman
berlabuh kasih nuh
engkaulah paksi yakin itu
tika istana kalbu
dan tunjang diri runtuh
kau rebah melebur batu alpa.
Terlalu tinggi puncak
Iktibar
tumbuh di jasad bukit
sebagai malam
di Thaif
malaikat pernah menggamit
ketabahan muhammad.
91
Puisi-puisi Arin Arif: Satu Analisis Takmilah
Puisi tersebut menunjukkan bahawa manusia yang cekal imannya
harus mencontohi ketabahan iman dan ketabahan semangat juang
Rasulullah dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah di muka
bumi ini. Kecintaan dan kerinduan penyair terhadap Rasulullah turut
dinyatakan dalam ‘Puisi di Makam Rasul’ (Api Laut Merah, 2002: 88)
seperti yang berikut:
Batu-batu lebur, bersama-sama fana kalbu
basah sejadah kasih pada sua pertama
beban rindu, berabad terbawa dalam ishiq-mu
kasih, kami selawatkan seluruh kebenaran
dari Hira’ kilaunya pecah
sampai ke hujung nyawa.
Walaupun puisi tersebut terbina hanya satu rangkap, tetapi ia padat
dengan makna yang tersurat dan tersirat. Melaluinya penyair menyatakan
kecintaan dan kerinduan terhadap Nabi Muhammad SAW akhirnya terlerai
dengan kunjungan penyair ke pusara nabi. Ia turut dikaitkan dengan kisah
nabi mendapat wahyu pertama di Gua Hira dan kebenaran itu menjadi bukti
kecintaan umat Muhammad SAW kepada nabi junjungan.
Prinsip Keislaman yang Bersifat Akmal dan Teks Tidak Terpisah
daripada Nilai-nilai Keislaman (Menolak Ideologi yang Bertentangan
dengan Islam)
Shafie Abu Bakar (1996:29) menegaskan bahawa agama Islam yang
sempurna melengkapi pelbagai aspek kehidupan termasuklah sastera yang
memiliki nilai estetika yang sejajar dengan sifat jamal Allah. Islam sebagai
agama syumul juga harus memancarkan sastera yang mencerminkan
keperibadian umat yang syumul. Justeru, susastera yang ditulis oleh
penyair haruslah juga berperanan untuk menjelaskan dan menyempurnakan
(mentakmilahkan) kesyumulan agama itu.
Sejajar dengan itu, penyair sering mengutarakan syariat yang wajib
dikerjakan oleh umat Islam seperti solat lima waktu, solat sunat dan
membaca al-Quran. Melalui puisi-puisi ini, penyair selalu menjadikan
92
Asmiaty Amat & Lokman Abdul Samad
ibadah ini sebagai satu penyerahan diri kepada Allah dan satu suasana di
mana beliau sebagai hamba memohon keredaan dan keampunan daripada
segala perlakuannya. Contohnya melalui puisi seperti ‘Malam-malam
Terakhir hingga Fajar,’ ‘Doa Subuh,’ ‘Doa Pohon,’ ‘Qiam,’ ‘Munajat
dalam Tarhim dan Azan Subuhnya,’‘Sakinah,’ ‘Di Masjid dan ‘Imanku
Rumah Lelabah.’
‘Doa Pohon’
Sebagaimana daun-daun
Hijaukanlah jua
Warna zikir dan tasbihku
Pada setiap urat
Menalikan kasih-Mu.
Sebagaimana kelopak
Wangikanlah jua
Warna syukur dan tahmidku
Pada setiap gerak
Ke arah-Mu.
Tuhan
Rendangkan hayatku
Di bawah langit
Redha-mu.
(Api Laut Merah, 2002:45).
Selain solat lima waktu dan sunat, syariat yang wajib dikerjakan oleh
umat Islam ialah berpuasa di bulan Ramadan. Arin Arif menggambarkan
betapa bulan Ramadan sering kali dirindui kehadirannya. Kerinduan penyair
dipancarkan menerusi puisinya ‘Subuh Ramadhan’, ‘Bagai Berkurun
Rinduku’ dan ‘Ramadhan ke Lebarannya’ (Api Laut Merah, 2002:11-12).
‘Bagai Berkurun Rinduku’
Wah! Jauh telah semerbak kasturimu
Apa lagi lekas kubuka pintu
93
Puisi-puisi Arin Arif: Satu Analisis Takmilah
Biar nanti salam kasih kaubawa
benar-benar tumpat ke rumah kalbuku
Selamat datang
Mari kukucup tanganmu. Kaupun berkisah
tentang kepak malaikat, nuzul yang rahmat
atau malam bening nan berkat. sungguh,
bagai berkurun rinduku menunggu-nunggumu
Ramadhanku.
