Content uploaded by Razaleigh Muhamat Kawangit
Author content
All content in this area was uploaded by Razaleigh Muhamat Kawangit on May 06, 2016
Content may be subject to copyright.
1
KEPERLUAN BIMBINGAN KEPADA GOLONGAN MUALLAF DI MALAYSIA
Oleh
Razaleigh Muhamat @ Kawangit
Abstrak
Muallaf di Malaysia terdiri daripada berbagai latarbelakang etnik, budaya, nilai, keturunan dan agama
asal. Apabila mereka memeluk Islam, kepelbagaian ini perlu disatukan atas nama bimbingan Islam yang
satu. Bimbingan Islam bermula dari pengenalan Islam, penghayatan Islam dan akhlak Islam perlu
diterapkan kepada semua golongan Muallaf untuk memandu mereka kearah pelaksanaan Islam sejati
dalam hidup mereka. Kertas kerja ini menjustifikasikan keperluan bimbingan Islam kepada golongan ini
dan bagaimana kaedah bimbingan yang betul akan menyebabkan mereka perpegang dengan ajaran
Islam yang betul. Dapatan kertas kerja ini menunjukkan bahawa, walaupun golongan Muallaf ini berasal
dari berbagai latarbelakang, di dalam Islam mereka harus dibimbing dengan satu ajaran sahaja, iaitu
Islam
Katakunci: Bimbingan Islam, Muallaf, Malaysia, Penghayatan Islam, Akhlak Islam
PENDAHULUAN
Islam merupakan agama yang menyuruh kearah perpaduan dan persaudaraan. Tanpa
persaudaraan dalam Islam ia tidak mampu untuk menyempurnakan sebahagian hak-hak
saudaranya. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:
“Tidak dikira beriman salah satu daripada kamu sehingga ia mencintai saudaranya sebagaimana
dia mencintai diri sendiri.”(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Demikianlah, Manusia itu terbahagi kepada berbagai-bagai-bagai bangsa , puak dan
keluarga. Hakikat ini tidak dinafikan dalam Islam, bahkan Islam sedia mengiktiraf mereka ini.
Bagaimanapun Islam mengajarkan bahawa kepelbagaian itu berasal daripada keturunan yang
satu iaitu Nabi Adam. Kelahiran manusia daripada bangsa yang berbeza dan keturunan yang
berlainan adalah untuk menciptakan dasar saling kenal mengenal dan tolong-menolong antara
satu sama lain sebagaimana dalam firman Allah surah al-Hujurat ayat 13: “Wahai umat manusia!
Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah
menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan
beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah
ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya).
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan
dan amalan kamu)”.
Tambahan lagi, Ayat ini juga berkait tentang taqwa iaitu semulia-mulia kamu di sisi Allah
ialah orang yang bertaqwa. Justeru, Islam telah menggariskan bahawa setiap individu yang
mengucapkan dua kalimah syahadah sama ada dia berlainan bangsa atau keturunan, berhak
mendapat kedudukan yang sama seperti bangsa lain yang menganut agama Islam. Tegasnya,
Islam sangat mengambil berat akan persaudaraan dalam Islam melalui konsep perpaduan supaya
dapat wujudkan bagi mengelakkan perpecahan.
Oleh itu, sebagai orang Islam kita seharusnya menunaikan tanggungjawab sosial kita
terhadap golongan Muallaf. Mereka mempunyai hak ke atas kita dan kita wajib menunaikannya
2
sebagai hak Muslim kepada Muslim yang lain. Oleh itu, kita dituntut untuk memberikan
bimbingan ,tunjuk ajar dan memberi kefahaman kepada mereka terhadap Islam. Sebagai orang
Islam kita dituntut juga kepada saudara baru kita agar diberikan bimbingan tentang perkara yang
menyentuh persoalan akidah dan syariat. Tidak lupa juga soal kebajikan dan khidmat nasihat atau
kaunseling. Ini bertujuan , bagi mengelak salah faham yang mendakwa bahawa Islam itu
membebankan dan menyusahkan dan sebagai cara untuk menjinakkan hati mereka yang masih
lemah.
Seterusnya kami akan membincangkan dengan lebih terperinci soal keperluan yang perlu
diberi perhatian kepada saudara baru kita dan membincangkan sedikit akan pertubuhan atau
persatuan yang telah bergiat aktif dalam memberi sumbangan dan bantuan kepada golongan
Muallaf ini khususnya di Malaysia.
KONSEP PERSAUDARAAN DALAM ISLAM
Sebelum kita berbincang tentang keperluan atau hak yang perlu diberikan kepada golongan
Muallaf atau saudara baru. Di sini kami ingin menjelaskan terlebih dahulu konsep persaudaraan
dalam Islam supaya lebih jelas dengan prinsip Islam itu sendiri terhadap golongan Muallaf atau
saudara baru kita.
Islam ialah suatu agama dalam erti suatu dasar hidup manusia yang menjadi petunjuk
kepada kehidupan manusia dan segala urusan kehidupannya. Ia meliputi bidang peribadatan yang
khusus dan bidang kehidupan sosial manusia sebagai seorang anggota masyarakat dunia. Dasar
hidup dan petunjuk itu adalah merupakan wahyu Allah yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w
dan membawa dua fungsi yang amat penting iaitu :
i) Mewujudkan pelaksanaan yang sebenar mengenai hubungan manusia dengan
Pencipta-Nya.
ii) Mewujudkan pelaksanaan yang sebenar mengenai hubungan antara manusia
sesama manusia. Semuanya ini jelas seperti yang dinyatakan Allah :
“Ditimpakan kehinaan (hilang kekuasaan) ke atas mereka di mana pun mereka
berada, selain daripada mereka yang menjaga hubungan dengan Allah dan hubungan
manusia sesame manusia.” ( Ali Imran ayat 112)
Islam sebagai suatu agama dalam erti (ad din) yang meliputi keseluruhan dasar hidup
dengan jelas memberi petunjuk kepada manusia mengenai hakikat hubungan manusia dengan
Khaliqnya (Penciptanya) dalam bentuk sistem ibadat yang lengkap yang wajib dilaksanakan oleh
setiap Muslim.
Sistem ibadat dalam Islam, membawa sistem nilainya yang tersendiri, iaitu nilai pahala.
Dalam peribadatan yang khusus ini yang menjadi matlamat utamanya ialah keselamatan dan
kesejahteraan (salam) di akhirat. Sebab menurut Islam, kehidupan manusia di ala mini bukanlah
merupakan matlamat terakhir kerana dunia tidak dianggap sebagai suatu yang merupakan Alfa
dan Omega, (yang awal dan yang akhir), tetapi kehidupan itu sendiri adalah hanya merupakan
suatu amanah dari Allah yang menciptanya dan kerana-Nya manusia bertanggungjawab terhadap
3
amanah itu. Dengan menyedari hakikat ini, maka menjadi tanggungjawab setiap Muslim untuk
berusaha bagi merealisasikan amanah dan perintah Allah berhubung dengan atur cara dan
tatacara kehidupan manusia Muslim di dunia ini. Demikian sebenarnya pelaksanaan tauhid
dalam hidup. (Faisal Othman; 1994)
Merujuk kepada Ramli Awang 2003: persaudaraan daripada perkataan saudara
membawa makna orang yang sama ayah dan ibunya , orang yang mempunyai hubungan
kekeluargaan, kawan, sahabat atau teman. Persaudaraan : bersaudara perhubungan seperti
saudara pertalian yang rapat sekali (seolah-olah saudara). Namun Hakikatnya persaudaraan tidak
akan berlaku tanpa wujudnya keimanan yang mendalam kepada Allah kerana persaudaraan itu
perlu di asaskan oleh keimanan. Di sinilah bebezanya antara Islam dengan ajaran bukan Islam
dalam soal membentuk persaudaraan. Justeru ini dapat dilihat bahawa sudara baru atau Muallaf
adalah saudara Islam kita kerana keimanannya kepada Allah. Maka tanggungjawab kita untuk
menunaikan hak-hak atau keperluan mereka sebagai saudara Muallaf.
