Conference PaperPDF Available

KURIKULUM PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK DAN MODUL PENDIDIKAN AKHLAK : ISU DAN CABARAN MASA KINI

Authors:

Abstract

ABSTRAK Artikel ini bertujuan menghuraikan mengenai kurikulum Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Modul Pendidikan Akhlak dengan mengupas isu dan cabaran yang dihadapi oleh para pendidik dan kanak-kanak dalam konteks pengajaran dan pembelajaran yang diamalkan pada masa kini. Kurikulum yang sedia ada dalam sistem pendidikan kini dibincangkan secara terperinci. Dalam penulisan ini, tiga permasalahan utama yang ketara dihadapi oleh golongan pendidik dikupas berkaitan dengan kandungan kurikulum yang kurang tepat dan jelas, kemahiran pedagogi atau kaedah penyampaian pengajaran yang kurang dikuasai dan kekurangan sumber pengajaran yang boleh menjadi medium dalam menyampaikan kurikulum agar lebih berkesan. Kanak-kanak pula didapati menghadapi masalah dalam penguasaan pembelajaran khususnya yang berkaitan dengan aspek kerohanian dan moral. Keberkesanan pembelajaran dalam kalangan kanak-kanak yang sukar diukur juga merupakan antara isu yang dihadapi. Keberkesanan kurikulum turut dihuraikan bersama kepentingannya terhadap proses pembentukan tingkah laku kanak-kanak. Pembinaan Modul Pendidikan Akhlak diharapkan dapat menjadi solusi alternatif dalam menghadapi isu dan cabaran tersebut. Di samping itu, kurikulum integratif juga disarankan agar lebih relevan dalam menangani isu dan cabaran globalisasi seiring dengan hasrat transformasi dalam pendidikan menuju ke status negara maju. KATA KUNCI Kurikulum, Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pendidikan Akhlak 1. PENGENALAN Awal kanak-kanak ialah istilah yang merujuk kepada tempoh masa kanak-kanak dari lepas lahir hingga ke umur lapan tahun. Mengikut The National Association for The Education of Young Children (NAEYC, 2011) atau Pertubuhan Kebangsaan bagi Pendidikan Kanak-Kanak Muda, Pendidikan awal kanak-kanak (early childhood education) merujuk kepada segala program pendidikan yang memberi layanan, asuhan dan bimbingan kepada kanak-kanak sejak lahir hingga ke umur lapan tahun. Pendidikan Awal Kanak-kanak di Malaysia merujuk kepada program-program yang disediakan untuk kanak-kanak yang berumur sejak lahir sehingga lapan tahun
KURIKULUM PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK DAN
MODUL PENDIDIKAN AKHLAK : ISU DAN CABARAN
MASA KINI
Nor Fauzian Binti Kassim
Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara
fauzian@ipsah.edu.my
Fauziah Hanim binti Abdul Jalal, PhD
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia
fauziah@fppm.upsi.edu.my
ABSTRAK
Artikel ini bertujuan menghuraikan mengenai kurikulum Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Modul
Pendidikan Akhlak dengan mengupas isu dan cabaran yang dihadapi oleh para pendidik dan kanak-kanak
dalam konteks pengajaran dan pembelajaran yang diamalkan pada masa kini. Kurikulum yang sedia ada
dalam sistem pendidikan kini dibincangkan secara terperinci. Dalam penulisan ini, tiga permasalahan
utama yang ketara dihadapi oleh golongan pendidik dikupas berkaitan dengan kandungan kurikulum yang
kurang tepat dan jelas, kemahiran pedagogi atau kaedah penyampaian pengajaran yang kurang dikuasai dan
kekurangan sumber pengajaran yang boleh menjadi medium dalam menyampaikan kurikulum agar lebih
berkesan. Kanak-kanak pula didapati menghadapi masalah dalam penguasaan pembelajaran khususnya
yang berkaitan dengan aspek kerohanian dan moral. Keberkesanan pembelajaran dalam kalangan kanak-
kanak yang sukar diukur juga merupakan antara isu yang dihadapi. Keberkesanan kurikulum turut
dihuraikan bersama kepentingannya terhadap proses pembentukan tingkah laku kanak-kanak. Pembinaan
Modul Pendidikan Akhlak diharapkan dapat menjadi solusi alternatif dalam menghadapi isu dan cabaran
tersebut. Di samping itu, kurikulum integratif juga disarankan agar lebih relevan dalam menangani isu dan
cabaran globalisasi seiring dengan hasrat transformasi dalam pendidikan menuju ke status negara maju.
KATA KUNCI
Kurikulum, Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pendidikan Akhlak
1. PENGENALAN
Awal kanak-kanak ialah istilah yang merujuk kepada tempoh masa kanak-kanak dari lepas
lahir hingga ke umur lapan tahun. Mengikut The National Association for The Education of
Young Children (NAEYC, 2011) atau Pertubuhan Kebangsaan bagi Pendidikan Kanak-Kanak
Muda, Pendidikan awal kanak-kanak (early childhood education) merujuk kepada segala program
pendidikan yang memberi layanan, asuhan dan bimbingan kepada kanak-kanak sejak lahir hingga
ke umur lapan tahun. Pendidikan Awal Kanak-kanak di Malaysia merujuk kepada program-
program yang disediakan untuk kanak-kanak yang berumur sejak lahir sehingga lapan tahun
termasuk jagaan di taman asuhan atau taman didikan, prasekolah atau sekolah rendah. Program
seumpama itu dikendalikan oleh pelbagai institusi yang berbeza-beza.
Morrison (2011), mentakrifkan pendidikan awal kanak-kanak sebagai program yang
menyediakan perkhidmatan kepada kanak-kanak dari usia sejak lahir hingga ke usia lapan tahun
samada program secara separuh atau sepenuh masa di pusat, rumah, institusi, tadika dan sekolah
rendah. Pendidikan Awal Kanak-kanak pada masa kini, memberi penekanan kepada kepelbagaian
kanak-kanak, amalan bersesuaian perkembangan, perhatian kepada kanak-kanak berkeperluan
khas di samping keperluan memenuhi standard pencapaian seperti yang digariskan oleh NAEYC.
Terdapat pelbagai falsafah dan pandangan dari tokoh-tokoh bagi mengendalikan proses
pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak pada peringkat awal. Abdullah Nashih Ulwan (1996)
dalam penulisannya yang terkenal iaitu Tarbiyatu’l-Aulad fi’l-Islam (Pedoman Pendidikan Anak
dalam Islam) menjelaskan tangungjawab terbesar bagi para pendidik terdiri daripada tujuh iaitu
tanggungjawab Pendidikan Iman, tanggungjawab Pendidikan Akhlak(Moral), tanggungjawab
Pendidikan Fizik, tanggungjawab Pendidikan Intelektual, tanggungjawab Pendidikan Psikologi,
tanggungjawab Pendidikan Sosial dan tanggungjawab Pendidikan Seksual.
