Kata kunci: Teori Modal Sosial, keagamaan, nilai moral Abstrak: Inisiatif pembangunan negara, Transformasi Negara 2050 (TN50), telah dilancarkan dengan sasaran bahawa Malaysia akan menjadi antara 20 negara terbaik di dunia pada tahun 2050. Pelan ini merangkumi transformasi pendidikan negara, ekonomi, kesejahteraan, alam sekitar, teknologi, interaksi sosial rakyat dan tadbir urus dengan matlamat untuk membentuk sebuah negara yang berkaliber dengan pemikiran yang sangat baik. Namun begitu, aspek keagamaan dari segi nilai kemanusiaan, hormat sesama agama dan kesejahteraan rakyat perlu dititikberatkan di dalam mencapai inisiatif TN50 demi melahirkan generasi masyarakat yang berfikiran global dan profesional di samping memiliki pegangan agama kukuh serta unggul. Selaras dengan itu, kajian ini menggunakan Teori Modal Sosial dengan mengaitkan faktor keagamaan berdasarkan kerangka model King dan Furrow (2004) untuk mengkaji faktor-faktor yang mempengaruhi aspek tingkah laku belia terhadap pembangunan modal insan serta kaitannya dengan pengamalan aktiviti agama. Teori Modal Sosial merangkumi hubungan belia dengan ibu bapa, rakan-rakan serta masyarakat sekeliling manakala model kerangka King and Furrow (2004) merangkumi agama sebagai sebahagian daripada aspek sosial yang mempengaruhi tingkah laku moral individu. Objektif am bagi kajian ini adalah mengenalpasti samada aspek keagamaan mempunyai pengaruh terhadap aspek modal sosial yang menjurus kepada pembentukan nilai moral individu tersebut. Kajian ini dilaksanakan melalui pendekatan kuantitatif menggunakan soal selidik berstruktur yang diedar kepada pelajar UiTM Cawangan Kelantan Kampus Kota Bharu. Dapatan kajian ini boleh digunakan untuk mengenalpasti strategi pembentukan nilai moral ke arah mencapai objektif TN50 khususnya dalam pembangunan modal insan di kalangan belia. Pengenalan Inisiatif pembangunan negara, TN50 atau Transformasi Negara 2050, telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan sasaran yang Malaysia akan menjadi antara 20 negara terbaik di dunia pada tahun 2050. Pelan ini termasuk transformasi pendidikan negara, ekonomi, kesejahteraan, alam sekitar, teknologi, interaksi sosial rakyat dan tadbir urus dengan matlamat untuk membentuk sebuah negara yang berkaliber dengan pemikiran yang sangat baik (Malaysian Digest, 2017). Aspek keagamaan dari segi nilai kemanusiaan, hormat sesama agama dan kesejahteraan rakyat perlu dititikberatkan di dalam mencapai inisiatif TN50 demi melahirkan generasi masyarakat yang berfikiran global dan profesional di samping memiliki pegangan agama yang kukuh serta unggul. Selaras dengan inisiatif TN50, kajian perlu dijalankan untuk mengkaji faktor-faktor yang mempengaruhi modal sosial seseorang individu terhadap pembangunan modal insan serta kaitannya dengan pengamalan aktiviti agama. Menurut kajian, amalan aktiviti agama boleh mempengaruhi seseorang individu untuk melakukan kebaikan serta memberi kesan terhadap saksiah dan prestasi kecemerlangan hidup (Khairiah, 2014). Hubungan antara ibadah, iman dan akhlak adalah sangat erat dan tidak dapat dipisahkan. Ibadah memberi makna amal saleh yang merupakan implementasi dari iman kepada Allah SWT manakala akhlak pula merupakan hasil dari semua perkara tersebut (Baharom, Ali & Za'aba Helmi, 2008). Al-Quran ada menyebut bahawa orang yang beriman beriringan dengan orang beramal saleh seperti dalam Surah Al-Ashr 1-3: "Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran". Kajian Literatur Teori Modal Sosial (Coleman, 1999) merangkumi tiga domain hubungan iaitu hubungan individu dengan ibu bapa, rakan-rakan serta masyarakat sekeliling. Namun begitu, King and Furrow (2004) telah mengaplikasikan aspek keagamaan di dalam teori modal sosial sambil menegaskan bahawa agama adalah sebahagian daripada aspek sosial yang mempengaruhi tingkah laku moral individu. Hasil kajian mereka mendapati individu yang terlibat secara aktif di dalam pengamalan aktiviti agama akan menzahirkan tahap sosial modal yang lebih tinggi (King & Furrow, 2004). Model yang digunakan merangkumi konstruk modal sosial yang menjurus kepada tiga aspek iaitu interaksi sosial, kepercayaan dan perkongsian matlamat. Interaksi sosial adalah pertukaran maklumat antara dua atau lebih individu di dalam sesebuah masyarakat (Boundless, 2016). Kepercayaan adalah salah satu daripada ciri-ciri organisasi sosial beserta dengan norma-norma dan rangkaian yang boleh meningkatkan kecekapan masyarakat dengan memudahkan tindakan bersepadu (Putnam, 1993) manakala perkongsian matlamat merujuk kepada nilai-nilai serta matlamat bersama dan persefahaman dalam hubungan kerjasama yang merangkumi matlamat kolektif dan aspirasi ahli-ahli organisasi (Li, 2005). Aspek keagamaan diukur melalui tiga perkara iaitu kepentingan pangamalan beragama, kekerapan penyertaan dalam aktiviti keagamaan, dan kepentingan mengambil bahagian dalam aktiviti keagamaan manakala nilai murni diukur daripada penilaian responden yang berorientasikan kepada altruistik dan empati (King & Furrow, 2004). Aspek agama melibatkan pembangunan individu dari pelbagai sudut khususnya memperkasakan akhlak dan jati diri yang seterusnya menjadi pemangkin kepada pembangunan manusia. Pengetahuan agama boleh menghalang individu dari terjebak dengan gejala sosial yang tidak sihat, merosakkan akhlak dan minda, membentuk spiritual yang murni (Fauziah et al., 2012) serta melindungi individu daripada melakukan perkara yang menyalahi undang-undang (Steinman & Zimmerman, 2004). Kajian dari Gorsuch (1995) membuktikan bahawa keterlibatan dengan aktiviti tidak sihat adalah sangat rendah di kalangan individu yang berpegang teguh kepada ajaran agama. Kajian Dzuhailmi et al. (2014) membuktikan bahawa tahap pengamalan agama yang rendah telah mengakibatkan individu terjerumus dalam tingkah laku yang tidak sihat dalam kehidupan mereka. Penglibatan individu di dalam khidmat sukarela yang melibatkan program keagamaan juga masih pada tahap yang rendah. Fauziah et al. (2012) merumuskan bahawa tahap pengetahuan agama yang sederhana masih belum cukup untuk memastikan individu dapat mengharungi kehidupan dengan sempurna dan berjaya. McCullough dan Carter (2013) pula menjelaskan perkaitan yang sangat relevan di antara agama dan pengawalan diri manakala McCullough dan Willioughby (2009) merumuskan individu dengan pengamalan agama mempunyai aturan kehidupan yang lebih tenang dan sempurna. Menurut Muhamad Abul Quasem (1975), Imam al-Ghazali menekankan pergaulan sosial dengan golongan soleh sebagai kaedah dalam membentuk akhlak yang mulia. Jika individu bergaul dengan orang yang baik, maka dia akan memperolehi sesuatu kebaikan dan secara tidak disedari mempelajari sesuatu daripadanya (Zakaria, Ahmad Munawar & Noranizah, 2012). Peranan persekitaran dalam pembentukan identiti bergantung kepada individu yang signifikan seperti ibu bapa, ahli keluarga dan rakan sebaya (Zakaria, Ahmad Munawar & Noranizah, 2012). Pengaruh persekitaran sosial yang paling awal diterima oleh individu adalah daripada ibu bapa sebagaimana hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermaksud: Tidak ada seorang bayi yang dilahirkan melainkan dilahirkan dalam keadaan fitrah (bersih daripada sebarang dosa), maka kedua ibu bapanyalah yang akan menjadikan anak itu sama ada sebagai seorang Yahudi, Nasrani atau Majusi. Kajian daripada Abdullah al-Hadi et al. (2001) telah mengenal pasti bahawa pengaruh rakan sebaya boleh menyebabkan individu terjerumus kepada perlakuan salah laku sosial. Dalam konteks Islam, interaksi adalah hubungan sesama manusia dalam kehidupan yang berkait rapat dengan akhlak dan tingkah laku. Pengertian akhlak menurut Imam al-Ghazali dalam Ihya Ulumuddin adalah "sebuah bentuk ungkapan yang tertanam dalam jiwa yang menimbulkan perbuatan-perbuatan yang senang dan mudah tanpa memerlukan pemikiran dan pertimbangan" (Al-Ghazali, 1993: 86). Berdasarkan Teori Modal Sosial (Coleman, 1999) serta kajian King dan Furrow (2004), kajian ini dijalankan untuk menyiasat hubungan pembolehubah berdasarkan model kajian seperti di Rajah 1. Maka, objektif kajian ini melibatkan pelajar Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan (UiTMCK) Kampus Kota Bharu di dalam mengenalpasti samada: a) Pembolehubah keagamaan mempunyai hubungan yang signifikan terhadap interaksi sosial b) Pembolehubah keagamaan mempunyai hubungan yang signifikan terhadap kepercayaan c) Pembolehubah keagamaan mempunyai hubungan yang signifikan terhadap perkongsian matlamat d) Pembolehubah modal sosial mempunyai hubungan yang signifikan terhadap nilai moral.