Seterusnya Ramli Awang 2003 menjelaskan bahawa Persaudaraan dalam Islam adalah
suatu perasaan kerohanian yang lahir dari cetusan jalinan jiwa antara seorang Mukmin dengan
saudara mukmin yang lain. Perasaan ini lahir dari bentuk kenyataan (tindakan) yang hidup
berteraskan kepada akidah Islamiah yang sejahtera dan benar. Persaudaraan ini dimeterai dan
disulami oleh jalinan rasa kasih sayang muncul dari kejernihan jiwa yang menganut akidah Islam
yang teguh. Dan seterusnya memancarkan tanggapan ikhlas terhadap saudara seakidah
dengannya.
Ringkasnya, persaudaraan Islam itu ialah saudara seiman atau saudara seakidah kepada
Allah yang Maha Esa , saudara seabdi kepada Allah yang Maha Sempurna saudara sehidup
semati kerana mempertahankan agama Allah serta mengikut perintahnya dan saudara sebumbung
dalam perintah Allah yang Maha Perkasa. Tegasnya, ikatan persaudaraan itu ialah ikatan
keimanan bukan ikatan keturunan darah atau kerabat, perkauman , kesukuan atau puak, bukan
juga kepentingan kebendaan dan keluarga sebagaimana peristiwa Nabi Nuh dengan anaknya
yang ingkar dan kisah sahabat baginda Mus’ab bin ‘Umayr dengan saudara kandungnya.
Persaudaraan umum menurut Islam
Menurut Ramli Awang , 2003 , Dalam ajaran Islam , sesiapa yang mengucapkan dua kalimah
syahadat , maka mereka dianggap bersaudara. Tegasnya Muslim-Mukmin yang benar , kurang
benar, lalai, melakukan maksiat, yang beriltizam dengan hukum Islam ataupun tidak , semua itu
tetap ada hubungan persaudaraan antara mereka selama mana masih ada buah keimanan dengan
Allah di dalam hatinya atau dengan kata-kata yang lain selama mana ia tidak menjadi murtad
atau keluar dari Islam. Justeru, keimanan itu tanda persaudaraan sesama Muslim yang lain.
Teras Persaudaraan dalam Islam
Menurut Mahmud Mohamad Babeli 2002: Persaudaraan sejati tidak akan terlaksana tanpa
dipenuhi syarat-syaratnya. Syarat-syarat ini hendak dijaga dan dipelihara agar persaudaraan yang
terjalin itu mendapat keredaan daripada Allah. Syarat-syarat ini juga telah disusun oleh Abdul
Aziz Ismail 1995 dan ada juga disebut oleh Ramli Awang 2003.
4
Persaudaraan dalam Islam sangat berkait rapat dengan hubungan sesama manusia itu
sendiri. Menurut Abdul Aziz Ismail 1995 , Dalam mewujudkan persaudaraan Islam harus
dipenuhi beberapa syarat sebagai teras persaudaraan iaitu pertama, persaudaraan kerana Allah.
Persaudaraan dapat diwujudkan dengan baik sekiranya persaudaraan itu semata-mata mencapai
reda Allah dan ikhlas semata-mata kerana Allah tanpa cenderung kepada kebendaan dan
keduniaan, sebagaimana Rasulullah S.A.W bersabda: “Seseorang yang mengunjungi saudaranya
di desa lain, Maka Allah mengutuskan malaikat untuk mengikutinya. Ketika Malaikat
menemuinya, ia berkata, hendak pergi ke mana? Ia menjawab; aku ingin menyambung
silaturrahim dengan saudaraku di kampung ini. Malaikat terus bertanya, Apakah kamu akan
memberi sesuatu kepada saudaramu? Dia menjawab: Tidak, Melainkan aku mencintai dia kerana
Allah semata-mata. Malaikat berkata: Sesungguhnya aku utusan Allah kepadamu,
mengkhabarkan bahawa Allah mencintaimu sebagaimana kamu mencintai saudaramu kerana
Allah” (Hadis Riwayat Muslim)
Justeru, kita dapat lihat akan kepentingan mencintai saudara kita biarlah semata-mata
kerana Allah. Begitu juga kepada golongan Muallaf, mereka juga sebahagian daripada saudara
kita yang perlu kita cintai semata-mata kerana Allah.
Kedua ialah iman dan takwa. Setiap Muslim dikira bersaudara sekiranya memiliki iman
dan takwa. Sebagaimana firman Allah surah al-Hujurat ayat 10:
“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua
saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh
rahmat”.
Apabila persaudaraan Islam itu dilaksanakan berlandaskan iman dan taqwa , maka
hubungan yang terjalin akan menjadi lebih kukuh dan kuat dalam bersatu menegakkan Islam.
Ketiga iaitu mesti bertanggungjawab terhadap manhaj Islam. Mematuhi segala hukum-
hukum Allah. Persaudaraan yang dibina tanpa mengikut syariat atau garis panduan yang
ditetapkan Islam ia tetap salah dan tidak diterima oleh Allah.
Keempat iaitu nasihat kerana Allah. Persaudaraan yang sebenar ialah tatkala ia sentiasa
berfikir untuk umat Islam yang lain atau mengambil berat akan hak-hak saudaranya. Sekiranya
umat Islam mengambil berat akan keadaan umat Islam dengan sentiasa memberi bimbingan atau
nasihat, Maka, akan terlaksanalah amar makruf nahi mungkar iaitu mengajak kepada kebaikan ,
mencegah kemungkaran.
Dan terakhir iaitu kelima ialah setia memberi pertolongan. Persaudaraan Islam itu ialah
yang benar-benar kasih akan saudaranya akan sentiasa memberi pertolongan ketika susah dan
bersama-sama ketika senang dan sentiasa merasai kenikmatan ukhuwah sesama umat Islam.
Tambahan lagi, saling bantu-membantu ini sebagai tanda kasih sayang sesama manusia.
Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 2 iaitu: “…Dan hendaklah kamu tolong-
menolong dalam membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu tolong-menolong
untuk melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. dan bertaqwalah kepada Allah, kerana
Sesungguhnya Allah Maha berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa Yang melanggar perintah-Nya)”.
5
Ini jelas, membuktikan bahawa, persaudaraan itu dibina atas saling tolong-menolong
untuk kebaikan dan melahirkan rasa takwa kepada Allah Taala. Justeru, umat Islam sekarang
perlu sedar dalam memberi sumbangan kepada saudara baru dan mengetahui peranan masing-
masing dalam membentuk persaudaraan yang telah digariskan oleh Islam. Sekiranya umat Islam
sedar akan kepentingan persaudaraan dalam Islam, maka tidak sukar bagi masyarakat Islam
untuk berperanan bersama dengan pertubuhan bukan kerajaan atau kerajaan dalam membantu
saudara baru kita yang telah memasuki Islam atau digelar juga sebagai Muallaf.
Tanggungjawab Persaudaraan
Berikut ialah garis panduan yang telah disusun oleh Ramli Awang , 2003 .Tali persaudaraan tidak
akan wujud tanpa dilaksanakan beberapa tanggungjawab terhadap hubungan tersebut. Antara
perkara praktikal yang dapat memperkukuhkan hubungan persaudaraan sesama insan khususnya
tanggungjawab umat Islam kepada saudara baru atau Muallaf ialah:
1) Hendaklah dimaklumkan bahawa ia mengasihi saudaranya seperti mana ia mengasihi dirinya
sendiri. Perkara ini lahir dari tuntutan iman kerana ajaran Islam mengajar umatnya mencintai
saudaranya sebagaimana ia mencintai diri sendiri. Sebagaimana kita memenuhi keperluan
diri sendiri, kita juga dituntut untuk memenuhi keperluan saudara baru atau Muallaf yang
kekurangan.
2) Hendaklah sentiasa mendoakan untuk kebaikan saudaranya walaupun berjauhan. Ini kerana
doa merupakan senjata bagi orang Islam, semoga dengan talian doa ini, mencetuskan rasa
kasih sayang dan mengambil berat sesama saudara baru atau Muallaf.