(Api Laut Merah, 2002:12)
‘Ramadan ke Lebarannya’
Telah kusapa
Salam putih Ramadan
Beduk imsak mengimbau pulang
Bersama sahur pucuk
Sungkai selasih
Berterawih menuruni
Bertadarus menamati
Dalam tulus tasbih
Menanti wangi kasih
Dalam mukjizat
Seribu purnama berkat.
(Api Laut Merah, 2002:11)
Puisi tersebut bukan sahaja memaparkan kesucian Ramadan itu
sendiri malah, menunjukkan juga aktiviti ibadah lain di bulan Ramadan
seperti solat terawih, bersahur, berbuka, bertadarus dan kesyukuran umat
menanti malam Lailatul Qadar. Ibadah dalam bulan Ramadan bukan sahaja
dituntut bagi umat Islam malah, keberkatan daripada Allah SWT turut
diharapkan. Selain puisi tersebut, puisi lain yang turut menyingkap kesucian
Ramadan melalui unsur metafora yang indah ialah puisi berjudul ‘Malam
Utama’ (Api Laut Merah, 2002:48)
Malam ini
malam utama
para malaikat
94
Asmiaty Amat & Lokman Abdul Samad
runduk
mengepakkan sayap
cinta
salam seribu purnama
Azzawajalla.
Mengenang syahdu alam
waktu kalam
merapati langit dunia
rindu merimbun
ke Raudah Junjungan
qudwah utusan
memancarkan iman
mujahadah
dan kemanusiaan
ke gua-gua kelam
kehidupan.
Khadijah
ibu kami tercinta
siapakah bisa alpa
detik-detik Iqra’
dan imbau Mustafa
seumpama ambar
kasihmu mengharum
zaman berzaman.
Malam ini
malam utama
para abid
menanti setia
tujuh langit damai
sejahtera
sampai fajar.
(Api Laut Merah, 2002: 48).
95
Puisi-puisi Arin Arif: Satu Analisis Takmilah
Kesyumulan Islam melalui aktiviti penganutnya juga dapat
digambarkan melalui bacaan al-Quran yang merupakan panduan dan
pedoman hidup umat Islam di muka bumi ini. Penyair turut menyeru agar
khalayak dan dirinya sendiri bukan setakat membaca al-Quran, malah
segala suruhan, iktibar dan pedoman yang diberikan haruslah difahami
dan dijadikan amalan dalam kehidupan. Puisi ‘Wal Asri’ bukan sahaja
menggunakan nama surah sebagai tajuk puisi malah, pengolahan yang begitu
estetik menjadikan puisi ini suatu puisi Islam yang sangat unik. Ia bukan
sahaja sebuah puisi biasa malah, melalui penggunaan kalimah berunsur
metafora, penyair menyeru manusia agar tidak leka dan lalai kerana waktu
yang diibaratkan sebagai jarum hayat akan sentiasa berputar dan manusia
harus mengisinya dengan perkara-perkara yang berfaedah selagi hayat di
kandung badan. Aktiviti harian yang dijalankan oleh Muslim sejati juga
haruslah berlandaskan rasa syukur, sabar dan penuh dengan keimanan.
Puisi ‘Wal Asri’ (Api Laut Merah, 2002:47) menjelaskan:
Tafsiri nilai waktu dengan gerak hayat
detik tak terhitung pada angka maddi
bulan dan matahari mengitari hari-hari
pengabdian. Bintang dan pohonan sujud
kesyukuran. Inilah jam unggul lewat takwim
hayat. Takjuban fajar dengan martabat unggul
asal, cemerlangkan mawar sabar di kebun jiwa
amal. Kalau kau bertanya tentang waktu,
takluklah malam dan siang dengan pancar
piala hakikat anggur keimanan…
Penekanan terhadap amal ibadat juga harus diiringi dengan amal
jariah. Sedekah dan pemberian kepada orang yang memerlukan adalah satu
sifat yang digalakkan dalam Islam sehingga apabila mati kelak, perkara
ini jugalah yang akan dihisab oleh para malaikat. Kepentingan amalan ini
ditegaskan oleh penyair melalui puisi ‘Pohon Tersubur’ (Api Laut Merah,
2002:52)
Jariah amal
adalah pohon
tersubur
sekali kaucambah
96
Asmiaty Amat & Lokman Abdul Samad
Di tanah niat
berputik
sepanjang-panjang padang hayat.
