Ruang kediaman bagi Muslim adalah refleksi keperabadian Muslim dan masyarakatnya. Kediaman yang bersih dan teratur mencerminkan keutuhan keperibadian, adab dan tingkahlaku penghuninya terhadap Tuhannya. Ini telah dibuktikan oleh rekabentuk kediaman di awal Islam (bermula tahun pertama Hijrah) terdahulu bahawa unsur-unsur fizikal (lantai, dinding, siling, pintu, tingkap dan sebagainya) dan spiritual (adab dan tingkahlaku, kepercayaan, ibadat) di dalam rekabentuk kediaman Muslim saling memerlukan. Pengalaman dan rujukan di dalam rekabentuk kediaman terdahulu adalah rujukan penting kepada rekabentuk kediaman Muslim pada hari ini. Tafsiran kediaman Barat yang berasaskan manusia sebagai intipati rekabentuk (human centered) merangkumi aspek fungsional dan estetika semata-mata harus disangkal. Aspek spriritual (tauhid) yang mendominasi rekabentuk kediaman Islam di pandang sebelah mata. Akibatnya rekabentuk kediaman hari ini menjadi amat ringkas, lesu tanpa jiwa kerana pengabaian terhadap elemen spritual dan ketauhidan ini. Rekabentuk Islam yang berasaskan Tauhid dan ketuhanan dikatakan hanya berlaku di rumah Ibadat seperti Masjid, Madrasah dan Istana sahaja. Kertas kerja ini akan membincangkan keperluan elemen-elemen rekabentuk ini untuk pembentukan peribadi keluarga Muslim. Elemen rekabentuk seperti lantai, dinding dan siling beserta elemen- elemen pintu, tingkap , siling, bilik dan lain-lain dikupas berdasarkan adab islami dan keperluan shariah. Antara persoalan yang akan di bincangkan ialah isu privasi, aurat, isu kejiranan, tandas, laluan, keselesaan yang mempunyai hubungkait dengan pembentukan keperibadian Muslim di dalam kediaman Muslim tradisional lampau dan kediaman moden pada hari ini. Kertas kerja ini di harap memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan elemen – elemen rekabentuk kediaman di dalam pembangunan akhlak Muslim pada generasi hari ini.