3) Berjabat tangan atau bersalaman apabila bertemu dengan saudara-saudaranya. Ini merupakan
faktor penting ,kerana di dalam Islam tidak memberatkan Muallaf dengan keluarganya masih
kekal dan masih boleh berhubung selagi tidak menyuruh yang bertentangan dengan agama.
4) Saling ziarah-menziarahi antara satu sama lain dari semasa ke semasa kerana Allah.Ini
merupakan jalan terbaik bagi mengambil hati saudara baru yang masih perlu dijinakkan
hatinya supaya ia tidak kembali kepada agama asalanya. Namun, kita dapat lihat pada zaman
kini, masyarakat kurang prihatin dengan masyarakat di sekelilingnya, sedangkan ia sangat
dituntut oleh agama agar memenuhi tanggungjawab Muslim itu dengan sentiasa kunjung-
mengunjungi sahabat-sahabat dan jiran-jiran bagi mengeratkan hubungan silaturahim.
5) Hendaklah mengucapkan tahniah kepada saudaranya pada waktu yang sesuai dengan ucapan-
ucapan yang boleh menggembirakan saudaranya. Ini juga perkara yang perlu dilakukan
kerana ia menzahirkan rasa kasih sayang dan mengambil berat serta meraikannya dalam
setiap yang dilakukan oleh saudara baru atau Muallaf sebagai tanda penghargaan kerana
telah dipilih oleh Allah untuk memasuki agama Islam yang diredai oleh Allah.
6) Hendaklah saling memberi hadiah atau buah tangan.Ini bertujuan bagi memupuk semangat
persaudaraan dan berkesinambungan dengan ucapan tahniah atau rasa syukur dengan
dibuktikan melalui pemberian kepada saudara baru kita agar terjalin hubungan lebih rapat
supaya saudara baru kita rasa dihargai. Iaitu pemberian yang boleh mencukupkan keperluan
dan menambahkan kegembiraan saudara baru.
7) Hendaklah memberi keutamaan dalam menunaikan hajat saudaranya.Ini merupakan peranan
Muslim bagi meraikan tanggungjawab kepada golongan Muallaf dengan mendahulukan
6
keperluan-keperluan agar saudara baru dapat melihat keindahan akhlak yang diajar oleh
Islam kepada umatnya sebagai satu tanggapan positif sudara baru kepada umat Islam.
8) Hendaklah menunaikan hak-hak persaudaraan secara sempurna. Antara hak-hak
persaudaraan yang digariskan oleh Islam ialah: memberi salam ketika bertemu dan menjawab
salam, melawat pesakit dan mengiringi jenazah, menerima undangan, mendoakan , menolong
orang yang bersumpah dengan membayar kifarat, menolong orang yang teraniaya,
mengambil berat terhadap nasihat saudaranya, melapangkan saudara terhadap kesusahan
yang menimpanya, meringankan beban, tidak mengambil tahu keaiban orang lain , serta
menjauhi dari menyakiti dan saudaranya seperti menghina, mengelar dengan gelaran yang
tidak disukai dan sebagainya. Ini merupakan hak-hak yang dipertanggungjawabkan Muslim
terhadap Muslim yang lain tetapi ia juga bertepatan untuk memenuhi keperluan bagi seorang
Muallaf atau saudara baru. Biarpun, keperluan ini kelihatan kecil dan sering dipandang
remeh oleh masyarakat tetapi sangat besar oleh kaca mata Islam bagi memenuhi tuntutan
keperluan terhadap saudara-saudaranya.
Tegasnya, dalam persaudaraan dan persahabatan itu terkandung di dalamnya seperti
berikut: hak dalam harta benda, hak dalam memberi bantuan dengan jiwa raga, hak memelihara
lidah dan hati, hak memelihara ucapan dan percakapan, hak memaafkan, hak mendoakan, hak
menepati janji dan ikhlas hati dan seterusnya hak memberikan kemudahan dan pertolongan dan
banyak lagi hak-hak yang perlu diberi oleh saudara seagama dengan kita seperti yang telah
dituntut oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
DEFINISI MUALLAF
Bagi saudara baru atau Muallaf mereka antara insan yang dipilih oleh Allah s.w.t untuk
mengenali apa itu Islam dan berpeluang menikmati kasih sayang Allah. Erti Muallaf mempunyai
pelbagai maksud dan banyak definisi. Menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia(JAKIM)
Muallaf bermaksud seseorang yang belum memeluk Islam tetapi cenderung dengan Islam.
Manakala menurut Jabatan Agama Islam Selangor(JAIS) Muallaf ialah orang yang dijinakkan
hatinya supaya tertarik dengan Islam. Pada pandangan sekumpulan ilmuan Arab, Muallaf bererti
tunduk, menyerah, dan pasrah. Sedangkan dalam pengertian Islam Muallaf digunakan untuk
menunjukkan seseorang yang baru memeluk agama Islam.
Menurut Mohd.Tamyes bin Abd.Wahid Muallaf boleh diertikan sebagai mereka yang
memeluk agama Islam dan imannya masih lemah. Menurutnya lagi Muallaf atau saudara baru
ialah orang yang dijinakkan hatinya termasuk juga dalam kategori Muallaf ini ialah orang yang
lemah niatnya di dalam Islam. Selain itu, Muallaf ialah golongan yang diharapkan terhapus niat
jahat mereka terhadap orang-orang Islam atau mengharap kebaikan daripada mereka dalam
menolong dan mempertahankan orang-orang Islam.
Merujuk kepada Nur Athirah Masyaa’il Tan dan Fariza Md Sham yang memetik
penulisan Anuar Puteh (2005) saudara Muslim merupakan mereka yang telah melafazkan
kalimah syahadah dan golongan Muslim yang wajar diberi bimbingan dan perhatian oleh
golongan yang berkelayakan. Manakala takrif lain, yang lebih jelas memberi pengertian saudara
Muslim sebagai orang yang dipujuk dan dijinakkan hatinya dengan harapan dapat menguatkan
7
pegangan mereka terhadap ajaran Islam atau orang yang dipujuk supaya tertarik untuk masuk
Islam (Amran kasimin 1985).
Antara definisi Muallaf yang dipetik lagi iaitu menurut Ahmad Redzuwan Yunus dan Nur
Kareelawati Abd Karim (2005) mentakrifkan bahawa saudara Muslim adalah kalangan manusia
yang baru memeluk agama Islam dan berhak mendapat zakat dan pemberian tersebut bertujuan
untuk melunakkan hati dan menguatkan keislaman mereka. Saudara Muslim juga diertikan
sebagai segolongan manusia yang kufur dan memeluk Islam dengan melafazkan dua kalimah
syahadah. Pemberian zakat kepada asnaf Muallaf adalah wajib bertujuan untuk memotivasikan
serta menguatkan pegangan akidah Islamiah yang baru dianuti (Nur Athirah Masyaa’il Tan dan
Tan Ai Pao ( 2007).
Kemudian telah dibuat kesimpulan bahawa saudara Muslim dari segi definisi semasa
ialah mereka yang dijinakkan hati mereka untuk menerima Islam dan telah melafazkan dua
kalimah syahadah. Pemberian zakat adalah bertujuan untuk memberi dorongan dan
memantapkan lagi keislaman mereka serta beramal dengan ajaran Islam.
PENDEDAHAN USLUB DAKWAH KEPADA SAUDARA BARU
Seorang Muallaf juga boleh diberikan uslub dakwah bagi mempertingkatkan nilai agama dalam
diri dan disebarkan kepada orang lain. Firman Allah yang maksudnya: “Serulah ke jalan
Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik,
dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik;
sesungguhnya Tuhanmu dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya,
dan dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk” ( Al-
Nahl; 125 ).