Pohon tersubur
adalah amal
penghias
rumah peribadi
rendang
dengan mahabbah
berbuah syariat
lazat hakikat.
Melalui puisi tersebut juga ditunjukkan bahawa amal jariah yang
dilakukan oleh manusia itu haruslah jua dikerjakan dengan niat yang suci
murni dan dilaksanakan dengan penuh keikhlasan agar ia dapat diterima
oleh Allah dan bukannya sekadar untuk menunjuk-nunjuk. Menurut Samsina
Abd. Rahman, dalam puisi ini terlihat hubungan penggunaan gaya bahasa
perlambangan dan metafora dengan mesej puisi. Contohnya ‘padang hayat’
yang melambangkan sepanjang hidup manusia (2005:546).
Manusia Muslim yang mampu dari segi zikal dan material juga
diharuskan untuk menunaikan haji di Makkah. Selain beribadat, amalan
mengerjakan haji juga adalah untuk mensyukuri nikmat yang dikurniakan
oleh Allah SWT seperti kesihatan, kesejahteraan hidup dan kemewahan. Di
samping itu, amalan ini juga secara tidak langsung dapat mengimbau sejarah
dan pengalaman para anbia untuk dijadikan iktibar. Justeru melalui puisi
‘Catatan di Tanah Suci,’ penyair memaparkan segala aktiviti beliau sewaktu
berada di Kaabah, di Padang Arafah, di Mina, ketika sa’i dan tawaf widak.
Seterusnya, melalui segala yang diutarakan oleh penyair ini, prinsip
keislaman yang bersifat akmal ini ditunjukkan dengan seruan-seruan
berupa dakwah, iaitu mengajak manusia ke arah kebaikan makruf dan
meninggalkan kemungkaran. Selain menyeru kepada amalan-amalan yang
digariskan oleh Islam, akhirnya seruan itu membawa kepada penghijrahan
diri manusia ke arah kebaikan. Demikianlah Arin Arif menyeru manusia
97
Puisi-puisi Arin Arif: Satu Analisis Takmilah
agar berhijrah untuk membentuk peribadi yang mulia. Melalui puisi
‘Hijrah’ penyair mengungkapkan:
Bertolak dari rumah maksiat
Kelab malam
Kita hijrah ke pintu rahmat
Rumah Tuhan
Bertolak dari angka laknat
Meja Perjudian
Kita Hijrah ke kalam mukjizat
Maknawi Al-Quran
Bertolak dari tnah umpat
Nista pendustaan
Kita hijrah ke zikir berkat
Tasbih al-Rahman
Bertolak dari amal khurafat
Abdi kebendaan
Kita hijrah ke Muslim hakikat
Iman dan ihsan
Demikian jualah sifat penyair yang tidak bersetuju dengan penyaluran
ilmu yang bertentangan dengan nilai-nilai Islam. Melalui puisi ‘Tabbats’yang
ditujukan buat Salman Rushdie, penyair melontarkan kekhuatiran tindakan
Salman Rushdie menghina agama dan Nabi Muhammad SAW.
Prinsip Ilmu dengan Sastera yang Bersifat Takamul dan Adanya Unsur-
unsur yang Menganjur (Secara Tersirat) ke arah Kebaikan
Islam agama syumul yang sentiasa menganjurkan kepada keilmuan. Setiap
Muslim dianjurkan untuk menuntut ilmu. Konsep takmilah dalam hubungan
kesusasteraan dan ilmu mempunyai pertalian dengan akal dan hati budi
manusia. Akal sering kali dikaitkan dengan ilmu yang bersifat alamiah
dan rasional, manakala hati merujuk kepada kerohanian yang harus ada
dalam diri setiap Muslim sejati. Peranan kesusasteraan yang takamul ialah
98
Asmiaty Amat & Lokman Abdul Samad
mempertingkatkan kedua-dua bentuk alamiah dan rohani ini. Contohnya,
puisi berupaya menyingkap inti sari ilmu melalui persoalan-persoalan
tasawuf yang dianjurkan oleh penyair dalam karyanya. Hal ini kembali
semula kepada fungsi kesusasteraan itu sendiri yang bukan sahaja menjadi
alat hiburan malah, memiliki nilai mendidik yang bukan sahaja secara terus
malah melalui nilai-nilai tersembunyi. Justeru, prinsip ini membuktikan
sastera bersifat takamul kepada ilmu dan ilmu pula takamul kepada sastera
(Shae Abu Bakar, 1996: 29).