Menurut Abdullah Nashih Ulwan (1996) lagi, ibu bapa dan pendidik bertanggungjawab
mencorakkan kehidupan anak dengan memberikan pendidikan yang sempurna dan sewajarnya.
Ibu bapa juga merupakan teladan kepada anak-anak. Apa yang dilakukan oleh ibu bapa, bakal
menjadi ikutan mereka dalam proses pembentukan tingkah laku dan keperibadian diri. Dalam hal
ini, Imam Al-Ghazali (1996) turut bersetuju dengan pendapat yang mengatakan bahawa anak
merupakan amanah Allah SWT kepada ibu bapa. Tanggungjawab ibu bapa amat besar dan
seharusnya dilaksanakan dengan sebaiknya.
Kini, kebanyakan ibu bapa semakin ramai menghantar anak-anak mereka ke taman asuhan
sejak dari awal usia lagi, ekoran kesedaran terhadap kepentingan pendidikan awal kanak-kanak
selari dengan bertambahnya golongan wanita yang bekerjaya. Kebanyakan ibu bapa yang
bekerjaya, meletakkan tanggungjawab menjaga, mengasuh dan memberi pendidikan kepada
orang lain atau pengasuh serta guru di pusat-pusat asuhan, jagaaan dan didikan seperti taska dan
tadika. Justeru itu, pendidikan awal kanak-kanak wajar diberikan perhatian serius khususnya
kandungan kurikulum yang berkaitan pendidikan awal kanak-kanak.
2. KONSEP KURIKULUM
Kurikulum didefinisikan sebagai cara membantu pendidik berfikir tentang kanak-kanak dan
mengurus pengalaman kanak-kanak berdasarkan program. Kurikulum juga boleh dimaksudkan
semua pengalaman yang berlaku di sekolah. Kurikulum merupakan bentuk penulisan yang
dirancang untuk pembelajaran. Selain itu kurikulum juga membawa pengertian senarai topik
pembelajaran yang akan dilaksanakan.
Mengikut Norhashimah Hashim dan Yahya Che Lah (2003), kurikulum adalah rancangan
pengajaran dan pembelajaran yang disusun bagi mencapai sesuatu matlamat pendidikan. Menurut
Feldman (1991) pula, kurikulum merupakan asas untuk mengajar dan memberi maksud ke arah
pendidikan. Manakala Catron dan Allen (1999) menjelaskan bahawa kurikulum dibahagikan
kepada dua bahagian iaitu kurikulum nyata dan kurikulum tersembunyi. Kurikulum nyata adalah
pengajaran dan pembelajaran secara langsung berkenaan pelbagai aspek perkembangan kanak-
kanak seperti jasmani, emosi, rohani, intelek, merancang aktiviti dan membuat penilaian.
Kurikulum tersembunyi pula ialah perkara yang dipelajari oleh kanak-kanak secara tidak
langsung seperti tingkah laku kanak-kanak dan tindakan guru serta pengaruh persekitaran.
3.0 PERTIMBANGAN DAN PROSES PEMBENTUKAN KURIKULUM
3.1 Falsafah Penddikan
Pembentukan sesuatu kurikulum memerlukan penetapan dalam falsafah. Jika ingin
menyediakan kurikulum prasekolah maka falsafah pendidikan prasekolah wajar ditentukan
terlebih dahulu. Misalnya, falsafah prasekolah menggambarkan tujuan prasekolah, nilai dan
kepercayaan guru tentang bagaimana kanak-kanak belajar. Falsafah yang dipegang atau dirujuk
oleh guru prasekolah mampu mempengaruhi keputusan yang dibuat untuk kanak-kanak. Justeru,
Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan dibentuk berteraskan kepada Falsafah Pendidikan
Kebangsaan dan Rukun Negara. Kedua-dua falsafah ini perlu diterjemahkan mengikut kesesuaian
dengan perkembangan kanak-kanak. Pendidik dan penggubal kurikulum perlu memahami hasrat
negara yang dinyatakan dalam Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Setiap
kurikulum yang dibentuk adalah untuk memenuhi keperluan jangka panjang. Kesan daripada
hasil kurikulum yang digubal akan melahirkan generasi negara seperti mana yang dihasratkan
dalam Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
3.2 Matlamat dan Objektif
Matlamat dan objektif yang dibentuk merupakan panduan program bagi memulakan
pembelajaran yang diperlukan oleh kanak-kanak. Sehubungan itu, matlamat dan objektif perlu
ditulis dalam bentuk yang boleh dilihat oleh guru supaya guru dapat mengukur atau menilai
kurikulum yang ingin diperolehi. Guru pula perlu menyesuaikan objektif yang perlu dicapai oleh
kanak-kanak secara individu memandangkan kanak-kanak belajar pada tahap yang berbeza-beza.
4.0 FAKTOR MEMPENGARUHI PEMBENTUKAN DAN PERUBAHAN KURIKULUM
Selain daripada mengetahui tiga komponen utama bagi membentuk sesuatu kurikulum, kita
juga perlu memahami faktor-faktor yang mempengaruhi pembentukan atau perubahan sesuatu
kurikulum.
4.1 Kehendak dan Keperluan Murid
Merujuk kepada Teori Keperluan Maslow , faktor keperluan murid merangkumi keperluan
asas, keselamatan, kasih sayang, penghargaan kendiri dan kesempurnaan kendiri. Kehendak dan
keperluan murid perlu dipenuhi supaya menjamin konsep kendiri yang positif sejajar dengan apa
yang terkandung di dalam sesuatu kurikulum yang ingin dirancang. Perlu difahami bahawa
keperluan individu juga perlu dipenuhi dari aspek ilmu pengetahuan, peluang mengembangkan
potensi dan minat secara menyeluruh dari pelbagai aspek agar perkembangan berlaku secara
seimbang dan harmonis.
4.2 Kehendak dan Keperluan Negara
Kehendak dan keperluan negara adalah berkaitan dengan ideologi, budaya dan nilai dalam
sesebuah masyarakat dan negara. Di negara Malaysia pembentukan kurikulum pendidikan
haruslah mengutamakan kepelbagaian kaum yang pastinya dapat mewujudkan perpaduan dalam
kalangan masyarakat. Maka, elemen yang dimasukkan di dalam kurikulum adalah mengandungi
unsur-unsur kebudayaan masyakarat serta nilai yang diterima oleh semua. Ia juga wajar
mementingkan keperluan negara untuk bersaing dalam era globalisasi.
