Content uploaded by Mohd Farhan Md Ariffin
Author content
All content in this area was uploaded by Mohd Farhan Md Ariffin on Feb 03, 2016
Content may be subject to copyright.
Jurnal Intelek (2015) Vol 10(1): 55-66
ISSN 2231-7716 © PJIM&A, UiTM Perlis
55
Anjing Pembawa Virus Rabies: Signifikan dan Metode Interaksi
Berasaskan Fiqh Al-Hadith
*Mohd Farhan Md Ariffin1, Khadher Ahmad1, Muhammad Ikhlas Rosele2, Syamsul Azizul
Marinsah2
1Jabatan al-Qur’an dan al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM), 50603 Kuala
Lumpur
2Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM), 50603 Kuala Lumpur
al.muqarrobiin@gmail.com
Abstrak
Rabies (penyakit anjing gila) kembali membangkitkan keresahan dalam kalangan rakyat Malaysia pada Ogos
2015 setelah kali terakhir direkodkan pada tahun 1999. Penularan wabak bawaan anjing ini menjangkiti
manusia melalui luka gigitan, luka pada kulit yang terdedah kepada air liur, cairan dan tisu tubuh dari haiwan
dijangkiti. Kini semua agensi berkaitan telah dikerahkan bagi tujuan kawalan wabak. Pelbagai tindakan
kawalan yang difikirkan wajar telah mula dilaksanakan di peringkat negeri dan kawasan, termasuk
menghapus dan melupuskan anjing yang telah dijangkiti. Signifikannya, Nabi SAW telah membincangkan
mengenai bahaya dan ancaman kelompok haiwan perosak termasuk anjing dalam himpunan sabda baginda
SAW. Justeru, makalah ini berusaha mengupas fiqh al-Hadith berkenaan anjing yang didapati daripada
perbincangan ulama’ terdahulu dan kontemporari. Ini penting bagi memberi panduan kepada masyarakat
akan mudharat yang mampu dijelmakan haiwan tertentu dan teknik kawalan paling berkesan menurut sunnah
Nabi SAW tanpa meminggirkan hak-hak eksklusif haiwan.
Kata Kunci: Anjing; Kronologi Rabies; Bahaya; Haiwan Perosak; Kaedah Berinteraksi
Abstract
Rabies (hydrophobia) again raised concerns among Malaysians in August 2015 after last time recorded in
1999. The contagion of epidemic carried by dog infected people through the bite wound, cuts on the skin that
exposed to saliva, body fluids and body tissues of infected animals. Now, all the related agencies have been
deployed for the purpose of outbreak control. Various control measures deemed appropriate has been
implemented at the state and district level, including removing and disposing of infected dogs. Significantly,
the Prophet SAW had discussed about the danger and threat posed by pests including dog in his set saying.
Thus, this paper attempts to analyze the fiqh al-Hadith regarding dogs found in the discussion of past and
contemporary scholars. It is important to provide guidance to the public regarding harm that able to be
incarnated by particular animal and the most effective control technique according to the Prophetic tradition,
without leaving out animal exclusive rights.
Keywords: Dog; Rabies Chronology; Danger; Pest; Interaction Rule
Pengenalan
Anjing merupakan haiwan berkaki empat yang kasar
dan kuat. Menurut istilah bahasa Arab, ia dipanggil
(ﺐْ
ﻠَ
ﻜْ
ﻟا) (Ibn Manzur, 2003; al-Fayruz Abadi, 1998)
manakala dalam bahasa Inggeris, ia dikenal sebagai “an
animal that many people keep as a pet, or for working
on farms, hunting and so on” (Dr. Keith Brown, et al.
2007).
Ciri-Ciri Biologi Anjing
Anjing merupakan haiwan mamalia karnivor. Ia telah
dipelihara sejak 12,000 tahun lalu atau mungkin sejak
150 000 berasaskan bukti-bukti genetik sedia ada
(Monika@Munirah Abd Razak, Nik Mohd Zaim Ab
Rahim, 2011). Anjing berasal dari keluarga yang sama
dengan serigala, coyote dan musang. Ia boleh ditemui di
Jurnal Intelek (2015) Vol 10(1): 55-66
ISSN 2231-7716 © PJIM&A, UiTM Perlis
56
seluruh pelusuk dunia samada di kawasan bandar,
kampung dan hutan.
Anjing memiliki rupa umum yang mudah dikenal
iaitu bertubuh tegap berotot, badan dan ekor berbulu,
berkaki empat, lidah terjelir dan telinga besar (Anne
Hillyard, et al. 2001). Dari segi warna, terdapat
pelbagai variasi warna anjing dari hitam ke putih,
merah, kelabu dan perang. Anjing memiliki rahang kuat
digunakan bagi menggigit, membunuh dan mencarik-
carikkan makanan.
Indera penglihatan, pendengaran dan deria bau
anjing amat hebat. Matanya amat sensitif pada cahaya
dan pergerakan. Anjing mampu mendengar bunyi
berfrekuensi serendah 16 Hz hingga 70 KHz jika
dibandingkan dengan manusia yang hanya boleh
mendengar bunyi berfrekuensi serendah 20 Hz hingga
20 KHz. Ini menjadikan anjing mampu mendengar
suara empat kali lebih jauh dari manusia.
Dilengkapi telinga besar berotot, boleh digerakkan
serta efisien terhadap bunyi, ditambah 220 juta sel yang
amat sensitif terhadap bau telah membentuk anjing
sebagai pemangsa dan haiwan unggul.
Spesies Anjing
Anjing terdiri dari pelbagai spesies, antaranya baka
jenis arau (anjing berbelang hitam putih), anjing liar
(anjing yang hidup liar dalam hutan), anjing koreng
(anjing bergaris kuning hitam), anjing nibong (anjing
berwarna kuning kekelabuan). Termasuk kategori
anjing ialah serigala (anjing yang berkeliaran secara
berkumpulan dalam hutan) (Teuku Iskandar, et al.
1970).
Di luar negara, baka anjing yang popular ialah jenis
‘Akita’ (akita amerika atau akita jepun), ‘American Pitt
Bull Terrier’, ‘Fila Braziliero’ (brazilian Mastiff),
‘Dogo Argentino’ (argentinian Mastiff), ‘Tibetan
Mastiff’, ‘American Bulldog’, ‘Kai’ (korean dog),
‘Mallinois’ (laeknois), ‘Rafeiro Do Alentejo’
(porteguese watchdogs) dan ‘American Staffordshire
Bull Terrier’ (Monika@Munirah Abd Razak, Nik Mohd
Zaim Ab Rahim, 2011).
Tabiat Anjing
Anjing terkenal dengan sifat bengis dan ganas. Ia akan
bertindak balas apabila merasa terancam atau tercabar.
Anjing merupakan haiwan yang suka bersosial dan
pemburu berkelompok. Sifatnya yang suka bermain,
mudah dilatih dan beradaptasi dalam semua
persekitaran menjadikannya penting kepada manusia.
Oleh itu, kebiasaannya anjing dijadikan teman
sehinggakan digelar “teman terbaik manusia” (Ruth
Berman, t.t.)
Kini, anjing menjadi haiwan peliharaan paling
popular terutamanya bagi masyarakat Eropah. Anjing
bermanfaat untuk menjaga kediaman dan memburu.
Hal ini kerana anjing dikurniakan pelbagai kelebihan
seperti dapat mencari jejak, mencium bau, tidur tidak
pernah nyenyak, dapat menjaga sesuatu benda dan
pintar. Ia dapat menerima ajaran yang tidak dapat
dipelajari haiwan lain (Marion Nestle, Malden C.
Nesheim, 2010).