Menyentuh tentang prinsip ini, ia sedikit banyak telah dibincangkan
melalui prinsip-prinsip sebelumnya, yakni yang memperlihatkan akal penyair
dalam menganjurkan kepada perbuatan-perbuatan kebaikan dalam membina
kehidupan yang sempurna lagi berhikmah. Contohnya melalui puisi Arin
Arif yang berjudul ‘Hijrah’ jelas menunjukkan hakikat tentang saranan
penyair agar manusia berhijrah daripada mengamalkan sifat-sifat yang tidak
baik kepada amalan-amalan yang lebih baik. Misalnya berjudi, khurafat,
menipu, mengeji dan mengumpat sebagai amalan yang perlu ditinggalkan
dan digantikan dengan amalan yang mendatangkan faedah.
Selain itu, anjuran atau prinsip keilmuan yang dihamparkan oleh
penyair ini bukan sahaja secara berterus-terang malah, ia juga memiliki
nilai agama yang tinggi. Kebanyakan daripada puisi beliau menganjurkan
ajaran tasawuf iaitu usaha atau jalan seorang hamba untuk mengenal dan
mendekatkan diri kepada Tuhan. Contoh puisi beliau yang menggambarkan
kecintaan, keasyikan, kerinduan dan kefanaan seorang hamba terhadap
Tuhan yang jalal jelas tergambar melalui puisi ‘Munajat dalam Azan dan
Tarhim Subuhnya’ (Api Laut Merah, 2002:26-27).
‘Munajat dalam Azan dan Tarhim Subuhnya’
Selawat bermikraj ke langit
Kasih junjungan menyilau kalbu abid
Ini imbau pengabdian para asyiqin
Mentakwin istirah sejuta Abidin
Ibtihal maha puji jalali
Insan kerdil merafak ampun izzati
di taman indah subuh anugerah al-Bari
99
Puisi-puisi Arin Arif: Satu Analisis Takmilah
alam pun mengelopakkan tasbih
menjawab salam yang hadir
kalbu musar nan fakir
katanya, kerana kita sama berkasih
terimalah segala khazanahku
langit apa lagi, ia pun amat arif
degup kasih muqarrabin
bukanlah dengan getar itu
subuh menjadi makmur di kalbu Arin
setelah semalam salik bermuhasabah
menyesal khilaf dan alpa
yang gugur bersama-sama jalur mentari
pohon dan daunan asyik tafakur
menghayati munajat pemikir sadik
ya akhbar, azan yang bergetar
tiada kudrat tiada keagungan
selain Khaliq pemilik arasy yang azim
setiap putaran ditaqarubkan syahadatain
dari menara gugur perkasa fana
sehingga tiada falah maujud selain-Nya
siapa bernama khalifah
selamat mengendali makna sumpah
mencapai hakikat dalam solat
berbunga ibadat segala makruf
inilah hakikat kemenangan
menawan hayat dengan angkatan salihin
alam bercahaya bersama nur absar
tikram dan tahmid
waktu mengangkat cinga
rasa fana dalam fana
putih qunut ke hujung salam
perkenankanlah falah perjalanan asyiqin
amin ya rabbal alamin.
100
Asmiaty Amat & Lokman Abdul Samad
Peranan ilmu yang bersifat kerohanian juga diungkapkan melalui
puisi ‘Pemilik Kalbu’ (Api Laut Merah, 2002:29).
Engkaulah pemilik
Qurbatul uzma
memasuki rumah hidayat
dengan salam batin
tiada nur, selain
Nurulanwar
tiada tatapan
selain ainul absar
Zikir mengalir
di bawah lisan-nya
menyilau ruang gua
dalam pancar inayat
pemilik kalbu hayat.
Selain itu, melalui kesusasteraan, sejarah serta cerita nabi dan para
tokoh Islam ditonjolkan untuk memperingati segala jasa dan bakti yang
diberikan oleh mereka dalam dunia Islam. Hal ini tentulah kembali semula
kepada rujukan terhadap al-Quran yang menyimpan segala khazanah
ilmu yang tidak ternilai harganya. Al-Quran adalah sumber sejarah dan
pengetahuan tentang masa kini dan akan datang. Melalui al-Quran yang
memiliki nilai sastera tertinggi, memancarkan ilmu Allah dan memberikan
manusia panduan untuk mentadbir kehidupan. Sejarah cerita nabi dan para
sahabat serta panduan-panduan yang perlu diikuti oleh manusia zaman
kini dan akan datang didedahkan oleh Allah SWT melalui kalam Allah
yang bernilai tinggi. Kebenaran yang terkandung dalam al-Quran menjadi
panduan sepanjang zaman.