Langkah –langkah yang jelas, terang yang telah di pelopori oleh Nabi s.a.w. sejak
baginda diutuskan sehingga baginda wafat. Kita dikehendaki menyusuri peringkat gerakan ini
selangkah demi selangkah supaya urusan kerja menjadi jelas . Kita mengikuti perjalanan dalam
gerakan Islam, maka perlulah kita meneladani langkah-langkah yang digerakkan oleh Rasulullah
s.a.w. berdasarkan firman Allah S.W.T, maksudnya: “ Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu
pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, Iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan
(keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah
banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)” ( Al-Ahzab : 21 )
Secara umumnya terdapat dua kalimah yang selalu di pakai dalam perbincangan dakwah
Islamiah kini, iaitu “ manhaj” dan “ uslub”. Manhaj ialah garis perancangan dan program yang
serba tersusun. Bagaimanapun, dalam perbincangan ini penulis akan memberi tumpuan dakwah (
Rabi’ bin Hadi ;1992; 19 ). Secara umumnya Uslub dakwah terbahagi kepada tiga bahagian. Dari
sudut kajian psikologi masyarakat Islam kini, ketiga-tiga asas utama ini merupakan metodologi
ilmiah dakwah Islamiah. Ketiga-tiga asas utama tersebut adalah:
1- Pendekatan secara hikmah dan nasihat yang bijaksana.
2- Pendekatan secara mujadalah atau perbincangan yang baik.
3- Pendekatan melalui contoh ikutan dan kekuatan.
8
Pertama : pendekatan secara hikmah dan nasihat yang bijaksana
Uslub hikmah ialah seruan dengan cara yang adil, ilmu pengetahuan dan dengan lemah lembut.
Dari segi istilah syarak uslub hikmah ialah kebenaran tutur kata berserta dengan amal perbuatan.
Ditilik dari segi peranan pendakwah uslub hikmah ini boleh dicernakan kepada tiga bentuk “
uslub al-hikmah”.
a) Uslub hikmah melalui tindakan atau tingkah- laku.
b) Uslub hikmah melalui sikap
c) Uslub hikmah ucapan, percakapan atau kata-kata, seperti pengajaran daripada
maksud ayat “ al- Mau’izah al-Hasanah”
1. Uslub hikmah Tingkah Laku
Berdasarkan kepada ayat-ayat al-Quran surah al-Isra’ : 23-39, terdapat dua belas pesanan
yang mengandungi dua belas hikmah tingkah laku atau disebut “ hikmah al-suluk”. Tujuh
pesanan yang berbentuk larangan, iaitu tingkah laku negatif dan lima pesanan berbentuk
suruhan, iaitu yang positif.
i. Hikmah tingkah laku negatif yang perlu dijauhi ialah:
a. Larangan beribadat kepada selain daripada Allah, iaitu suatu penegasan supaya tidak
syirik terhadap Allah Taala.
b. Larangan Allah daripada kebakhilan dan keborosan.
c. Larangan Allah daripada membunuh kanak-kanak kerana takut terjadi fakir-miskin.
d. Larangan Allah daripada perzinaan.
e. Larangan membunuh diri ( jiwa ) yang telah diharamkan oleh Allah kecuali dengan
kebenaran “ al-haq” dan larangan daripada melampaui batas dalam hukuman qisas.
f. Larangan Allah daripada menghampiri ( menggunakan ) harta anak yatim melainkan
dengan cara yang dihalalkan oleh hukum Islam.
g. Larangan Allah daripada takbur atau berbangga dan sombong diri.
ii. Hikmah tingkah laku yang positif.
a) Perintah Allah supaya beribadat kepadanya sahaja. Seruan ini adalah perintah
daripada uslub kalimah tauhid yang bermaksud; Tiada Tuhan ( yang disembah)
melainkan Allah.
b) Perintah Allah supaya melaksanakan Ehsan kepada kedua-dua ibu bapa, serta tidak
bersikap kasar dan supaya memuliakan mereka.
c) Perintah Allah supaya menghubungkan silaturahim, membelanja dan menyara diri
mereka sesama Islam, fakir miskin, orang yang dalam perjalanan ( musafir ) dan
lainnya, serta tidak bersikap kasar dan supaya memuliakan mereka.
d) Perintah Allah supaya sentiasa setia kepada janji, kerana janji adalah suatu
tanggungjawab dan kewajipan yang mesti ditunaikan ( .
e) Perintah Allah supaya berlaku adil dan saksama dalam urusan timbang menimbang
atau sukat menyukat ( Abdul Ghafar, Berhanundin, Zulkefli: 2007:21-25 ).
2. Uslub hikmah melalui sikap
Yang mana ia dapat memperbaiki mad’u ( sasaran dakwah ) sehingga meninggalkan
perubahan berkesan dalam kehidupan keinsanannya. Contohnya ialah sikap yang telah
ditunjukkan oleh para sahabat, tabiin dan pendakwah-pendakwah dengan uslub hikmah
yang dijalin kuat dengan ilmu pengetahuan dan sikap lemah lembut.
9
Sikap secara hikmah ini dijelaskan oleh al-Quran ketika merujuk kepada
pendirian nabi Ibrahim a.s terhadap ayahandanya, kaumnya yang kufur, berhala-berhala,
sikap terhadap pemerintah yang zalim, iaitu Namrud.
Melalui sikap inilah para Muallaf akan mencontohi mereka. Sebagai contoh
dalam akhlak keperibadian Islam, apabila seseorang Muslim itu melakukan sesuatu
pekerjaan berlandasan ajaran agama dan apa yang di tinggal oleh Rasulullah s.a.w
mereka lebih tenang dalam agama baru mereka ini ( Che Yusoff, Syamsul; 1997; 2-4 ).
3. Uslub Hikmah Melalui Nasihat Yang Baik
Uslub nasihat dan peringatan atau Tadhkirah. Sasaran dan tujuan uslub ini adalah untuk
menanamkan kebaikan ke dalam hati seseorang mad’u. Uslub nasihat ini amat dikehendaki
dalam dakwah.
Begitu juga dalam membimbing para-para saudara baru kita, dengan cara ini mereka
lebih yakin pada apa yang mereka pegang sekarang dan juga mereka tidak akan merasakan
kehidupan baru mereka tidak di sisihkan dengan nasihat yang boleh memberangsangkan
minat mereka dalam menghayati Islam dengan lebih dalam lagi.
Kedua: Uslub Mujadalah dengan cara yang Terbaik
Mujadalah sebagai uslub dakwah adalah perbincangan atau dialog yang bertujuan untuk
melahirkan kebenaran atau al-Haq. Firman Allah, maksudnya: "serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai
Muhammad) Dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah
Dengan mereka (yang Engkau serukan itu) Dengan cara yang lebih baik; Sesungguhnya
Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua
yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunju”. ( surah al-Nahl ;
125 ).
Mujadalah sebagai suatu pemilihan uslub dakwah hendaklah terikat dengan tujuan dan
caranya untuk memenuhi tujuan dakwah Islamiah. Ia juga hendaklah jelas tujuan dan
matlamatnya semata-mata kebenaran dengan wasilah atau sebutan yang sebaiknya. Mujadalah
juga termasuklah kemampuan menghujahkan sesuatu perkara yang benar dengan dalil-dalil yang
diyakini, sama ada dalil al-Quran dan al-Hadis atau dalil yang dapat mematahkan hujah pihak
lawan menolak kebenaran Islam. Sebagai pendakwah kita seharusnya mendedahkan kepada
Muallaf tentang cara bermujadalah agar mereka dapat melawan kata-kata kawan-kawan mereka
yang masih dalam agama asal. Dengan cara ini mereka boleh menegakkan pegangan baru ini dan
menegaskan perbahasan mereka dengan hujah yang bernas seterusnya dapat mematahkan musuh
mereka.
Ketiga : Uslub Contoh Teladan dan Kekuatan
Qudwah dan kekuatan adalah dua uslub dakwah yang saling lengkap melengkapi antara satu
sama lain. Uslub melalui qudwah hendaklah mempunyai tujuan dan matlamat yang lebih terang
untuk dilaksanakan. Manakala uslub dengan kekuatan pula ialah tindakan yang berdasarkan
10
kepada kekuatan, kemampuan dan kekuasaan matlamat serta kesucian cita-cita yang hendak
ditujui. Kedua-dua uslub ini berbeza, tetapi saling melengkapi.