Kronologi Rabies (Penyakit Anjing Gila) di
Malaysia
Penyakit Rabies merupakan penyakit zoonotik
disebabkan virus “Lyssavirus” (yang boleh menjangkiti
manusia daripada anjing). Virus ini boleh menjangkiti
manusia melalui luka gigitan, luka di kulit manusia
yang terdedah kepada air liur, cairan atau tisu tubuh
dari haiwan dijangkiti. Tempoh inkubasi penyakit ini
antara 15 hari hingga enam bulan (Status Wabak Kes
Penyakit Rabies Di Perlis, Kedah & Pulau Pinang,
Mynewshub.cc, 18 September 2015).
Diagnosis klinikal penyakit ini melalui
pemerhatian tanda-tanda klinikal serta sejarah
pendedahan virus (virus exposure) pada anjing. Antara
tanda-tanda klinikal pada anjing yang perlu
diperhatikan termasuk perubahan kelakuan samada
agresif (menyerang objek bergerak seperti manusia dan
haiwan lain) atau monyok/dungu, lumpuh (paralysis)
dan berakhir dengan kematian. Diagnosis pengesahan
boleh dilakukan melalui ujian Direct Flourescent
Antibody Test (Ujian Pengesanan Antibodi) dan
Polymerase Chain Reaction (PCR - Ujian Pengesanan
Antigen).
Kes terakhir jangkitan Rabies pada manusia di
Malaysia adalah pada tahun 1999 manakala jangkitan
pada anjing pada 2009. Malaysia telah mendapat status
bebas penyakit Rabies daripada OIE (Office
International des Epizooties / Pertubuhan Kesihatan
Haiwan Sedunia) dan WHO (Pertubuhan Kesihatan
Sedunia) pada tahun 2012 (Penyakit Anjing Gila Masih
Terkawal, Mynewshub.cc, 23 September 2015).
Kes Rabies di Negeri Perlis
Kes terbaru Rabies di Malaysia disahkan pada 17 Ogos
2015 di negeri Perlis. Seekor anjing telah menggigit
tuannya pada 27 Julai 2015 di Felcra Lubuk Sireh, Kaki
Bukit dan dilaporkan kepada Jabatan Perkhidmatan
Haiwan Negeri Perlis (DVS) pada 28 Julai 2015. DVS
Perlis telah mengambil tindakan dengan mengarahkan
anjing tersebut dikuarantin serta dilakukan pemantauan
harian. Pada 30 Julai 2015 (hari kedua dikuarantin),
anjing tersebut telah mati dan sampel otak anjing
tersebut telah dihantar ke Institut Penyelidikan
Veterinar (VRI) Ipoh bagi tujuan pengesahan diagnosis.
Pada 17 Ogos 2015, VRI telah mengesahkan jangkitan
Jurnal Intelek (2015) Vol 10(1): 55-66
ISSN 2231-7716 © PJIM&A, UiTM Perlis
57
virus Rabies pada anjing tersebut.
Justeru, pewartaan sebagai kawasan wabak
penyakit Rabies di Perlis telah dibuat oleh Kerajaan
Negeri pada 19 Ogos 2015. Sehingga 10 September
2015, penyakit ini telah merebak ke beberapa kawasan
termasuk Kubang Tiga, Panggas Besar, Guar Nangka
dan Pauh.
Kes Rabies di Negeri Kedah
DVS Negeri Kedah telah menjalankan survey dan
pengambilan sampel pada hujung Ogos 2015 di daerah
Kubang Pasu dan Kota Setar melalui pemusnahan
anjing terbiar dan liar dalam langkah kawalan dan
pecegahan penyakit Rabies,
Pada 13 September 2015, VRI memaklumkan kes
positif Rabies terhadap sampel dari Negeri Kedah.
Sementara itu, dilaporkan 18 kes gigitan anjing pada
manusia sehingga 20 September 2015 dengan dua
daripadanya melibatkan anjing gila. Pengarah Jabatan
Kesihatan Kedah, Dr. Norhizan Ismail berkata ia
membabitkan 17 ekor anjing dengan dua kes berlaku di
Kota Setar, Kuala Muda (tiga), Kulim (tiga), Kubang
Pasu (enam), Padang Terap (satu), Bandar Baharu
(satu) dan Langkawi (dua) (Kedah Catat 18 Kes
Gigitan, 2 Babit Anjing Gila, Mynewshub.cc, 22
September 2015).
Hanya seekor anjing sahaja dapat ditangkap
daripada 5 kes dan ujian ke atas sampel anjing tersebut
mengesahkan kewujudan Rabies. Setakat ini, 17 sampel
daripada anjing terbiar dan liar telah didapati positif
Rabies. Pewartaan bagi Perintah Kawasan Jangkitan
Anjing Gila dan Perintah Suntikan Pencegahan Anjing
Gila telah diwartakan pada 18 September 2015 untuk
keseluruhan negeri Kedah.
Kes Rabies di Negeri Pulau Pinang
Kes berikutnya di Pulau Pinang, seorang kanak-kanak
digigit anjing di Balik Pulau dan sampel telah diambil
dan disahkan positif bagi penyakit Rabies pada 16
September 2015.
Operasi kawalan dan pencegahan penyakit Rabies
dimulakan sebaik sahaja pewartaan sebagai kawasan
wabak penyakit Rabies dibuat Kerajaan Negeri Pulau
Pinang. Jawatankuasa antara agensi (KKM, PBT,
Daerah, Negeri dan lain-lain agensi berkaitan) telah
diaktifkan untuk memberi kerjasama dengan pihak
DVS dalam menangani wabak Rabies.
Tindakan Kawalan Wabak Rabies
Jabatan Perkhidmatan Verterinar telah mengambil
langkah strategik kawalan dan pencegahan penyakit
Rabies khususnya di tiga negeri yang disahkan wabak
Rabies.
Antara tindakan utama yang dilaksanakan adalah
kawalan pemusnahan dan persampelan anjing
terbiar/liar atau tidak bertuan; mempertingkatkan
kempen kesedaran awam supaya anjing perlu
divaksinasi dan dilesenkan khususnya di kawasan zon
penampan sekitar jarak 30 km dari sempadan negara
Thailand (Immune-Belt); anjing yang bertuan
dinasihatkan mengurung/mengawal anjing dari terdedah
kepada anjing liar; kawalan pemindahan serta kawalan
import.
Pada masa sama, Timbalan Menteri Kesihatan,
Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya memberi jaminan bahawa
rakyat Malaysia tidak perlu bimbang kerana setiap
hospital di negeri terlibat telah dibekalkan sejenis
serum iaitu “immunoglobulin” secukupnya yang akan
memberi mangsa antibodi melawan virus anjing gila
(Penyakit Anjing Gila Masih Terkawal-Dr Hilmi,
Mynewshub.cc, 23 September 2015).
Signifikan Nas Yang Menyebutkan Anjing
Sebagai Haiwan Fasiq
Nabi Muhammad SAW ada memperingatkan akan
bahaya haiwan tertentu melalui sabda baginda SAW
sejak ribuan tahun dahulu. Perkara ini menjadi dasar
perbahasan apabila memperkatakan mengenai
kelompok haiwan fasiq (haiwan perosak) dalam Islam.
Sabda Nabi SAW;
Terjemahan: Diriwayatkan daripada Saidatina
‘A’ishah RA, Nabi SAW pernah bersabda: “Lima
(jenis) haiwan yang fasiq dan boleh dibunuh
walaupun di tanah haram iaitu: tikus, kala
jengking, burung helang, burung gagak dan anjing
lia.” [Hadith riwayat al-Bukhari]
Lafaz “haiwan fasiq” dalam hadith di atas
bermaksud haiwan perosak, liar, buas, jahat,
pengganggu, penceroboh dan berbahaya kepada
manusia (Ibn Manzur, 2003). Haiwan dalam hadith
merujuk kepada lima jenis haiwan perosak utama, iaitu
tikus, kala jengking, helang, gagak dan anjing liar.