Melalui puisi-puisi yang ditonjolkan penyair, beliau mengimbau
pelbagai peristiwa bersejarah yang terkandung dalam al-Quran seperti
yang disebutkan tadi. Contohnya malam Lailatul Qadar, kisah hidup Nabi
Yusuf dan Zulaikha, kisah Nabi Musa, Masyitah dan Firaun, sahabat nabi
dan sebagainya. Contoh-contoh ini diperlihatkan melalui puisi ‘Perempuan
yang Menyisir,’ ‘Al-Hamasah,’‘Doa Tongkat,’ ‘Subuh di Laban Rata’ dan
‘Bunyi Sepatu.’ Ingatan penyair terhadap tokoh agama Imam Syae juga
diutarakan melalui ‘Di Makam Syae’.
101
Puisi-puisi Arin Arif: Satu Analisis Takmilah
Tegasnya, ilmu yang bersumberkan al-Quran dapat memenuhi
prinsip teori takmilah daripada sudut falsafah tauhid yang merujuk kepada
ketauhidan Allah, berserta keilmuan yang ditunjukkan untuk dijadikan
panduan dan teladan kepada khalayak.
Prinsip Sastera yang Berciri Estetik dan Bersifat Takmilah
Prinsip ini dilihat dari dua aspek keindahan, iaitu keindahan lahiriah dan
keindahan maknawi. Keindahan lahiriah menyentuh teknik, bentuk struktur
dan gaya bahasa yang dapat dilihat secara luaran. Sementara aspek maknawi
merujuk kepada mesej yang ingin disampaikan penyair yang melibatkan
pemikiran, sudut pandangan dan penggunaan unsur-unsur seperti metafora,
personikasi dan alegori. Secara ringkasnya, karya bukan sahaja indah
dari segi bentuk dan tekniknya malah, ia juga harus indah sempurna dari
sudut makna dan tujuannya. Konsep inilah yang akhirnya akan kembali
kepada sifat Allah yang mampu memulakan dan mengadakan (al-Mubdi)
sesuatu yang indah (kamal) dan sempurna (kamal). Hal ini terungkap
dalam al-Quran, Surah Yasin iaitu ‘Kun Fa Ya kun (Jadilah Engkau’) dan
hadis yang bermaksud Allah itu indah dan Dia sukakan keindahan (Hadis
Riwayat Muslim).
Sebagaimana yang telah dinyatakan dalam prinsip-prinsip
sebelumnya, jelas menunjukkan bahawa penyair muda ini menghasilkan
puisinya bukan sahaja indah dari segi bentuk dan tekniknya yang membawa
perlambangan-perlambangan tertentu, malah dari segi maknawinya
penyair begitu menekankan segala nilai Islam yang berkaitan dengan sifat
Allah yang kamal, Rasul yang kamil dan perkara-perkara yang menyeru
kepada kebaikan dan meninggalkan larangan Allah. Bahkan, teknik dan
cara penyampaiannya juga adalah sangat unik. Selain itu, diperhatikan
kekreatifan Arin Arif mengubah bentuk atau struktur puisinya yang
dikenali sebagai seni visual. Contohnya puisi berjudul ‘Subuh di Laban
Rata’ (Api Laut Merah, 2002:24) yang berbentuk seperti berikut:
102
Asmiaty Amat & Lokman Abdul Samad
Dahi
Mendingin
Waktu sujud
Ya Masjid, syukur
Meluncur khusuk
Beginikah Musa di Tursina
Abid lebur mengenang-Mu, fana
Mendaki tahmid di puncak anugerah
Subhanaka ya Allah – subhnanaka ya Rahman ya Allah
Secara visual, puisi tersebut bukan sahaja mempunyai bentuk yang
unik seperti sebuah piramid atau bukit sejajar dengan zaman Nabi Musa
yang bersembunyi di Bukit Tursina, yang menjadi lambang kesyukuran
pengarang semasa beliau sedang duduk di atas dataran Laban Rata, sebuah
tanah rata persinggahan sebelum tiba di puncak Gunung Kinabalu. Perkara
ini melambangkan keakuran dan penyerahan seorang hamba kepada Tuhan
Yang Maha Kuasa.
Keindahan bentuk puisi juga terpancar melalui penggunaan diksi
atau perkataan dari bahasa Arab, iaitu bahasa al-Quran, bahasa penyatu
umat seperti syauq, zauq, mahabbah dan asma-ul husna yang cukup indah.