KEPERLUAN ROHANI TERHADAP MUALLAF DARI SEGI PSIKOLOGI DAN
KAUNSELING
Tolong-menolong merupakan salah satu tuntutan Islam yang bersifat universal. Pertolongan
dalam Islam merangkumi skop yang luas, termasuk bantuan kaunseling dan bimbingan yang
boleh dikategorikan sebagai Fardh al-kifayah. Pertolongan melalui bimbingan dikira sebagai
ibadat, sejajar dengan keluasan skop ibadah dalam Islam. Ini bermakna pertolongan ini juga
tertakluk pada hukum dan adab Islam.
Rasional perlunya bimbingan daripada perspektif Islam kerana prinsip perkhidmatan
bimbingan meyakini bahawa manusia itu pada asasnya sangat lemah dan kehendaknya adalah
terbatas. Dengan bimbingan saudara Muslim akan mendapat peluang menyedari dan mengenali
dirinya dan seterusnya dapat mengenali Tuhanya.
Saudara Muslim dalam istilah asalnya dikenali sebagai “Muallaf” merupakan sebahagian
daripada masyarakat Muslim di Malaysia yang boleh dikategorikan dalam Prinsip Pendekatan
Islam Hadhari yang ketujuh, iaitu Pembelaan Hak Kumpulan Minoriti dan Wanita.
Saudara Muslim mengalami beberapa tahap psikologi sebelum dan selepas memeluk
Islam. Setelah individu itu menemui sesuatu hakikat kebenaran yang dicari, diterokai, dikaji dan
dianalisis iaitu kesahihan dan keindahan ajaran Islam.
Maka individu tersebut dengan kerelaan hati akan mengucapkan dua kalimah syahadah
dan seterusnya berkomitmen dengan ajaran Islam. Namun yang demikian, dalam proses
menemui sinar Ilahi itu, saudara Muslim akan melalui beberapa tahap yang memerlukan ilmu,
kesabaran, dorongan, sokongan, bimbingan dan motivasi yang berterusan untuk menghadapi
setiap tahapan tersebut sehinggalah membawa kepada tahap ketenangan dalam al-makrifatullah.
Cabaran psikologi saudara Muslim
Halangan, rintangan serta cabaran tetap akan berlaku lantaran sesuatu perubahan atau tindakan.
Itulah hakikat dalam kehidupan manusia. Berat atau ringannya sesuatu cabaran untuk dihadapi
bergantung kepada kekuatan dalaman dan sokongan luar pada dirinya tersebut.
Secara umumnya cabaran-cabaran yang dihadapi oleh saudara Muslim boleh dilihat
daripada dua sudut, iaitu cabaran dalaman dan cabaran luaran. Cabaran dalaman yang dihadapi
oleh saudara Muslim ialah kesan spiritual dan tekanan psikologi sebelum memeluk Islam dan
setelah memeluk Islam.
11
Antaranya ialah tekanan spiritual untuk mencari dan memiliki kebenaran dan agama yang
benar. Keduanya tekanan psikologi terkesan melalui bangkangan keluarga sebelum san sesudah
memeluk Islam. Ketiganya tekanan psikologi untuk menyesuaikan diri dengan suasana baru dan
seterusnya keperluan untuk menjadikan diri sebagai role-model.
Menurut Faudzi Naim Hj Badaruddin (2005), cabaran luaran lebih menjurus kepada
perkara-perkara yang muncul daripada luar diri saudara Muslim itu sendiri dan sekaligus telah
memberi kesan yang amat mendalam jika dibandingkan dengan kesan cabaran dalaman.
Cabaran-cabaran luaran dapat dilihat daripada persepsi penerimaan masyarakat Islam
melalui perkahwinan terutamanya masyarakat Melayu. Mereka mempertikaikan tujuan saudara
Muslim memeluk Islam dengan mengandaikan bahawa saudara Muslim memeluk Islam
disebabkan faktor perkahwinan.
Keadaan ini membuatkan saudara Muslim merasa sedih dan kecewa. Keduanya,
tentangan yang diberikan oleh ibu-bapa dan ahli keluarga saudara Muslim, kaum keluarga dan
anggota masyarakat yang hampir dengan mereka. Manakala yang selebihnya dilihat daripada
soal bantuan yang ditawarkan kepada saudara Muslim daripada segi kewangan, pekerjaan dan
juga tempat tinggal.
Di samping itu, saudara Muslim di awal pengIslamannya setelah mendapat tentangan
keluarga dan diberhentikan kerja oleh majikan juga mengalami kesukaran untuk mendapatkan
bantuan kewangan bagi meringankan beban masalah yang mereka hadapi.
Melihat kepada cabaran-cabaran dalaman serta luaran yang dihadapi oleh saudara
Muslim maka tidak mustahillah saudara Muslim juga berkemungkinan besar akan menghadapi
tekanan dari segi psikologi seperti kemurungan, kekeliruan, kerisauan dan kegelisahan yang
tinggi, stress dan lebih dari itu ialah hilang akal.
Tekanan spiritual penghayatan agama
Fitrah semula jadi manusia berkehendak kepada agama. Tidak kira bangsa sekalipun fitrah
beragama merupakan agenda utama dalam mengatur kehidupan dunia mereka. Agama Islam
merupakan agama yang benar di sisi Allah S.W.T dan mempunyai garis panduan peraturan hidup
yang lurus lagi jelas melalui sumber utama, iaitu al-Quran dan al-Sunnah.
Agama Islam adalah agama yang dibawa oleh para Rasul. Semua Rasul telah mengajak
manusia ke jalan Allah s.w.t. Mereka telah menyampaikan risalah yang sama dan dakwah yang
sama, iaitu mengesakan Allah s.w.t. Dalam kajian psikologi menunjukkan, dalam diri manusia
secara tabiinya mempunyai dorongan yang akan mendorongnya mencari hakikat tentang sesuatu
kebenaran sehingga ia berpuas hati dengan pencapaian tersebut. Dalam soal mencari kebenaran
agama, seseorang yang bukan Muslim akan membuat analisis dan melakukan penilaian terhadap
kebenaran sesuatu agama yang sesuai dengan fitrah dirinya.
Akhirnya, apabila telah dikenal pasti sesuatu agama yang memberi ketenangan jiwanya,
maka ia akan meneruskan pencarian sehingga akhirnya mendapati agama Islam menepati fitrah
12
tabii manusia berkehendakkan ketuhanan yang hak dan beramal dengan ajaran-Nya sehingga
dirinya merasai ketenangan dan kebahagiaan yang mutlak.
Sepanjang proses pencarian kebenaran sesuatu agama itu, saudara Muslim akan
menghadapi situasi kesamaran, ketidakyakinan, kekeliruan dan kesangsian dalam diri mereka
yang akhirnya membawa kepada cabaran spiritual dalam pencarian dan menentukan agama yang
seiring dengan fitrah dirinya.
Tekanan psikologi daripada keluarga, keluarga angkat, dan masyarakat
Pelbagai cabaran ditempuh oleh saudara Muslim semasa dan selepas memeluk agama Islam. Di
antaranya mendapat tentangan yang hebat daripada keluarga kandung yang belum menukar
agama. Sikap pemulauan ke atas diri saudara Muslim, kenyataan tidak mengakui anak kandung
oleh bapa, tidak dibenarkan pulang ke rumah dan putusnya segala perhubungan samada dari segi
kekeluargaan, kewangan, dan hubungan sosial yang lain, benar-benar mengganggu emosi dan
seterusnya menyebabkan tekanan perasaan.
Kebiasaannya saudara Muslim menukar agama kerana berhasrat mendapatkan bantuan
kewangan telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada diri Muslim. Segala tohmahan
tersebut membuatkan saudara Muslim berusaha untuk membuktikan kepada semua masyarakat
bahawa harta kekayaan bukan unsur terpenting dalam kehidupan, tetapi ilmu yang membentuk
peribadi dan membawa kepada ketaqwaan kepada Allah s.w.t lebih tinggi nilainya daripada
segala-segalanya.
Tekanan juga boleh datang daripada keluarga angkat. Keluarga angkat perlu memahami
keperibadian anak angkat yang berstatus saudara Muslim, memahami adat resam mereka yang
tidak bertentangan dengan ajaran Islam untuk diamalkan, memberi kebebasan kepada saudara
Muslim untuk membuat pilihan dalam kehidupannya dan yang utama ialah mengajar ajaran
Islam seperti fardhu ain dan menunjukkan contoh teladan yang baik kepada saudara Muslim
akan memberi impak positif agar saudara Muslim terus maju dan bermotivasi tinggi untuk
mendalami ajaran Islam.