Namun, ia tidak terhad pada lima haiwan tersebut. Nabi
SAW turut menyebutkan ular dan cicak dalam riwayat
lain (Ibn Hajar al-‘Asqalani, 2006).
Fasiq Dan Signifikannya Kepada Haiwan
Penggunaan “fasiq” bagi manusia bermakna keluarnya
seseorang dari jalan ketaatan kepada Allah SWT dan
banyak melakukan maksiat. Manusia fasiq disebut
sebagai “al-‘Asi” (Muhammad ‘Abd al-Rahman bin
‘Abd al-Rahim al-Mubarak Furi, t.t.). Manakala
penggunaan “fasiq” pada haiwan bermaksud dicabut
kehormatan sebahagian haiwan disebabkan sifatnya
Jurnal Intelek (2015) Vol 10(1): 55-66
ISSN 2231-7716 © PJIM&A, UiTM Perlis
58
yang membawa datang kemudaratan, kehinaan dan
kemusnahan kepada manusia (Ahmad bin ‘Ali bin
Hajar al-‘Asqalani, 2001).
Berkaitan istilah [ ِ
ّ
باَ
وﱠ
ﺪﻟا] iaitu haiwan melata, para
ulama bersepakat penggunaan istilah tersebut dalam
hadith tidak terhad kepada haiwan darat bahkan
meliputi kalangan burung yang terbang di awan. Ini
berdasarkan keumuman firman Allah SWT;
Terjemahan: “Dan tiadalah sesuatupun dari
makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan
Allah jualah yang menanggung rezekinya dan
mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia
disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab
(Lauh Mahfuz) yang nyata. [Surah Hud (11): 6]”
Ketujuh-tujuh haiwan fasiq tersebut kesemua
memiliki sifat zalim yang boleh mengancam
kesejahteraan hidup (Abu al-Tayyib Muhammad Syams
al-Haq al-‘Azim Abadi, 1968).
Berkenaan jumlah sebenar haiwan yang disifatkan
sebagai haiwan fasiq, Imam al-Suyuti telah menyatakan
bahawa lima jenis haiwan fasiq yang utama iaitu tikus,
kala jengking, helang, gagak dan anjing sebagaimana
diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar RA tidak bermaksud
ianya khusus kepada lima jenis haiwan itu sahaja. Ia
hanya merupakan salah satu bentuk i’tibar (contoh)
dalam menyatakan jenis haiwan fasiq dan tidak menjadi
dasar ketetapan dalam hujah dan hukum hanya bagi
kelima-lima jenis haiwan itu sahaja.
Kemungkinan Nabi SAW menyebutkan kelima-
lima jenis haiwan ialah pada mulanya dan kemudiannya
baginda SAW menyebutkan selepas itu jenis-jenis
haiwan yang lain yang sama hukum fasiqnya dengan
lima haiwan yang utama. Maka, bilangan “lima”
haiwan fasiq ini tidaklah tetap.
Turut dinyatakan dalam sebahagian riwayat
‘A’ishah RA dengan lafaz “empat” dan juga “enam”.
Adapun hadith yang menyatakan “empat” jenis haiwan
fasiq yang dikeluarkan oleh Imam Muslim riwayat al-
Qasim dari ‘A’ishah RA dengan tidak menyebutkan
gagak. Manakala “enam” jenis haiwan fasiq
sebagaimana dinyatakan Imam Muslim riwayat dari
Abu ‘Uwanah dari ‘A’ishah RA pula ditambah ular.
Dalam hadith riwayat Abu Sa‘id al-Khudri RA
pula, disebutkan sebanyak “tujuh” jenis haiwan fasiq
dengan tambahan “al-Sab’u al-‘Adi” iaitu haiwan buas
yang biasa secara adatnya memusuhi manusia.
Selain itu, dalam hadith riwayat Abu Hurayrah RA
yang dikeluarkan oleh Ibn Khuzaymah, ada dinyatakan
harimau dan serigala yang menjadikan “sembilan”
haiwan fasiq. Hadith ini juga turut dikeluarkan oleh Ibn
Abu Shaibah, Sa‘id bin Mansur dan Abu Dawud dari
jalan Sa‘id bin Musayyib.
Namun begitu, berkenaan empat, lima, enam, tujuh
dan sembilan jenis haiwan fasiq, hanya untuk
menunjukkan persepakatan ulama tentang ‘illah sifat
haiwan tersebut iaitu “menyakiti” (‘aqur), “tidak
bermanfaat” dan “suka berbuat kerosakan” pada
manusia (Ahmad bin ‘Ali bin Hajar al-‘Asqalani, 2001;
Abu ‘Abd Allah Muhammad bin Ahmad bin Abu Bakr
al-Qurtubi, 2006; ‘Ali bin Adam bin Musa al-Ityubi al-
Wallawi, t.t.).
Dalam bahasa mudahnya, ia bermaksud “haiwan
perosak” iaitu haiwan-haiwan yang melanggar
sunnatullah sebagai makhluk yang sepatutnya tunduk
kepada pemerintahan manusia sebagai khalifah Allah
SWT dan menambah kemusnahan di muka bumi (Abu
‘Abd Allah Muhammad bin Muhammad bin Yusuf al-
Sanusi al-Hasani, t.t.).
Perkaitan tikus, cicak dan haiwan lain yang
dinamakan Nabi SAW sebagai fasiq, hanya sebagai satu
bentuk perumpamaan (isti’arah) kepada aspek
kemudaratan yang dibawa oleh haiwan-haiwan berikut
(Muhammad ‘Abd al-Rahman bin ‘Abd al-Rahim al-
Mubarak Furi, t.t.). Imam Ibn Daqiq al-‘Aid ada
menyatakan;
“Memperlakukan hukum tersebut (memanggil fasiq)
pada semua haiwan yang mempunyai sifat
“mengganggu (menyakiti manusia)” merupakan
pandangan yang kuat menurut ulama qias. Ini jelas
menurut isyarat nas yang membolehkan membunuh
kelompok haiwan tertentu, kerana sifatnya yang
fasiq, yakni melampaui batas” (Ibn Hajar al-
‘Asqalani, 2006).
Justeru, faktor utama haiwan dikaitkan dengan
istilah fasiq amat berkaitan dengan sifat “mengganggu”,
“mendatangkan mudarat,” dan “melampaui batas”
haiwan-haiwan tertentu kepada manusia. Imam al-
Nawawi ada menyatakan bahawa haiwan-haiwan
tertentu digelar fasiq oleh kerana keluarnya hanya
mengganggu dan membuat kerosakan di jalan yang
biasa dilalui haiwan tunggangan (Yahya bin Sharf Al-
Nawawi, 1930).
Perkaitan Haiwan Fasiq Dengan Haiwan
Perosak
Menurut Kamus Dewan, haiwan perosak bermaksud
haiwan yang merosak dan memusnahkan sesuatu benda
misalnya tanaman dan harta benda manusia. Haiwan
perosak juga bererti haiwan yang jahat. Manusia seperti
golongan petani tidak suka dengan haiwan perosak dan
ia dibunuh melalui penggunaan racun (Kamus Dewan
Online, 20 September 2013). Melihatkan kepada
takrifan secara asas, definisi haiwan perosak adalah
sama dengan haiwan fasiq.
Jurnal Intelek (2015) Vol 10(1): 55-66
ISSN 2231-7716 © PJIM&A, UiTM Perlis
59
Namun, takrifan haiwan perosak dalam Islam lebih
meluas. Para ulama menggunakan istilah haiwan fasiq
kerana ada dinyatakan Nabi Muhammad SAW.
Kelompok haiwan fasiq tidak terhad kepada haiwan
yang disebutkan dalam riwayat sahaja, (iaitu tikus, kala
jengking, gagak, helang, cicak, ular dan anjing).