Selain itu, ada kalanya penyair memetik surah dalam al-Quran (puisi Wal-
Asri) untuk mengangkat nilai estetika puisi beliau. Hal ini turut menjadikan
mesej yang ingin disampaikan penyair itu lebih tepat dan berkesan.
Contohnya puisi yang bertajuk ‘Qiam’ (Api Laut Merah, 2002:34) yang
dipetik seperti berikut:
…
Astaghruka wa atubu ilaika
pernah sekawan amarah
menyisihkan mahabbah
ke perigi muslihat batini
dini ini dia kembali
menyulam kasih hakiki
sutera syukur Yaakub
kurnia-Nya mempersua
perbendaharaan rahmat
103
Puisi-puisi Arin Arif: Satu Analisis Takmilah
daripada khazanah tabah Yusuf
ini degupnya, meresap daripada istana kalbu
ke penjara uji.
Prinsip pada Pengkarya yang Seharusnya Mengistikmalkan Diri
Sebuah karya Islam yang dihasilkan oleh seorang pengkarya yang hanya
tahu bersandiwara adalah umpama sehelai kertas yang tidak bermakna.
Menurut pendekatan ini, seorang penyair wajar memiliki sifat-sifat
mulia dan meninggalkan sifat-sifat mazmumah. Seorang penyair bukan
sahaja perlu memiliki dan menguasai bidang ilmu, malah mereka harus
mempraktikkan ilmu-ilmu yang mereka miliki itu. Maksud ilmu di sini pula
bukan sahaja terbatas dalam erti kata ilmu agama semata-mata tetapi turut
mencakupi ilmu kesusasteraan itu sendiri. Ringkasnya, hasil karya sastera
itu harus lahir daripada seorang penyair yang memberi komitmen terhadap
jiwa keislamannya dan mampu mengutarakan pandangan keislamannya
melalui saluran yang sewajarnya (erti kesusasteraan yang difahami). Hal ini
sedikit banyak menunjukkan bahawa prinsip teori ini sesuai diterapkan bagi
penyair yang memiliki latar belakang kehidupan, sosialisasi dan pendidikan
agama yang baik.
Seorang pengkarya wajib mengetahui tugas mereka sebagai
pengkarya dan menyampaikan bakat dan kemahiran mereka ke jalan yang
benar. Aspek yang dititikberatkan adalah berkenaan kebenaran tujuan dan
kebenaran isi kandungan dan cara penulisan. Perkara ini turut dinyatakan
oleh A. Hasjmy bahawa ciri-ciri sasterawan Muslim yang digambarkan ialah
mereka yang beriman, beramal soleh serta sentiasa mengingati Allah SWT.
Keimanan dan ketakwaan sasterawan Muslim dimanifestasikan daripada
karya mereka (A. Hasjmy, 1987: 55-56).
Sebagaimana yang telah dinyatakan dalam ruangan kepenyairan,
membuktikan bahawa dengan latar belakang yang dimiliki oleh Arin
Arif itu, tidak sukarlah bagi beliau menzahirkan kiran dan perasaan
terhadap kecintaannya kepada Tuhan dan agama melalui puisi-puisinya
dalam bentuk sedemikian. Beliau bukan sahaja dididik dengan ilmu
agama yang mendalam, malah praktikal sehari-hari melalui ruang lingkup
pekerjaannya itu sendiri menunjukkan beliau mengamalkan apa yang
104
Asmiaty Amat & Lokman Abdul Samad
diutarakannya dalam karya tersebut. Selain itu, kefasihan beliau dalam
berbahasa Arab juga menjadi satu kredit untuk beliau memperindahkan
kalimah-kalimah dengan selitan bahasa Arab yang sesuai dengan maksud
yang ingin disampaikannya melalui puisi. Pengetahuan terhadap ilmu
agama dan kesusasteraan ini memberikan impak yang besar terhadap
penghasilan puisi beliau. Kelembutan dan kesederhanaan yang dipamerkan
itu begitu menyentuh kalbu. Oleh itu, ‘kekecewaan’ terhadap orang yang
meninggalkannya diungkapkan dengan begitu halus sekali. Contohnya
melalui puisi yang berjudul ‘Warkah (untuk Ummi)’ (Api Laut Merah,
2002:18)
Tentang Zulaikha
dan gadis-gadis
yang menghiris jemari
usahlah dirisaukan
aku akan selalu
mencontohi kesabaran
daripada Yusuf
tentang Laila
dan segala keputusannya
yang menestapakan itu
juga, usahlah dikirkan
aku masih berguru
menggali ketabahan
daripada Ayub
Ummi
takku pernah
mendendaminya
kerana sedari kecil
kau tak mengasuhku
mewarisi tabiat qabil.