4.3 Kehendak Sejagat
Pembentukan sesuatu kurikulum juga mestilah memenuhi kehendak sarwa jagat. Arus
pemodenan dengan kepesatan teknologi misalnya telah menuntut persaingan positif di seluruh
dunia. Aspek keseimbangan politik, kestabilan ekonomi serta teknologi maklumat dan
komunikasi merupakan asas pembangunan sesebuah negara. Asas pembangunan sesebuah negara
juga bergantung kepada bidang pendidikan. Maka dengan itu, kurikulum pendidikan yang ideal
akan menyediakan tenaga kerja yang berilmu pengetahuan, berkemahiran, berketrampilan dan
mempunyai jati diri untuk negara. Justeru, pembentukan sesuatu kurikulum perlulah memenuhi
semua kehendak stakeholders.
5.0 KURIKULUM PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK DI MALAYSIA
5.1 Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK)
Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan telah dibentuk berteraskan kepada Falsafah
Pendidikan Kebangsaan. Penekanan diberi kepada bahasa merentas semua tunjang kerana
penguasaan bahasa amat penting dalam proses pembelajaran. Penguasaan kemahiran bahasa
diperolehi melalui kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Kecekapan berbahasa
akan membantu murid berfikir, memahami sesuatu konsep, berimaginasi, melahirkan idea,
berinteraksi dan berkomunikasi secara berkesan.
Pelaksanaan kurikulum secara bersepadu dirancang melalui pendekatan Amalan yang
Bersesuaian dengan Perkembangan Murid (ABP) seperti yang disarankan oleh NAEYC. Amalan
yang Bersesuaian dengan Perkembangan murid adalah satu pendekatan yang menekankan kepada
penggunaan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang bersesuaian dengan umur, perkembangan
diri, kebolehan, bakat serta minat murid. Pendekatan kurikulum yang berfokus kepada hasil
pembelajaran (outcome-based learning) memberi penekanan kepada apa yang murid perlu tahu,
faham dan buat serta amalkan hasil daripada proses pengajaran dan pembelajaran. Ini bermakna
aktiviti pembelajaran memberi penekanan kepada apa yang harus diperolehi dan dicapai oleh
murid.
5.2 Pengenalan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK)
Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Sub-NKRA (National Key Result Area) Peningkatan kadar
penyertaan murid prasekolah sebanyak 20% pada akhir tahun 2012 dengan memasukkan semua
prasekolah kerajaan dan swasta dalam sistem pendidikan kebangsaan.
Kronologi Penyemakan Kurikulum telah dilakukan seperi berikut:
1970an KEMAS dan Jabatan Perpaduan memulakan kelas prasekolah awam
1986 Buku Panduan Prasekolah Malaysia dikeluarkan oleh KPM
1992 KPM memulakan Prasekolah
1993 Garis Panduan Kurikulum Pendidikan Prasekolah Malaysia dikeluarkan oleh
Kementerian Pelajaran Malaysia
2003 Kurikulum Prasekolah Kebangsaan (KPK)
2008/9 KPK disemak semula
2010 Pelaksanaan KSPK
Perubahan dan penyemakan terhadap kurikulum dilakukan oleh Kementerian Pendidikan
Malaysia (KPM) dilakukan dari masa ke semasa agar relevan dengan isu dan cabaran semasa.
Kurikulum Prasekolah Kebangsaan (KPK) disemak semula untuk memastikan kurikulum yang
holistik, tidak terlalu akademik dan tidak terlalu membebankan, mengikut keperluan semasa serta
ada kesinambungan dengan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).
Sistem pendidikan negara memberikan penekanan terhadap perkara-perkara seperti:
- Pembangunan modal insan
- Penghasilan pelajar celik minda
- Pembentukan warga yang menguasai ilmu, kemahiran dan maklumat
- Program membangunkan akal manusia dalam melahirkan insan yang berfikiran
kritis, kreatif dan inovatif
6.0 FAKTOR KEBERKESANAN KURIKULUM PENDIDIKAN AWAL KANAK-
KANAK
Keberkesanan pelaksanaan kurikulum bergantung kepada beberapa faktor penting. Antara
faktor-faktor tersebut ialah;
6.1 Ilmu dan kandungan kurikulum
Sepertimana yang telah ditakrifkan, kurikulum merupakan panduan perancangan
pelaksanaan matlamat dan falsafah. Sehubungan dengan itu, ilmu dan kandungan dalam sesuatu
kurikulum mestilah bertepatan dan sesuai dengan kehendak individu, kehendak negara dan
kehendak sejagat. Dalam hal ini, kandungan kurikulum pendidikan awal kanak-kanak perlulah
memenuhi kehendak dan keperluan serta perkembangan awal kanak-kanak.
Kandungan kurikulum prasekolah misalnya, mengandungi beberapa tunjang yang
diperjelaskan menerusi objektif khusus. Namun, justifikasi tentang keberkesanan pelaksanaan
kurikulum dan kaedah pengaplikasiannya dalam bilik darjah masih boleh dipertikaikan. Inilah
antara isu yang sering diketengahkan oleh sesetengah pihak berkaitan ilmu dan kandungan
kurikulum yang sewajarnya disepadukan menerusi semua tunjang.
6.2 Kemahiran Guru
Guru atau pendidik memainkan peranan utama sebagai pelaksana kurikulum. Keberkesanan
kurikulum amat bergantung kepada dedikasi seorang guru atau pendidik. Justeru, guru perlu
menguasai pelbagai kemahiran dalam ilmu pedagog dan psikologii, mengaplikasikan pelbagai
pendekatan dan teknik pengajaran dan pembelajaran, kemahiran Teknologi Maklumat dan
Komunikasi, Penyelesaikan masalah, kemahiran melakukan penyelidikan, pengurusan ruang,
kemahiran berfikir dan sentiasa berusaha meningkatkan penguasaan ilmu serta kecerdasan
pelbagai. Dalam erti kata lain, cabaran terhadap tugas dan tanggungjawab guru amat tinggi. Oleh
itu, guru atau pendidik dituntut agar sentiasa mengamalkan prinsip pembelajaran sepanjang hayat.