Mereka turut memasukkan spesies haiwan lain
seperti lipan, serigala dan harimau malah semua haiwan
yang bersifat memusuhi manusia atau haiwan ternakan,
menjejaskan kesihatan atau hasil tanaman dalam
kategori “haiwan fasiq”. Pendapat ini disokong oleh
para pendokong mazhab Syafie, Maliki, Hanafi dan
Hanbali (Ibn Hajar al-‘Asqalani, 2006).
Oleh itu, para ulama bersepakat bahawa permisalan
anjing ‘aqur yang ada dinyatakan dalam hadith adalah
untuk mengisyaratkan gelaran “fasiq” kepada semua
haiwan sama sifat yang mengganggu manusia dengan
cara mengancam dan menyerang dengan gigitan taring
dan gigi tajam seperti serigala, beruang, dubuk,
harimau, buaya, jerung dan singa.
Kesimpulannya, semua haiwan yang memiliki
sifat-sifat yang ditonjolkan anjing ‘aqur adalah
tergolong dalam kalangan haiwan fasiq yang harus
dibunuh jika berbahaya dan terdapat ancaman.
Hal ini kerana haiwan perosak mempunyai
persamaan dengan haiwan fasiq dari aspek
menghadirkan mudarat, gangguan dan ancaman kepada
manusia, haiwan ternakan, harta benda dan hasil
tanaman.
Justeru, istilah haiwan perosak tidak berbeza
dengan haiwan fasiq. Haiwan fasiq hanyalah istilah
perumpamaan baginda SAW dalam memberi panduan
untuk menentukan haiwan yang melampaui batas dan
harus dihindari demi memelihara agama, nyawa, akal,
harta benda dan keturunan umat Islam (Muhammad
‘Abd al-Rahman bin ‘Abd al-Rahim al-Mubarak Furi,
t.t.).
Ulasan Fiqh al-Hadith Mengenai Anjing
Sebagai Haiwan Perosak
Anjing Dan Sifatnya
Anjing merupakan haiwan peliharaan popular dalam
kalangan masyarakat selain kucing. Anjing terdiri dari
pelbagai spesies dan warna. Deria bau, pendengaran
yang tajam, bengis, tidur yang tidak pernah lena,
penyayang dan bijak telah membuatkannya bermanfaat
bagi manusia.
Dikatakan manusia pertama menggunakan anjing
sebagai pengawal ialah Nabi Nuh AS (‘Ali bin Adam
bin Musa al-Ityubi al-Wallawi, t.t.).
Berkenaan istilah yang merujuk kepada sifat anjing
(fasiq atau perosak) yang berbahaya dan harus dibunuh,
Nabi SAW menggunakan istilah “al-Kalb al-‘Aqur”
bermaksud anjing liar yang menyerang dan menggigit
(ganas). Justeru, para ulama berselisih pendapat tentang
maksud sebenar “al-Kalb al-‘Aqur.”
Sebahagian mereka mengatakan singa, sebahagian
mengatakan serigala dan sebahagian lagi mengatakan
semua haiwan buas bertaring.
Imam Abu Hanifah pula berpandangan “‘aqur”
yang dimaksudkan hadith adalah khusus kepada anjing,
tidak ada haiwan yang memiliki sifat sepertinya kecuali
serigala. Manakala Imam Malik berpendapat semua
haiwan yang mengigit, menyerang dan menakutkan
manusia seperti singa dinamakan ‘aqur. Inilah pendapat
yang menjadi pegangan jumhur (Ibn Hajar al-‘Asqalani,
2006).
Maksud “al-Kalb al-‘Aqur” tidak terhad kepada
anjing. Ia turut meliputi haiwan pemangsa lain misalnya
serigala, beruang dan harimau yang memusuhi manusia
secara semulajadi dan mengancam dengan taringnya.
Pandangan ini turut disokong oleh Zayd Aslam, Sufyan
al-Thawri, Ibn ‘Uyaynah, Imam al-Shafi‘i dan Imam
Ahmad (Yahya bin Sharf Al-Nawawi, 1930).
Oleh itu, anjing dan haiwan ganas lain yang
bersifat memusuhi, mengancam dan menyakiti manusia
adalah termasuk dalam hukum al-Kalb al-‘Aqur.
Pengharaman Anjing Dalam Islam
Pengharaman anjing adalah pada memakan daging,
bukan menyentuhnya. Oleh itu, mazhab Hanafi
berpandangan anjing bukan najis kerana ia bermanfaat
untuk pelbagai kegunaan. Hanya bahagian mulut, air
liur, dan muntahnya dikira najis dan perlu dicuci
dengan tujuh kali basuhan berdasarkan nas; (Wahbah
al-Zuhayli, 1985)
Terjemahan: Diriwayatkan daripada Abu Hurayrah
RA katanya: Rasullullah SAW bersabda: “Apabila
anjing menjilat (minum) di dalam bekas kamu,
maka (tumpahkan isinya) dan basuhlah ia sebanyak
tujuh kali.” [Hadith riwayat Muslim, Abu Dawud,
al-Tirmidhi, al-Nasa’i dan Ibn Majah]
Menurut mazhab Maliki, anjing sama ada
digunakan untuk tujuan berburu, mengawal ternakan
atau sebaliknya adalah suci. Jika terdapat jilatan, titisan
air liur atau kakinya masuk ke dalam bekas, hendaklah
dicuci atas dasar mentaati perintah Nabi SAW. Mazhab
al-Shafi’i dan Hanbali pula berpandangan anjing dan
semua bahagiannya adalah najis (Wahbah al-Zuhayli,
1985).
Bagi pemelihara anjing, pahalanya akan
berkurangan setiap hari. Ini berasaskan hadith;
Terjemahan: “Seseorang yang memelihara anjing,
maka amal seseorang itu akan berkurang, satu qirat
setiap hari, kecuali anjing penjaga tanaman dan
Jurnal Intelek (2015) Vol 10(1): 55-66
ISSN 2231-7716 © PJIM&A, UiTM Perlis
60
penjaga haiwan ternak.” [Hadith riwayat al-
Tirmidhi]
Oleh itu, seseorang Muslim tidak boleh
memelihara anjing di dalam rumah melainkan untuk
keperluan keselamatan dan perburuan.
Syeikh Ahmad Kutty berpendapat anjing tidak
boleh dipelihara kecuali bagi tujuan perburuan, anjing
pemandu bagi orang kurang upaya, membantu
penternakan haiwan, menjaga keselamatan rumah dan
terlibat dalam proses penguatkuasaan undang-undang
oleh polis dan kastam (Monika@Munirah Abd Razak,
Nik Mohd Zaim Ab. Rahim, 2011). Hal ini kerana
setiap sesuatu yang mengurangkan pahala adalah
petunjuk kepada hukum haram.
Menurut Ibn Hajar, anjing haram dipelihara kerana;
[Pertama] boleh menakutkan jiran, tetamu dan orang
lalu lalang. [Kedua]: Mengurangkan pahala
pembelanya. [Ketiga]: Keengganan malaikat masuk ke
dalam rumah yang ada anjing.
Terjemahan: Diriwayatkan daripada ‘Ubaidillah bin
‘Abdillah katanya: dia mendengar Ibn ‘Abbas RA
berkata: Aku mendengar dari Abu Talhah al-Ansari
RA (Zaid bin Sahl bin Aswad) berkata: Aku
mendengar Rasullullah SAW bersabda: “Malaikat
tidak akan masuk ke dalam rumah yang di
dalamnya ada anjing dan gambar yang menyerupai
(sesuatu yang bernyawa).” [Hadith riwayat al-
Bukhari]
[Keempat]: Tabiat anjing yang suka menjilat dan
kenajisan jilatan itu akan menyukarkan pembelanya
(Ahmad bin ‘Ali Ibn Hajar al-‘Asqalani, 1986).