(Api Laut Merah, 2002:18)
Sebagai penyair juga, Arin Arif sering mengingatkan dirinya agar
tidak tersasar ke landasan yang salah dalam proses menyempurnakan diri dan
khalayak. Hal ini dijelaskan melalui puisi ‘Doa Penyair’ seperti berikut:
105
Puisi-puisi Arin Arif: Satu Analisis Takmilah
Kalau kalam
hanya menghijab
diri
daripada kilauan pulau
karamkan saja
bahtera dakwat
yang kulayarkan
Kalau kalam
hanya menakjub
diri
dengan silau ingkar
tenggelamkan saja
alun kefasihan
yang kulabuhkan.
Melalui puisi tersebut menunjukkan bahawa penyair sedar dan
memanjatkan doa agar niatnya menjadi penyair tidak tenggelam ke dasar
keangkuhan dan kealpaan. Penyair rela berhenti menulis dan menjadi
penyair jika perkara tersebut ada dalam dirinya. Perkara ini juga dapat
dikaitkan dengan larangan menyombong diri dalam al-Quran dan hadis
nabi seperti yang berikut:
Katakanlah: ‘Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan yang keji, baik
yang nampak ataupun yang tersembunyi, dan perbuatan dosa, melanggar
hak manusia tanpa alasan yang benar, (mengharamkan) mempersekutukan
Allah dengan sesuatu yang Allah tidak menurunkan hujjah untuk itu dan
(mengharamkan) mengada-adakan terhadap Allah apa yang tidak kamu
ketahui.’
(Surah Al A’raaf: 32 - 33)
dan,
‘Tidak akan masuk syurga seseorang yang ada di dalam hatinya sifat
sombong sekalipun hanya seberat debu. Lalu seorang sahabat bertanya:
‘Sesungguhnya ada orang yang suka pakaian dan kasutnya cantik. Rasulullah
SAW menjawab dengan sabda yang bermaksud: ‘Sesungguhnya Allah itu
indah dan suka kepada keindahan. Sombong itu adalah menolak yang hak
dan menghina orang lain.’
(Hadis riwayat Muslim)
106
Asmiaty Amat & Lokman Abdul Samad
Oleh hal yang demikian, dapat dikatakan bahawa melalui puisi-puisi
Islam Arin Arif sebagaimana yang dinyatakan menunjukkan bahawa beliau
telah mengistikmalkan diri dengan kedua-dua ilmu agama dan sastera.
Prinsip Khalayak yang Bertujuan Memupuk ke arah Insan Kamil
Prinsip terakhir teori takmilah juga menjurus kepada prinsip untuk
menyempurnakan golongan khalayak. Seseorang pengkarya dengan sifat-
sifat mahmudah dan rabbaniah (sempurna) yang menghasilkan karya
yang sempurna, akhirnya jiwa dan kiran khalayak yang meneliti dan
menghayati karya tersebut terpengaruh untuk melakukan perkara-perkara
yang diutarakan pengkarya melalui karyanya. Segala sifat Allah perlu
dipercayai, peribadi terpuji Rasulullah perlu dicontohi dan seruan-seruan
yang dikemukakan oleh pengkarya yang tinggi akhlaknya akan dihayati
dan direnungi oleh pembaca yang bukan setakat membaca dengan mata
tetapi dengan batin. Ia selaras dengan ingatan Allah seperti rman-Nya,
“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan
mengingati Allah. Ingatlah hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi
tenang” (Surah Ar-Ra’du: ayat 28) dan, “Dan siapa saja yang berpaling dari
peringatanku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit dan
kami akan menghimpunnya dalam neraka dalam keadaan buta” (Surah
Thaaha: ayat 124). Seorang penyair dipinta untuk mengajak masyarakat
ke arah kebaikan sebagaimana ayat berikut, “Ajaklah ke jalan Tuhanmu
dengan kebijaksanaan dan contoh pengajaran yang baik dan berdialoglah
dengan mereka dengan cara yang lebih baik” (Surah Al-Nahl: ayat 125).
Namun demikian, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa walaupun tidak
semua khalayak akan terpengaruh dengan karya sebegini, sedikit banyak
mereka akan menginsa diri.