6.3 Sumber dan Murid
Bahan dan peralatan merupakan salah satu aspek yang mempengaruhi keberkesanan
pelaksanaan kurikulum. Guru perlu memahami dengan jelas keperluan bahan dan peralatan yang
bersesuaian dengan kehendak kurikulum. Kesesuaian bahan dan peralatan dari segi aktiviti
pembelajaran dan pengajaran termasuklah keselamatan penggunaannya kepada murid merupakan
faktor utama dalam menentukan keberkesanan melaksanakan sesuatu kurikulum. Setiap sumber
yang dipilih pula mestilah bersesuaian dengan keperluan murid. Bahan dan aktiviti yang disusun
akan memberikan kesan kepada proses pembelajaran murid. Ia secara langsung mempengaruhi
keberkesanan pelaksanaan kurikulum.
6.4 Premis
Persekitaran premis yang kondusif mendorong aktiviti pengajaran dan pembelajaran berjalan
dengan lancar turut menyumbang kepada keberkesanan pelaksanaan kurikulum. Pengurusan
ruang dalam bilik darjah serta pengurusan ruang luar bangunan yang selamat dan sistematik akan
menggalakkan kesedíaan pembelajaran seterusnya mempengaruhi tingkah laku murid. Hasil
kajian Kounin & Shernan (1979), mendapati bahawa murid akan berkelakuan mengikut keadaan
yang bersesuaian dengan reka bentuk persekitaran.
6.5 Kurikulum Berpusat
Kurikulum disediakan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum Kementerian Pelajaran
Malaysia secara berpusat. Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan digubal khusus untuk
kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun dan menjadi rujukan wajib kepada guru-guru
prasekolah seperti dinyatakan dalam Akta Pendidikan 1996.
7.0 ISU-ISU DAN PERMASALAHAN BERKAITAN PENDIDIKAN AWAL KANAK-
KANAK
Pada era globalisasi kini, masyarakat menjadi semakin ghairah mengejar kemajuan dalam
kehidupan selaras dengan hasrat negara menuju Wawsan 2020 yang mensasarkan status negara
maju menjelang tahun 2020. Dalam keghairahan tersebut, masyarakat menjadi lalai dan terleka
dengan tuntutan agama atau disiplin ilmu yang berteraskan keagamaan. Hal yang sama berlaku
dalam bidang pendidikan. Justeru, pendidikan yang seimbang dari segi intelek dan kerohanian
perlu disemai seawal usia kanak-kanak lagi agar dapat melahirkan insan yang bukan sahaja tinggi
inteleknya bahkan berakhlak mulia serta mampu menghadapi cabaran globalisasi.
Dalam usaha negara mencapai status negara maju, gejala keruntuhan akhlak juga semakin
menjadi-jadi. Permasalahan akhlak yang wujud dalam kalangan pelajar samada berbentuk akhlak
luaran mahu pun melibatkan hubungan dengan Allah sering dikaitkan dengan kegagalan sistem
pendidikan negara sekalipun kedua-duanya bukan faktor penyebab yang utama (Zaharah Hussin,
2008). Kajian-kajian terkini oleh Ab Halim Tamuri et.al (2004) serta Ahmad Mohd Salleh (1997)
telah mendedahkan ketidakupayaan sesetengah guru Pendidikan Islam dalam membentuk diri
mereka selaku pembimbing dan role model kepada pelajar.
Pendidikan merupakan satu istilah yang memberi makna yang sangat luas kepada manusia.
Pendidikan awal kanak-kanak merupakan asas kepada pembinaan sesuatu bangsa. Pepatah Arab
menyebut bahawa jika kita ingin melihat generasi masa hadapan; lihatlah kepada golongan
kanak-kanak pada masa kini. Masalah keruntuhan akhlak yang berleluasa yang berlaku kini boleh
diatasi dengan memberikan pendidikan agama yang sesuai kepada kanak-kanak (Noor Azizi
Ismail dan Syamsul Bahri Andi Galigo, 2010). Pendidikan memerlukan sukatan pelajaran atau
kurikulum yang tersendiri dan khusus. Kurikulum bermaksud segala perancangan pendidikan
yang dikehendaki oleh sesebuah institusi pendidikan untuk mencapai matlamat pendidikan.
Kurikulum mencerakinkan konsep dan falsafah pendidikan secara lebih terperinci.
8.0 CABARAN KURIKULUM PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK
Cabaran dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-kanak didapati semakin hebat sejajar dengan
keperihatihan pelbagai pihak samada pihak pembuat dasar, pelaksana malah masyarakat
umumnya. Kurikulum Pendidikan Awal Kanak-kanak (PAKK) merangkumi permainan dan
aktiviti-aktiviti di luar dan di dalam bilik darjah, merangkumi segala yang berlaku sepanjang hari
di sekolah. Kurikulum PAKK juga merupakan suatu yang dirancang dan tidak dirancang (hidden
curriculum). Ia adalah pengalaman pembelajaran yang dibekalkan kepada kanak-kanak sesuai
tahap perkembangan mereka. Dalam hal ini, Mastura Badzis (2010) menyarankan pembinaan
Kurikulum Intergratif yang menyepadukan pengetahuan dengan pengalaman, aspek pengetahuan
dan potensi dan pendekatan Barat dan Islam.
Kurikulum PAKK bukan sekadar untuk mendidik kanak-kanak supaya pandai membaca,
menulis dan mengira sahaja. Tapi apa yang lebih penting, ia perlu dibentuk untuk menyuburkan
potensi kanak-kanak dalam semua aspek pertumbuhan diri kanak-kanak ke arah perkembangan
yang menyeluruh dan seimbang. Sehubungan dengan itu, kurikulum Pendidikan Islam bagi
kanak-kanak secara umum bertujuan untuk memantapkan akidah Islam meningkatkan
kecenderungan kepada ilmu, keimanan dan mencapai matlamat pembinaan modal insan.
Pelaksanaan mata pelajaran Pendidikan Islam adalah berdasarkan peruntukan perundangan
yang kuat dan jelas dalam Perlembagaan Malaysia. Perkara 3. (1) dalam Perlembagaan Malaysia
menggariskan bahawa agama Islam ialah agama rasmi bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain
boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Perkara 12. (3)
pula menyatakan tiada sesiapa pun boleh diwajibkan menerima ajaran-ajaran mengenai apa-apa
agama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau sembahyang sesuatu agama yang
lain daripada agamanya sendiri.
Merujuk kepada Akta Pendidikan 1996 pula, Seksyen 50 (1) “Pengajaran Agama Islam”
perlu diajar jika di dalam sesuatu institusi pendidikan terdapat lima orang murid atau lebih yang
menganut agama Islam, maka murid-murid itu hendaklah diberikan pengajaran agama Islam oleh
guru yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri. Seksyen 51(b) tiada murid boleh mengikuti
pengajaran agama selain daripada agama yang dianutinya, kecuali dengan keizinan bertulis ibu
bapanya.