Hukum Membunuh Anjing
Terjemahan: Diriwayatkan daripada ‘Abd Allah Ibn
‘Umar RA, “Sesungguhnya Rasullullah SAW telah
memerintahkan supaya dibunuh anjing-anjing.”
[Hadith riwayat al-Bukhari, al-Tirmidhi, al-Nasa’i
dan Ibn Majah]
Jika dilihat secara zahir, Nabi SAW telah
memerintahkan agar dibunuh semua jenis anjing.
Namun, perintah ini kemudiannya dimansukhkan
melalui sabda berikut,
Terjemahan: Diriwayatkan daripada ‘Abd Allah bin
Maghfal RA katanya: Rasullullah SAW bersabda:
“Kalaulah anjing bukan merupakan satu umat dari
umatku, nescaya akan aku perintahkan supaya
dibunuh semuanya, maka bunuhlah daripadanya
setiap (anjing) yang hitam.” [Hadith riwayat Abu
Dawud]
Mengulas nas berikut, Abu Sulayman al-Khattabi
berkata Islam tidak suka akan kepupusan sesuatu umat.
Setiap makhluk memiliki peranan tersendiri dalam
ekosistem (Yusuf al-Qardawi, 1997).
Menurut al-Khattabi lagi, “anjing hitam”
merupakan perumpamaan bagi anjing jahat yang
mengancam manusia (‘Izzat ‘Ubaid al-Da‘as, 1997).
Anjing hitam merupakan spesies anjing paling jahat dan
buas (Abu al-Tayyib Muhammad Syams al-Haq al-
‘Azim Abadi, 1968). Hasil buruan anjing hitam juga
tidak halal dimakan (‘Izzat ‘Ubaid al-Da‘as, 1997).
Malah, anjing hitam turut dikaitkan dengan syaitan. Ini
berdasarkan hadith;
Terjemahan: Diriwayatkan daripada Abu Dhar RA
katanya: “Aku telah bertanya kepada Rasullullah
SAW tentang anjing hitam, maka Rasullullah SAW
bersabda: Itu adalah syaitan.” [Hadith riwayat Ibn
Majah]
Justeru, umat Islam tidak boleh membunuh semua
jenis anjing. Hanya jenis “anjing hitam” dan
seumpamanya sahaja yang perlu dibunuh (Safa al-
Dawwi Ahmad al-‘Adawi, 1999). Jenis anjing lain
perlu dibiarkan tanpa gangguan. Anak-anaknya yang
tidak bersifat dengan sifat sedemikian (al-‘aqur) juga
terkecuali dari kategori haiwan fasiq yang perlu
dibunuh.
Metode Interaksi Dengan Haiwan Fasiq
(Haiwan Perosak) Berasaskan Fiqh al-Hadith
Mengenal haiwan fasiq dan jenis seumpamanya
merupakan piawaian utama dalam hal ini. Haiwan fasiq
(haiwan perosak) dikenalpasti berasaskan empat dasar
utama iaitu:
[Pertama]: Haiwan yang mengganggu kesejahteraan
hidup manusia (melampaui batas).
[Kedua]: Haiwan yang mengancam nyawa dan
kesihatan manusia.
[Ketiga]: Haiwan yang merosakkan harta benda
(membuat kemusnahan dan kerosakan).
[Keempat]: Haiwan yang mengancam haiwan ternakan
dan tanaman.
Memahami sifat-sifat haiwan fasiq, membolehkan
langkah mengenalpasti, mencegah dan menangani
ancaman kelompok haiwan perosak dan seumpama
dapat dilakukan dengan lebih berkesan. Ini sekaligus
mengelakkan sebarang kekeliruan yang boleh
menyebabkan kepupusan haiwan yang tidak terlibat dan
menyumbang kepada ketidakstabilan ekosistem.
Allah SWT telah memberikan kebebasan untuk
membunuh haiwan fasiq (haiwan perosak). Namun,
hak-hak haiwan perlu dipelihara. Semasa proses
penyembelihan misalnya, umat Islam disuruh
Jurnal Intelek (2015) Vol 10(1): 55-66
ISSN 2231-7716 © PJIM&A, UiTM Perlis
61
melakukannya jauh dari pandangan haiwan lain dan
begitu juga keadaan selepasnya. Ini bertujuan melatih
manusia menghormati dan menghargai sesuatu jiwa.
Rasullullah SAW menggalakkan umatnya
menunjukkan rasa timbang rasa terhadap haiwan, tidak
memukul, tidak membiarkannya kelaparan, tidak
melaga-lagakan haiwan sesama sendiri apatah lagi
menzaliminya.
Mengetahui kaedah terbaik untuk berinteraksi
dengan kelompok haiwan fasiq (haiwan perosak)
sekaligus menghilangkan mudaratnya pada manusia.
Metode terbaik diajarkan Nabi SAW ialah dengan
cara membunuh. Malah, gelaran fasiq terhadap haiwan
itu sendiri telah menjadikannya harus dibunuh (Ahmad
bin ‘Ali bin Hajar al-‘Asqalani, 2001). Hal ini
berlandaskan kaedah fiqh al-Darar Yuzal, iaitu
kemudaratan mesti dihapuskan (Abd. Latif Muda,
Rosmawati Ali @ Mat Zin, 2000).
Kaedah Membunuh Haiwan Perosak
Islam menganjurkan umatnya supaya menggunakan
cara paling ihsan dalam melaksanakan pembunuhan.
Cara terbaik untuk membunuh kelompok haiwan
tersebut ialah dengan satu kaedah asas dalam Islam
iaitu dengan satu pukulan yang terus mematikan.
Hal ini dikiaskan dari cara membunuh cicak yang
diajarkan Nabi SAW. Sekaligus dapat mengelakkan
haiwan tersebut terseksa menanggung kesakitan
sementara menunggu pukulan kedua (Abu ‘Abd Allah
Muhammad bin Muhammad bin Yusuf al-Sanusi al-
Hasani, t.t.; Muhammad bin ‘Abd Rahman Ibn ‘Abd
Rahim al-Mubarakfuri, t.t.).
Sheikh ‘Iz al-Din Ibn ‘Abd al-Salam turut
menyebutkan membunuh dengan pukulan pertama
merupakan kaedah terbaik (Abu al-Tayyib Muhammad
Syams al-Haq al-‘Azim Abadi, 1968) bahkan menepati
maqasid hadith Nabi SAW berikut,
Terjemahan: Diriwayatkan daripada Shaddad bin
Aws RA, sesungguhnya Nabi SAW pernah
bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT telah
mewajibkan ihsan kepada semua perkara. Jika
kamu membunuh, maka elokkan pembunuhan kamu
(bunuh dengan sifat ihsan).” [Hadith riwayat
Muslim dan Abu Dawud]
Mengulas cara paling tepat membunuh haiwan
fasiq, harus diteliti pada kaedah Saidatina ‘A’ishah RA.
Beliau menggunakan tombak dan lembing untuk
membunuh cicak.
Terjemahan: Diriwayatkan daripada Sa‘id bin al-
Musayyib RA, ada seorang perempuan (Ummu
Sharik) datang kepada ‘A’ishah RA dan di
tangannya ada lembing. Maka ‘A’ishah bertanya:
"Untuk apakah lembing ini?'. Ummu Sharik pun
menjawab: "Untuk membunuh cicak. Kerana
Sesungguhnya Nabi SAW telah menceritakan saat
Nabi Ibrahim AS ketika dicampakkan ke dalam api,
tiada seekor pun haiwan yang tidak cuba
memadamkan api yang sedang membakar kecuali
cicak, maka Nabi SAW memerintahkan agar
membunuhnya." [Hadith riwayat al-Nasa’i].