Sikap iri hati dan hasad dengki kepada saudara Muslim yang berusaha memajukan
kehidupan agar lebih baik daripada yang sebelumnya juga perlu dijauhi oleh masyarakat.
Masyarakat seharusnya memberi dorongan, sokongan, nasihat dan motivasi kepada saudara
Muslim agar lebih maju ke hadapan. Perkara ini penting kepada saudara Muslim juga merupakan
salah satu agen utama dan mempunyai kepentingan dalam dakwah Islamiyyah.
Tekanan psikologi penyesuaian diri
Setelah saudara Muslim memeluk Islam, maka akan wujud sesuatu perubahan dalam dirinya dan
sudah pasti menzahirkan perbezaan-perbezaan dalam kehidupannya. Ini bermakna sebelum dan
selepas memeluk Islam, saudara Muslim akan menghadapi corak dan gaya hidup sebagai seorang
Muslim. Seorang Muslim dipertanggungjawabkan dengan segala hukum syarak setelah selesai
mengucap dua kalimah syahadah.
13
Sebahagian saudara Muslim yang baru memeluk Islam, mengakui segelintir masyarakat
Melayu Muslim memberi bimbingan utama dengan mengubah cara hidup saudara Muslim.
Misalnya, menyediakan pakaian baju kurung bagi saudara Muslim wanita, mengajar memakai
kain sarung, mendidik makan dengan tangan, tidak boleh makan dengan menggunakan sepit,
memakai jubah dan serban, tidak perlu ziarah atau menyambut perayaan seperti Tahun Baru
Cina. Dengan suasana sebegini, jelas menunjukkan masyarakat tidak cuba memahami bahawa
kemungkinan wujudnya sensitiviti dalam kalangan saudara Muslim kerana perlu mengubah
segala cara dan gaya hidup mereka selama ini yang mana perbuatan dan pemakaian tersebut
tidak bertentangan dengan tuntutan agama.
Antara bimbingan dan garis panduan yang dapat dinyatakan di sini termasuklah dengan
memberi maklumat dan pendedahan kepada masyarakat Islam tentang saudara Muslim dan
cabaran-cabaran psikologi yang dihadapi mereka. Selain itu, kita juga dapat menggariskan
beberapa pendekatan yang berkesan kepada masyarakat dalam mengendalikan bimbingan dan
kebajikan kepada saudara Muslim. Dan akhir sekali, kita juga boleh membantu pihak-pihak yang
berwajib dan NGO yang berkaitan dalam bimbingan dan memberi kebajikan dan kaunseling
kepada saudara Muslim yang menghadapi cabaran psikologi.
Persoalan seperti keluarga angkat tidak mengajar solat dan fardu ain yang lain tidak
seharusnya timbul dalam kalangan masyarakat Islam. Tekanan untuk menyesuaikan diri saudara
Muslim yang berterusan akan memberi kesan negatif dalam pemantapan aqidah mereka dan
seterusnya memberi kesan kepada penghayatan dan pengamalan agama Islam. Maka, masyarakat
Melayu Islam harus mengambil peranan dalam membimbing saudara Muslim ini agar terus
berada dalam landasan Islam yang benar.
Saudara Muslim adalah mereka yang dijinakkan hati mereka untuk menerima Islam dan
menukar pegangan agama mereka kepada agama Islam dengan mengucap dua kalimah syahadah.
Pelbagai cabaran psikologi yang dihadapi oleh saudara Muslim dalam proses memeluk agama
Islam. Cabaran psikologi ini perlu difahami oleh masyarakat khususnya pendakwah agar
program-program penghayatan ajaran Islam lebih berkesan. Saudara Muslim yang berjaya
menghadapi ajaran Islam dan mengamalkannya dalam kehidupan pasti akan mencapai
kebahagiaan dan kesejahteraan hidup.
KEPERLUAN ROHANI BAGI MUALLAF DARI SUDUT PENDIDIKAN DAN
BIMBINGAN
Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi tahap pengetahuan agama Muallaf. Antaranya ialah
faktor pengisian program agama. Pemantapan akidah amat penting bagi seorang Muslim kerana
akidah yang mantap sahaja dapat menghalang unsur-unsur yang negatif seperti ajaran sesat,
gejala murtad, masalah sosial dan pengaruh luar. Antara program agama yang perlu dianjurkan
kepada golongan Muallaf ialah kelas bimbingan agama.
Tujuan kelas bimbingan agama ini adalah untuk memberi kefahaman Islam sebagai satu
jalan kehidupan agar golongan Muallaf tidak ketinggalan dalam bidang keilmuan. Selain itu,
kelas bimbingan agama ini bertujuan utuk memberi motivasi kepada golongan Muallaf ke arah
memantapkan penghayatan mereka terhadap ajaran Islam. Kelas bimbingan ini juga sebagai satu
14
pusat pertemuan dan sumber ilmu bagi semua golongan Muallaf. Secara ringkasnya dapat
disimpulkan bahawa pengisian program agama kepada golongan Muallaf adalah satu faktor yang
diandaikan dapat menyumbang kepada perkembangan kognitif, emosi, tingkah laku, dan rohani
golongan Muallaf dalam agama.
Tanpa pendidikan atau bimbingan agama Islam, golongan Muallaf mengalami pelbagai
masalah. Antaranya ialah masalah emosi yang timbul akibat daripada penolakan ajaran agama
Islam dalam kalangan ahli keluarga golongan Muallaf, masalah ekonomi yang timbul akibat
daripada sekatan kewangan daripada ahli keluarga golongan Muallaf dan masalah murtad yang
timbul akibat daripada gangguan keimanan. Masalah penolakan ahli keluarga dan ekonomi
adalah dua masalah yang boleh dibantu oleh pihak lain bagi menjamin kesejahteraan emosi
golongan Muallaf. Namun begitu, masalah murtad adalah masalah yang perlu diatasi oleh
golongan Muallaf itu sendiri, walaupun ia adalah masalah yang boleh dibantu oleh pihak lain
seperti Pusat Bimbingan Saudara baru. Ini adalah kerana isu murtad melibatkan isu keimanan
kepada Allah S.W.T dan Rasul-Nya, memerlukan kekuatan rohani golongan Muallaf dan
pemerkasaan proses pembelajaran agama di pusat bimbingan agama.
Konsep Pengetahuan Agama Untuk Golongan Muallaf
Konsep pengetahuan agama untuk golongan Muallaf adalah tidak berbeza dengan konsep
pengetahuan agama untuk semua umat Islam. Dalam Islam, pengetahuan agama adalah
bersumberkan kepada al-Quran dan as-Sunnah. Menurut al-Ghazali, pengetahuan agama ini
terbahagi kepada dua bahagian iaitu ilmu mu’amalah dan ilmu mukasyafah. Ilmu mu’amalah
ialah ilmu yang menjadi jalan untuk menuju kepada ilmu mukasyafah dan dituntut
mengamalkannya setelah diketahui. Manakala ilmu mukasyafah atau ilmu batin ialah ilmu yang
hanya dituntut mengetahuinya sahaja kerana ia adalah ilu yang memakai rumus dan isyarat yang
berbentuk contoh dan kesimpulan.
Dalam konteks golongan Muallaf, ilmu pengetahuan agama yang wajar diberikan kepada
mereka ialah ilmu mu’amalah. Ilmu mu’amalah terbahgai kepada dua kategori iaitu ilmu fardu
ain dan ilmu fardu kifayah. Menurut al-Ghazali, ilmu fardu ain ialah ilmu syariat dan ilmu fardu
kifayah ialah ilmu bukan syariat. Ilu fardu ain ialah apa yang dituntut ke atas setiap orang supaya
mengetahui dan mempelajarinya dalam melaksanakan suruhan agama seperti ilmu agama
(tauhid, akidah, akhlak dan fiqh). Manakala ilu fardu kifayah ialah apa yang mesti ada pada
sekumpulan orang dalam masyarakat tanpa melihat kepada individu tertentu seperti kemahiran,
perniagaan, kedoktoran, ekonomi, kimia dan fizik. Bagaimanapun, ilmu yang kedua ini menjadi
fardu ain apabila tiada seorang Muslim dalam sesebuah masyarakat itu yang mempelajarinya. Ini
bererti pengetahuan agama yang disampaikan kepada golongan Muallaf adalah sama seperti apa
yang disampaikan kepada umat Islam yang lain. Ia perlu dirancang secara sistematik meliputi
aspek akidah, syariah dan akhlak.