RUMUSAN
Penulisan merupakan satu kaedah berdakwah yang berkesan. Setiap
penganut Islam harus mengisi dakwahnya dengan hasrat untuk
mengembalikan kegemilangan dan keagungan Islam. Justeru, seorang
pengkarya dituntut untuk menghasilkan karya yang memperlihatkan
pertemuan yang sempurna antara kebenaran, kebaikan dan keindahan
bahasa. Hal ini jelas tergambar melalui puisi-puisi Arin Arif. Seiring itu,
teori takmilah yang diilhamkan oleh Shae Abu Bakar ternyata merupakan
107
Puisi-puisi Arin Arif: Satu Analisis Takmilah
teori yang wajar digunakan untuk mengkaji karya-karya Islam. Teori ini
jelas membuktikan bahawa harus ada kesepaduan di antara teori itu sendiri
yang kaya dengan nilai falsafahnya dengan aspek praktikalnya (hakikat).
Matlamat akhirnya bukan sahaja terletak kepada penghasilan karya
yang sempurna, malah ia akan menyempurnakan penyair dan khalayak.
Selaras dengan kesesuaian puisi tersebut diaplikasikan menggunakan
teori takmilah, maka dapatlah dikatakan bahawa puisi Arifn Arif layak
dikategorikan sebagai karya Islam.
RUJUKAN
Asmiaty Amat. 2001. Api Laut Merah: Lambang Keteguhan Iman Seorang Penyair.
Kota Kinabalu: New Sabah Times. hlm. 12 & 14.
A. Hasjmy. 1987. ‘Sastera dan Agama’. Dalam Ismail Hussein (pnggr.). Sastera
dan Agama. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ismail Al-Faruqi & Lois Lamya al-Faruqi. 1992. Atlas Kebudayaan Islam.
(terjemahan) Mohd. Ridzuan Othman, Mohd. Sidin Ishak & Khairuddin
Harun. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Jasni Matlani, Abdul Rahim Tapah & Arin Arif. 1996. Tergantung Pada Kata.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamariah Kamaruddin. 2011. Takmilah dalam Novel Melayu. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Tanpa nama penyelenggara. 2000. Laut Asyik. Antologi Puisi Badan Bahasa Sabah
(BAHASA). Kota Kinabalu: Badan Bahasa Sabah.
Mana Sikana (pnggr.) 1997. Teori Sastera dan Budaya dalam Kajian Akademik.
Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Mohd. Arin Arif et al. 2001. Tasbih Hayat. Antologi Puisi Mahrajan Sastera Islam
Sempena Maulidur Rasul. 2001/1422 Hijrah.
Mohd. Arin Arif. 2002. Api Laut Merah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Mohd. Arin Mohd. Arif et al.(pnggr.). 2001. Tasbih Hayat. Kota Kinabalu: Sykt.
Bumi Yakin.
Samsina Abd. Rahman. 2002. ‘Analisis Takmilah dalam Puisi-puisi Melayu.’ Dalam
kertas kerja Seminar Teori Sasera Takmilah di Hotel Renaissance Palm
Garden Putrajaya. Anjuran Bahagian Teori dan Kritikan Jabatan Sastera,
Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 14-16 Oktober 2002.
Samsina Abd. Rahman. 2005. ‘Pentakmilahan Pengkaedahan Melayu dan
Pengaplikasiannya dalam Genre Puisi.’ Dalam Hajijah Jais dan Muhamad
Ikhram Fadhly Hussin. 2005. Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
108
Asmiaty Amat & Lokman Abdul Samad
Shae Abu Bakar. 1996. ‘Takmilah: Teori, Falsafah dan Prinsip.’ Dewan Sastera.
November: 25-33.
Shae Abu Bakar. 1994. ‘Takmilah: Teori, Falsafah dan Prinsip.’ Dalam Mana
Sikana (ed.). Teori Sastera dan Budaya dalam Kajian Akademik. Bangi.
Jabatan Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Shae Abu Bakar. 1997. ‘Estetika dalam Takmilah.’ Dalam Mana Sikana (ed.).
Pembangunan Seni dan Sastera. Bangi. Jabatan Persuratan Melayu,
Universiti Kebangsaan Malaysia.
Tafsir al-Quran pimpinan Ar-Rahman. Hal Ehwal Islam. Jabatan Perdana Menteri.
Ustaz Dr Ali Musri Semjan Putra. Melayuholykoran.blogspot.com/2012/10/syarah-
nama-allah-al-fattah-dan-allah.html (diakses pada 8 Januari 2012).
Yusuf al-Qardawi. 1985. Iman dan Kehidupan. Shah Alam: Dewan Pustaka Fajar.
MANU
Jurnal Pusat Penataran Ilmu & Bahasa
(Journal of the Centre for the Promotion of Knowledge & Language Learning)