Terjemahan: Diriwayatkan daripada Sa’ibah Maulah
Al-Fakih bin Al-Mughirah bahawasanya dia
menemui ‘Aisyah RA dan melihat di dalam
rumahnya terdapat sebuah tombak. Dia pun
bertanya kepada ‘A’ishah RA: “Wahai Ummul
Mu’minin, apa yang engkau lakukan dengan
tombak ini?”. ‘Aisyah RA menjawab: “Untuk kami
membunuh cicak-cicak. Sesungguhnya Nabi SAW
pernah memberitahu kami bahawa tatkala Ibrahim
AS dilemparkan ke dalam api tidak ada satu pun
haiwan di bumi saat itu kecuali dia akan
memadamkannya kecuali cicak yang meniup-
niupkan apinya. Maka Rasulullah SAW
memerintahkan agar membunuhnya.” [Hadith
riwayat Ibn Majah].
Signifikannya, hal ini dilakukan agar urusan
pembunuhan menjadi lebih baik (‘Ali bin Adam bin
Musa al-Ityubi al-Wallawi, 1996) sebagaimana
dikiaskan dari penggunaan pisau tajam bagi
menyembelih haiwan agar tidak menyeksakan dan
kurang mendatangkan kesakitan.
Selanjutnya, Islam melarang membunuh haiwan
dengan cara membakar, melemas, memberi makan
makanan beracun atau cara lain berasaskan kekejaman.
Ini berpandukan hadith riwayat Abu Hurayrah RA:
Terjemahan: “Seorang nabi daripada nabi-nabi
telah duduk dibawah sebatang pokok, dan seekor
semut betina menggigitnya, maka baginda telah
memerintahkan pengikutnya supaya keluar dari
(kawasan) bawah pokok tersebut. Kemudian
baginda memerintahkan supaya dibakar seluruh
sarang semut tersebut dengan api, maka Allah SWT
mewahyukan kepadanya: Adakah hanya kerana
seekor semut betina?” [Hadith riwayat al-Bukhari,
Muslim dan Abu Dawud]
Kaedah Memukul dan Menyembur Racun Pada
Haiwan Perosak
Terjemahan: Diriwayatkan daripada Jabir RA
berkata: “Rasullullah SAW melarang memukul
haiwan pada bahagian muka dan menyembur racun
pada mukanya.” [Hadith riwayat Muslim dan al-
Tirmidhi]
Jurnal Intelek (2015) Vol 10(1): 55-66
ISSN 2231-7716 © PJIM&A, UiTM Perlis
62
Mengulas nas berikut, memukul haiwan pada
bahagian muka adalah dilarang kerana kepala
merupakan anggota tubuh yang lembut dan sensitif.
Ijma’ ulama turut mengharamkan semburan racun pada
muka haiwan berdarah (al-Adami) seperti keldai dan
unta kerana menyeksa haiwan. Riwayat lain menyebut,
baginda SAW pernah melaknat orang yang meracun
himar (keldai) pada wajahnya (Yahya bin Sharf Al-
Nawawi, 1969).
Bagi perbuatan menyembur racun pada wajah
haiwan tidak berdarah (ghair al-Adami) seperti semut
dan kala jengking, Imam al-Nawawi menghukum
makruh perbuatan tersebut. Imam al-Baghawi pula
tetap tidak membolehkannya, dengan merujuk kepada
laknat Nabi SAW yang menunjukkan pengharaman
sesuatu perbuatan.
Kesimpulannya, menyembur racun pada muka
haiwan berdarah (al-Adami) adalah haram. Semburan
racun yang diharuskan Islam hanya pada anggota selain
dari muka. Misalnya pada belakang badan unta dan
lembu bertujuan membezakan haiwan ternakan. Inilah
pegangan sahabat RA dan jumhur ulama. Namun,
Imam Abu Hanifah tetap tidak membolehkannya dan
menghukum makruh kerana menyeksakan haiwan
(Yahya bin Sharf al-Nawawi, 1969).
Sebaiknya, penggunaan racun untuk menangani
ancaman haiwan fasiq jenis berdarah (al-Adami) perlu
dielakkan. Kaedah seperti menembak dan memukul
lebih berkesan terhadap kelompok tersebut. Hal ini
kerana racun boleh memberi kesan buruk yang
menyeksakan dengan cara meresap ke dalam saluran
darah dan merosakkan organ dalaman haiwan.
Bagi haiwan tidak berdarah (ghair al-Adami),
menyembur racun pada bahagian selain muka adalah
harus. Jika menyembur racun pada bahagian muka,
hukumnya makruh (Yahya bin Sharf al-Nawawi, 1969)
dan tidak sampai kepada hukum haram. Ini mengambil
kira pandangan Imam al-Nawawi dan kesulitan dalam
menangani ancaman haiwan fasiq tidak berdarah (ghair
al-Adami) yang kecil, licik dan sukar ditentukan
bahagian yang ingin disembur racun.
Kaedah Pemindahan dan Pemusnahan Habitat
Haiwan Perosak
Habitat haiwan fasiq (haiwan perosak) yang tinggal
jauh dari manusia seperti kala jengking, ular, helang
dan seumpama tidak boleh dimusnahkan. Hal ini kerana
ia menjadi tempat tinggal anak-anak haiwan terbabit
yang terkecuali dari hukum haiwan fasiq. Haiwan jenis
ini lebih tertumpu mencari mangsa untuk dimakan,
bersifat mementingkan kawasan dan jarang
mengganggu manusia melainkan diancam atau
kawasannya telah diceroboh.
Bagi spesies haiwan fasiq (haiwan perosak) yang
tinggal di dalam atau berhampiran persekitaran manusia
sehingga menghadirkan gangguan dan ancaman kepada
manusia seperti tikus, gagak, anjing dan cicak. Habitat
tersebut wajib dimusnahkan dan anak-anaknya perlu
dibunuh atau dipindahkan dari kediaman manusia.
Kaedah Efektif Kontemporari Yang Selaras Dengan
Tuntutan Syara’
Bagi haiwan fasiq yang lebih besar dan tidak mungkin
mati dengan satu pukulan seperti anjing, cara lain
adalah diharuskan seperti menembak, memasang jerat,
perangkap dan penggunaan pagar elektrik harus
dilakukan jika berkesan menghindarkan gangguan
makhluk perosak dengan syarat tiada unsur penyeksaan
dan ikhlas kerana Allah SWT (Yahya bin Sharf al-
Nawawi, 1969).
Oleh itu, metode lain adalah harus dilaksanakan
sesuai dengan kemajuan teknologi semasa dalam
interaksi manusia dengan haiwan fasiq (haiwan
perosak).
Prinsip utama dalam interaksi dengan haiwan fasiq
(haiwan perosak) mestilah dijaga, iaitu membunuh
bukan sekadar suka-suka, tetapi atas dasar maslahah,
ikhlas dalam perbuatan, tidak mengandungi unsur
penyeksaan dan penganiayaan haiwan serta efektif.
Islam mengutuk perbuatan membunuh mana-mana
haiwan tanpa keperluan. Hal ini dijelaskan menerusi
hadith berikut;
Terjemahan: Diriwayatkan daripada ‘Amru bin al-
Sharid katanya, aku mendengar al-Sharid RA
berkata: Aku mendengar Rasullullah SAW
bersabda: “Barangsiapa membunuh burung sia-sia,
maka ia akan mengadu di hadapan Allah SWT nanti
dengan berkata: “Ya Allah ya tuhanku, si fulan
telah membunuhku sia-sia dan bukan untuk
manfaat.” [Hadith riwayat al-Nasa’i]
Teknik Kawalan Khusus Terhadap Anjing
Penyebar Wabak Rabies
Berbalik kepada permasalahan anjing penyebar rabies
yang mendapat perhatian di Malaysia sejak akhir-akhir
ini, perlu diketahui rabies merupakan virus yang dapat
menjelaskan otak dan sumsum tulang belakang semua
mamalia, termasuk anjing, kucing dan manusia.