Bagi memastikan golongan Muallaf memahami tentang pendidikan Islam, kita
seharusnya membimbing mereka dengan mata pelajaran agama. Antara mata pelajaran yang
perlu terhadap golongan Muallaf adalah :
1) Ilmu Fiqh
15
Ilmu fiqh diperkenalkan kepada golongan Muallaf dalam bentuk praktikal iaitu
memahami hukum amali secara khusus. Contohnya, mempelajari tentang thaharah yang
meliputi kaedah bersuci, hukum dan alat yang dibolehkan dalam istinjak, bahagian air,
najis dan cara menyucikannya, hadas kecil, hadas besar dan tayamum. Kemudian,
diajarkan tentang solat dari segi pengertian, syarat-syarat wajib, rukun solat, perkara yang
membatalkan solat serta perkara sunat sebelum dan selepas solat. Seterusnya, solat
jemaah, solat sunat seperti sunat rawatib, witir, istikharah, jamak dan qasar. Akhir sekali,
mereka diberi bimbingan tentang puasa, zakat, dan haji khususnya.
2) Ilmu Tauhid
Mata pelajaran ilmu tauhid diterangkan kepada golongan Muallaf secara sistematik. Anta
pembelajaran yang terkandung dalam ilmu tauhid ini adalah pengertian iman, Islam,
Muallaf, syahadah, sifat Allah, sifat rasul serta nama dan tugas malaikat. Kemudian,
mengenai nama-nama Rasul yang wajib diketahui, kitab-kitab yang diturunkan kepada
Nabi dan Rasul, hari kiamat, keadaan mahsyar, syurga dan neraka. Seterusnya,
pembelajaran tentang perkara sam’iyyat, khurafat dan cirri-cirinya serta pengertian
tentang qada’ dan qadar. Akhir sekali, pendidikan tentang ilmu ini diterangkan perkara
yang membatalkan syahadah, kufur dan cirri-cirinya, syirik, murtad dan munafik. Ilmu
ini meliputi Rukun Iman, Rukun Islam dan Ehsan.
3) Ilmu Akhlak
Ilmu ini perlu dipelajari oleh golongan Muallaf untuk membentuk peribadi Muslim.
Antara kandungan ilmu ini yang menjadi pembelajaran terhadap golongan Muallaf adalah
berkaitan dengan akhlak terhadap ibu bapa, masyarakat, rakan-rakan, guru, ketua,
Rasulullah S.A.W, kebersihan pakaian dan tempat tinggal serta kebersihan jasmani dan
rohani. Kemudian, adab makan, minum, bercakap, keluar dan masuk rumah adab tidur,
adab masuk dan keluar masjid, adab dengan tetamu serta dab berziarah. Seterusnya,
pendedahan terhadap sifat mahmudah dan sifat mazmumah.
4) Ilmu al-Quran
Ilmu al-Quran berasaskan kepada asas-asas tilawah al-Quran. Golongan mullaf perlu
diberi penekanan tentang bimbingan ilmu ini supaya mereka bukan sahaja boleh
menghayati pengertian di sebalik makna ayat yang dipelajari, tetapi boleh membaca al-
Quran mengikut hukum tajwid yang betul dan tartil. Pengajaran terhadap menegenal
baris, menegnal huruf al-hijaiyyah dan menyebutnya dengan sebutan huruf dan membaca
kalimah tersebut mengikut lughah Arab. Kemudian, pembelajaran tentang surah al-
Fatihah hinggan an-Naba’ serta menghafal ayat-ayat lazim. Proses pengajaran yang
diamalkan terhadap golongan Muallaf adalah secara berperingkat-peringkat.
5) Ilmu Sirah
Pembelajaran yang berkait rapat dengan kisah para Nabi dan Rasul. Penceritaan tentang
kisah mengenai masyarakat jahiliyyah sebelum kelahiran Rasulullah S.A.W, kelahiran
Rasulullah S.A.W, keturunan Rasulullah S.A.W di sbeelah bapa dan ibu. Pendidikan
tentang ilmu sirah ini juga menceritakan tentang kepimpinan Rasulullah S.A.W,
pergaulan Rasulullah S.A.W dengan isteri-isterinya serta perlantikan Rasulullah S.A.W
menjadi rasul. Kisah kisah peperangan yang berlaku pada zaman Rasulullah, pembukaan
16
Kota Mekah dan kewafatan Rasulullah. (Zainab Ismail, Norabidah Pozi, Wan Ibrahim
Wan Ahmad.
KEPERLUAN FIZIKAL TERHADAP MUALLAF DARI SUDUT KEWANGAN DAN
KEBAJIKAN
Sesuatu yang perlu kita ketahui ialah sistem Islam adalah sistem yang syumul dan merangkumi
segenap aspek. Antara aspek yang dititikberatkan ialah harta dan tanggungjawab sosial. Sistem
zakat mempunyai peranan penting dalam menjaga harta dan membantu golongan yang susah
serta memerlukan bantuan (Mohammad Nidzam Abd. Kadir 2011: 80).
Asnaf Muallaf boleh dibahagikan dua kategori (JAWHAR 2007). Pertama ialah golongan
Muslim dan kedua ialah golongan non-Muslim. Golongan non-Muslim pula dibahagikan dua
kategori (al-Qaradawi 1998). Kategori pertama ialah mereka yang diharapkan akan beriman
dengan adanya bahagian Muallaf yang diberikan kepada mereka. Kategori kedua ialah mereka
yang dibimbangi tindakan kejahatannya terhadap orang Islam. Walau bagaimanapun, agihan
kepada golongan non-Muslim ini berlaku sedikit perubahan dari segi amalan dan perbezaan
pendapat dalam kalangan fuqaha. Ia boleh dikategorikan kepada tiga keadaan. Pertama ialah
Rasulullah s.a.w sendiri memberi agihan kepada golongan non-Muslim. Kedua ialah bermula
dengan Khalifah Umar al-Khattab memberhentikan pemberian zakat kepada golongan non-
Muslim. Ketiga ialah dalam kalangan fuqaha pula mempunyai dua pendapat iaitu ada yang
berpendapat golongan non-Muslim ini boleh diberikan zakat dan ada fuqaha yang berpendapat
sebaliknya.
Dalam dunia kini, golongan yang sangat berhak untuk diberi bantuan adalah golongan
yang baru menganut agama Islam. Tambahan juga menurut segelintir ulama’, golongan ini
mempunyai hak mendapatkan zakat walaupun mereka dari golongan berada, tetapi apatah lagi
kalau mereka dari golongan yang kurang berkemampuan (Mohammad Nidzam Abd. Kadir 2011:
81).
Antara sumber yang boleh digunakan untuk membiayai usaha dakwah kepada golongan
non-Muslim ialah daripada dana zakat. Ia boleh diambil daripada asnaf fakir, miskin, Muallaf
dan fisabililllah untuk membiayai usaha-usaha dakwah tersebut. Ini disebut oleh Allah s.w.t yang
bermaksud : “ Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan
orang-orang miskin, dan amil-amil Yang mengurusnya, dan orang-orang Muallaf Yang
dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-
orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang
keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan
(yang datangnya) dari Allah. dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”
(surah at-taubah 9:60)
Ayat di atas secara jelas menyatakan lapan golongan yang berhak menerima zakat.
Golongan ini dikenali sebagai asnaf lapan. Ia terdiri daripada golongan fakir, miskin, amil,
Muallaf, hamba yang hendak memerdekakan dirinya, orang yang berhutang, fisabilillah dan
ibnussabil.