Selaras dengan transformasi dalam pendidikan, Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan
(KSPK) telah dibentuk pada tahun 2010 bagi menggantikan Kurikulum Prasekolah Kebangsaan
(KPK) dengan menggariskan matlamat dan objektif pendidikan yang berkaitan dengan
Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral secara khusus menerusi Tunjang Kerohanian, sikap dan
nilai. Pendidikan Islam dipelajari oleh murid beragama Islam selama dua jam seminggu manakala
Pendidikan Moral dipelajari oleh murid lain selama dua jam seminggu. Pelaksanaan KSPK adalah
ke atas murid-murid prasekolah dalam lingkungan umur empat hingga enam tahun. Di samping
itu, terdapat juga kurikulum Perkembangan Kerohanian yang terkandung dalam Modul
PERMATA yang mengkhususkan kepada kanak-kanak dalam lingkungan umur empat tahun ke
bawah.
Dalam konteks Pendidikan Islam, pendidikan hendaklah berteraskan Al-Quran dan As-
Sunnah yang didasari oleh tauhid dan keesaan Allah SWT. Kegagalan untuk meletakkan Al-
Quran dan As-Sunnah dalam Pendidikan Islam akan menyebabkan kegagalan dalam membentuk
sahsiah muslim yang komited terhadap tuntutan agama . Justeru, Pendidikan Islam menawarkan
pendidikan yang bersepadu dan ia meliputi aspek rohani, emosi, akal dan fizikal dengan
menjadikan rohani sebagai teras pembinaan.
Selain itu, Pendidikan Islam juga merangkumi ilmu naqli dan aqli, ilmu fardu ain dan
kifayah seperti dinyatakan oleh Imam AI-Ghazali. Menurut Abdul Salam Yussof (2003), empat
istilah penting yang sering disebut oleh Imam al-Ghazali (1058-1111) dalam kitab-kitab
penulisan beliau ialah aql (akal), qalb (hati), roh (nyawa) dan nafs (jiwa). Ilmu terbahagi
kepada dua iaitu Ilmu agama dan ilmu intelektual. Kedua-duanya pula boleh diklasifikasi kepada
ilmu terpuji (mahmudah) dan ilmu yang tercela (mazmumah).
Kesemua konsep dan pengisian yang dinyatakan di atas saling berkaitan dan pengakhirannya
adalah sama iaitu kembali kepada Allah sesuai dengan maksud proses ubudiyah kepadaNya dan
mengenali kebesaranNya. Asas pendidikan kanak-kanak dalam kaca mata Islam merujuk kepada
himpunan ayat-ayat Al-Quran seperti Surah al-Baqarah ayat 31 hingga 33 dan Surah Luqman ayat
12 hingga 19.
Standard pembelajaran yang ingin dicapai melalui aktiviti-aktiviti yang berteraskan tunjang
Kerohanian, sikap dan nilai khususnya kurikulum Pendidikan Islam ialah murid dapat
mengetahui asas Rukun Iman, Rukun Islam, Sirah Rasulullah dan melafazkan Dua Kalimah
Syahadah. Pada masa yang sama, murid dapat bersuci, berwuduk dan melakukan pergerakan
solat, mencontohi beberapa akhlak Rasulullah dan melakukan amalan harian mengikut adab.
Murid juga dapat mengenal asas bahasa Al Quran, huruf hijaiyah dan Jawi serta menghafaz
beberapa surah pendek dan doa pilihan.
Manakala bagi kurikulum Pendidikan Moral pula, objektifnya ialah murid boleh
mengamalkan nilai kepercayaan kepada Tuhan, kerajinan, kasih sayang, kejujuran, berdikari,
keberanian, baik hati, berdisiplin, berterima kasih, toleransi, keadilan, menghormati,
bertanggungjawab, kerjasama, hemah tinggi serta kesederhanaan. Merujuk kepada kandungan
kurikulum-kurikulum yang dijelaskan, ternyata pencapaian matlamat dan objektif kurikulum
sejajar dengan hasrat FPK menuntut komitmen yang padu dari para pendidik. Permasalahan
timbul bila mana pendidik tidak jelas mengenai kandungan kurikulum, keperluan pelaksanaannya
dan kurang arif untuk menterjemahkan kurikulum dalam bentuk pengajaran. Banyak kajian telah
dijalankan misalnya kajian-kajian yang dijalankan oleh Ab Halim et.al., (2004; 2005; 2007) yang
membuktikan kegagalan dan permasalahan yang dihadapi oleh pendidik khususnya guru
Pendidikan Islam.
Pendidikan Islam merupakan pendidikan yang falsafah dan tujuan serta teori-teori
dibangunkan untuk melaksanakan praktik pendidikan yang didasari kepada nilai-nilai yang
terkandung dalam Al Quran dan hadis (Thoha, 1996). Manakala menurut Al-Attas (1992) pula,
mendefinisikan pendidikan Islam sebagai usaha yang dilakukan oleh pendidik terhadap murid-
murid untuk pengenalan dan pengakuan tempat-tempat yang benar dari segala sesuatu dari aturan
penciptaan sehingga membimbing mereka ke arah kebaikan. Falsafah Pendidkan Islam
berfokuskan kepada pembentukan individu bagi membolehkannya menjadi insan yang sempurna
dan seimbang dari segi pertambahan ilmu dan pembentukan akhlak dan rohani.
Imam Al-Ghazali (2005) mengemukakan lima aspek utama dalam pendidikan kanak-kanak
di awal perkembangannya iaitu Qudwah (role model), Mulahazah wa mutaba’ah (pemerhatian
dan peniruan), i’tiyad (kelaziman / kebiasaan), Al-thawab wa al iqab (ganjaran dan hukuman),
dan nasihat sebagai penyelesaian. Beliau turut menekankan tentang pentingnya ibu bapa dan guru
menjadi role model atau ikutan yang baik kerana sikap atau tingkah laku yang ditunjukkan oleh
ibu bapa sebenarnya adalah kurikulum dalam pendidikan seorang kanak-kanak. Bersesuaian
dengan sifat semulajadi kanak-kanak yang suka meniru perilaku atau apa sahaja yang ada di
hadapannya, maka kanak-kanak belajar melalui pemerhatian yang jika dibiarkan ia akan menjadi
kebiasaan atau I’tiyad dan sukarlah untuk dibentuk. Dalam menangani masalah ini, ibu bapa atau
pendidik diberi pilihan antara memberi pengukuhan dan ganjaran yang baik atau hukuman. Jalan
yang terbaik adalah dengan memberi nasihat yang dapat mendidik jiwa dengan jiwa atau ‘alhal
bilhal’, seperti yang tertera dalam kitab karangannya Ayyuha al-walad.