Meskipun ia dapat dicegah, terdapat fakta yang
membuatkan penyakit rabies ditakuti oleh orang ramai.
Menurut World Health Organization (WHO), pada
setiap tahun, rabies menyebabkan kematian sebanyak
55,000 orang dan jutaan haiwan di seluruh dunia di
mana 56% berlaku di Asia dan 44% di Afrika. Setelah
gejala-gejala jangkitan rabies muncul, riwayat mangsa
akan berakhir dengan kematian.
Jurnal Intelek (2015) Vol 10(1): 55-66
ISSN 2231-7716 © PJIM&A, UiTM Perlis
63
Tiada kaedah rawatan khusus untuk rabies.
Pencegahan dan tindakan awal mendapatkan vaksin anti
rabies adalah perlu untuk menyelamatkan nyawa
(WHO, Rabies Surveillance, 5 Disember 2015; OIE,
Rabies, 5 Disember 2015)
Manusia merupakan penyebab utama secara tidak
langsung terhadap masalah penyebaran wabak rabies.
Sikap pemilik yang hanya pandai membela haiwan
peliharaan akan tetapi tidak memberikannya makanan,
tempat tinggal atau membiarkan haiwan peliharaan
seperti anjing dan kucing bebas merayau tanpa sekatan,
tidak memberikan suntikan imunisasi pada haiwan
jagaan setahun sekali dan memandang remeh tentang
aspek kesihatan haiwan didapati menyumbang kepada
masalah haiwan berkeliaran, mendorong interaksi
haiwan terhadap manusia sekitar sekaligus
memudahkan penularan wabak rabies.
Anjing liar yang bebas berkeliaran adalah antara
penyebar utama rabies. Rabies boleh menjangkiti
haiwan peliharaan dengan mudah melalui gigitan, air
liur, cairan atau tisu tubuh dari haiwan yang dijangkiti.
Ini seterusnya akan merisikokan manusia yang terdedah
secara langsung kepada haiwan tersebut.
Jangkitan dan penyakit kulit turut boleh berlaku
jika manusia tidak berhati-hati dengan air liur anjing.
Kuman-kuman yang berasal daripada air liur anjing
mampu meresap ke dalam kulit dan membentuk kudis
dan calar-calar badan. Kajian juga membuktikan anjing
adalah penyebab utama kanser payudara pada
kebanyakan wanita di Eropah (Monika@Munirah Abd
Razak, Nik Mohd Zaim Ab Rahim, 2011).
Justeru, hukum fasiq bagi anjing yang bersifat
‘aqur (mampu mengancam, menyakiti dan memusuhi
manusia dengan taring dan gigi) yang boleh dibunuh
turut terpakai terhadap kalangan anjing yang menjadi
penyebar atau telah dijangkiti wabak rabies yang
terbukti berpotensi membawa maut kepada manusia.
Hukum ini secara tidak langsung memberi panduan
bagaimana menangani anjing ganas, galak, liar dan
berpenyakit.
Bagi tujuan itu, Sheikh ‘Atiyyah Saqar, bekas
pengerusi Majlis Fatwa Universiti al-Azhar, Mesir telah
merumuskan hukum membunuh anjing seperti berikut:
1. Tidak boleh membunuh anjing yang terlatih
untuk tujuan-tujuan yang dibenarkan syara’
seperti untuk keselamatan, jurupandu,
penternakan dan seumpama.
2. Anjing yang tidak bermanfaat. Sekiranya
berbahaya seperti mengancam kanak-kanak,
menyebarkan wabak, penyakit atau
mengganggu kejiranan, maka diharuskan
membunuhnya bagi tujuan kawalan. Ini
merupakan pendapat jumhur ulama.
3. Anjing yang tidak bermanfaat dan tidak
memudaratkan. Para ulama berselisih pendapat
sama ada harus atau haram membunuhnya.
Imam al-Haramayn mengecualikan anjing
yang tidak memudaratkan dari dibunuh kecuali
anjing hitam dan seumpama. Mazhab Maliki
pula mengharuskan membunuh semua jenis
anjing kecuali anjing yang bermanfaat kepada
manusia.
Kesimpulannya, anjing perlu dibunuh jika
mengandungi maslahah (kebaikan) kepada manusia dan
sebagai langkah menghindari kejahatannya. Makruh
hukumnya jika membunuh anjing tanpa keperluan
mendesak.
Anak-anak anjing yang tidak bersifat dengan sifat
sedemikian (al-‘Aqur) tidak termasuk dalam kategori
haiwan fasiq dan perlu dibiarkan hidup (Abu ‘Abd
Allah Muhammad bin Ahmad bin Abi Bakr al-Qurtubi,
2006).
Setakat ini, kaedah pelupusan, suntikan PTS (Put
to Sleep) atau kawalan populasi (nama alternatif bagi
pembunuhan) merupakan kaedah terbaik bagi
mengawal wabak secara total.
Jika terdapat kaedah lain yang difikirkan efektif
bagi tujuan pengawalan mengikut kaedah moden dalam
menangani wabak rabies bawaan anjing seperti langkah
penvaksinan, imunisasi, penangkapan dan kuarantin
terhadap anjing seperti yang dicadangkan oleh WHO,
maka tindakan tersebut boleh dilakukan.
Kesimpulan
Islam bukanlah agama yang menganjurkan kekejaman
dan meminggirkan hak-hak haiwan untuk hidup di
muka bumi Allah SWT. Islam meraikan hak dan
keperluan semua pihak selagi mana ia tidak melampaui
batas. Selagi mana haiwan itu hidup, Islam meraikan
kewujudannya. Begitu juga ketika mahu dicabut
nyawanya, Islam mengajarkan cara yang paling ihsan
untuk melakukannya. Hal ini perlu difahami dengan
baik untuk menghindari sebarang bentuk salah faham
terhadap Islam.
Menghilangkan kemudaratan pada sesama Islam
dari segenap arah, termasuk ancaman haiwan fasiq
adalah dalam ruang lingkup amar ma‘ruf, manakala
menzalimi dan membunuh haiwan tanpa hak
merupakan perkara nahy mungkar.
Kerjasama erat antara anggota masyarakat dapat
menjamin keharmonian hidup. Bayangkan jika haiwan
fasiq seperti anjing liar berpenyakit Rabies dibiarkan
bebas tanpa kawalan, nescaya manusia tidak akan
pernah tenteram (Mardzelah Makhsin, 2007).
Oleh itu, jelas apa yang diucapkan Nabi
Muhammad SAW itu benar, tepat dan praktikal
sepanjang zaman. Inilah harta paling bernilai kepada
umat Islam. Hal ini kerana segala yang dianjurkan
Rasullullah SAW berkait rapat dengan kesejahteraan
manusia dan tidak terkecuali turut memelihara hak-hak
Jurnal Intelek (2015) Vol 10(1): 55-66
ISSN 2231-7716 © PJIM&A, UiTM Perlis
64
haiwan dari penindasan. Hasilnya dapat mewujudkan
hubungan sesama makhluk yang lebih selamat dan
harmoni.
Rujukan
‘Ali bin Adam bin Musa al-Ityubi al-Wallawi, Sharh
Sunan al-Nasa’i al-Musamma Dakhirah al-‘Uqba fi
Sharh al-Mujtaba (Riyadh: Dar al-Mi’raj al-Dawliah lil
Nashr, 1996), 24: 390-391
‘Izzat ‘Ubaid al-Da‘as, Sunan Abu Dawud wa Mu‘alim
al-Sunan (Beirut-Lubnan: Dar Ibn Hazm, 1997), 3: 182.