17
Ringkasnya, Siapakah golongan yang dianggap Muallaf? Antara ciri-ciri Muallaf yang
dihuraikan oleh beberapa para ulama’ ialah:
•Orang yang diharap keislamannya.
•Orang yang ditakuti kejahatannya.
•Orang yang baru menganut agama Islam.
Islam telah memberikan bantuan zakat kepada golongan Muallaf kerana pada permulaan
pemelukan Islam mereka, kebiasaannya mereka akan mengalami kesusahan setelah
meninggalkan agama asal mereka. Keputusan yang dibuat adalah keputusan yang paling berat di
dalam hidup mereka. Oleh itu, bantuan awal ini amat bermakna dan berguna. Ia bukan sahaja
sekadar bantuan zakat dalam bentuk kewangan tetapi ia juga merupakan sokongan moral kepada
mereka daripada saudara sesama Islam(Mohammad Nidzam Abd. Kadir 2011: 81).
Bagi Muallaf, janganlah berasa takut, risau dan khuatir akan kehilangan pekerjaan dan
sumber pendapatan apabila memeluk agama Islam. ada bantuan yang dihulurkan untuk
memulakan kehidupan baru dengan hati yang tenang. Bantuan ini boleh dimohon di pejabat
zakat iaitu bantuan zakat melalui asnaf Muallaf oleh Majlis Agama. Tambahan juga, bantuan
zakat juga boleh dipohon melalui orang perseorangan(Mohammad Nidzam Abd. Kadir 2011:
82).
Tambahan lagi, tidak terdapat tempoh yang telah ditetapkan untuk diberi bantuan zakat
kepada Muallaf Ini kerana selagi mana seseorang itu dikira Muallaf, maka selagi itulah dia akan
menerima zakat. Mengikut adat masyarakat Muslim di Malaysia, seseorang itu dikira Muallaf
buat selama-lamanya. Walaupun beliau sudah memeluk agama Islam selama 30 tahun bahkan
sudah menjadi ustaz yang boleh membaca kitab Arab serta memberi fatwa, namun dia masih
dipanggil sebagai Muallaf atau makloh (Mohammad Nidzam Abd. Kadir 2011: 84).
Sewajarnya diadakan program khas bagi Muallaf. Contohnya, bantuan zakat bagi
Muallaf dalam tempoh tiga tahun, empat tahun, atau mana-mana tempoh yang wajar. Dalam
tempoh ini, Muallaf akan diajar tentang agama Islam. Sekiranya juga, Muallaf itu tidak
mempunyai pekerjaan, maka akan diusahakan dan dibantu sehingga dia mendapat pekerjaan.
Jika perlu kepada pernikahan, ia juga turut akan dibantu. Tujuan pemberian zakat kepada
golongan Muallaf adalah untuk menguatkan keimanan mereka dan sebagai salah satu bentuk
sokongan moral. Justeru itu, golongan Muallaf berhak untuk menerima bantuan zakat walaupun
dari kalangan berada(Mohammad Nidzam Abd. Kadir 2011: 84).
Selain daripada itu, asnaf Muallaf juga boleh mendapatkan bantuan modal bagi
memulakan perniagaan dan sebagainya. Pihak-pihak yang bertanggungjawab jawab juga boleh
memainkan peranan mereka sebagai pembimbing , memberi khidmat nasihat dan panduan
melalui kursus , bengkel dan program-program yang difikirkan sesuai masyarakat sekeliling
boleh memberi sokongan moral kepada mereka dengan mengambil mereka sebagai anak angkat.
Selain daripada itu, di antara bantuan yang perlu diberikan keutamaan kepada golongan
ini ialah berupa insentif bagi menghadiri kelas-kelas pengajian agama yang dikhususkan untuk
mereka , insentif bagi pengusaha atau asrama Muallaf, bantuan bagi mengerjakan haji atau
18
umrah, bantuan kecemasan seperti kebakaran atau banjir serta insentif kepada meraka ( Muallaf)
yang dapat menarik orang bukan Islam untuk memeluk agama Islam.
Tambahan lagi, antara kebajikan yang boleh kita lakukan sebagai masyarakat Islam
terhadap saudara baru kita ialah memberikan sagu hati kerana memeluk Islam, memberi khidmat
khatan, kelengkapan ibadah dan setiap segi kehidupan baru sebagai Muallaf termasuklah dalam
urusan pengebumian.Saudara Muallaf juga boleh memohon kepada pusat-pusat atau badan-
badan kebajikan Islam untuk menuntut keperluan lain seperti bantuan sara hidup untuk setiap
tahun atau setiap bulan bagi yang kesusahan, bantuan tempat tinggal , batuan perkahwinan dan
bantuan dari segi pendidikan percuma bagi memudahkan untuk mendalami ajaran Islam.
KESIMPULAN
Oleh itu, perlulah kita ketahui bahawa segala urusan yang berkaitan dengan hubungan sesama
manusia adalah menjadi tanggungjawab kita bersama kerana setiap orang Islam mempunyai hak
atau tanggungjawab ke atas orang Islam yang lain. Justeru itu, kita perlu menunaikan hak
tersebut.
Begitu juga kepada masyarakat Islam khususnya sama ada terlibat secara langsung atau
tidak langsung dengan urusan yang berkaitan dengan Muallaf perlulah diberi perhatian akan
setiap keperluan, bimbingan dan sebagainya. Ini kerana , para Muallaf perlukan bimbingan dan
diberi perhatian sepanjang tempoh bergelar Muallaf kerana mereka baru sahaja dijinakkan
hatinya untuk mengenal Islam dan memastikan hatinya sentiasa kuat dengan bantuan masyarakat
Islam yang lain.
Oleh itu, seharusnya masyarakat Islam dan pendakwah khususnya , perlu dipastikan
sentiasa dekat dengan mereka supaya mudah didekati dan dikasihi sebagai pengalak emosi
mereka supaya terus dalam menganut agama Islam. Sekali gus, menggambarkan keindahan
akhlak masyarakat Islam yang diajar oleh agama Islam. Peranan ini mesti diteruskan dan
dipertingkatkan bagi meningkatkan golongan Muallaf untuk memasuki agama Islam. Semoga
dengan usaha ini, setiap keperluan, bimbingan dan kebajikan yang diberikan menjadi bukti kita
sebagai masyarakat Islam atau pendakwah telah memenuhi keperluan saudara baru dan seakidah
dengan kita agar para Muallaf lebih baik dan sempurna segala amalan, ibadah dan akidahnya.
19
RUJUKAN
Abdul Aziz Ismail , 1995 ,Hakikat Persaudaraan dalam Islam, Al-Hidayah Publisher : Kuala
Lumpur.
Abdul Ghafar, Berhanundin Abdullah, Zulkefli Abd. Ghani. 2007. Dakwah & pengurusan Islam
di Malaysia. Bangi, UKM
Ahmad Redzuwan, Salasiah Hanin, Abdul Ghafar, Othman. 2010. Dakwah Multi Etnik. Bangi:
Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan.
Che Yusoff Che Mamat, Syamsul Bahri Andi Galigo. 1997. Dinamik dakwah dalam masyarakat.
Ukm, fakulti pengajian Islam dakwah dan kepimpinan.
Fariza Md. Sham, Siti Rugayah Hj. Tibek, Othman Hj. Talib. 2006. Dakwah Dan Kaunseling Di
Malaysia. Bangi, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Faisal Hj Othman. 1994. Isu-isu pengurusan Saudara Muslim. UKM, Bangi.
Mahmud Mohamad Babeli , 2002 Persaudaraan Islam dan Pembangunan Sosial, terj. Abdul
Karim Mustafa , yayasan dakwah Islamiah Malaysia : Kuala Lumpur.
Nur Athirah Masyaa’il Tan binti Abdullah dan Fariza Md Sham. 2009. Keperluan memahami
psikologi saudara Muslim. Bangi: UKM.
Ramli Awang , 2003, Islam Alternatif perpaduan sejagat , Universiti Teknologi Malaysia :
Skudai, Johor.
Rabi’ Bin Hadi Al Madkhali. 1992. Manhaj Da’wah Para Nabi. Gema Insani Press. Kuwait,
Daar As Salafiyyah