Perkara yang sama diutarakan oleh Wan Nurulhuda (2011) yang berpendapat pendidikan
agak berbeza dengan pengajaran. Pengajaran adalah suatu konsep menyampaikan ilmu
pengetahuan kepada orang yang mendengar, seperti seorang guru yang mengajar di bilik darjah.
Ia berbeza dengan pendidikan kerana pendidikan adalah proses didikan yang datang dari hati dan
disampaikan juga melalui hati agar lekat di hati orang yang mendengarnya.
Pendidikan Islam amat penting diterapkan kepada kanak-kanak seawal usia kerana pada
peringkat ini, kanak-kanak tidak dapat membezakan perkara yang baik dan yang buruk. Oleh itu,
Islam menekankan pembentukan sahsiah seseorang kanak-kanak bukan sahaja dari segi kelakuan
fizikalnya malah pemantapan akhlak perlu diterapkan seiring dengan penerapan keimanan di
dalam ruh dan jiwanya. Justeru, pendidikan adalah penting bagi membentuk kehidupan seseorang
yang bermula dari peringkat awal kanak-kanak lagi.
Walau pun semua pihak sedia maklum tentang kepentingan Pendidikan Islam dalam PAKK
namun, permasalahan besar yang timbul dalam kalangan pendidik ialah kekurangan modul yang
boleh dijadikan panduan untuk menyampaikan isi kurikulum dalam bentuk pengajaran secara
efektif. Modul pendidikan yang sesuai sangat diperlukan bagi merealisasikan matlamat FPK yang
menjadi hasrat negara sekali gus menjadi harapan para pendidik dan ibu bapa.
Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK), KPM telah menerbitkan Siri Panduan Guru
Prasekolah sebagai panduan kurikulum yang dinamakan sebagai Modul Pendidikan Islam sebaik
sahaja KSPK diperkenalkan pada tahun 2010. Namun, kandungan modul tersebut lebih menjurus
kepada pencapaian Standard Pembelajaran yang digariskan dalam KSPK yang mensasarkan
kanak-kanak yang berusia lima dan enam tahun.. Ia tidak mengkhususkan kepada asas pendidikan
akhlak yang seharusnya diterapkan dalam diri kanak-kanak seawal usia.
9.0 KEPENTINGAN MODUL DALAM PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK
Tidak dinafikan, terdapat modul yang dikenali sebagai Modul PERMATA yang digubal
untuk program PERMATA telah diaplikasikan mulai tahun 2010. Kandungan modul memberi
tumpuan kepada kanak-kanak seawal usia (sejak lahir hingga empat tahun). Sebagai contoh
Modul PERMATA 0-6 bulan memberi tumpuan kepada komponen lain seperti Komponen
Perkembangan Bahasa, Komunikasi Dan Literasi Awal, Pengamatan Deria Dan Pemahaman
Dunia Persekitaran, Perkembangan Fizikal Dan Koordinasi Motor berbanding komponen
Pembinaan Sosio Emosi, Sahsiah Dan Kerohanian.
Modul PERMATA 1-2 tahun pula mengandungi lima fokus perkembangan termasuk
Pembinaan Sahsiah namun aspek Kerohanian (bagi kanak-kanak Islam) hanya diselitkan dalam
aktiviti-aktiviti yang dijalankan berdasarkan tema-tema tertentu. Di samping itu, modul tambahan
disediakan pada bahagian akhir setiap modul. Ini membuktikan kurangnya penekanan diberikan
kepada aspek pembinaan sahsiah dan perkembangan kerohanian kanak-kanak.
Pelaksanaan kandungan kedua-dua modul yang dibincangkan juga didapati tidak menjurus
kepada sebarang pendekatan khusus yang memudahkan pendidik menterjemahkannya dalam
bentuk pengajaran. Aktivitiaktiviti seperti berzikir, berselawat dan bersyukur yang disarankan
juga lebih merupakan aktiviti yang boleh dijadikan sebagai rutin. Pembinaan kedua-dua modul
tersebut juga tidak merujuk kepada mana-mana ayat atau surah yang terkandung dalam Al-
Qur’an. Malah, isi kandungan modul–modul tersebut juga tidak melalui proses penyelidikan
seperti pembinaan dan pengujian modul iaitu proses kesahan dan kebolehpercayaan. Sehingga
kini, belum ada sebarang kajian dijalankan bagi melihat keberkesanan pelaksanaan atau kesan
penggunaan kedua-dua modul tersebut walau pun telah hampir empat tahun diaplikasikan dalam
program pendidikan awal kanak-kanak.
Berdasarkan tinjauan literatur yang dijalankan, pengkaji mendapati Surah Luqman ada
dirujuk dan mendasari beberapa kajian seperti kajian bertajuk Pendidikan Keibubapaan
Berdasarkan Surah Luqman yang dijalankan oleh Rusnaaini, Suhanim dan Syahrul Faizaz (2004).
Kajian seumpamanya juga dijalankan oleh Fauziah Hanim, Nazariah dan Ibrahim (2010) yang
bertajuk Pembangunan Modul Keibubapaan Berkonsepkan Pendidikan Al-Luqman : Kajian
Dalam Kalangan Keluarga Muslim dan kajian oleh Wan Nurulhuda (2011) yang bertajuk
Metodologi Pendidikan Anak Menurut Surah Luqman. Pengkaji mendapati ketiga-tiga kajian
tersebut lebih berfokus kepada aspek keibubapaan dan kaedah pendidikan yang wajar
dilaksanakan oleh ibu bapa bukannya oleh pendidik.
Modul lain yang boleh dikaitkan dengan Surah Luqman juga telah dihasilkan oleh
sekumpulan penyelidik dari Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) yang
diketuai oleh Riduan Khairi yang bertajuk Modul Menjadi Guru Cemerlang Berdasarkan Surah
Luqman sekitar tahun 2006. Modul tersebut diaplikasikan dalam bentuk ceramah kepada
kalangan pendidik di sekolah-sekolah seluruh Malaysia. Walau pun modul tersebut digunakan
dalam bidang pendidikan dan keguruan namun, ia tetap tidak berfokus sebagai panduan untuk
guru sebaliknya sebagai panduan kepada penceramah. Modul tersebut juga disasarkan kepada
guru sekolah rendah bukan pendidik awal kanak-kanak (prasekolah dan taska).