Abd. Latif Muda, Rosmawati Ali @ Mat Zin,
Perbahasan Kaedah-Kaedah Fiqh (Kuala Lumpur:
Pustaka Salam Sdn. Bhd, 2000), 174-194.
Abu ‘Abd Allah Abu ‘Isa al-Tirmidhi, Sunan al-
Tirmidhi (Riyadh: Maktabah al-Ma’arif li Nashr wa al-
Tawzi’, 1996), 33
Abu ‘Abd Allah Muhammad bin Ahmad bin Abu Bakr
al-Qurtubi, Al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an, (Beirut-
Lubnan: Muassasah al-Risalah, 2006), 8: 184.
Abu ‘Abd Allah Muhammad bin Isma‘il al-Bukhari,
“Al-Jami’ al-Musnad Min Hadith Rasullillah wa
Sunanih wa Ayyamih,” dalam Mawsu’at al-Hadith al-
Sharif al-Kutub al-Sittah, ed. Salih bin ‘Abd al-Aziz Al
al-Syakh (Riyadh: Dar al-Salam li Nashr wa al-Tauzi’,
2000), 267.
Abu ‘Abd Allah Muhammad bin Muhammad bin Yusuf
al-Sanusi al-Hasani, Mukammil Ikmal al-Ikmal Sharh
Sahih Muslim (Beirut-Lubnan: Dar al-Kutub al-‘Ilmiah,
t.t.), 3: 312.
Abu ‘Abd Rahman Ahmad bin Shu’aib bin ‘Ali al-
Nasa’i, Sunan al-Nasa’i (Riyadh: Maktabah al-Ma’arif
li al-Nashr wa al-Tawzi’, 1988), 18-19; 60-61, dan Ibn
Majah al-Qazwayni, Sunan Ibn Majah (Riyadh:
Maktabah al-Ma ‘arif lil Nashr wa al-Tawzi’, 1986),
81-82.
Abu al-Husayn Muslim bin al-Hajjaj al-Qushairi al-
Naysaburi, “Sahih Muslim,” dalam Mawsu‘at al-Hadith
al-Sharif al-Kutub al-Sittah, ed. Salih bin ‘Abd al-Aziz
Al al-Shaykh (Riyadh: Dar al-Salam li Nashr wa al-
Tawzi’, 2000), 726
Abu al-Tayyib Muhammad Syams al-Haq al-‘Azim
Abadi, ‘Aun al-Ma‘bud Sharh Sunan Abu Dawud
(Madinah al-Munawwarah: al-Maktabah al-Salafiah,
1968), 5: 300.
Abu Dawud Sulayman bin al-Ashath al-Sajistani,
Sunan Abu Dawud (Riyadh: al-Maktabah al-Ma ‘arif lil
Nashr wa al-Tawzi’, 1988), 18
Al-Fayruz Abadi, al-Qamus al-Muhit (Beirut: Dar Ihya’
al-Turath al-‘Arabi, 1998), 131
Anne Hillyard et al., Endangered Wildlife and Plants of
the World (New York: Marshall Cavendish
Corporation, 2001), 456.
Dr. Keith Brown et al., Oxford Student’s Dictionary of
English (Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd, 2007),
196.
Ibn Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari bi Sharh Sahih al-
Bukhari, terj. Amiruddin et al. (Jakarta: Pustaka Azzam
Penerbit Buku Islam Rahmatan, 2006), 10: 204.
Ibn Majah al-Qazwayni, Sunan Ibn Majah (Riyadh:
Maktabah al-Ma ‘arif lil Nashr wa al-Tawzi’, 1986),
606.
Ibn Manzur, Lisan al-‘Arab (Kaherah: Dar al-Hadith,
2003), 12: 134, dan al-Fayruz Abadi, al-Qamus al-
Muhit (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, 1998),
131.
Kamus Dewan Online, laman sesawang Pusat Rujukan
Persuratan Melayu (PRPM), dicapai pada 20 September
2013,
http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=haiwan+perosa
k
Kedah Catat 18 Kes Gigitan, 2 Babit Anjing Gila, di
laman sesawang Mynewshub.cc pada 22 September
2015.
Laman Sesawang Office International des Epizooties
(OIE), Rabies, dicapai pada 5 Disember 2015
Mardzelah Makhsin, Sains Pemikiran Dan Etika (Kuala
Lumpur: PTS Professional, 2007), 256.
Marion Nestle dan Malden C. Nesheim, The
Authoritative Guide to Feeding your Dog and Cat,
Feed your Pet Right (New York: Free Press, 2010),
327.
Mohd Farhan Md Ariffin (2015), “Analisis Hadith
Mengenai Haiwan Fasiq dalam Al-Kutub Al-Sittah:
Kajian Terhadap Persepsi Masyarakat Melayu Di
Daerah Pengkalan Hulu, Perak” (Disertasi Ijazah
Sarjana, Jabatan al-Qur’an dan al-Hadith, Akademi
Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur).
Jurnal Intelek (2015) Vol 10(1): 55-66
ISSN 2231-7716 © PJIM&A, UiTM Perlis
65
Monika@Munirah Abd Razak dan Nik Mohd Zaim Ab
Rahim, “Hadith-Hadith Mengenai Anjing: Tumpuan
Kepada Isu Pemeliharaan Dan Pengharamannya
Daripada Perspektif Hadith Ahkam,” dalam Seminar
Antarabangsa Sunnah Nabawiyyah: Realiti Dan
Cabaran Semasa (MUSNAD I), ed. Fauzi Deraman,
Ishak Suliaman dan Faisal Ahmad Shah (Jabatan al-
Quran & al-Hadith, Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya, 2011), 518.
Muhammad ‘Abd al-Rahman bin ‘Abd al-Rahim al-
Mubarak Furi, Tuhfah al-Ahwadhi bi Sharh Jami’ al-
Tirmidhi, (t.tp., Dar al-Fikr lil Taba‘ah wa al-Nashr wa
al-Tawzi’, t.t.), 3: 576.
Penyakit Anjing Gila Masih Terkawal - Dr Hilmi, di
laman sesawang Mynewshub.cc pada 23 September
2015.
Penyakit Anjing Gila Masih Terkawal, di laman
sesawang Mynewshub.cc pada 23 September 2015.
Ruth Berman, My Pet Dog (USA: Lerner Publications
Company, t.t.), 53.
Safa al-Dawwi Ahmad al-‘Adawi, Ihda’ al-Dibajah bi
Sharh Sunan Ibn Majah (t.tp., Maktabah Dar al-Yaqin,
1999), 4: 383-384.
Status Wabak Kes Penyakit Rabies Di Perlis, Kedah &
Pulau Pinang, di laman sesawang Mynewshub.cc pada
18 September 2015.
Tunku Iskandar et al., Kamus Dewan (Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa Dan Pustaka, 1970), 33.
Wahbah al-Zuhayli, Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh
(Beirut: Dar al-Fikr al-Mu‘asir, 1985), 1: 153.
World Health Organization (WHO), Rabies
Surveillance, dicapai pada 5 Disember 2015
Yahya bin Sharf Al-Nawawi, Al-Minhaj Sharh Sahih
Muslim (Mesir: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, 1930),
14: 97.
Yusuf al-Qardawi, Fiqih Peradaban Sunah Sebagai
Paradigma Ilmu Pengetahuan (Surabaya: Dunia Ilmu,
1997), 186.
Jadual 1: Perkaitan Haiwan Fasiq Dengan Haiwan
Perosak Masa Kini
Jurnal Intelek (2015) Vol 10(1): 55-66
ISSN 2231-7716 © PJIM&A, UiTM Perlis
66
Jadual 2: Pendekatan Dalam Interaksi Manusia
Terhadap Haiwan Fasiq (Haiwan Perosak)