Sebagai kesimpulannya pengkaji dapat merumuskan bahawa belum terdapat satu pun modul
yang dibina dengan merujuk Surah Luqman dan memberi tumpuan khusus kepada pendidikan
akhlak dan tingkah laku kanak-kanak. Kajian-kajian terdahulu dan modul sedia ada lebih
menjurus kepada usaha untuk menangani pemasalahan keruntukan akhlak dalam kalangan remaja
dengan menggunakan pendekatan kaunseling atau keibubapaan. Sebaiknya pendidikan awal
kanak-kanak diberi keutamaan kerana ia merupakan asas kepada peringkat pendidikan seterusnya.
10.0 KEPENTINGAN PENDIDIKAN AKHLAK DALAM PENDIDIKAN AWAL KANAK-
KANAK
Pendidikan akhlak dan tingkah laku kanak-kanak pada peringkat awal perlu dititikberatkan
agar dapat menjamin pembentukan sahsiah diri yang unggul seterusnya memperkasakan dan
memartabatkan agama Islam. Pendidikan yang berlandaskan syariat Islam bukan sekadar
menguasai bidang teknikal dan akademik semata-mata malah ianya lebih ke arah pemupukan
nilai dan pembentukan akhlak. Terdapat kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa kesilapan
mendidik anak-anak pada peringkat awal akan menyebabkan berlakunya kecelaruan nilai dan
kerosakan akhlak pada peringkat seterusnya.
Islam juga telah menggariskan panduan yang jelas mengenai proses pendidikan akhlak
kanak-kanak. Tingkah laku kanak-kanak yang baik dilihat perlu seiring dengan kemajuan negara.
Proses pentarbiyahan kanak-kanak seharusnya dimulai dari awal kelahiran hinggalah mereka
meningkat dewasa. Justeru, penelitian yang khusus terhadap kaedah atau metodologi pendidikan
kanak-kanak yang diperkenalkan oleh Allah SWT menerusi Surah Luqman sewajarnya diberikan
perhatian agar kaedah ini dapat diaplikasikan di dalam pendidikan anak-anak pada masa kini
(Wan Nurulhuda Wan Jusoh, 2011).
11.0 RUMUSAN
Sebagai kesimpulan, kertas konsep ini akan menghuraikan permasalahan yang dihadapi oleh
golongan pendidik khususnya dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Bagi mencapai
matlamat melahirkan insan seimbang dan harmoni, bukanlah perkara yang mudah. Pembanguan
modal insan memerlukan strategi yang holistik. Pembangunan yang menyeluruh ini amat penting
kerana jenis cabaran pada hari ini dan pada masa depan bukan sahaja bersifat intelektual dan
saintifik tetapi cabaran yang menunggu juga bersifat emosi dan psike (Sidek Baba, 2011).
Justeru, pencapaian matlamat yang termaktub dalam FPK jelas menuntut suatu pendekatan yang
lebih efektif melalui pengintegrasian kurikulum yang mantap pada peringkat yang paling asas.
Senario transformasi yang berlaku dalam sistem pendidikan menjelang tahun 2020 ini dilihat
semakin penting dan mencabar. Transformasi yang berlaku sudah pasti menuntut pendidikan
yang mantap dan berinovatif. Modul Pendidikan Akhlak berdasarkan Surah Luqman dilihat
sebagai satu mekanisme baru yang inovatif untuk disesuaikan kepada para pendidik dalam
pendidikan awal kanak-kanak. Oleh yang demikian, sudah sampai masanya para pendidik awal
kanak-kanak mengaplikasikan panduan pengajaran yang lebih efektif seperti yang dicadangkan
dalam kertas konsep ini. Maka dengan itu, diharapkan hasrat dan matlamat pendidikan khususnya
dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak akan terlaksana.
RUJUKAN
Abdullah Nashih Ulwan (1996). Pedoman Pendidikan Anak-anak Dalam Islam.Jilid1-2. Terjemahan
Saifullah Kamalie dan Hery Neor Ali. Kuala Lumpur: Victory Agencie.
Abdullah Nashih Ulwan (2005). Pendidikan Anak-anak dalam Islam (Jilid1). (terjemahan Syed Ahmad
Semait). Singapura: Pustaka Nasional Pte. Ltd.
Abdul Rashid Ahmad (2003). Surah Luqman: Mendidik Anak Cemerlang. Kuala Lumpur: Utusan
Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Abdul Rosyad Siddiq (2010). Ringkasan Ihya’ Ulumiddin. Selangor: Berlian Publications Sdn. Bhd.
Ab Halim Tamuri & Zarin Ismail. (2002). Pendidikan akhlak dalam KBSM: Persepsi pelajar terhadap
konsep akhlak. Prosiding Wacana Pendidikan Islam Siri 1. Universiti Kebangsaan Malaysia, 16 Julai
2002.
Ab. Halim Tamuri (2005) Hala tuju dan cabaran Pendidikan Islam dalam era globalisasi. Kertas kerja
dibentangkan dalam Seminar Pendidikan dan Penghayatan Islam, Anjuran Persatuan Program
Pendidikan Islam dan TITAS, UPSI, Tanjung Malim pada 1 Mac 2005.
Al-Attas, Syed Muhammad Naquib (1978). Islam And Secularisme. Kuala Lumpur: Muslim Youth
Movement Of Malaysia (ABIM).
Imam Al-Ghazali (2006). Mukhtasar Ihya’Ulumiddin. (terjemahan Ibnu Yasin). Johor Baharu: Perniagaan
Jahabersa.
Imam Al-Ghazali ( 2007). Bimbingan Mu’minin: pada mencari redha rabbil-‘alamin. (terjemahan Syed
Ahmad Semait). Singapura: Pustaka Nasional Pte.Ltd.
Jas Laile Suzana Jaafar (2008). Pengenalan Psikologi Kanak-kanak dan Remaja. Shah Alam: Arah
Pendidikan Sdn. Bhd.
Kementerian Pendidikan Malaysia (2010). Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan. Kuala Lumpur:
Bahagian Perkembangan Kurikulum. .
Mastura Badzis (2010). Pendidikan Anak-anak di Peringkat Awal Umur Berasaskan Binaan Kurikulum
yang Integratif. Universiti Pendidikan Sultan Idris. Dimuat turun pada 15 Mac 2010 daripada
http://www.mindamadani.my
Morrison. G.S. (2011). Early Childhood Education Today. (12th Internation Edition).Pearson Prentice Hall.
Novie Adilah Sondig (2010). Konsep Kesediaan Kurikulum Pendidikan Awal Kanak-Kanak Terhadap
Perkembangan Kognitif , Psikomotor dan Afektif Kanak-Kanak. Tesis Sarjana Seni dan Muzik ( tidak
diterbitkan) .Universiti Pendidikan
Rohani Abdullah (2001). Penilaian Perkembangan Kanak-kanak: Secara Portfolio. Serdang: Universiti
Putra Malaysia.
Rubin, K.H. & Watson, K. S.(1978). Free play behaviors in preschool and kindergarten children. Society
for research in Child Development ,49, 534- 536.
Shahabuddin Hashim dan Nazrul Hassan (2011). Al Quran sebagai sumber ilmu dan implikasinya dalam
pendidikan awal kanak-kanak. Prosiding Seminar Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pendidikan
Khas. Universiti Sains Malaysia.
Sidek Baba. (2011). Tajdid Ilmu dan Pendidikan. Kuala Lumpur: Techknowlogic Trading Sdn. Bhd.
Wan Nurulhuda Wan Jusoh (2011).Metodologi Pendidikan Anak Menurut Surah Luqman. Tesis Ijazah
Sarjana Muda Sains serta Pendidikan. Universiti Teknologi Malaysia. Skudai.(Tidak diterbitkan)
Zaharah Hussin. (2008). Pembinaan kandungan kurikulum pendidikan akhlak untuk Latihan Perguruan
Pendidikan Islam. Tesis Dr. Falsafah. Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi (Tidak diterbitkan).
Article
تناول الباحث التعددية والسلم الاجتماعي وموقعها في النظام السياسي في ماليزيا، وسلط الضوء على مبدأ الاحترام والتسامح الذي يسود المجتمع الماليزي. فالتعدد القومي فيها لم يكن مصدراً للصراع، بل على العكس، فإن تنوع دولـة ماليزيـا العرقي كان أكثر ميلاً نحو السلام، فعلى الرغم من التباينات الإثنية في الدولة إلا أنه استطاع من نقل ماليزيا إلى آفاق دولة حديثة قادرة على تحقيق معدلات عالية من النمو ديمقراطيا، ويهدف البحث إلى استجلاء مكامن القوة من خلال التعددية الموجودة في ماليزيا، كما يهدف البحث إلى إبراز دور التعددية في التعايش السلمي في المجتمع الماليزي، وقد استخدم الباحث المنهج التاريخي للوقوف على بداية فكرة التعددية وكيف تم توظيفها من أجل إذكاء الصراع في المجتمع الماليزي، وخلص الباحث إلى أن تبني مفهوم التعددية في ماليزيا عزز دورها في النظام السياسي مما انعكس على التعايش السلمي في المجتمع الماليزي.كما خلص البحث إلى أن قضية التعددية ظاهرة طبيعية لها جوانب إيجابية بغية نشر السلام بين البشر، وأنه لا يخلو منها مجتمع من المجتمعات.
Article
The present study concerned age differences in the social and cognitive play of children. It was revealed that kindergarten children displayed less unoccupied, onlooker, solitary, and functional activity and more group and dramatic play than preschoolers. Examination of the combined Parten-Smilansky Play Scale revealed preschoolers to engage in significantly more solitary-functional and parallel-functional play and in less parallel-constructive, parallel-dramatic, and group dramatic play than their kindergarten counterparts.
Islam And Secularisme. Kuala Lumpur: Muslim Youth Movement Of Malaysia (ABIM)
  • Al-Attas
  • Muhammad Syed
  • Naquib
Al-Attas, Syed Muhammad Naquib (1978). Islam And Secularisme. Kuala Lumpur: Muslim Youth Movement Of Malaysia (ABIM).
Al Quran sebagai sumber ilmu dan implikasinya dalam pendidikan awal kanak-kanak. Prosiding Seminar Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pendidikan Khas
  • Shahabuddin Hashim Dan Nazrul Hassan
Shahabuddin Hashim dan Nazrul Hassan (2011). Al Quran sebagai sumber ilmu dan implikasinya dalam pendidikan awal kanak-kanak. Prosiding Seminar Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pendidikan Khas. Universiti Sains Malaysia.
Pedoman Pendidikan Anak-anak Dalam Islam.Jilid1-2. Terjemahan Saifullah Kamalie dan Hery Neor Ali
  • Abdullah Nashih Ulwan
Abdullah Nashih Ulwan (1996). Pedoman Pendidikan Anak-anak Dalam Islam.Jilid1-2. Terjemahan Saifullah Kamalie dan Hery Neor Ali. Kuala Lumpur: Victory Agencie.
Surah Luqman: Mendidik Anak Cemerlang
  • Abdul Rashid
Abdul Rashid Ahmad (2003). Surah Luqman: Mendidik Anak Cemerlang. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Konsep Kesediaan Kurikulum Pendidikan Awal Kanak-Kanak Terhadap Perkembangan KognitifUniversiti Pendidikan
  • Novie Adilah Sondig
Novie Adilah Sondig (2010). Konsep Kesediaan Kurikulum Pendidikan Awal Kanak-Kanak Terhadap Perkembangan Kognitif, Psikomotor dan Afektif Kanak-Kanak. Tesis Sarjana Seni dan Muzik ( tidak diterbitkan).Universiti Pendidikan
Penilaian Perkembangan Kanak-kanak: Secara Portfolio
  • Rohani Abdullah
Rohani Abdullah (2001). Penilaian Perkembangan Kanak-kanak: Secara Portfolio. Serdang: Universiti Putra Malaysia.
Pendidikan Anak-anak dalam Islam (Jilid1). (terjemahan Syed Ahmad Semait)
  • Abdullah Nashih Ulwan
Abdullah Nashih Ulwan (2005). Pendidikan Anak-anak dalam Islam (Jilid1). (terjemahan Syed Ahmad Semait). Singapura: Pustaka Nasional Pte. Ltd.
Pengenalan Psikologi Kanak-kanak dan Remaja. Shah Alam: Arah Pendidikan Sdn
  • Jas Laile
  • Suzana Jaafar
Jas Laile Suzana Jaafar (2008). Pengenalan Psikologi Kanak-kanak dan Remaja. Shah Alam: Arah Pendidikan Sdn. Bhd.
Ringkasan Ihya' Ulumiddin
  • Abdul Rosyad Siddiq
Abdul Rosyad Siddiq (2010). Ringkasan Ihya' Ulumiddin. Selangor: Berlian Publications Sdn. Bhd.